Rabu, 6 Mac 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


1,001 khazanah tarikan ke UTM

Posted:

1,001 khazanah tarikan ke UTM

1,001 khazanah tarikan ke UTM

Oleh NASRI JAMALUDIN

BERMESYUARAT atau sekadar bersantai amat sesuai dilakukan di Rumah Tropika.


SEJAK diiktiraf sebagai sebuah universiti pada tahun 1975, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru, Johor bukan sahaja berjaya melahirkan ribuan graduan dalam bidang sains dan teknologi malah kini diiktiraf sebagai sebuah universiti penyelidikan.

Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa UTM yang berkeluasan 1,222 hektar itu mempunyai bangunan-bangunan bercirikan tradisional Melayu.

Malah, persekitaran kampusnya kaya dengan flora dan fauna sekali gus mampu menawarkan percutian berkonsepkan ekopelancongan.

Lebih menarik, ketika para pelancong meneroka kesemua keunikan tersebut mereka dapat menyaksikan kehidupan kampus sebuah universiti berkelas dunia.

"UTM mempunyai pelbagai tarikan yang sesuai untuk ekopelancongan antaranya balai cerapan, hutan rekreasi, taman tropika, litar kawalan jauh, taman rusa dan tasik-tasik yang cantik.

"Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti perkhemahan, menjejak rimba, berjalan malam, bersampan, berkayak, abseiling, memancing ikan, berkuda atau sekadar bersantai di tasik-tasik menikmati kesegaran udara dan kehidupannya," kata Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Profesor Ir. Dr. Wahid Omar.

Tarikan-tarikan tersebut termasuk:

Hutan rekreasi

Mempunyai keluasan 53 hektar, pengunjung pasti teruja menyusuri hutan rekreasi yang kaya dengan kehijauan pokok-pokoknya.

Sebutkan sahaja aktiviti berkaitan hutan, kawasan itu tidak kurang hebatnya. Aktiviti perkhemahan, jalan malam dan program bina semangat boleh sahaja dilakukan di situ.

Anda pasti tidak menjangka, kawasan hutan tersebut juga mempunyai laluan sungai yang berbatu-batu. Memijak batu-batu sambil meredah sungai memberikan cabaran yang tidak kurang menyeronokkan.

Menjalankan semua aktiviti itu membuatkan anda tenggelam dengan suasana hutan yang sunyi sekali gus dapat merehatkan minda dan menyegarkan badan.

Ekoran itu, pihak UTM telah menaik taraf kemudahan yang ada di hutan rekreasi tersebut dengan membina empat buah rumah berkonsepkan tradisonal Melayu.


KANAK-KANAK turut teruja apabila melakukan aktiviti menunggang kuda di Pusat Ekuin.


Taman Tropika

Taman Tropika terkenal dengan tumbuhan heliconia dan halia. Terletak hanya beberapa meter dari pintu masuk utama, taman itu sesuai untuk aktiviti santai.

Dalam kalangan pelajar UTM, taman tersebut merupakan lokasi bagi mereka menyegarkan dan merehatkan diri setelah penat menjalankan pelbagai aktiviti kehidupan kampus.

Selain berjalan-jalan menikmati keindahan tumbuh-tumbuhan, taman berkenaan juga bersebelahan tasik yang sesuai untuk aktiviti air atau sekadar bergambar bersama rakan-rakan atau keluarga.

Taman Rusa

Bagi penggemar rusa atau sekadar untuk membawa anak-anak melihat haiwan itu, Taman Rusa UTM menempatkan 33 ekor rusa bintik atau nama sainstifiknya, axis-axis yang dilepaskan bebas dalam kawasan berpagar.

Duduk di bawah rimbunan buluh dan pokok besar sambil memerhatikan kumpulan rusa bermain sesama mereka atau memakan tumbuh-tumbuhan pasti memberikan pengalaman unik terutama kepada kanak-kanak.

Bagi penduduk yang tinggal berhampiran UTM bolehlah meluangkan masa berjoging di sekeliling Taman Rusa yang berkeluasan 0.8 hektar itu.

Litar kawalan jauh

Bagi peminat kereta kawalan jauh yang ingin mengasah bakat atau meningkatkan kemahiran, UTM turut menawarkan kemudahan trek aktiviti tersebut.

Ia bukan sahaja dibuka kepada para pelajar, malah untuk masyarakat luar terutama bagi mereka yang ingin menganjurkan aktiviti permainan alat kawalan jauh.

Balai cerapan

Bangunan itu terletak di kawasan yang paling tinggi di UTM. Dari atas bukit, pengunjung boleh menyaksikan pemandangan keseluruhan kampus UTM termasuk kawasan perumahan dan pembangunan sekitarnya.

Balai Cerap itu terletak pada paras ketinggian 142 meter dari aras laut. Kawasan bukit itu menjadi tumpuan para pelajar dan kakitangan UTM untuk berjoging atau sekadar berehat-rehat di atas bukit berkenaan.

Pusat Ekuin

Peminat aktiviti berkuda atau yang ingin mencuba menunggang kuda boleh berbuat demikian di Pusat Ekuin UTM.

Dengan kadar bayaran RM5, pengunjung boleh menikmati aktiviti Fun Ride iaitu menunggang kuda padi bagi kanak-kanak atau menunggang kuda biasa untuk dewasa.

Pusat Ekuin itu juga terkenal dengan beberapa aktiviti sukan berkuda bertaraf antarabangsa sekali gus memberi peluang kepada masyarakat mengenali kuda dan aktiviti berkaitannya.

"Ketika ini Pusat Ekuin mempunyai 18 ekor kuda yang dibeli daripada Australia, New Zealand, Argentina dan Uruguay. Harga seekor kuda mencecah sehingga RM300,000 bergantung kepada kemampuan kuda atau aktiviti sukan yang disertai seperti lompatan, endurance, joget atau untuk persembahan," kata Pengarah Pusat Ekuin UTM, Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Mohd. Sam.

Tasik

SIAPA sangka aktiviti meredah sungai dan meniti batu-batu boleh dilakukan dalam kawasan UTM.


Di UTM terdapat beberapa tasik yang sesuai untuk pelbagai aktiviti riadah seperti

Tasik Ilmu dan Tasik Desa Bakti.

Selain bersantai di tepi tasik, pengunjung juga boleh mencuba aktiviti berkayak, mengambil gambar pemandangan dan hidupan liar atau menyertai pertandingan memancing ikan yang sering diadakan.

Masjid Sultan Ismail

Siap dibina pada tahun 1990, masjid yang terletak di kawasan tinggi di tengah-tengah kampus UTM itu mampu memuatkan lebih 10,000 jemaah sekali gus memudahkan para pengunjung untuk menunaikan solat.

Uniknya, masjid itu menggabungkan pelbagai elemen seni bina Islam yang dapat disaksikan seperti kubah elemen seni bina Isfahan dan pintu gerbang pengaruh Iwan di Iran. Tidak ketinggalan mimbar mengadaptasi masjid dari Kaherah, Mesir, tiang sokongan ala Afrika Utara dan menara dari Masjid Biru Istanbul, Turki.

Digamit laut biru Teluk Andaman

Posted:

Digamit laut biru Teluk Andaman

Digamit laut biru Teluk Andaman


PHUKET juga mempunyai kawasan yang sesuai untuk membeli barangan cenderamata bagi dibawa pulang.


STATUS Pulau Phuket selaku destinasi pelancongan utama dunia memang sukar untuk dipertikaikan. Penulis yang melancong ke Phuket, Thailand bersama isteri, Nor Asmanira Sulong, 29, selama empat hari baru-baru ini mendapat banyak pengalaman menarik.

Antara tempat yang kami kunjungi termasuk Central Festival Phuket, Taman Rama-Rama dan Dunia Serangga Phuket, Akuarium Phuket, Masjid Bang Tao, Pantai Bang Tao dan Patong.

Pada hari pertama di sana kami menginap di sebuah hotel berhampiran Pantai Patong. Pada hari itu, kami menghabiskan masa dengan bersiar-siar di sekitar Pekan Patong dan menikmati keindahan waktu petang di tepi pantai.

Pantai terindah

Pantai Patong terkenal di Phuket dengan pantainya yang memutih dan air laut berwarna biru kehijauan. Ia menjadikan Pantai Patong antara pantai terindah di pesisir Laut Andaman sehingga mampu menarik pelancong antarabangsa ke Phuket.

Keesokannya pula, kami menaiki sebuah kenderaan dipanggil songthaew ke Central Festival Phuket sebelum mengambil moto teksi ke Taman Rama-Rama dan Dunia Serangga Phuket.

Songthaew merupakan sebuah trak besar yang diubah suai menjadi pengangkutan awam. Mereka yang ingin menjelajah Phuket dengan bajet yang rendah, menaiki songthaew merupakan pilihan terbaik.

Bagaimanapun, anda perlu menaiki songthaew ke pekan Phuket terlebih dahulu sebelum mengambil songthaew lain ke destinasi yang dituju.

Motor teksi pula ialah motosikal yang digunakan untuk mengangkut penumpang di Phuket. Penunggang memakai jaket merah dan pelanggan dinasihatkan berunding harga sebelum menggunakan perkhidmatan tersebut. Bayaran dikenakan berdasarkan jumlah penumpang dan destinasi yang dituju.

Central Festival Phuket merupakan sebuah kompleks pasar raya yang terkenal di Phuket. Kami sempat membeli cenderamata berupa pelekat magnet peti sejuk untuk dijadikan kenang-kenangan.


PANTAI Patong antara pantai terindah di pesisir Laut Andaman sehingga mampu menarik jutaan pelancong antarabangsa ke Phuket.


Jinak

Kunjungan ke Taman Rama-Rama dan Dunia Serangga Phuket juga tidak mengecewakan kerana kami dapat melihat rama-rama yang bebas berterbangan. Rama-rama yang mempunyai pelbagai saiz serta warna itu cukup jinak dan turut hinggap di badan penulis.

Bagi mengenali lebih mendalam tentang rama-rama dan serangga lain penulis tidak melepaskan peluang memasuki muzium rama-rama dan serangga yang terletak di dalam taman tersebut.

Selepas penat menjelajah sekitar taman rama-rama itu, kami mengambil keputusan untuk keluar dan menahan sebuah moto teksi.

Loghat utara

Pemandu motor teksi itu beragama Islam dikenali sebagai Abdullah yang boleh berbahasa Melayu loghat utara. Saya selesa berbual dengannya tambahan pula ayahnya berasal dari kampung yang berdekatan dengan tempat lahir penulis di Kedah.

Dia telah membawa kami ke sebuah restoran makanan halal di pekan Phuket. Sebelum, kami berpisah penulis sempat mengambil nombor telefonnya.

Selepas makan, kami sempat membeli sedikit barang cenderamata dan bersolat jamak di Masjid Pekan Phuket sebelum pulang ke hotel di Patong.

Hidupan laut

Pada hari ketiga, tumpuan kami pada hari itu adalah untuk melawat Akuarium Phuket dan sebuah perkampungan Islam yang mempunyai masjid terbesar di Phuket iaitu Bang Tao.

Akuarium Phuket kerana terletak di tepi laut iaitu penghujung kawasan Cape Panwa, di timur selatan Phuket. Ia mempunyai keluasan yang sederhana tetapi tetap berbaloi untuk diterokai.

Di akuarium itu, para pelawat boleh melihat pelbagai jenis hidupan laut secara langsung sambil merakam gambar aksi-aksi hidupan itu.

Salah satu tarikan utama di akuarium tersebut ialah sebuah terowong cermin kaca. Para pelawat boleh berjalan di bawah terowong tersebut sambil melihat kehidupan marin. Kami merasakan seolah-oleh berada dalam akuarium yang besar dengan kepelbagaian kehidupan marin lengkap dengan pasir, batu laut, batu karang dan rumpai laut.

Selepas keluar dari akuarium itu, kami menjamu selera di gerai yang diusahakan orang Islam yang terdapat di luar kawasan berkenaan. Selepas itu, kami menghubungi Abdulah untuk membawa kami ke Pantai Bang Tao.


TEROWONG kaca membolehkan pengunjung melihat kehidupan marin di Akuarium Phuket.


Masjid tercantik

Di pertengahan perjalanan, kami singgah solat jamak di Masjid Mukaram di kampong Bang Tao. Masjid Mukaram lebih dikenali dengan panggilan Masjid Bang Tao berusia 46 tahun merupakan masjid terbesar dan tercantik di Phuket.

Selepas mengambil gambar, kami meneruskan perjalanan ke Pantai Bang Tao. Kami rasa teruja menikmati angin sepoi-sepoi bahasa sambil mendengar deruan ombak memecah pantai.

Pantai Bang Tao cukup indah dan keasliannya masih terpelihara berbanding Pantai Patong yang kelihatan agak moden. Malah Pantai Bang Tao lebih bersih daripada Pantai Patong. Kami menghabiskan masa bermain-main di gigi air sehingga hari hampir senja, barulah kami pulang ke hotel.

Pada malam tersebut, kami hanya merehatkan badan di hotel. Keesokan harinya, kami bersiap-siap untuk pulang ke Malaysia. Percutian di Phuket nyata memberikan kami pengalaman yang indah dan menyeronokkan.

Sejuta Pengunjung Lawat Bukit Bendera

Posted:

Sejuta Pengunjung Lawat Bukit Bendera

Sejuta Pengunjung Lawat Bukit Bendera

Oleh ZAKI SALLEH


SUASANA di puncak Bukit Bendera amat tenang, dingin dan mendamaikan.


BERADA di kawasan paling tinggi di Pulau Pinang, Bukit Bendera antara lokasi yang wajib dikunjungi jika ke Pulau Mutiara.

Terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar, Bukit Bendera yang berketinggian 830 meter dari paras laut itu bersuhu dingin dan menawarkan panorama mengasyikkan iaitu hampir separuh pemandangan Pulau Pinang.

Kini, perkhidmatan kereta api furnikular berkuasa elektrik menggantikan kereta api kabel untuk membawa naik pengunjung ke Bukit Bendera yang menempatkan pos pemerhati tentera British semasa era kolonial.

Projek menaik taraf itu dibiayai Kerajaan Persekutuan membabitkan kos RM73 juta termasuk pembinaan kemudahan asas lain seperti tempat letak kenderaan di kaki bukit.

Kereta api baharu ini lebih laju dan menggunakan koc buatan Switzerland yang moden serta selesa untuk penumpang dan jadual perjalanan kereta api itu ialah setiap setengah jam mulai 6.30 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Ia juga mampu membawa 1,000 penumpang sejam berbanding 280 orang sebelum ini. Penumpang juga tidak perlu menukar gerabak untuk sampai ke puncak bukit dan perjalanan hanya mengambil masa lima minit.

Difahamkan, kos operasi bagi setiap perjalanan kereta api ialah RM500 dan kos itu lebih tinggi berbanding kereta api kabel sebelum ini.

Tambang kereta api Bukit Bendera untuk pelancong tempatan ialah RM8 untuk dewasa dan RM4 untuk kanak-kanak. Bayaran pelancong asing pula ialah RM30 bagi dewasa dan RM15 kanak-kanak.

Pakej keluarga rakyat tempatan ditetapkan RM18, manakala pakej keluarga warga asing pula RM70. Tambang sehala kini ditetapkan RM5 dan orang kurang upaya (OKU) boleh menggunakannya secara percuma.

Pas bulanan untuk pekerja dan penduduk di Bukit Bendera kekal pada harga RM24.

Sebagai alternatif, pengunjung juga boleh menggunakan khidmat kenderaan pacuan empat roda dari Taman Botani.


KERETA API furnikular terbaharu buatan Switzerland ini lebih efisien.


Populariti kekal

Tahun lalu, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) mencatatkan kehadiran sebanyak 1,204,739 orang iaitu dua kali ganda lebih tinggi daripada jumlah yang dicatatkan dalam tempoh dua tahun sejak 2007.

Daripada jumlah itu, seramai 281,487 orang ialah pelancong asing. Statistik tersebut menunjukkan lonjakan sektor pelancongan negeri itu ke Bukit Bendera sekali gus membuktikan popularitinya masih kekal.

Pada 2007, Bukit Bendera menerima kedatangan seramai 461,247 pengunjung, manakala pada tahun 2008 seramai 509,735 orang dan 442,154 orang pada 2009.

Sementara itu, Pengurus Besar PBBPP, Maklen Ali berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 1.5 juta pengunjung melawat pusat peranginan itu tahun ini iaitu pertambahan kira-kira 20 peratus.

Katanya, angka itu boleh dicapai berikutan peningkatan jumlah pengunjung direkodkan tahun lalu yang melepas angka sejuta iaitu rekod terbaik sejak 2007.

Menurut beliau, peningkatan jumlah pengunjung itu disumbangkan oleh pengenalan sistem baharu Keretapi Furnikular pada Mei 2011 yang lebih baik selain penambahbaikan kemudahan sedia ada.

"Bagi menambah baik lagi perkhidmatan yang ada, PBBPP kini dalam proses menyediakan laluan berbumbung untuk pejalan kaki di puncak Bukit Bendera bagi memberi keselesaan.

"Kerja-kerja asas sedang giat dijalankan dan kami menjangkakan laluan ini siap pada Jun tahun ini dengan kos kira-kira RM3.8 juta," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved