Ahad, 10 Februari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Sudah ada bayangan

Posted:

Sudah ada bayangan

Sudah ada bayangan

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

THIEN HOW (belakang) dan Wee Kiong menunjukkan prestasi cemerlang pada Superliga Badminton Indonesia 2013 di Surabaya, Indonesia.


MALAYSIA sudah mempunyai bayangan awal barisan pemain yang bakal menggalas cabaran negara pada kempen Piala Thomas 2014.

Skuad negara atau dikenali Malaysia Tigers ketika muncul naib juara Superliga Badminton Indonesia 2013 di Surabaya, Indonesia kelmarin dilihat mempunyai potensi besar untuk menyerlah pada kejohanan berpasukan berprestij dunia itu.

Pada kempen di Surabaya itu, Malaysia Tigers membariskan Liew Daren, Chong Wei Feng, Mohd. Arif Abdul Latif dan Goh Soon Huat dalam acara perseorangan.

Acara beregu pula dibarisi gandingan Hoon Tien How-Tan Wee Kiong, Lim Khim Wah-Goh V Shem dan Mohd. Lutfi Zaim Abdul Khalid-Teo Kok Siang.

Bagaimanapun, jurulatih perseorangan negara, Hendrawan menganggap skuad tersebut akan menjadi lebih kuat dengan kehadiran pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Katanya, kehadiran Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong amat penting dalam menghadiahkan dua mata pertama buat Malaysia pada kempen Piala Thomas kelak.

"Bukan saya mahu cakap Daren sebagai perseorangan pertama dan Thien How-Wee Kiong sebagai beregu pertama tidak mampu memberikan mata kepada skuad negara tetapi situasi pasti akan menjadi berbeza pada Piala Thomas.

"Dalam acara berpasukan peringkat tertinggi seperti itu, dua mata pertama menerusi perseorangan dan beregu sangat penting. Berdasarkan pengalaman Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong, mereka lebih baik.

"Begitupun, mahu atau tidak, Daren, Thien How-Wee Kiong atau pemain-pemain muda yang lain harus bersedia kerana mereka merupakan harapan utama untuk edisi Piala Thomas seterusnya," kata Hendrawan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu, hasrat untuk menyaksikan skuad negara muncul juara Superliga Badminton Indonesia 2013 tidak kesampaian apabila tewas 2-3 kepada kelab Indonesia, Musica Champion pada aksi final.

Meskipun akur dengan kekalahan tersebut, namun berdasarkan prestasi kesemua pemain sepanjang tujuh hari kempen itu berlangsung, skuad negara menunjukkan petanda positif.

"Secara keseluruhan, saya memang berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh semua pemain. Saya bercakap bukan untuk acara perseorangan sahaja tetapi beregu juga.

"Banyak peningkatan ditunjukkan oleh para pemain apabila beraksi dalam kejohanan di Indonesia itu terutamanya bagaimana cara untuk mengatasi tekanan.

"Kita dapat lihat kematangan para pemain apabila berdepan dengan situasi genting bagi mengutip mata penting dalam perlawanan," jelas Hendrawan.

Tambah Hendrawan, peningkatan yang ditunjukkan itu adalah petanda positif buat skuad negara sebagai persiapan awal untuk menghadapi Piala Thomas tahun depan.

"Begitupun, saingan Superliga tidak mencerminkan sepenuhnya persaingan yang bakal dihadapi pada Piala Thomas.

"Ini kerana, ia sekadar liga dan dibarisi pemain-pemain import dari negara lain dan mereka tidak beraksi dalam pasukan yang sebenarnya bersama rakan-rakan senegara," tambahnya.

ATM tidak gemar 'goyang kaki'

Posted:

ATM tidak gemar 'goyang kaki'

ATM tidak gemar 'goyang kaki'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


ZULKIFELI (tengah) bergambar bersama pemain dan pegawai kedua-dua pasukan sebelum aksi persahabatan di Padang Bola Sepak Kementerian Pertahanan, Jalan Semarak, Kuala Lumpur kelmarin.


BIARPUN saingan Liga Super dihentikan seketika buat masa ini, barisan pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetap tidak 'goyang kaki' semata-mata.

Kelmarin, anak-anak buah B. Sathianathan dilihat cukup garang apabila membenam cabaran Platun Media Rejimen 515 Wataniah (Platun Media) 8-1 dalam satu aksi persahabatan di Padang Bola Sepak Kementerian Pertahanan, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Ternyata, kemenangan itu mampu menjadi sebagai penyuntik moral terbaik buat The Gladiators menjelang aksi menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebaik saingan Liga Super bersambung Sabtu ini.

Kapten ATM, Hairuddin Omar memberitahu, aksi pemanas badan itu merupakan yang pertama buat mereka selepas saingan Liga Super dihentikan seketika dua minggu lalu.

"Biarpun ia sekadar perlawanan persahabatan, kami tetap tidak memandang mudah cabaran Platun Media dan memberikan yang terbaik.

"Aksi sebegini penting buat kami kerana ia dapat membantu kami mengekalkan kecergasan selepas berehat panjang," kata Hairuddin.

Dalam perlawanan itu, Hairuddin yang mesra dengan panggilan Hai-O membuktikan sentuhannya cukup berbisa apabila meledak dua gol.

Tidak ketinggalan turut mencatatkan nama selaku penjaring ATM dalam perlawanan itu termasuklah Marlon Alex James (dua gol), Rezal Zambery Yahya (dua gol) sementara dua lagi gol dijaringkan sendiri oleh pemain Platun Media.

Gol saguhati Platun Media pula dijaringkan oleh Noor Asrekuzairey Salim pada awal babak kedua.

Terdahulu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin merasmikan perlawanan persahabatan itu.

Kapten Platun Media, Mohd. Naim Aziz mengakui perasaan gugup sebahagian besar rakan-rakan sepasukannya yang pertama kali berdepan finalis Piala Malaysia itu sedikit sebanyak menjejaskan persembahan mereka.

"Begitupun, ia tidak mematahkan semangat kami untuk menguji mana-mana pasukan dari Liga Super selepas ini," katanya.

'Sentuhan Australia' ramuan Harimau Muda

Posted:

'Sentuhan Australia' ramuan Harimau Muda

'Sentuhan Australia' ramuan Harimau Muda

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


SKUAD Harimau Muda dalam persiapan bagi menghadapi temasya Sukan SEA di Myanmar pada penghujung tahun ini.


PENGENDALI skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee dijangka mempertaruhkan 'sentuhan Australia' pada pertemuan menentang Myanmar dalam aksi persahabatan di Yangon, 22 Februari ini.

Kim Swee membayangkan bahawa beliau bakal menggunakan barisan pemain yang sama ketika Harimau Muda 'berguru' di Australia baru-baru ini dalam pertemuan dengan Myanmar nanti.

Ini kerana, Kim Swee berkata, beliau tidak bercadang memanggil beberapa pemain muda dari skuad negeri masing-masing memandangkan saingan Liga Malaysia (Liga M) masih berlangsung ketika itu .

"Saingan liga kembali berlangsung ketika itu, jadi saya tidak mahu mengganggu persiapan mana-mana pasukan.

"Jadi, berkemungkinan besar saya akan membawa skuad yang sama ke Australia ketika berdepan Myanmar nanti," kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Harimau Muda dianggap berjaya mencapai objektif sepanjang 10 hari berkelana ke bumi Australia baru-baru ini apabila mereka berjaya mempamerkan peningkatan yang sungguh luar biasa selain memperlihatkan kematangan ketika beraksi.

Antara yang cemerlang membantu Harimau Muda mengharungi Jelajah Australia itu termasuklah Rozaimi Abdul Rahman, Irfan Fazail, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria serta Izzaq Faris Ramlan yang kembali pulih daripada kecederaan jangka panjang.

Sepanjang berada di sana, anak-anak buah Kim Swee berjaya melakar tiga kemenangan dan satu tewas apabila menewaskan Palm Beach Shark (5-1), Brisbane Sharks (2-1) dan Australia Queensland Academy (7-0), namun tewas 1-2 kepada Brisbane Olympic pada perlawanan ketiga.

Mengulas lanjut, Kim Swee menuntut komitmen anak-anak buahnya supaya memberikan yang terbaik ketika berdepan Myanmar nanti biarpun ia sekadar satu perlawanan persahabatan.

"Aksi berdepan Myanmar cukup penting kerana ia merupakan sebahagian daripada perancangan awal mempertahankan emas temasya Sukan SEA.

"Biarpun hanya satu perlawanan persahabatan, ia mampu membantu saya melakukan penilaian terbaik bagi membentuk pasukan yang mantap," kata Kim Swee.

Selepas berdepan Myanmar, Harimau Muda dijangka berkelana ke Slovakia selama lima bulan bermula 15 Mac depan dan dijadualkan mengadakan sekurang-kurangnya 15 perlawanan persahabatan sepanjang berada di sana.

Mereka hanya dijangka kembali ke tanah air sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Harimau Muda juga dijangka menyertai dua kejohanan jemputan iaitu Pestabola Merdeka dan Piala Thanh Nien di Vietnam sebelum memulakan misi sebenar mempertahankan emas Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved