Rabu, 6 Februari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Memartabat autentik dan estetika seni

Posted:

Memartabat autentik dan estetika seni

Memartabat autentik dan estetika seni

LANGKAH dibuka penuh bergaya. Lima jejaka berkain pelikat berkopiah putih, lapan wanita berkebaya moden putih berkain sarung, tutup kepala merah jambu dan seorang daripada mereka menggendong bayi seraya bertingkah tatkala lagu bergema.

Berubah transisi, kain batik yang dahulunya dijelmakan sebagai bayi berubah menjadi multifungsi iaitu endoi (buaian), kemudiannya dicantumkan berlapan menjadi alunan ombak serta selendang sisi secara solo.

Si jejaka pula mempelbagaikan fungsi payung - ibarat senjata bertempur dan perisai buat wanita berlindung.

Pergerakan 13 penari disusun tingkahnya daripada asas gerak tari zapin Umang Ting Ting yang berasal dari Brunei.

Diiringi lagu yang disulam sedikit bunyi bayi menangis pada babak awal dan akhirnya, juga diselitkan bunyi teriakan burung camar dan desiran air pantai, persembahan diberi judul, Dodoiku Sayang ini ternyata digarap dengan plot - ada introduksi, debar dan konklusinya.


UPM (tengah) merupakan juara keseluruhan Festari Makum 2012 selepas bersaing hebat dengan UM (kanan) dan UniMAS (kiri) yang masing-masing terpaksa berpuas hati meraih tempat kedua dan ketiga.


Penceritaannya ringkas, mengisahkan kelahiran cahaya mata dalam sesebuah keluarga Melayu Islam dan tarian kreatif berdurasi 11 minit itu ditutup dengan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Kedengaran sedikit asing, namun kata pereka tari Universiti Malaya (UM), Mohd. Hairil Anuar Bari, tarian yang diasaskan daripada pergerakan zapin masyarakat Melayu Brunei itu menyampaikan mesej tanggungjawab pasangan ibu dan bapa menyambut kelahiran individu baharu dalam keluarga.

"Tunjang utama penceritaan dalam tarian yang dikreatifkan daripada zapin itu adalah keprihatinan seseorang bapa dalam memainkan peranan untuk membesarkan bayi dan bukanlah semata-mata melepaskan tanggungjawab itu kepada wanita," jelasnya mengenai makna hubungan kekeluargaan dalam tarian itu.

Payung mewakili metafora sebuah perlindungan dan kain sarung pula mewakili unsur kesucian dipersembahkan dengan penuh bergaya oleh kumpulan Tari9 dari UM yang melayakkan mereka untuk dinobatkan sebagai Kumpulan Kreatif Terbaik pada Festival Tari Makum (Festari Makum) 2012 yang berlangsung di Kangar, Perlis, baru-baru ini.

Ujar Mohd. Hairil lagi, lagu asalnya yang sarat komposisi bunyi gambus itu diadun dengan sedikit bunyi kontemporari iaitu alam sekitar, selain kebaya yang merupakan busana asal tarian Umang Ting Ting diubah suai menjadi separa seluar panjang.


MITOS pahlawan burung helang masyarakat Sarawak dipersembahkan penuh bertenaga oleh UniMAS.


"Gerakan asas zapin Umang Ting Ting masih dikekalkan cuma langkahnya digandakan dan ditarikan dengan lebih agresif," tambahnya.

Pertandingan tarian yang melibatkan 16 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh Malaysia anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (Makum) dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) itu kali ini melantik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selaku tuan rumah yang sebelum ini pernah dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2009.

Antara universiti yang mengambil bahagian kali ini ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).


LANGKAH dan gaya tarian tersendiri peserta yang mewakili UiTM berjaya memberikan daya saing pada Festari Makum kali ini.


Tingkilang Ramang

Mencuri tumpuan selain UM, persembahan berdasarkan kisah dongeng pahlawan masyarakat Bidayuh Sarawak, Madu Sawan oleh Unimas.

Kesatria itu diarahkan untuk bertempur dengan burung helang legenda, Tingkilang Ramang demi memperisterikan Dara Buda yang merupakan anak kepada Raja Pleiades.

Kata salah seorang anggota kumpulan tarian Bayu Unimas, Nurul Fatihah Saifulanuar, 21, kumpulannya mengambil masa hanya seminggu untuk menyiapkan karya kreatif tersebut.

"Pertandingan ini berbeza daripada sebelum ini kerana persaingan sangat sengit, susah untuk meneka sama ada juri tertarik atau tidak dengan setiap karya yang dipersembahkan.

"Apapun, usaha ini melibatkan kerjasama berkumpulan apatah lagi untuk memastikan keseragaman tarian," ujar penuntut jurusan Kajian Komunikasi tahun dua itu.

Penat sebenarnya kata Nurul Fatihah untuk mempersembahkan tarian selama 12 minit itu, tambahan dia juga jatuh sakit beberapa hari menjelang pertandingan.

Persembahan yang diberi judul, Tingkilang Ramang itu menitikberatkan pergerakan asas tarian Rejang Beuh (tarian helang) dan banyak bermain dengan pergerakan perlahan serta gimik tersendiri.

Beberapa persembahan tarian kreatif lain yang membongkar khazanah kehidupan dan budaya tempatan juga menarik untuk disaksikan adalah kreatif dabus berjudul, Putih ( oleh UPSI), adaptasi wayang kulit dan wayang gedek, Wayang (UniMAP), kreatif tarian Layang Mas dan Terinai iaitu Tari Layang ( UPM), kreatif boria yang dinamakan sebagai Boria Gelong (USM) dan kreatif sewang yang diberi judul, Jaranduwe (UTHM).

Selain kategori kreatif, Festari Makum 2012 turut mempertandingkan tarian rampaian asli yang mewajibkan semua peserta terbabit mengambil bahagian.


PESERTA yang mewakili UPSI tampil dengan olahan tarian Dabus yang cukup terkenal di negeri Perak.


Evolusi

Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran Festival Tari Makum yang direhatkan beberapa tahun sejak 2009, kata Pegawai Kebudayaan Universiti Sains Malaysia (USM), Hafiz Mohd. Sani, ruang selama tiga tahun itu memberikan persediaan kepada universiti untuk mencari idea baharu.

"Setiap kali penganjuran, ada peningkatan kualiti persembahan dan idea setiap peserta malah, jurang perbezaan antara universiti yang bertanding juga sudah semakin tipis.

"Kecewa juga apabila terlalu lama masa yang diambil untuk dianjurkan semula namun tempoh itu sebenarnya memberikan peluang untuk peserta mencari keunikan baharu untuk ditampilkan kali ini.

"Pada masa sama, penganjuran kali ini merupakan satu penanda aras untuk untuk peserta yang rata-ratanya menempuh pengalaman pertama Festari," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved