Rabu, 6 Februari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Siti Saleha tak perlukan lelaki

Posted:

Siti Saleha tak perlukan lelaki

Siti Saleha tak perlukan lelaki

SALEHA muncul dengan pelbagai filem lakonannya pada tahun ini.


LELAKI mana yang tidak tertarik dengan kejelitaan yang dimiliki aktres Siti Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd. Baharum? Bagaimanapun, figura yang bakal muncul menerusi filem Kerat 14, gandingannya bersama aktor tersohor, Aaron Aziz ini mengakui tidak memerlukan perlindungan daripada seorang lelaki dalam kehidupannya.

Menurut pelakon berusia 23 tahun itu, dalam alam realiti, dirinya tidak sebegitu lemah seperti kebanyakan watak yang pernah dimainkan menerusi drama bersiri TV mahupun filem.

"Saya tidak memerlukan lelaki untuk menjaga ataupun melindungi diri saya kerana saya tidak selemah seperti watak-watak yang pernah saya bawakan dalam drama TV mahupun filem.

"Saya boleh menjaga diri saya sendiri, malah saya juga ada menyertai kelas muay thai sejak tahun lepas lagi sebagai langkah menjaga keselamatan diri," katanya.

Tambah Saleha, untuk menjadi seorang yang sangat lemah-lembut, pemalu, sensitif dan cepat emosi dalam lakonan merupakan satu perubahan karakter yang sangat mencabar bagi dirinya.

"Watak-watak yang diberikan kepada saya adalah sangat kontra daripada karakter sebenar diri saya, kerana saya sebenarnya seorang yang periang, berfikiran terbuka, tidak bergantung kepada lelaki, tegas dan suka berjenaka.

"Jadi untuk menghayati watak-watak yang penuh sifat kewanitaan dan gadis desa merupakan satu perkara yang sangat mencabar dan menguji mutu lakonan saya," katanya.

Masih solo

Menuntut kisah cinta daripada gadis jelita yang pernah dilanda kontroversi bercinta dengan seorang penjaga gol bola sepak, Syed Adney iaitu adik kepada pelakon Sharifah Sofea, Siti Saleha memberitahu, dia masih solo dan sehingga kini tidak mempunyai hubungan dengan siapa-siapa.

"Saya masih solo dan tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki. Itu semua gosip. Bukan saya tidak mahu (bercinta), tetapi tiada siapa yang mahukan saya (ketawa)," katanya berjenaka.

Ujar Saleha lagi, dia kini sangat sibuk dengan jadual penggambaran yang padat.

"Saya kini sibuk berlakon untuk drama dan juga filem, jadi isu untuk mengadakan hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki ini tidak menjadi keutamaan saya buat masa ini," katanya.

Selepas berjaya menambat hati para pononton di rumah, kini gadis sunti berusia 23 tahun itu beralih arah ke layar perak dengan filem-filem terbaharu yang bakal menjengah pawagam termasuklah Mamak Cupcake, Bravo, Pencinta, KL Zombie dan Kerat 14 yang bakal ditayangkan pada 14 Februari ini.

Menurut Siti Saleha, dia bagaimanapun akan terus berlakon drama dan tidak tertumpu kepada lakonan untuk filem sahaja.

"Saya akan mengimbangi lakonan saya di televisyen dan juga di pawagam. Bagi saya, itu yang terbaik. Jika saya memilih untuk berlakon di layar perak sahaja, penonton dan peminat saya yang mempunyai kekangan masa untuk ke pawagam mungkin tidak dapat melihat lagi hasil kerja saya. Jadi, saya rasa ia lebih adil buat mereka jika saya teruskan lakonan saya di dalam drama dan juga filem," katanya.

Adik kepada penyanyi kumpulan popular, Shamsul Anuar atau Sam Bunkface itu turut mengakui selepas tiga tahun mencurahkan seratus peratus komitmen dalam kerjayanya, dia kini mula menikmati pulangan setiap keringat yang telah dicurahkan dalam dunia hiburan tanah air.

"Alhamdulillah, pada tahun ini, rezeki saya mencurah-curah, tidak kiralah untuk drama bersiri mahupun filem. Saya sangat menghargai peluang-peluang dan kepercayaan yang telah diberikan kepada saya oleh penerbit-penerbit drama dan filem tersebut.

"Sebagai tanda berterima kasih kepada mereka, saya akan cuba beri yang terbaik sehingga tiba masa saya boleh berbangga dengan pencapaian dan hasil titik peluh saya sendiri," katanya.

Saya cuma ubah penampilan - Azza

Posted:

Saya cuma ubah penampilan - Azza

Saya cuma ubah penampilan - Azza

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

KEPUTUSAN yang dibuat Azza untuk bertudung adalah atas pilihan dirinya sendiri.


SEMENJAK kebelakangan ini, sudah ramai selebriti wanita tanah air yang telah melakukan penghijrahan terutamanya dari segi penampilan yang lebih muslimah.

Kali ini, tiba pula giliran pelakon dan penyanyi Nor Azzarima Zawari atau Azza, 34, yang pernah popular bersama kumpulan Elite suatu ketika dahulu apabila kini turut tampil bertudung.

Berkesempatan menemui Azza pada majlis pelancaran produk Zarraz yang diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, dia mengakui sudah mula bertudung sejak 6 Januari lalu.

Masih tetap kelihatan manis dan anggun apabila sudah bertudung, Kosmo! juga cuba mengorek kisah di sebalik penghijrahan yang dilakukannya itu.

Kosmo!: Bolehkah Azza kongsi sedikit tentang perubahan penampilan sekarang?

AZZA: Hati saya mula terdetik untuk bertudung ketika berlakon drama Mujahid pada tahun lalu. Dalam drama tersebut saya memegang watak sebagai seorang majistret yang bertudung.

Kemudian pada 22 Disember lalu, saya telah menemani ibu ke majlis perkahwinan saudara kami di Pulang Pinang. Pada majlis tersebut saya lihat semua saudara-mara termasuk sepupu saya semuanya bertudung.

Akhirnya sewaktu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, tiba-tiba timbul perasaan sedih terhadap ibu kerana saya seorang sahaja yang masih belum bertudung berbanding ahli keluarga sebelah ibu saya.

Kemudian apakah yang berlaku seterusnya?

Pada mulanya saya masih lagi berbelah bahagi sama ada mahu bertudung atau tidak. Namun begitu, suami saya (Azlan Zulaily) banyak memberikan dorongan dan sokongan kerana dia memang mahu lihat saya bertudung.

Akhirnya, pada 6 Januari lalu saya mula memakai tudung dan tampil dalam khalayak umum untuk acara Anugerah Juara Lagu ke-26 di Stadium Putra Bukit Jalil.

Apakah perasaan Azza setelah bertudung?

Saya berasa tenang dan gembira dengan keadaan sekarang ini, cuma saya perlu kuat dari segi mental dan fizikal. Tidak dinafikan banyak cabaran yang perlu saya lalui apabila mengambil keputusan sebegini.

Antaranya, pandangan sesetengah pihak beranggapan pelakon yang sudah bertudung akan kurang mendapat tawaran berlakon. Namun begitu, bagi saya rezeki sudah ditentukan oleh Allah dan faktor bertudung tidak boleh dijadikan alasan.

Bagaimanakah pula dengan perkembangan kerjaya Azza sekarang?

Walaupun kini sudah bertudung saya masih lagi berlakon, menyanyi dan mengacara. Apa yang berubah cuma penampilan sahaja dan ia langsung tidak menghalang untuk saya terus bergiat aktif dalam bidang seni.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menyeru kepada para penerbit dan pengarah supaya terus memberi peluang kepada artis bertudung berlakon dengan watak yang bersesuaian dengan imej yang ditampilkan.

Adakah Azza ada melakukan sebarang aktiviti yang lain?

Pada awal tahun ini saya telah memulakan perniagaan bedak sejuk yang menggunakan jenama Azzas yang berharga RM20 sebotol. Idea untuk menjalankan perniagaan ini sudah lama, cuma sekarang ini barulah saya ada masa untuk melakukannya secara kecil-kecilan.

Telefilem Walit Walid kisah perjuangan wanita

Posted:

Telefilem Walit Walid kisah perjuangan wanita

Telefilem Walit Walid kisah perjuangan wanita

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


BARISAN karyawan telefilem, Walit Walid yang dihasilkan bersempena Hari Wanita Sedunia yang bakal diraikan pada 18 Mac setiap tahun.


DALAM sesebuah drama atau telefilem yang ditayangkan, golongan isteri selalunya digambarkan sebagai tulang belakang terhadap sesebuah kejayaan yang diraih oleh suami.

Bagaimanapun, telefilem berjudul Walit Walid yang diterbitkan oleh Unit Drama TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) memaparkan sebuah jalan cerita dari sudut berbeza iaitu kejayaan seorang wanita yang banyak disokong oleh suami.

Telefilem berkenaan mengisahkan tentang seorang isteri bernama Natasha yang menolak bekerja di pejabat suaminya dan berhasrat menjalankan perniagaan sendiri.

Akhirnya, suami Natasha iaitu Walid telah menghadiahkan sebuah rumah burung walit dan bermulalah kerjaya isterinya itu sebagai pengusaha burung walit yang berjaya.

Namun begitu, Natasha terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran apabila suaminya lumpuh setelah mengalami kemalangan jalan raya serta sikap ibu mertuanya yang tidak merestui perkahwinannya dengan Walid.

Pengarah Walit Walid, Nurfadilla Kamal Shah yang ditemui pada majlis pelancaran yang diadakan di Shah Alam, Selangor menjelaskan, drama berkenaan dihasilkan bersempena dengan Hari Wanita Sedunia yang akan disambut pada 18 Mac setiap tahun.

"Sebelum telefilem ini dihasilkan, pihak atasan RTM telah meminta Unit Drama TV RTM supaya menghasilkan sebuah telefilem yang bertemakan tentang wanita.

"Pada mulanya saya ingin menghasilkan sebuah cerita mengenai cinta, tetapi apabila difikirkan semula cerita sebegitu terlalu klise. Kami lalu bercadang untuk memaparkan kisah kejayaan seorang wanita," ujarnya yang kali pertama mengarah telefilem.

Antara barisan pelakon yang menjayakan telefilem Walit Walid ialah Ery Putra (Walid), Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus (Natasha), Aznah Hamid (Mak Salma), Mas Muharni (Diana), Livonia (Nina) dan Adam Shah (Effendi).

Menurut Nurfadilla, sebelum telefilem berkenaan memulakan penggambaran pada 2 Februari lalu dia ada menerima beberapa buah skrip, tetapi kebanyakannya menampilkan jalan cerita yang agak berat.

Setelah beberapa penilaian dibuat akhirnya dia tertarik dengan skrip yang dihasilkan oleh Tommy Ct Loh kerana jalan cerita yang lebih ringan dan mudah difahami.

Ketika ditanya mengenai perniagaan burung walit sebagai plot utama telefilem berkenaan, Nurfadilla memberitahu bisnes tersebut masih lagi kurang sinonim terutama dalam kalangan masyarakat Melayu.

"Sebenarnya saya ada melakukan sedikit kajian mengenai perniagaan ini. Menerusi kajian tersebut, saya dapati ia merupakan perniagaan yang boleh mendatangkan pendapatan yang cukup lumayan," ujarnya.

11 telefilem

Mengenai pemilihan para pelakon pula, Nurfadilla mengakui pada mulanya dia memang berhasrat untuk menampilkan banyak nama popular membintangi telefilem berkenaan.

Bagaimanapun, ada pelakon yang terpaksa menolak kerana jadual yang tidak sesuai, namun tetap berpuas hati dengan barisan pelakon yang sedia ada terutamanya Ery dan Anis selaku teraju utama.

"Biasanya untuk drama atau telefilem yang ditayangkan menerusi saluran RTM, pihak stesen sememangnya turut menggalakkan pembabitan pelakon-pelakon baharu.

"Anis yang memegang watak Natasha misalnya, dipilih memandangkan dia antara pelakon baharu yang sedang meningkat naik. Selain itu, saya juga mahukan watak Natasha dipegang oleh seorang pelakon yang bertudung," jelasnya.

Bagi mereka yang ingin mengetahui kesudahan telefilem tersebut, ia akan disiarkan di saluran TV 2 pada 12 Mac ini menerusi Slot Citra pada pukul 10 malam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV RTM, Norliza Mohd. Ali yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut memberitahu Walit Walid merupakan telefilem pertama yang dihasilkan oleh Unit Drama TV RTM untuk 2013.

Ujarnya, pada tahun ini unit tersebut sudah merancang untuk menghasilkan sebanyak 11 telefilem berdasarkan sambutan hari-hari tertentu seperti Hari Guru, Hari Ibu, Hari Kemerdekaan serta perayaan Aidilftri dan Aidiladha.

"Selama ini pihak RTM begitu dikenali kerana menghasilkan produk-produk berkualiti dan sinonim dengan penonton seperti drama Opah yang pernah mendapat sambutan yang baik.

"Pada tahun ini kami akan meneruskan kesinambungan dengan menghasilkan drama dan telefilem yang lebih menarik sebagai langkah memberikan saingan dalam industri hiburan di negara ini," ujarnya.

Menurutnya, selain 11 telefilem unit berkenaan juga bakal menghasilkan sebuah drama bersiri sebanyak 30 episod berjudul Balqis yang akan ditayangkan sepanjang bulan Ramadan akan datang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved