Isnin, 7 Januari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Syafie kembali mengorak langkah

Posted:

Syafie kembali mengorak langkah

Syafie kembali mengorak langkah

2012 bagi anak muda ini merupakan tahun bertuah. Ia tahun yang memberikan cabaran berganda. Ia juga tahun yang melakar sejarah pembabitan terbanyak naskhah lakonannya - sebuah filem, 15 telefilem dan empat buah drama.

Tidak cepat mendabik dada, tutur anak muda berusia 21 tahun itu, usaha kerasnya baru bermula selepas berdiam diri seketika memberi fokus terhadap pelajaran yang menjadi keutamaan ibu tersayang, Noorsiah Ahmad, 47.

Kata Mohd. Syafie Naswip atau mesra disapa Ayie, dia memilih haluan berbeza berbanding pelakon lain. Dia lebih selesa untuk tidak terlalu menonjol dan akur dirinya sebagai seorang 'pekerja seni'.

"Apabila usia pembabitan dalam industri lakonan bertambah, penonton akan menjangkakan pembaharuan daripada saya. Mereka pasti mahukan kelainan yang belum pernah saya tampilkan sebelum ini.

"Namun saya akui diri ini bukan seorang pelakon yang suka menonjol ke depan, saya rasa takut dan seperti terikat. Lebih baik saya bekerja dan meningkatkan produktiviti atau kualiti lakonan saya," hurainya mengenai prinsip kariernya memasuki fasa baharu tahun 2013.

Hujah yang dilemparkan dari bibir anak muda berjiwa besar itu menangkap deria dengar beberapa pelakon lain iaitu Idzham Ismail, Syazwan Zulkifli, Mohd. Khairul Kamal dan Megat Fazril Faiz.

Mereka yang turut membintangi filem Juvana bersama Ayie ketika itu sedang bersiap untuk turut serta dalam sesi fotografi bersama Kosmo! di Studio Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Tambah Ayie, liku-liku yang dilalui sejak bergelar bintang kanak-kanak dari tahun 2007 mengajar dirinya untuk belajar menjadi selektif pada masa hadapan.

Melihat medan seni juga satu perjuangan mencari rezeki selain mempertaruhkan bakat yang ada.

"Tiada pilihan jika seseorang pelakon mendapat skrip atau jalan cerita yang lemah kerana di situ timbul keputusan berbelah bahagi, demi rezeki peluang yang datang harus disambar.

"Untuk memperoleh watak yang hebat sememangnya menuntut pengorbanan masa," getus bintang filem Mukhsin dan Talentime itu.

Mahu dewasa


FIGURA yang pernah mencipta nama dalam industri perfileman tempatan sejak zaman kanak-kanaknya lagi ini mengakui dirinya cukup teruja kerana diberi peluang untuk turut membintangi filem Juvana.


Ayie menyasarkan tahun ini untuk menyambung pelajaran dalam bidang yang diminatinya iaitu lakonan dan pengarahan.

"Saya mahu belajar dan berkembang. Buat masa sekarang masih belum difikirkan universiti yang menjadi pilihan, tetapi insya-Allah jika tiada halangan jurusan pengarahan dan lakonan saya pilih," ujarnya.

Membuka tahun 2013, aktor muda itu bakal tampil menerusi beberapa naskhah 'air mata' antaranya, drama enam episod arahan Keoi Amri berjudul 1 Bulan 3 Bintang dan sebuah telefilem bersama dramatis Wan Maimunah, Ku Sujud di Kakimu.

Bersyukur kerana tawaran yang datang kepadanya tidak putus-putus, ujar Ayie dia tidak merancang perjalanan seninya tahun ini. Langkahnya dibiarkan mengikut aliran natural dan meneroka pengalaman baharu.

"Selama ini saya belum pernah diberikan watak-watak pelik untuk naskhah sains fiksyen, teringin juga jika satu masa nanti membawakan watak seperti makhluk Gollum dalam siri filem Lords Of The Rings," ujarnya berseloroh.

Budak jahat

Filem Juvana yang diadaptasi daripada drama dengan judul yang sama, sudah pasti menjanjikan suatu naskhah lakonan yang hebat buat pemenang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 itu.

Biarpun bukan watak utama, kata Ayie, lakonannya dalam filem itu banyak mendapat tunjuk ajar daripada pengarah dan pelakon lain memandangkan dia tidak berkesempatan menonton drama bersiri itu sebelum ini.

"Saya hanya pelakon sampingan yang akan menjadi orang kanan Lan Todak (lakonan Sharnaaz Ahmad). Menariknya mengenai filem ini, saya tidak melalui proses latihan sebelum penggambaran walaupun skrip dapat awal.

"Namun saya berpegang pada prinsip, setiap orang berperanan memegang apa jua watak dan terpulang pada individu itu untuk mencorakkannya," katanya yang pernah membawakan watak jahat dalam filem Nur Kasih The Movie (2011).

Merupakan kesinambungan versi dramanya, kisah yang ditampilkan filem ini memaparkan tentang Botak, Apek, Ayam, Kicap, Panjang dan Daim setelah sekolah juvana yang dihuni mereka iaitu Sekolah Wira Bakti ditutup.

Daim yang telah dibebaskan cuba memulakan kehidupan baharu dan menyambung persekolahannya namun, sejarah hitam hidupnya tidak memberikan laluan mudah untuk membina hidup yang lebih bermakna.

Botak, Apek, Ayam, Kicap, Gaban dan Panjang telah dipindahkan ke sebuah sekolah juvana lain untuk meneruskan tempoh hukuman mereka. Di sekolah itu Botak mulai akrab dengan Apek dan yang lain namun mereka menjadi sasaran Lan Todak iaitu ketua samseng sekolah itu hingga mencabar semangat setia kawan antara mereka.

Turut membintangi filem itu, Zahiril Adzim, Johan Ariff, Syazwan Zulkifly, Sharnaaz Ahmad, Adlin Aman Ramli, Adam Shah, Idzham Ismail, Khairul Mohamed, Shera Aiyob, Megat Farzeril dan Sara Ali.

Hujan berehat panjang

Posted:

Hujan berehat panjang

Hujan berehat panjang

Oleh HARYATI KARIM


HUJAN kurang membuat persembahan pentas bermula sejak bulan Ramadan tahun lalu.


BAND Hujan yang dianggotai oleh Noh Salleh (vokalis), Mohammad Hezry atau AG (gitaris), Hang Dimas (keyboard) dan Azham Ahmad Ambobzeela atau Am (dram) telah melahirkan empat buah album studio iaitu Hujan, Mencari Konklusi, Lonely Soldier Boy dan Sang Enemy.

Itu produk Hujan sepanjang penglibatan mereka dalam industri muzik yang bermula sejak tahun 2006.

Di sebalik populariti lagu-lagu Hujan yang sering diputarkan di corong-corong radio, kelibat mereka di pentas persembahan pentas bagaimanapun semakin jarang dilihat.

Akui Noh, Hujan kurang membuat persembahan pentas sejak bulan Ramadan tahun lalu.

Adakah Hujan sudah tidak laris dalam kalangan penganjur konsert atau mereka meletakkan harga yang terlalu tinggi sehingga kurang mendapat tawaran persembahan pentas?

Noh yang ditemui pada acara Femes Baazar di Rasta, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini menjelaskan situasi yang sebenar.

Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya.

Kosmo!: Kenapakah Hujan semakin menyepi sejak kebelakangan ini?

NOH: Sebenarnya saya pun tidak tahu kenapa. Sejujurnya kami telah kurang mengambil tawaran persembahan pentas sejak bulan Ramadan tahun lalu. Mungkin kami terlalu penat selepas menyertai program Versus yang berlangsung dari Mac sehingga Jun tahun lepas. Selepas Versus, kami masing-masing membawa haluan sendiri. Jadi, kami kurang membuat persembahan pentas atas pilihan kami sendiri, bukannya sebab letak harga tinggi.

Membawa haluan masing-masing? Adakah ini bermakna kalian sudah berpecah?

Menghilangkan diri seketika bukan bermakna Hujan sudah berpecah. Boleh dikatakan kami menghilang untuk melepaskan tekanan sebagai persediaan melangkah ke tahun 2013. Baru-baru ini, Hujan telah muncul membuat persembahan untuk Konsert Ambang Merdeka 2013 di Putrajaya. Itu merupakan penampilan pertama kami selepas berehat selama beberapa bulan.

Bagaimanakah pula dengan penerimaan peminat selepas Hujan berehat panjang?

Peminat kami yang digelar Rainger sangat memahami dan saya begitu bersyukur ada peminat seperti mereka yang dianggap seperti teman dan keluarga. Hujan dan peminat mempunyai hubungan yang sangat rapat, mereka juga banyak membantu dalam kelangsungan kerjaya Hujan. Tanpa mereka siapalah kami. Hilang seketika tidak membuatkan peminat Hujan lari kerana kami percayakan mereka.

Apakah resipi Hujan untuk kekal bertahan selama enam tahun sebagai sebuah band?

Sejak enam tahun band ini ditubuhkan, kami hanya mengamalkan konsep percaya satu sama lain. Jika ada seorang ahli menghilangkan diri buat seketika, itu bermakna dia mempunyai urusan penting yang harus dilaksanakan. Kami bertahan selagi kepercayaan itu ada pada diri masing-masing. Situasi sekarang tidak seperti sebelum ini ketika band Hujan mula-mula ditubuhkan yang mana semua perkara dilakukan secara bersama. Sekarang ini, masing-masing terikat dengan komitmen lain dan hanya bertemu apabila ada urusan seperti persembahan pentas dan rakaman album. Mahu tidak mahu, kami semua harus terima perubahan itu.

Adakah selepas ini Hujan akan kembali sibuk atau berehat panjang?

2013 merupakan tahun yang sangat sibuk untuk Hujan. Kami akan menyertai Festival Midem yang akan berlangsung di Cannes, Perancis pada 26 hingga 28 Januari ini. Selepas itu kami akan sibuk pula dengan konsert jelajah seluruh negara pada Februari depan. Jika tidak ada aral melintang, Hujan mungkin mengadakan konsert jelajah di Indonesia dan Filipina.

Bagaimanakah pula dengan penerimaan album terbaharu Hujan, Sang Enemy?

Alhamdulillah. Apa yang mengejutkan, album itu mencatat jualan yang agak tinggi. Walaupun album itu merupakan album 'syok sendiri' kerana saya banyak bereksperimen (ketawa) dan lebih keras muziknya berbanding album Hujan yang lain tetapi nampaknya ia diminati ramai. Selera orang lain sukar untuk diramal, tetapi ketika merakamkan album ini, tujuan saya hanya satu iaitu untuk memuaskan hati saya sendiri (ketawa).

Boleh ceritakan tentang kehidupan perkahwinan dengan Mizz Nina?

Apa yang boleh saya katakan, saya amat bersyukur memiliki isteri yang amat memahami kerjaya saya kerana dia juga berada dalam bidang yang sama. Walaupun kami sering tampil bersama pada acara-acara hiburan, namun hakikat sebenarnya, jadual harian kami sangat padat. Jika ada masa terluang, kami terus sahaja pergi bercuti tanpa berfikir

panjang.

Polis berkejar ke kediaman Pitt-Jolie

Posted:

Polis berkejar ke kediaman Pitt-Jolie

Polis berkejar ke kediaman Pitt-Jolie


BRAD dan Angelina bersama enam anak mereka. Pasangan popular ini dilaporkan sudah berkahwin secara rahsia pada 25 Disember lalu.


BAGAIKAN sebuah penggambaran filem aksi, pihak polis dengan menaiki kereta peronda dan helikopter telah berkejar ke kediaman mewah pasangan pelakon Angelina Jolie dan Brad Pitt yang terletak di Hollywood Hills pada Jumaat, 4 Januari lalu.

Ia berikutan sistem penggera keselamatan yang menghubungkan kediaman tersebut terus kepada polis telah berbunyi.

Menurut laman gosip, TMZ, polis yang tiba di lokasi kejadian bagaimanapun mendapati butang panik sistem penggera tersebut telah ditekan secara tidak sengaja oleh seorang daripada enam anak pasangan popular itu.

"Pihak polis terus berkejar ke kediaman mewah Brad Pitt dan Angelina Jolie di Hollywood Hills apabila sistem penggera keselamatan rumah tersebut berbunyi.

"Namun sebaik tiba di sana, mereka diberitahu oleh pengasuh anak-anak selebriti popular itu bahawa seorang daripada kanak-kanak itu secara tidak sengaja telah menekan butang panik sistem penggera tersebut," ujar sumber itu lagi.

Pitt dan Jolie yang dilaporkan sudah berkahwin secara rahsia di Island of Turk and Caicos yang terletak berhampiran Bahamas pada Hari Krismas, 25 Disember tahun lepas - tiada di tempat kejadian.

Enam anak pasangan tersebut terdiri daripada Maddox, 11, Pax dan Zahara - masing-masing tujuh tahun, Shiloh enam tahun dan kembar yang kini berusia empat tahun, Knox dan Vivienne.

Pada upacara perkahwinan mereka itu, 12 orang pengasuh telah diberikan tanggungjawab untuk menjaga keenam-enam anak Pitt dan Jolie itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved