Isnin, 24 Disember 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Nicol terima ganjaran lumayan

Posted:

Nicol terima ganjaran lumayan

Nicol terima ganjaran lumayan

Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my

NICOL (kiri) bersama ibu bapanya bergambar kenangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertemuan ringkas di pejabatnya di Putrajaya tahun lalu.


RATU skuasy negara, Datuk Nicol Ann David bakal menerima ganjaran RM100,000 daripada kerajaan negeri Pulau Pinang kerana merangkul gelaran juara buat kali ketujuh pada Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia 2012 baru-baru ini.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan di sini semalam memberitahu, kejayaan itu memberi inspirasi cukup besar kepada rakyat Pulau Pinang dan negara ini kerana berjaya menempa nama di pentas dunia.

Menurut kenyataan tersebut, ganjaran RM100,000 itu bakal diberikan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam satu majlis khas yang akan diadakan apabila sekembalinya Nicol ke Pulau Pinang.

Ganjaran tersebut merupakan pemberian sulung oleh kerajaan kepada pemain No. 1 dunia itu sepanjang tahun 2012.

Untuk rekod, pemain kelahiran Pulau Pinang itu telah meraih hampir AS$60,700 (RM186,000) pada empat kejohanan utama dalam kalendar skuasy iaitu Terbuka Wanita Dunia, Terbuka Britain, Terbuka Hong Kong serta Terbuka Kuala Lumpur.

Pada aksi final di Camana Bay, Kepulauan Cayman itu dia menewaskan pemain England, Laura Massaro 11-6, 11-8, 11-6 dan membawa pulang ganjaran bernilai AS$25,000 (RM76,624).

Kejayaan itu menyaksikan Nicol sebagai pemain pertama yang mengungguli tujuh gelaran dunia mengatasi Sarah Fitz-Gerald dari Australia yang merekodkan enam kejuaraan.

Sebelum ini, Nicol telah meraih gelaran dunia dalam penampilan sulungnya di Hong Kong pada 2005, diikuti Ireland Utara (2006), England (2008), Mesir (2010) serta Belanda (2009 dan 2011).

Kim Swee belum puas hati

Posted:

Kim Swee belum puas hati

Kim Swee belum puas hati

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


TUGAS mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA 2013 menjadi keutamaan skuad Harimau Muda Malaysia.


PERASAAN terlalu mudah berpuas hati bagaikan tidak wujud dalam kamus kehidupan pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee .

Biarpun berjaya melakar kemenangan 2-1 ke atas Sime Darby dalam satu aksi persahabatan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin, masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki anak-anak buah beliau menjelang misi mempertahankan emas temasya Sukan SEA di Myanmar tahun depan.

Menurut Kim Swee, biarpun anak-anak buahnya dilihat semakin membentuk kombinasi yang baik, masih terdapat kelemahan individu yang perlu diperbaiki, terutamanya pada bahagian serangan.

"Kombinasi yang semakin baik ditunjukkan oleh pemain ketika menewaskan Sime Darby.

"Namun, beberapa kelemahan individu perlu diperbaiki agar pergerakan lebih teratur, terutamanya ketika menyerang," kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya semalam.

Dalam perlawanan itu, Sime Darby terlebih dahulu di depan menerusi sepakan penalti Karlo Primorac pada pertengahan babak pertama.

Begitupun, Harimau Muda kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan Wan Zack Haikal Wan Nor sebelum sepakan percuma D. Saarvindran menjamin kemenangan bergaya skuad muda negara.

Ia merupakan aksi persahabatan kedua skuad kendalian Kim Swee selepas seri 1-1 dengan Sarawak di Port Dickson minggu lalu.

Selepas ini, skuad Harimau Muda bakal berlepas ke Kuching untuk sekali lagi berdepan Sarawak dalam satu lagi aksi persahabatan di Stadium Negeri, Jumaat ini.

Ia merupakan aksi persahabatan pemanas badan skuad Harimau Muda sebelum berlepas ke Australia, Januari depan.

Kim Swee memberitahu, kesemua pemain diberikan cuti rehat sehingga esok sempena sambutan Krismas hari ini.

"Begitupun, pemain yang cedera harus meneruskan rehabitilasi," katanya.

Difahamkan, antara pemain yang masih dibelenggu kecederaan ketika ini termasuklah Fandi Othman, Syahrul Azwari Ibrahim dan A. Thamil Arasu.

Lumba basikal bolot anugerah

Posted:

Lumba basikal bolot anugerah

Lumba basikal bolot anugerah

Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my


DATUK SERI AHMAD SAID (lima dari kiri) meraikan pasukan sepak takraw yang memenangi anugerah Pasukan Lelaki Terbaik pada majlis Anugerah Sukan Terengganu 2011/2012 di Kuala Terengganu semalam.


JAGUH lumba basikal negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa buat tahun ketiga berturut-turut menerima penghormatan dan dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Terengganu.

Sebelum ini, kedua-dua jaguh itu turut menerima penghormatan sama apabila dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati untuk tahun 2007/2008 dan 2009/2010.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada dua jaguh berkenaan pada majlis Anugerah Sukan Terengganu (AST) 2011/2012 di Dewan Besar Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu kelmarin.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nurzahirah turut berangkat ke majlis tersebut. Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud.

Kejayaan terbaharu kedua-dua atlet itu membolehkan masing-masing membawa pulang cek bernilai RM7,000 berserta sehelai jaket, piala pusingan dan sijil penghargaan.

Dalam pada itu, dua atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim masing-masing diumumkan sebagai Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan Terengganu 2011/2012.

Dengan kemenangan itu, Khairul Anuar dan Nurul Syafiqah menerima cek bernilai RM3,000 setiap seorang selain piala pusingan.

Persatuan Lawn Bowls Terengganu pula merangkul anugerah Pengurusan Persatuan Terbaik, diikuti anugerah Tokoh Sukan disandang Shapian Ali (sepak takraw) manakala Syed Hussaini Syed Mazlan menerima anugerah Jurulatih Terbaik (berbasikal).

Chee Geok Song menerima anugerah Kepimpinan Sukan (hoki wanita), Allahyarham Datuk Mustofa Abd. Rahman dan Allahyarham Razali Mamat (tinju) pula menerima penghargaan Jasamu Dikenang serta Mohd. Radzi Mat Data (kanu) untuk anugerah Penghargaan Pegawai Teknikal (hakim acara slalom-Olimpik London 2012).

Bagi anugerah khas paralimpik (sukan paralimpik London 2012) menjadi milik Mohamad Azwar Bakar @ Ibrahim (ping pong) dan Abd. Rahman Razali (lawan pedang berkerusi roda) manakala Nuramalia Haneesha Mazlan (memanah) menerima anugerah khas (atlet termuda kebangsaan).

Pasukan hoki wanita dan pasukan sepak takraw pula masing-masing diumumkan sebagai Pasukan Terbaik Wanita dan Lelaki 2011/2012.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved