Jumaat, 7 Disember 2012

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Persaingan S1K bermula

Posted:

Persaingan S1K bermula

Persaingan S1K bermula

Oleh AHMAD SYUKRAN
ZAINUDDIN

SELEPAS berbulan-bulan dihabiskan untuk melakukan pengubahsuaian, segala kerja keras itu akhirnya teruji di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

Perlumbaan Sepang 1,000 Kilometer Endurance Race atau lebih dikenali sebagai S1K bukan sekadar menguji kelajuan jentera, tetapi lebih kepada aspek ketahanan kereta lumba, pemandu dan strategi pasukan untuk berlumba dalam satu tempoh yang lama.

Sudah memasuki edisi keempat, S1K bukan sahaja popular dalam kalangan peminat sukan bermotor tempatan. Malah ia menjadi medan terbaik buat pengeluar kenderaan dan pasukan bertanding untuk menunjukkan kemampuan, kepakaran serta teknologi jentera masing-masing.

Bagi mereka yang biasa menonton perlumbaan S1K, kereta-kereta jalanan seperti Proton Satria Neo dan Suzuki Swift merupakan antara model popular untuk dijadikan jentera lumba.

Namun kali ini, keterujaan pasti bertambah apabila ada pasukan yang menampilkan kereta keluaran massa mereka untuk bersaing dalam S1K.

Sebagai contoh, Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) menerusi pasukan perlumbaannya, Honda Malaysia Racing Team (HMRT) mempertaruhkan model kompak lima pintu popular, Jazz.

Sudah menerima talaan ekstensif sejak hampir lima bulan lalu, Jazz berwarna merah dan putih itu nampaknya bersedia untuk menyahut cabaran dan mencipta kejayaan di podium.

Jazz dipilih kerana model berkuasa tinggi, Civic Type-R tidak lagi diproduksi. Lagi pun, Jazz bersesaran 1.5 liter dilihat selari dengan kelayakan S1K. Pastinya ini bukan Jazz biasa. Ia telah menjalani proses pengubahsuaian menyeluruh melibatkan hampir semua komponen terutama enjin dan suspensi.

Pengurus Pasukan HMRT, Kumar Thayalakumaran memberitahu, pihaknya masih menggunakan enjin aspirasi biasa L15A, tetapi telah ditingkatkan sesarannya menjadi 1.6 liter. Enjin itu juga menerima banyak alat ganti berprestasi tinggi terutama daripada Mugen untuk meningkatkan lagi kuasa dan ketahanannya.


BARISAN kakitangan Honda Malaysia yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan pasukan HMRT.


"Modifikasi paling sukar adalah pada sistem suspensi. Sebabnya, Jazz menggunakan suspensi H-Beam untuk roda belakang. Dalam perlumbaan sebegini, penekanan lebih diberikan terhadap aspek pengendalian dan bukannya kuasa enjin semata-mata," jelas Kumar.

Kenyataan itu dipersetujui oleh dua orang pelumba pasukan HMRT, Tengku Ezan Ley dan Farriz Fauzy. Selepas beberapa hari berkampung dan membuat ujian di SIC, Tengku Ezan menyatakan bahawa kebanyakan kelemahan jentera lumba itu sudah berjaya diatasi.

"Impak paling besar adalah talaan suspensi serta pemetaan semula kotak elektronik ECU, selain daripada aplikasi nisbah gear dan perendam baharu. Jazz kini dapat mengambil selekoh dengan lebih baik. Malah perbezaan catatan masa juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan iaitu sebanyak empat hingga lima saat," kata Tengku Ezan.

Berdiri sendiri

Mengulas mengenai karekter pengendalian Jazz, Farriz dan Tengku Ezan mengakui bahawa Jazz ialah jentera yang lincah dan senang dikendalikan walaupun ketika di selekoh.

Sebuah lagi Jazz dipandu oleh dua orang pelumba berpengalaman, Eddie Lew dan Aaron Lim. Ditanya apakah perbezaan utama antara Civic Type-R dengan Jazz, Eddie pantas menjawab, pecutan dan kelajuan.

Harus tahu bahawa HMRT berdiri sendiri dalam pembinaan kereta lumba tersebut. Ia tidak mendapat apa-apa bantuan daripada luar (kecuali alat ganti), walaupun daripada Honda Jepun. Pendek kata, khidmat nasihat teknikal, koordinasi pasukan, pembangunan R&D atau kejuruteraan dilakukan sepenuhnya oleh HMRT.


Jazz ini telah menjalani proses pengubahsuaian ekstensif sejak beberapa bulan lalu.


Pemilihan pemandu dan anggota pasukan HMRT juga dibuat dalam kalangan kakitangan Honda Malaysia. Pastinya mereka yang mempunyai pengalaman diberi keutamaan.

Satu lagi perkembangan menarik yang perlu diketahui, HMRT menyimpan hasrat untuk menganjurkan siri perlumbaan melibatkan satu model kenderaan dalam tempoh lima tahun akan datang. Dalam kes ini, Jazz merupakan calon paling sesuai kerana kosnya lebih munasabah berbanding Civic Type-R.

Nampaknya, Honda Malaysia tidak keseorangan. Kem Bermaz Motor Sdn. Bhd. (Bermaz Motor) yang merupakan pengedar dan pemasang kenderaan jenama Mazda di Malaysia tampil dengan model Mazda3 untuk bersaing dalam perlumbaan sejauh 1,000 kilometer tersebut.

Mazda kembali berlumba

Mazda3 untuk litar itu adalah hasil kerjasama antara Bermaz Motor dan Fawster Motorsports. Kedua-dua belah pihak dilihat komited untuk membangunkan sebuah pasukan lumba dengan hasrat menyertai semua perlumbaan dalam negara bermula dengan S1K.

Lebih menarik lagi, Mazda3 itu telah berjaya mencatatkan beberapa sejarah. Pertama, jentera tersebut ialah kereta lumba Mazda3 bersesaran 1.6 yang pertama dibangunkan di dunia! Jangan main-main.

Kedua, pelancaran kereta lumba Fawster Mazda3 menandakan bahawa Mazda kini kembali ke dalam arena sukan pemotoran tempatan selepas menyepikan diri selama lebih 20 tahun.

Mazda3 dipilih kerana ia model yang memiliki karekter perlumbaan dan sporty. S1K juga dilihat boleh menjadi platform untuk mempopularkan Mazda3 dan menguar-uarkan kepada pengguna tempatan bahawa ia sebuah jentera yang bagus.

Cabaran Fawster Mazda3 dibawakan oleh tiga orang pelumba berpengalaman yang juga merupakan adik-beradik iaitu Nazir, Ridzuan dan Khairul Anwar Nor. Menggelarkan diri mereka sebagai Brothers in Racing, masing-masing memiliki pengalaman lebih sepuluh tahun di atas litar lumba.

Pasukan itu diperkuatkan lagi dengan kehadiran pelumba terkenal, Faidzil Alang. Menjadi individu penting kepada penubuhan nama FA Racing, Faidzil bertindak selaku Jurutera Perlumbaan.

"Kelebihan Mazda3 terletak pada aspek pengendalian, setting suspensi dan reka bentuknya yang aerodinamik. Jentera ini mampu mengambil selekoh dengan cemerlang dan tidak memerlukan pengubahsuaian yang terlalu kompleks atau ekstrem.

"Walaupun hanya mengambil masa kurang sebulan untuk membina jentera lumba ini, kami tetap optimis dan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mampu menamatkan perlumbaan. Kalau boleh naik podium, itu satu bonus," kata Faidzil.


WALAUPUN pertama kali digunakan sebagai jentera lumba, Jazz tetap mampu menggugat pesaingnya.


Keyakinan itu hadir kerana pasukan tersebut mendapat sokongan padu daripada Mazda Amerika Syarikat dan Mazda Jepun. Bukan sekadar daripada segi kereta dan alat ganti, malah data serta nasihat teknikal berkaitan Mazda3 turut dikongsi bagi membolehkan sebuah jentera lumba yang kompetitif dapat dihasilkan dalam tempoh singkat.

Pengarah Fawster Motorsport dan pelumba pasukan terbabit, Ridzuan memberitahu, S1K akan memberi peluang kepada pihaknya untuk mengumpul sebanyak mungkin data, sebelum kembali dengan jentera lebih bagus untuk perlumbaan tahun depan.

Jadi, agak-agaknya siapa yang akan menakluk podium? Tunggu keputusannya pada malam ini.

Proton Satria Neo R3

Posted:

Proton Satria Neo R3

Proton Satria Neo R3


DARI kiri: Timbalan Ketua Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim; Pengerusi DRB-HICOM Bhd., Datuk Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza dan Pengerusi Eksekutif Proton, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil pada majlis pelancaran Satria Neo R3 di Subang, Selangor baru-baru ini.


SATRIA Neo R3 yang diperkenalkan oleh Proton Holdings Berhad (Proton) ke pasaran tempatan minggu lalu merupakan varian lanjutan daripada model Satria Neo CPS.

Jentera dua pintu itu kini diberi solekan menerusi penggunaan beberapa komponen R3 (Race, Rally, Research). R3 adalah bahagian sukan bermotor berprestasi Proton.

Bahagian hadapan Satria Neo R3 dipasang spliter pada bampar, manakala bahagian belakang pula dilengkapi spoiler.

Bahagian tepi dilengkapi pelindung berwarna titanium yang memanjang di antara kedua-dua roda hadapan dan belakang.

Model hatchback itu dipasang dengan rim R3 bersaiz 16 inci yang dibalut tayar Continental MC5 195/50. Suspensi asal iaitu jenis topang MacPherson dan multilink dengan bar penstabil (stabilizer bar) dikekalkan pada varian baharu itu.

Ruang dalaman kabin menyaksikan pembaharuan menerusi tempat duduk jenis semi-bucket dengan material kulit upholsteri.

Tambahan lain ialah alas kaki R3 dan sistem audio Double DIN dengan navigasi. Satria Neo R3 didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu merah, perak, hitam dan kuning S2000.

Kuasa yang disalurkan kepada roda diperoleh daripada enjin empat silinder sebaris CPS 1.6 liter. Kuasa maksimum yang mampu dijana ialah 125hp @ 6,500rpm.

Tork pula pada paras 150Nm @ 4,500rpm. Dua jenis transmisi ditawarkan iaitu manual dan automatik.

Kelajuan maksimum bagi manual adalah 190 kilometer sejam (km/j), manakala automatik pula 185km/j.

Harga bagi varian Executive Line AT ialah RM64,250 seunit.

Model Executive Line MT ditawarkan pada harga RM61,250. Jentera itu hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000km (mana-mana tiba dulu).

Bagi mereka yang mahukan tambahan komponen R3, anda boleh berbuat demikian. Antaranya set R3 Satria Neo Spring (RM541), sistem ekzos penuh dan ECU R3 Satria Neo Campro (RM2,841) serta beberapa pilihan R3 lain.

Harga promosi berkenaan hanya ditawarkan sehingga 31 Disember ini, selain tertakluk kepada terma dan syarat.

Karekter selesa Camry

Posted:

Karekter selesa Camry

Karekter selesa Camry

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN


BIARPUN menggunakan enjin empat silinder sebaris, model ini masih menawarkan hantaran kuasa berpatutan pada roda jentera.


KALAULAH ada anugerah jenama yang paling mampu bertahan, ia patut diberikan kepada Toyota. Justifikasi saya mudah. Toyota tetap boleh menjual kenderaan keluarannya dalam volum yang besar dan keyakinan pengguna terhadap produknya kekal kukuh, sedangkan ia berdepan dengan pelbagai cabaran getir.

Contoh paling klasik adalah penarikan semula kenderaannya di pasaran global kerana isu kualiti. Jumlahnya pula bukan sedikit, berjuta-juta unit. Itulah cabarannya apabila menjadi jenama yang pernah memegang status pengeluar kenderaan terbesar di dunia.

Magisnya, hangat isu penarikan itu tidak pernah pula kekal lama. Ia seperti hari ini sibuk semua medium media melaporkan produk Toyota tidak berkualiti, beberapa hari kemudian orang terus pergi ke bilik pameran Toyota dan membelinya.

Namanya yang gah membuatkan ada pihak berpendapat kereta keluaran Toyota sudah hilang jiwa. Produknya lebih berpaksikan kepada skala ekonomi, tanpa memikirkan sangat tentang aspek sentimental kenapa orang memilikinya. Pendek kata, asalkan kereta boleh jual, perkara lain sudah menjadi nombor dua atau tiga.

Situasi itu turut berlaku di Malaysia. Datanglah apa jua kereta dari negara lain dengan ciri-ciri hebat mana sekali pun, pemuja Toyota tetap setia dan ada.

Baru-baru ini saya memandu model yang menepati semua intipati yang diceritakan di atas. Camry, sedan segmen D itu masih menguasai pasaran walaupun mula rasa tergugat dengan kehadiran pesaing lebih mampu milik, cantik dan banyak ciri menarik seperti Kia Optima K5 dan Hyundai Sonata.

Dari segi luaran, Camry varian 2.0G itu nampak lebih bersegi dan maskulin berbanding model sebelumnya. Rekaan lampu hadapannya lebih nipis, bersama padanan butiran lampu LED pada bampar hadapan. Lampu belakang juga nampak kemas dan moden, sekali lagi bersama lampu LED.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Camry generasi terbaharu itu merupakan Camry yang paling sporty sejak ia diperkenalkan di pasaran tempatan pada tahun 1994.

Bagi ruang dalaman, Camry 2.0G tampil dengan kemasan berwarna hitam. Ini warna yang saya fikir lebih praktikal berbanding warna beige. Walaupun warna beige dikatakan boleh membuatkan ruang rasa luas, tetapi sifatnya yang mudah nampak kotor mungkin kurang sesuai untuk mereka yang mempunyai anak kecil.

Seperti biasa, rekaan papan pemuka dan konsol tengah Camry 2.0G adalah ringkas dan praktikal. Untuk menyerlahkan 'kemewahannya', kemasan kayu digunakan.

Sebagai mana yang diketahui, sedan itu masih mengguna pakai unit enjin empat silinder sebaris 16 injap DOHC dengan sistem Dual VVT-I yang sama seperti model sebelumnya.

Saya tidak ada isu dengan enjin yang agak berusia ini. Ia tetap berupaya memberikan kuasa sewajarnya tanpa membuatkan tubuh rasa seperti malas hendak bergerak. Lebih penting lagi, penggunaan bahan api juga memuaskan.

Orang lain guna trasmisi automatik enam atau tujuh kelajuan? Toyota tidak peduli. Camry ini dipasang dengan transmisi automatik empat kelajuan dengan Super ECT dan Sequential Shifter. Sebelum ada yang mahu ketawa sinis, saya perlu beritahu bahawa operasinya cukup lancar sehinggakan anda mungkin terlupa itu kotak gear empat kelajuan.

Camry menawarkan kualiti pemanduan yang senyap dan selesa. Ini bukan kereta untuk dipandu seperti hendak berlumba di litar. Karekter Camry lebih kepada pemanduan santai dan relaks. Barulah sesiapa juga boleh menikmati keselesaan yang ditawarkannya.

Memang betul, kalau anda rajin membaca artikel di laman web dan komen-komen di bawahnya, seolah-olah tidak ada orang pun suka Camry. Semua yang ada cuma kutukan.

Saya rasa, majoriti yang memberi komen itu terdiri daripada orang-orang muda. Sedangkan Camry menjadi pilihan orang lebih berusia. Lagi pun, golongan sebegitu yang ada duit, bukannya orang yang baru setahun dua bekerja.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved