Kosmo Online |
- Remaja lari dari rumah akibat didera bapa
- Curi buah kelapa sawit: Buruh Filipina dipenjara
- Kanak-kanak 9 tahun ditemui lemas di air terjun
Remaja lari dari rumah akibat didera bapa Posted: Remaja lari dari rumah akibat didera bapa20/11/2012 5:03pm GEORGETOWN — Seorang remaja perempuan bertindak melarikan diri dari rumah akibat tidak tahan didera bapanya sejak dua tahun lepas. Wen, 13, yang tinggal berdua dengan bapanya di Farlim, Air Itam dekat sini berkata, perkara itu berlaku selepas ibu bapanya berpisah sejak dua tahun lalu. "Setiap hari bapa pukul dan tampar saya tanpa sebab. Selepas habis waktu sekolah dia akan kurung saya," katanya kepada pemberita di Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini. Mangsa yang kini tinggal bersama ibu dan kakaknya sejak beberapa minggu lepas berkata, dia tidak berani keluar dari rumah ibunya kerana takut terserempak dengan bapanya. Ibunya, Yam Mei Heai, 41, berkata, semasa berpisah dengan suaminya, dia hanya membawa seorang anak bersamanya kerana tidak mampu menyara Wen dan kakaknya sekaligus. "Saya pernah cuba mencari anak bongsu saya ini di sekolah tapi tidak berjaya kerana bekas suami saya sentiasa mengawasi kami," katanya. Dia mendakwa suaminya seorang yang panas baran dan kaki pukul.— BERNAMA |
Curi buah kelapa sawit: Buruh Filipina dipenjara Posted: Curi buah kelapa sawit: Buruh Filipina dipenjara20/11/2012 4:48pm TAWAU — Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan ke atas seorang buruh ladang warga Filipina selepas dia mengaku bersalah mencuri buah kelapa sawit milik majikannya awal bulan ini. Majistret Suhaila Selag membuat keputusan berkenaan selepas tertuduh, John Saldi, 21, mengaku mencuri buah kelapa sawit seberat empat tan bernilai RM1,500 di Kebun Sawit Kalumpang, Jalan Kunak, pada 1 November lepas pada 1 petang. John Saldi yang ditangkap pada 13 November lalu, pada 10.20 pagi, di sebuah rumah di Kampung Hidayat, Batu 4.5, Jalan Apas, didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Mengikut fakta kes, pada tarikh kejadian, kira-kira 7.30 pagi, tertuduh pergi ke kebun majikannya untuk menombak buah kelapa sawit sebelum dia dan dua lagi rakannya yang masih bebas mengangkut buah berkenaan keluar menggunakan lori. Tertuduh kemudian mengarahkan dua orang rakannya itu menjual buah kelapa sawit berkenaan dan hasil jualan berjumlah RM400 itu kemudian dibahagi-bahagikan sesama mereka.— BERNAMA |
Kanak-kanak 9 tahun ditemui lemas di air terjun Posted: Kanak-kanak 9 tahun ditemui lemas di air terjun20/11/2012 4:33pm KUANTAN — Seorang kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika berkelah bersama keluarganya di kawasan Air Terjun Pelangi dekat Sungai Lembing semalam ditemui lemas hari ini. Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd. Jasmani Yusoff berkata, mayat Chan Pek Sheng, 9, ditemui kira-kira 1.30 petang di dalam air berhampiran tempat keluarganya mandi. Dia dipercayai tergelincir ke dalam air. "Mangsa bersama keluarganya dipercayai telah masuk ke kawasan air terjun berkenaan kira-kira 6.40 pagi bagi tujuan untuk berkelah," katanya. Dua keluarga yang terdiri daripada lima orang dewasa dan empat kanak-kanak memasuki kawasan berkenaan dengan pacuan empat roda. Mohd. Jasmani berkata, mangsa hanya disedari hilang kira-kira 1.15 petang ketika anggota keluarganya bersiap sedia untuk keluar dari kawasan berkenaan.— BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan