Selasa, 20 November 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Dua maut kongsi gelap bergaduh

Posted:

Dua maut kongsi gelap bergaduh

Dua maut kongsi gelap bergaduh

Oleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN
farhana.mydin@kosmo.com.my

SEORANG penduduk melihat tempat dua mangsa ditetak sampai mati oleh sekumpulan lelaki di padang permainan kanak-kanak di Kampung Ampang Campuran, Ampang Jaya kelmarin.


AMPANG JAYA - Dendam angkara berebut kawasan untuk dikuasai melibatkan dua kumpulan kongsi gelap dipercayai menjadi punca dua pemuda maut manakala seorang lagi cedera parah diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di padang permainan kanak-kanak di Lorong Ikan Jelawat 6, Kampung Ampang Campuran di sini kelmarin.

Sebelum kejadian pada pukul 6.30 petang, ketiga-tiga mangsa yang berusia 21 dan 25 tahun itu bersama empat lagi rakan berkumpul dan minum di padang berkenaan sebelum mereka tiba-tiba dihampiri sekumpulan 10 lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Waja dan empat buah motosikal.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kesemua suspek itu kemudian turun dari kenderaan masing-masing sebelum beberapa pemuda dalam kumpulan lelaki yang bersenjatakan parang itu menyerang tiga mangsa yang duduk di padang itu.

Ketiga-tiga mangsa cuba melarikan diri tetapi mereka dikejar sebelum ditetak bertubi-tubi oleh kumpulan lelaki itu.

Bagaimanapun, menurut beliau, empat lagi rakan mangsa yang berada di situ tidak dicederakan.

"Serangan itu menyebabkan seorang mangsa maut di tempat kejadian, seorang lagi mati sejurus tiba di Hospital Ampang manakala seorang lagi cedera parah di beberapa bahagian badan," kata beliau kepada Kosmo! di sini.

Kata beliau, siasatan awal mendapati ada kemungkinan kumpulan berkenaan merancang untuk menyerang ketiga-tiga sahabat itu setelah mendapat maklumat mereka berada di padang tersebut.

Mangsa yang mati di tempat kejadian ialah B. Balaraj. Lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan mati dalam keadaan ngeri dengan kepalanya putus. T. Haridas, 21, yang meninggal dunia di Hospital Ampang pula dikatakan hampir putus tangan dan kaki kirinya.

Amiruddin memberitahu, seorang orang awam yang menjadi saksi kejadian dan empat lagi rakan mangsa telah dipanggil dan diambil keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan kedua-dua mayat dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

Mengikut satu sumber, kumpulan mangsa dan kumpulan penyerang dipercayai menganggotai kumpulan kongsi gelap yang bertapak di Ampang Jaya dan Cheras.

Dua kumpulan kongsi gelap itu dipercayai berdendam selepas berlaku masalah dalam perebutan kawasan untuk dikuasai.

Selain itu, semasa kejadian kumpulan penyerang berada dalam pengaruh alkohol.

Sementara itu, bapa saudara kepada Haridas, Abdul Rahman Jayaraja, 53, berkata, anak saudaranya itu bukan anggota kongsi gelap tetapi dia yang bekerja sebagai penghantar surat turut ditetak ketika cuba menyelamatkan rakan-rakannya yang diserang lebih 10 lelaki.

Menurutnya, Haridas sentiasa melindungi rakan-rakannya dan kematiannya kelmarin juga kerana dia mahu menyelamatkan rakan-rakannya daripada diserang.

"Saya diberitahu, dia baru pulang daripada kerja dan singgah sebentar di tempat kejadian untuk berjumpa rakan-rakannya.

"Sebelum kejadian, Haridas dikatakan singgah di padang itu tetapi tiba-tiba sekumpulan lelaki muncul dan menyerang rakan-rakannya," kata Abdul Rahman ketika ditemui di Bilik Mayat PPUKM di sini.

Nasib malang anak comel ditinggal ibu bapa

Posted:

Nasib malang anak comel ditinggal ibu bapa

Nasib malang anak comel ditinggal ibu bapa

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
syakir.sazili@kosmo.com.my


dorothy Chong Mei Sem menunjukkan gambar ibu dan bapanya pada sidang akhbar bersama Lee Kon Yin di Ipoh semalam.


IPOH – Kata pepatah Cina, kasih ayah setinggi gunung, kasih ibu sedalam laut.

Bagaimanapun, pepatah tersebut tidak menggambarkan nasib seorang kanak-kanak comel berusia tiga tahun, Chong Mei Sem apabila dia ditinggalkan oleh ibu bapanya untuk dipelihara oleh seorang peniaga sejak tiga bulan lalu.

Lebih memilukan, bapa kanak-kanak malang itu, Chong Chee Liong sanggup pula mengucapkan selamat hari lahir untuk anaknya itu melalui khidmat pesanan ringkas baru-baru ini.

Dia juga sanggup meletakkan sebiji kek hari jadi untuk anaknya itu di hadapan pintu pagar rumah penjaga anaknya di sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai masalah yang timbul, wanita dikenali sebagai Madam Choong, 52, yang memelihara Mei Sem berkata, kanak-kanak tersebut ditinggalkan oleh ibunya sendiri yang dikenali sebagai Chu Sin di rumahnya di Kampung Gunung Rapat dekat sini pada kira-kira pukul 10 malam, 9 Ogos lalu.

Katanya, Chu Sin meminta dia menjaga Mei Sem sementara dia keluar untuk mencari kerja dan berjanji memberikan upah sebanyak RM1,000 sebulan.

"Betul, memang dia beri upah RM1,000 itu dengan memasukkannya ke akaun bank saya tetapi hanya pada bulan September. Selepas itu langsung tiada apa-apa berita daripada mereka.

"Setiap panggilan ke telefon bimbit Chu Sin dan suaminya langsung tidak berjawab malahan saudara-mara pasangan terbabit juga tidak tahu ke mana mereka pergi," katanya pada sidang akhbar bersama Pengerusi Biro Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional negeri, Datuk Lee Kon Yin di sini semalam.

Menurutnya, Mei Sem seorang kanak-kanak yang baik dan tidak pernah buat perangai.

"Apabila diberitahu ibu bapanya tiada, dia cuma diam dan bermain seperti biasa.

"Cuma sekarang saya tidak mampu lagi menanggungnya. Saya minta ibu atau bapanya ambil semula anaknya dan saya beri masa seminggu sebelum menyerahkan kanak-kanak ini ke Jabatan Kebajikan Masyarakat," ujarnya.

Sementara itu, Kon Yin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu bapa kanak-kanak itu supaya menghubungi beliau menerusi talian 05-253 6981 atau 012-515 1178.

Kecewa isteri tetap ingkar

Posted:

Kecewa isteri tetap ingkar

Kecewa isteri tetap ingkar

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my


YUSRI menunjukkan surat keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di Kangar semalam.


KANGAR – Seorang suami sanggup turun naik tangga Mahkamah Tinggi Syariah di sini lebih 22 kali semata-mata untuk mengesahkan status perkahwinan selepas diceraikan oleh isterinya dengan menggunakan surat cerai taklik palsu kira-kira dua tahun lalu.

Kesungguhan Yusri Ahmad Jusoh, 55, itu berbaloi apabila mahkamah tersebut pada 8 Novemver lalu memutuskan bahawa perkahwinannya dengan Intan Fazilah Othman, 35, pada 29 Januari 2009 sebagai sah.

Bagaimanapun, dia terus berdepan dengan kekecewaan apabila isterinya masih tidak pulang ke pangkuannya selepas hampir dua minggu mahkamah membuat keputusan tersebut.

Malah ketika dia cuba menghubungi isterinya itu secara baik, seorang lelaki yang menjawab panggilan telefon telah memberi amaran kepadanya supaya jangan mengganggu wanita itu.

"Ketika mahkamah membuat keputusan tersebut, dia dan saya berada di hadapan hakim mendengarnya. Kami faham dengan perintah yang dikeluarkan itu.

"Tetapi selepas selesai kes di mahkamah, dia terus keluar dan menghilangkan diri.

"Keesokannya saya dapat menghubungi telefon bimbit Intan Fazilah tetapi saya terkejut apabila seorang lelaki memberi amaran jangan mengganggu wanita itu sedangkan dia isteri saya yang sah," katanya ketika di temui di pejabat Kosmo! di sini semalam.

Kosmo! pada Mac 2011 lalu melaporkan Yusri yang merupakan seorang peniaga kecewa selepas ikatan perkahwinannya terputus apabila isterinya menghantar surat perceraian taklik dari negara jiran.

Lebih mengejutkan, Yusri mendakwa surat taklik yang dihantar oleh Intan Fazilah itu rupa-rupanya palsu setelah dia membuat pemeriksaan di Jabatan Agama Islam Songkhla.

Dua bulan kemudian, dia membuat permohonan terhadap status perkahwinannya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini dan prosiding kes tersebut berlarutan selama dua tahun apabila mahkamah memutuskan perkahwinan mereka masih sah pada 8 November lalu.

Yusri menjelaskan, sehingga kini dia masih gagal menghubungi isterinya itu untuk berbincang mengenai keputusan mahkamah terbabit bagi merancang masa depan termasuk nasib seorang anak perempuan hasil perkahwinan mereka yang sehingga kini dia tidak dibenarkan berjumpa.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved