Selasa, 20 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Satu jam bersih satu tiang

Posted:

Satu jam bersih satu tiang

Satu jam bersih satu tiang

ANITA HASAN sudah beberapa kali berpusing-pusing di tempat yang sama dengan keretanya di sekitar Jalan Enggang, Taman Keramat, Kuala Lumpur. Sambil matanya meliar mencari Jalan Enggang Utara, dia pelik kerana lorong atau jalan tersebut gagal ditemuinya walaupun sudah 15 minit berlegar di kawasan sekitar.

Papan tanda yang ada di situ hanyalah menunjukkan Jalan Enggang 6 dan Lorong Enggang. Hampir putus asa mencari, Anita akhirnya mengambil keputusan untuk memberhentikan kereta dan bertanyakan kepada seorang penjual buah di tepi jalan.

Selepas diberi petunjuk jalan barulah Anita tahu dia sebenarnya sudah beberapa kali melalui jalan tersebut. Namun, akibat iklan-iklan haram yang ditampal di pelbagai lokasi termasuk papan tanda, perkataan utara yang sepatutnya tertera hilang daripada papan tanda jalan.

Apa yang dialami Anita mungkin juga pernah berlaku dalam kalangan kita. Bahkan, iklan haram yang bermaharajalela di kebanyakan bandar besar terutamanya di ibu negara bukan sahaja menyusahkan orang ramai, malah menyakitkan pandangan mata.

"Sangat menyakitkan hati apabila tidak dapat melihat nama jalan tersebut, malah lebih buruk perbuatan keji itu turut mencemarkan kebersihan kawasan sekitar," keluhnya.

Kongsi Anita, beberapa lokasi yang menjadi kegemaran penampal iklan haram termasuklah papan tanda jalan, dinding bangunan, pondok telefon, perhentian bas dan stesen transit aliran ringan.

Vandalisme baharu

Tambah wanita berusia 49 tahun itu, kawasan rumahnya di PPR Sri Semarak, Setapak, Kuala Lumpur juga tidak terkecuali daripada vandalisme cara baharu itu terutamanya di kawasan dan di dalam lif.

"Pernah saya menegur individu yang menampal iklan-iklan seumpamanya, tetapi dia tidak memberi sebarang reaksi sebaliknya meneruskan kerja tanpa rasa bersalah," ujarnya.

Tambah Anita, pekerja tersebut memberitahu, mereka hanya menjalankan kerja yang dibayar dengan sedikit imbuhan kecil.

"Selain menampal, mereka turut meletakkan salinan iklan ke dalam peti surat. Perkara ini menyebabkan kertas-kertas tersebut jatuh bersepah walaupun telah dibersihkan setiap hari," jelasnya.

Tindakan individu tidak bertanggungjawab tersebut selayaknya dikenakan tindakan atau didenda oleh pihak berkuasa. Pendapat itu diutarakan oleh Halimah Hasan, 40, yang berpendapat proses pembersihan iklan-iklan haram itu menuntut masa yang lama malah tenaga yang digunakan hanya sia-sia kerana ia masih dilakukan selang sehari kemudian.

"Usaha yang dilakukan pihak berkuasa nyata sia-sia kerana penampal iklan masih melakukan aktiviti mereka," ujarnya.

Kedua-dua wanita itu ditemui ketika menyertai program

Rockcorps anjuran bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) The Zhariff Initiative Sdn. Bhd. (TZI) bagi membanteras perbuatan menampal iklan haram di ibu negara.

Dalam program itu, peserta program dapat merasai sendiri betapa sukarnya proses menanggalkan iklan haram yang ditampal pada tiang-tiang elektrik dan papan tanda jalan raya.

Peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia membersihkan kawasan yang dicemari dengan iklan haram di sekitar lingkungan Wangsa Link, Wangsa Maju.


IKLAN-IKLAN haram yang ditampal di merata-rata tempat bukan sahaja menyakitkan mata bahkan kadangkala memberi kesukaran kepada orang ramai untuk mencari arah.


Sedarkan masyarakat

"Sebatang tiang elektrik sahaja mengambil masa hampir sejam untuk dibersihkan. Itupun tidak bersih sepenuhnya kerana mereka menggunakan gam yang sukar ditanggalkan," ujar Anita.

Akibat kikisan tersebut, ia menyebabkan cat pada tiang dan papan tanda turut tertanggal sekali gus menyebabkan tiang itu kelihatan buruk.

Rasa geram melihat iklan haram dan kesukaran menanggalkan jutaan iklan haram ditampal sesuka hati memberi gambaran jelas objektif sebenar program Rockcorps. Ia tidak lain dan tidak bukan ingin menyedarkan masyarakat untuk menghargai harta benda awam.

Penaung TZI, Muhammad Zhariff Afandi memberitahu, dalam program tersebut seramai 200 sukarelawan mengerah tenaga turun padang untuk mengikuti program julung-julung kali TZI iaitu menanggalkan iklan-iklan haram yang mencacatkan keindahan ibu kota.

"Melalui aktiviti ini, mereka dapat merasai bagaimana sukarnya tugas pekerja DBKL mengharungi proses pembersihan yang dilakukan hampir setiap minggu," ujar Muhammad Zhariff yang turut serta dalam program tersebut.

Kata beliau, ia merupakan kesedaran yang disuntik dalam diri masyarakat secara perlahan-lahan.

Kos tinggi

"Apabila masyarakat turut dilibatkan menjadi individu yang membanteras iklan haram, barulah tahap sensitiviti dan kesedaran mereka dapat ditingkatkan. Jika sebelum ini mereka hanya melihat sepintas lalu individu yang sedang menampal iklan haram, selepas ini mungkin mereka akan menegur atau menelefon pihak berwajib untuk menangkap pelaku yang tidak bertanggungjawab ini," luah Muhammad Zhariff.

Sementara itu, Pengurus Kawasan Setiawangsa DBKL, Abdul Satar Abdul Halim menjelaskan, operasi pembersihan iklan-iklan haram itu merangkumi premis perniagaan, tiang elektrik dan papan-papan tanda jalan raya.


PERBUATAN menampal iklan haram di papan tanda jalan merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab dan remaja ini berusaha membersihkan tampalan orang yang suka mengambil kesempatan itu.


"Dalam operasi tersebut, pihak DBKL turut menurunkan iklan seperti pemidang yang telah tamat tarikh dan iklan yang tidak mempunyai lesen yang sah daripada DBKL," ujarnya ketika ditemui dalam program itu.

Menurut Abdul Satar, setiap operasi memerlukan perbelanjaan yang tinggi kerana pihaknya menggunakan bahan peluntur khas untuk menanggalkan iklan yang terlekat pada bangunan.

Walaupun tiada sebarang tangkapan yang diambil setakat ini tambahnya, DBKL tetap mengambil serius masalah itu, malah pernah mengenakan denda kepada mereka yang didapati bersalah.

"Kami amat mengharapkan bantuan penduduk setempat dalam memberi maklumat kepada DBKL jika terlihat individu tidak bertanggungjawab mencemari harta benda awam," jelasnya.

Setakat ini sebanyak 20 aduan telah diterima daripada orang awam yang melaporkan masalah iklan haram.

Antara bulan Januari 2012 hingga Julai 2012, DBKL telah mengeluarkan tindakan menurun dan menanggalkan iklan haram sebanyak 637,719.

Pesalah boleh dikenakan hukuman di bawah Undang-Undang Kecil (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1982 iaitu denda RM2,000 atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, nombor-nombor yang dipamerkan dalam iklan-iklan katanya, akan dibatalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah arahan DBKL.

Orang ramai boleh membuat laporan kepada Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian bebas tol 1-800-88-3255.

Dalam pada itu, Abdul Satar memberitahu, DBKL turut menjalankan kerjasama bersama NGO yang melakukan aktiviti kemasyarakatan seperti yang dilakukan oleh TZI.

"DBKL sentiasa memberi galakan kepada NGO yang ingin bersama membantu menjaga kebersihan dan keharmonian alam sekitar. Antaranya termasuklah program Rockcorps anjuran TZI, kami menyokong usaha murni mereka dalam mendedahkan kepada golongan muda kepada aktiviti kemasyarakatan," jelasnya.

DBKL memperuntukkan perbelanjaan dari segi peralatan, logistik dan lain-lain sebagai salah satu tanda penghargaan atas semangat dan dedikasi peserta sukarelawan program tersebut.

"Penganjuran Rockcops yang sebahagian besarnya diikuti oleh golongan belia menunjukkan masih ada yang prihatin menjaga kebersihan bandar raya Kuala Lumpur di samping mendidik mereka kepentingan bersama menjaga alam sekitar," ujarnya.

Kerinduan Turdi terhadap Obama

Posted:

Kerinduan Turdi terhadap Obama

Kerinduan Turdi terhadap Obama

Turdi, bekas pengasuh Presiden AS, Barack Obama meluahkan harapan mahu bertemu dengan pemimpin negara itu meskipun beliau merasakan impiannya itu sesuatu yang mustahil.


OBAMA pernah mendapat jolokan Little Barry ketika zaman kanak-kanaknya.


TRANSGENDER terkenal di Indonesia selepas muncul dengan pengakuan pernah bekerja sebagai pengasuh Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama lewat 1960-an, Turdi, 66, hanya mempunyai satu permintaan daripada pemimpin negara itu.

Bukan harta benda mahupun wang ringgit, dia mahu bertemu semula presiden yang mendapat jolokan Little Barry ketika kecil itu suatu hari nanti.

Kru-kru stesen televisyen dan wartawan memenuhi sebuah pondok konkrit kecil yang menjadi tempat Turdi berteduh di kawasan setinggan timur Jakarta.

Dia kini menyara hidup melalui pendapatan yang tidak seberapa hasil upah mencuci pakaian jiran-jirannya dengan tangan.

"Saya bukan individu yang hebat dan tidak mengharapkan apa-apa daripada Barry. Saya cuma berharap dapat berjumpa dengan beliau semula. Itu sahaja," kata Turdi ketika ditemui di rumahnya yang mempunyai bau yang tidak menyenangkan akibat masalah saluran kumbahan.

Memori manis

Turdi berkata, dia mempunyai memori manis berkenaan Obama yang berusia lapan tahun ketika itu, ibunya yang berasal dari AS, Ann Dunham dan ayah tiri Obama berketurunan Indonesia, Lolo Soetoro.

Mereka menganggap Turdi sebagai sebahagian daripada ahli keluarga sepanjang dua tahun bekerja di rumah yang terletak di Menteng, sebuah kawasan mewah di pinggir bandar Jakarta.

"Mustahil beliau (Obama) akan melawat saya di bilik sewa ini dan untuk terbang ke Amerika pula merupakan sesuatu yang hanya boleh berlaku dalam mimpi.

"Jika Tuhan memberikan keizinan dan bersabar, kami akan bertemu semula," ujar Turdi menaruh harapan.

Rumah Putih masih lagi belum mengeluarkan sebarang komen terhadap kenangan pengasuh itu tetapi beberapa jiran-jiran lama Obama yang masih lagi menetap di laluan yang sama empat dekad tahun lalu mengaku mengenali Turdi dan menerima dia sebagai seorang transgender.

Namun, ketika dia menjadi pengasuh kepada kanak-kanak yang pada hari ini merupakan presiden AS kulit hitam pertama, Turdi cuba untuk tidak menonjolkan diri sebagai seorang transgender.

Dia sekali-kali tidak pernah memakai pakaian perempuan jika berada dengan Obama.

"Saya berasa begitu bebas apabila berpakaian seperti seorang wanita, rasa seperti saya baru dibebaskan dari penjara. Dia terlalu muda untuk mengetahui dunia kami," kata Turdi.

Walaupun Obama sangat popular, kawan-kawannya pasti mengejek pengasuh itu dengan memanggil Turdi banci iaitu satu perkataan Indonesia yang menghina golongan tersebut.


MESKIPUN seorang yang celaru jantina, namun Turdi tidak pernah memakai pakaian seperti wanita jika berada dengan Obama.


"Apabila saya mengambil beliau dari sekolah, kawan-kawannya akan mengejek saya dengan menjerit banci(pondan), banci. Namun, beliau tidak mempedulikan mereka dan hanya berkata, mari kita pulang," kenang Turdi yang mahu dipanggil Evie dalam kalangan rakan-rakannya.

Pelajar-pelajar lain juga mengejek Obama kerana mempunyai struktur badan yang besar, rambut dan kulit wajah yang berlainan, ujarnya.

"Kawan-kawan Obama memanggilnya dengan gelaran seperti Barry Negro apabila kalah dalam perlawanan bola sepak tetapi dia hanya ketawa. Dia selalu berkata, kamu mesti bersedia untuk menang atau kalau dalam sesebuah perlawanan," ceritanya.

Turdi sangat bangga dengan Obama yang merupakan seorang budak kulit hitam biasa dengan peribadi merendah diri kini berjaya menjadi Presiden Amerika.

Dia percaya, Obama ialah ketua yang boleh membantu menghapuskan semua diskriminasi di dunia termasuk golongan transgender seperti dirinya.

Menurut Turdi, dia dan rakan-rakannya yang lain telah mengalami penderitaan berulang kali sehinggalah pada satu tahap Turdi mengambil keputusan adalah lebih selamat mengekalkan penampilan maskulin.

Merindui Obama

Homoseksual dan golongan pondan amat dihindari di Indonesia yang merupakan sebuah negara berpopulasi 240 juta dengan majoriti penduduk beragama Islam.

Kutukan dan serangan terhadap golongan gay oleh pejuang Islam menjadi perkara biasa di negara itu.

Mujur komuniti setinggan Turdi menerima golongan tersebut yang turut didiami kira-kira 50 orang lain di persekitaran itu.

Biarpun dia telah melalui kehidupan yang panjang daripada menetap di rumah lama Obama sehingga ke kawasan setinggan termasuk pernah menjadi pekerja seks, Turdi tetap tenang dengan setiap perkara yang terjadi.

Dia berharap suatu hari nanti dapat bersiar-siar di sekolah rendah Obama bersama-sama presiden itu. Dia amat merindui tokoh negara tersebut sejak lawatannya ke Jakarta pada tahun 2010 dan 2011.

"Saya mahu memberitahu beliau bahawa bukan sahaja rakyat Amerika tetapi semua orang di dunia ini menghormatinya.

"Beliau pernah menunjukkan jarinya pada sekeping gambar Presiden Sukarno dan berkata, saya harap saya mahu membesar dan menjadi seperti dia.

"Jika Barry yang saya kenal masih sama dengan Barry yang telah menjadi lelaki pertama Amerika, saya pasti, beliau akan menerima saya seadanya sama ada sebagai transgender atau tidak," luahnya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved