Isnin, 5 November 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Bidaan amal fesyen

Posted:

Bidaan amal fesyen

Oleh ALIF ABU BAKAR

DARI kiri: Mutiara, Vivy Yusof, Tasha, Suhana dan Noordin pada upacara penyerahan cek replika kepada PBSM Malaysia.


PERCUBAAN awal I Love Malaysian Designers mengadakan bidaan amal di The Venue, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini dilihat masih belum mencapai tahap membanggakan.

Meskipun pelaksanaannya tercapai, beberapa kelemahan penganjuran majlis yang julung-julung kali diadakan itu dapat dilihat seperti pemilihan item-item untuk dibida, lokasi penganjuran dan kelompok sasaran.

Bukan menidakkan kebolehan dan usaha tujuh pereka tempatan yang terlibat secara langsung dengan projek tersebut, tetapi secara jujurnya, penganjur perlu memahami kehendak pembida terlebih dahulu.

"Saya tahu masih banyak perkara perlu diperbetulkan dan kesilapan saya adalah tidak mengkaji item-item yang sesuai untuk dibida mengikut senarai jemputan yang hadir.

"Bagaimanapun, saya masih berbangga dengan percubaan pertama ini dan berharap ia dapat diteruskan untuk masa akan datang," ujar pengasas kepada I Love Malaysian Designers, Mutiara Bahir, 26, ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mutiara yang juga merupakan pengarah kreatif bagi jenama pakaian sedia pakai berkonsep batik, Brew & Skittles, mengakui kesukaran mendapatkan kerjasama pereka-pereka tempatan bagi acara kebajikan tersebut.

Namun, berkat semangat yang tinggi, Mutiara berjaya menerima persetujuan daripada beberapa pereka dan jenama yang sedang meningkat naik seperti Justin Yap, Syahrir Nurdin, Rhea Benson, Sereni & Shentel, My Batik Collection dan Wonder Wardrobe.

Difahamkan, I Love Malaysian Designers ditubuhkan berpandukan dua tujuan. Pertamanya, ia menjadi medan kepada pereka-pereka baharu mengembangkan nama mereka dalam industri fesyen tempatan dan keduanya, bekerjasama dalam setiap penganjuran acara berbentuk kebajikan.

SELUAR pendek menjadi antara item bidaan yang mendapat sambutan hebat.


Item bidaan

Di sebalik kejanggalan acara berkenaan, mereka tetap berjaya mengumpulkan lebih RM2,000 untuk disumbangkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia yang diserahkan kepada Setiausaha Agung PBSM Malaysia, Datuk Noordin Abd. Razak.

Slot bidaan dipecahkan pada tiga segmen dengan keseluruhannya melibatkan lebih 10 item telah dibuka untuk bidaan. Membuka segmen pertama malam itu adalah bidaan bagi dres hijau yang diperbuat menggunakan 100 peratus sifon sumbangan Wonder Wardrobe.

Ia kemudiannya diikuti kain pario daripada My Batik Collection. Bidaan bagi kain sutera sepanjang 2.5 meter itu dibuka pada harga RM280 dan berjaya dijual pada harga yang sama.

Brew & Skittles turut menawarkan dua item untuk bidaan. Item pertama adalah dres batik kapas yang dibida pada harga RM150 dan berjaya dijual pada harga RM200. Begitu juga dengan dres Natalia jenama tersebut yang menjadi rebutan ramai sehingga dibeli seorang pembida pada harga RM220.

Item panas yang menjadi perbualan pada malam itu tertumpu pada kasut tinggi rekaan Rhea Benson. Kedua-dua pasang kasut mereka ditawarkan pada harga RM300 pada mulanya dan sepasang daripadanya berjaya dijual pada harga mencecah RM420.

Sementara itu, duta bagi I Love Malaysian Designers, aktres popular, Tasha Shilla, 25, mengakui amat mengagumi kesungguhan yang ditunjukkan penganjur dalam menjayakan acara bidaan amal tersebut.

"Sejak dari awal penglibatan saya dalam industri seni tanah air, saya memang gemar memilih hasil kerja pereka tempatan. Disebabkan itu, saya tidak teragak-agak untuk menyertai usaha pereka-pereka muda ini dalam menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Saya telah menandatangani perjanjian bertulis bersama I Love Malaysian Designers selama dua tahun dan tugas sebagai duta memerlukan saya turun padang pada setiap acara kebajikan yang dijalankan," jelas Tasha ketika ditemui pada majlis bidaan amal tersebut yang turut menjadi penyumbang kutipan menerusi pembelian sepasang kasut Rhea Benson bernilai RM300.

Resipi untuk pesakit diabetes

Posted:

Resipi untuk pesakit diabetes

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

AMY turut mengadakan demonstrasi memasak pengat pisang dengan menggunakan ramuan yang sihat pada majlis pelancaran buku itu.


BAGI mereka yang menghidap penyakit diabetes, segala aspek pemakanan harus dititik- beratkan terutamanya dari segi pengambilan gula dalam makanan mereka.

Disebabkan itu, mereka sering berdepan kesukaran untuk mendapatkan makanan yang mempunyai kandungan gula rendah apatah lagi dalam hidangan pencuci mulut.

Dalam usaha untuk menggalakkan pemakanan sihat terutamanya dalam hidangan makanan pencuci mulut, syarikat farmaseutikal, MSD Malaysia (MSD) tampil dengan buku resipi yang menghimpunkan 12 jenis hidangan.

Menariknya ia dihasilkan oleh chef selebriti dan konsultan makanan, Amy Beh yang dibantu oleh pakar nutrisi, Madhavi Rai yang berjudul Celebrate-The Dessert Cookbook.

Resipi empat budaya

Pengarah Perubatan MSD, Dr. Yeoh Boon Hock memberitahu, resipi hidangan pencuci mulut yang terkandung dalam buku setebal 50 muka surat itu merupakan menu daripada pelbagai budaya dan kaum.

"Kami menggabungkan resipi daripada empat budaya berbeza iaitu Melayu, Cina, India dan Barat. Keempat-empat budaya ini sememangnya mempunyai hidangan pencuci mulut yang mengandungi kandungan gula agak tinggi.

"Namun, dengan kepakaran Amy, setiap hidangan disediakan menggunakan kuantiti bahan-bahan yang sesuai untuk hidangan pesakit diabetes," ujarnya semasa pelancaran buku itu pada 1 November lalu.

Antara resipi yang terkandung dalam buku yang diedarkan secara percuma itu ialah pengat pisang, kek sugi, sup ginseng dan jus yogurt mangga.

Selain itu, setiap hidangan turut dinyatakan indeks glisemia (kadar glukosa), kalori, karbohidrat, serat dan gula untuk dijadikan panduan pemakanan kepada pesakit diabetes.

AMY (kiri) dan Madhavi berharap buku resipi mereka akan memberi idea baharu kepada pesakit diebetes dalam penyediaan hidangan pencuci mulut.


Pemakanan pesakit diabetes

Bagi Amy, setiap resipi mengandungi kadar gula yang bersesuaian dengan pesakit diabetes selaras dengan tema buku itu iaitu Hidup Sihat Dengan Diabetes.

"Hidangan yang kita sediakan seharusnya boleh dinikmati oleh semua golongan termasuk pesakit diabetes. Menerusi setiap hidangan, saya telah cuba sedaya upaya mengurangkan penggunaan gula dan mengekalkan keenakan hidangan itu," jelasnya.

Selain itu, Amy turut berterima kasih kepada pihak MSD kerana memberi kepercayaan kepadanya dan Madhavi untuk mengelolakan buku resipi itu.

Menurut Madhavi, dia diberi tugas untuk memantau setiap ramuan yang terkandung dalam 12 resipi yang dihasilkan oleh Amy.

"Setiap resipi juga membuka mata pesakit diabetes mengenai hidangan terbaik untuk mereka. Hidangan ini juga mengandungi empat kunci utama nutrien dalam kitaran pemakanan iaitu vitamin, mineral, protein dan serat.

"Apa yang menjadi kebimbangan pesakit diabetes ialah pengambilan karbohidrat. Menerusi hidangan ini, pesakit boleh mengambil makanan karbohidrat tetapi pengambilannya perlu dikawal," ujarnya yang menggemari pencuci mulut ondeh-ondeh keledek.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved