Isnin, 5 November 2012

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Jiwa Islamik dalam tema Hakuna Matata

Posted:

Jiwa Islamik dalam tema Hakuna Matata

Oleh ALIF ABU BAKAR

PEMENTASAN fesyen bersifat universal hasil usaha organisasi dan badan bukan kerajaan tempatan kian berkurangan. Pada awal era tahun 2000, keghairahan pihak-pihak tertentu memartabatkan kerja tangan pereka tempatan ke peringkat antarabangsa, menunjukkan riak positif dalam industri fesyen negara.

Namun, sejak kebelakangan ini, satu per satu acara fesyen tahunan yang gah pada namanya tersungkur dek krisis dalaman atau kewangan. Barisan pereka yang bertungkus-lumus terpaksa akur dengan segelintir penganjur yang membatalkan perancangan beberapa acara fesyen Malaysia berkelas antarabangsa tahun ini.

Mungkin Festival Fesyen Islam (IFF) perlu menjadi contoh terbaik bagi pihak yang bercadang menganjurkan minggu fesyen berprestij.

Usaha dan idea-idea segar yang dihamparkan IFF membuktikan ia sebagai satu acara fesyen yang wajib dihadiri pencinta fesyen tempatan.

Minggu ini, bermula 5 hingga 9 November, IFF sekali lagi mencipta sejarah menerusi penganjuran festival fesyen berteras Islamik untuk kali ke-24. Selepas kejayaan menawan beberapa benua khususnya Eropah dan Asia, IFF kembali memilih Kuala Lumpur sebagai pusat tumpuan sedunia terhadap rekaan-rekaan menawan pereka Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Inspirasi puak Afrika

Bertempat di Hotel JW Marriot, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, majlis pembukaan IFF kali ke-24 yang berlangsung semalam, menyaksikan lima nama besar dalam lubuk seni Asia Tenggara mementaskan kerja-kerja kreatif mereka.

Bertepatan dengan tema, Hakuna Matata - Can You Feel the Love yang bermaksud Usah Bimbang, keseluruhan konsep rekaan perlu berlandaskan inspirasi puak-puak yang menetap di Afrika. Kreativiti barisan pereka diuji menerusi sentuhan Islamik yang menjadi teras utama dalam setiap persalinan mereka.

Membuka tirai pada petang itu adalah hasil kerja pereka yang berasal dari Bali, Indonesia iaitu Paul Ropp. Kesemua 14 pakaian yang dihasilkan diolah berpandukan tema Ethnic Extravaganza. Rona-rona terang seperti merah, hijau dan biru menjadi mainan utama setiap rekaan yang sarat dengan aksesori terutamanya pada bahagian kepala.

Persalinan lelaki dilihat lebih menjurus kepada pinjaman imej India yang menyarungkan kurta labuh. Serapan jiwa Islamik diserlahkan melalui penambahan songkok mudah lipat yang ditampilkan dalam pelbagai warna menarik.


ELEMEN India dalam rekaan ini dapat dilihat dari segi penggunaan material dan perinciannya.


Pereka muda Indonesia yang semakin mendapat perhatian, Dian Pelangi kemudiannya mencuri tumpuan hadirin dengan 12 persalinan bertemakan Queen of Giza. Gimik pembukaan slot Dian menampilkan seorang permaisuri yang diusung di atas tandu bersama empat hulubalang gagah nyata membangkitkan keterujaan penonton.

"Saya menggunakan fabrik tradisional Indonesia seperti batik, kain tenun dan mengaplikasikan teknik ikat dan celup atau dipanggil jumputan di Indonesia.

"Koleksi yang banyak difokuskan pada teknik ini mencerminkan kemodenan dan gaya baharu untuk rujukan fesyen kelompok muslimah. Bagi memberi elemen Afrika, warna-warna terang dan padu seperti hijau dan merah menjadi pilihan utama," jelas Dian yang baru berusia 21 tahun.

Mengisi slot seterusnya adalah perhiasan mewah oleh jenama dari Singapura, Jaipore Jewels. Kilauan barang-barang kemas seperti rantai, anting-anting dan gelang menyerlah apabila dipadankan bersama jubah dan turban hitam tanpa sebarang corak atau cetakan.

Koleksi rekaan Ritu Aurora yang mengemudi Jaipore tersebut mendapat sentuhan Afrika-India dari segi potongan batu permata dan pilihan warna berbeza.

Acara diteruskan dengan pementasan lapan persalinan di bawah jenama Aktif Bestari. Memilih tema Mapambo Reincarnation, pakaian renang muslimah tersebut diserikan dengan kardigan bercetak harimau bintang dan aksesori seperti rantai.

"Koleksi pakaian renang kali ini masih mengekalkan kesopanan berpakaian dalam kalangan wanita muslimah. Kali ini, kami mengolah setiap rekaan membentuk tiga helaian pakaian dalam satu persalinan," jelas Pengarah Urusan Aktif Bestari Sdn. Bhd., Nuraini Mohd. Ariffin, 38, yang hadir pada majlis tersebut.

Kemegahan Tom Abang Saufi

Ternyata, kehebatan Datuk Tom Abang Saufi masih belum mampu digugat siapa pun. Memilih tema Makeda, pereka kelahiran Sarawak itu bijak bermain dengan warna-warna garang seperti jingga dan merah serta menumpukan pada kepelbagaian potongan persalinan.

Dalam kesemua 14 rekaan yang dihasilkan untuk koleksi tersebut, Tom Abang Saufi berjaya mengimbangi hasil kerja beliau agar tidak kelihatan condong terhadap idealisme tertentu. Ini bermaksud, setiap rekaannya memiliki pakaian berkonsep moden, urban, tradisional dan klasik.

Jubah lelaki bermotifkan elemen Afrika mudah membuatkan hadirin terpukau ditambah pula dengan pelilit kepala ringkas. Tidak kurang juga seluar panjang bercetak harimau bintang yang dipadankan bersama baju seakan-akan kaftan labuh, mencipta pesona luar biasa kepada penampilan wanita muslimah.

Secara keseluruhan, IFF kali ini banyak bermain dengan material sutera yang indah dengan warna-warna terang, manik-manik, turban eksotik, gaun meleret dan persalinan yang dipengaruhi etnik-etnik dari Afrika.

Pada majlis pembukaan tersebut, Penaung dan Pengerusi IFF, Datuk Seri Raja Rezza Shah menyatakan pemilihan konsep Afrika yang bertemakan Hakuna Matata tidak hanya difokuskan pada persalinan tradisional Islamik.

"Acara kali ini memberi peluang kepada orang ramai melihat kebijaksanaan pereka yang terlibat menterjemahkan perspektif mereka tentang inspirasi fesyen Afrika Islamik.

"Selama lima hari, kita menjadi platform kepada pereka tempatan dan beberapa negara jiran dalam menampilkan pertunjukan fesyen yang estetik," ujar beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Shah Rezza.


Kreativiti pereka menghasilkan persalinan berkonsep Afrika Islamik menciptakan hasil kerja yang mempesona.


Turut hadir pada acara pembukaan semalam ialah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim yang menjadi tetamu kehormat.

Minggu IFF

Minggu fesyen IFF akan melibatkan 14 pertunjukan dengan sembilan daripadanya dikendalikan oleh badan kebajikan atau badan bukan kerajaan bagi mengumpul dana untuk tabung kebajikan masing-masing.

Hasil kutipan juga akan disumbangkan IFF kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Antara pereka tempatan yang terlibat dengan minggu IFF kali ini ialah Zleqha, Hajaba, Syaiful Baharim, Ammara, Salikin Sidek, Datuk Raduzan Radziwill, Rico Rinaldi dan Calvin Thoo.

Pereka Indonesia pula bakal menyaksikan kelibat Milo, Tuty Adib Bilqis, Ghea Panggabean, Nuniek Mawardi dan Malik Moestaram. Singapura pula diwakili oleh Jaipore Jewels dan Mantra.

Menariknya, IFF turut membuka peluang kepada orang awam yang ingin menonton pertunjukan fesyen khas pada 8 November ini pada pukul 10.30 pagi.

Mereka yang berminat dinasihatkan datang awal ke Mayang Sari Ballroom, Hotel JW Marriot ekoran tempat duduk yang terhad.

Jubah eksklusif Naini Kifli

Posted:

Jubah eksklusif Naini Kifli

Oleh HAFIZ AHMAD


GABUNGAN jubah dan tudung ringkas sudah cukup untuk menyerlahkan keayuan wanita Islam.


HADIR dengan persalinan istimewa khas buat wanita yang tampil menutup aurat, butik kelolaan dua beradik, Nina Zulkifli dan Jida Zulkifli memberi penekanan kepada jubah dengan perincian manik-manik dari Korea dan Indonesia.

Dijahit kemas pada bahagian tertentu, pemilihan manik itu dilakukan kerana ia lebih tahan lama selain warnanya sukar luntur dan kusam.

Tidak mahu sarat dengan jemeki berlebihan, setiap butiran hanya menggunakan manik bersaiz kecil dan kemasan hanya pada bahagian tumpuan seperti pergelangan tangan dan bahagian hadapan jubah.

Menurut Nina, fabrik sifon dan sutera sifon banyak digunakan pada koleksi terbaharu ini kerana ia mudah digayakan selain rekaan tampak mewah dan eksklusif.

"Tambah istimewa, setiap busana hanya dihasilkan dengan satu rekaan dengan satu saiz sahaja bagi mengekalkan ciri eksklusif koleksi ini," ujarnya ketika ditemui oleh Stailo baru-baru ini.

Lari daripada kebiasaan rekaan jubah dengan rona polos, butik itu juga menawarkan busana yang menggunakan fabrik corak flora dengan mainan warna fuschia.

Pemilihan rona diberi penekanan utama kerana mahu relevan dengan cita rasa fesyen terkini. Setiap rekaan diberi biasan warna kontra untuk tampil kelainan kala bergaya.


WARNA kontra mengisi koleksi busana terbaharu di butik ini.


"Wanita bertudung tidak banyak aksesori yang boleh digayakan. Oleh kerana itu, mereka harus bijak memilih rona yang lebih berani dan menarik," jelas Nina.

Dalam masa yang sama, butik Naini Kifli turut memperkenalkan pemakaian turban yang disuaipadankan dengan selendang atau tudung. Penggunaan material daripada kain net dan sifon turut diserikan dengan kemasan jemeki ringkas dan rona senada.

Setiap jubah boleh didapati dengan harga antara RM299 hingga RM899, manakala turban dan tudung pula berharga antara RM39 dan ke atas. Ia juga beroperasi secara dalam talian menerusi laman sesawang rasminya iaitu www.nainikifli.com.

Aksesori penyempurna gaya

Posted:

Aksesori penyempurna gaya


SKAF yang bercorak boleh mengubah penampilan wanita yang berpakaian warna polos.


SOALAN: Saya seorang peminat fesyen dan gemar mengumpul pelbagai aksesori untuk dipadankan dengan pakaian harian agar kelihatan menarik sepanjang waktu. Boleh beri cadangan aksesori terkini mengikut trend antarabangsa yang perlu ada dalam almari peminat fesyen seperti saya ini?

- AZHAR, Putrajaya

JAWAPAN: HARI ini, kita amat beruntung kerana terdapat banyak pilihan aksesori di pasaran bagi memenuhi cita rasa dan bajet masing-masing. Namun perlu diingat, rekaan aksesori tertentu mungkin menarik apabila digayakan seseorang individu, tetapi hasilnya mungkin tidak sama apabila dipakai individu lain.

Kita perlu berani mencuba dan melakukan eksperimentasi untuk mendapatkan gaya yang terbaik. Di sini, saya titipkan aksesori-aksesori dan gaya pemakaian yang dirasakan menarik dan versatil sebagai panduan:

n Skaf dan tali leher adalah aksesori yang paling mudah digayakan dan menjadikan penampilan kita lebih menarik dan segar. Topi juga boleh dipadankan bersama pelbagai pakaian dan trend pemakaiannya boleh dilihat di mana-mana serta menjadi pilihan utama golongan remaja.

n Apabila memakai bracelet (gelang tangan atau rantai tangan), pilih rekaan bersaiz kecil dan ringkas. Ikon filem Barat seperti Cary Grant, sentiasa memilih rantai tangan emas bersama jam tangan yang sememangnya kelihatan bergaya.

n Bagi membentuk penampilan yang lebih segar, cuba gayakan aksesori dengan cara atau pilihan yang berlainan setiap kali anda keluar rumah. Sekiranya anda sering memakai kemeja putih, cipta kelainan dengan memakai tali leher pada salah satu hari bekerja anda. Cuba bereksperimen dengan jam tangan (mungkin warna emas), kafling dan rekaan tali pinggang.

n Jam tangan merupakan item utama dalam pasaran mewah antarabangsa. Uniknya, jam tangan berjenama adalah aksesori mewah yang tiada sempadan. Paling penting, ia tidak bertentangan dengan mana-mana kepercayaan dan agama atau boleh merosakkan peradaban pakaian tradisi. Dalam pasaran antarabangsa, jam tangan dilihat sebagai simbol status seseorang.

n Tingkatkan gaya anda dengan aksesori klasik rona hitam, tali pinggang bersaiz kecil (skinny), ataupun beg dengan hiasan kulit. Kesemuanya pasti dapat memberikan anda aura yang cukup cool.

n Bagi pengumpul tali leher, pilihan paling berstail masa kini adalah tali leher hitam yang fabriknya dikait dengan benang sutera. Ia memiliki tekstur yang unik dan sangat sesuai dipadankan bersama kemeja oxford, jean ataupun sut.

n Mereka yang sukakan penampilan yang muda dan lasak, dapatkan tali pinggang kulit tahan lasak bersaiz lebar dan dompet kulit berantai.

n Aksesori santai paling murah pula, apa kata sarungkan flip-flop yang diperbuat daripada getah dan plastik yang berkualiti. Lebih terang warnanya, lebih ceria dan segar penampilan anda. Padankan ia dengan seluar khaki atau jean yang sering anda pakai. Gaya ini mudah, praktikal dan sealiran dengan trend antarabangsa.

n Bagi pengumpul kaca mata hitam, anda wajib memiliki model aviator dalam koleksi peribadi. Sekitar tahun 1986, Tom Cruise mempopularkan kaca mata Ray-Ban aviator dalam filem lakonannya. Pada tahun itu juga, jualan kaca mata tersebut meningkat 40 peratus di seluruh dunia disebabkan pengaruh Cruise yang sangat kuat. Kini, selepas dua puluh tahun, populariti rekaan kaca mata tersebut masih unggul dan ia menjadi item wajib kepada ikon-ikon fesyen tempatan dan antarabangsa.

n Bagi penggemar beg jinjit (tote), dapatkan beg tote yang diperbuat daripada kanvas dalam warna yang terang seperti hijau daun pisang ataupun biru langit. Beg tersebut bersifat tahan lasak dan boleh diisi dengan pelbagai keperluan untuk ke kelas atau ke gimnasium termasuklah kasut ataupun gajet-gajet elektronik anda.

n Mereka yang menyukai kasut bertapak lembut (sneakers) pula wajib memiliki sneakers berwarna putih yang ringkas. Ia cukup versatil, tidak ketinggalan zaman dan menyerlahkan penampilan yang energetik. Sekiranya berkemampuan, dapatkan kasut rekaan pereka ternama seperti Marc Jacobs, YSL atau Calvin Klein.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved