Ahad, 18 November 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Kayu jadi pengimbang dan pemberat

Posted:

Kayu jadi pengimbang dan pemberat

Kayu jadi pengimbang dan pemberat

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
ayman.ghaffa@kosmo.com.my

"WALAUPUN kelihatan aneh melakukan pergerakan sambil memegang dua batang kayu seolah-olah senjata, ia merupakan tarikan utama untuk saya mencuba senaman ini," ujar seorang yang gemar melakukan aktiviti senaman aktif, Azlin Natisa Awang Musa, 37.

Azlin ternyata teruja apabila seorang rakan, Azie Aziz, 40, memperkenalkan senaman Stick2Stix kepadanya pada Oktober lalu.

Dia mendakwa, inovasi senaman aerobik itu lebih baik dan efektif berbanding senaman popular lain di negara ini.

Senaman yang terhasil daripada olahan idea Presiden Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita (WSFFM), Shariffa Sabrina Syed Akil, pada tahun 2010 itu menggabungkan rutin senaman aerobik dengan penggunaan satu atau dua batang kayu.

Sambil mengikut rentak muzik, banyak disiplin pergerakan boleh dibuat menggunakan kayu yang berukuran empat kaki (1.2 meter) panjang dan 3.8 sentimeter lebar itu.

"Saya dan rakan-rakan telah mengeksperimen pelbagai langkah dalam setiap senaman. Ia juga tidak terhad kepada pergerakan tarian Zumba seperti dalam kebanyakan senaman aerobik lain.

"Senaman ini juga boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan ia melibatkan penggunaan batang kayu itu. Kayu atau stick tersebut merupakan sokongan untuk setiap pergerakan dan dianggap sebagai pemberat sama seperti senaman kardio yang lain," ujar Azlin yang turut mempunyai kumpulan senaman aerobik dan Stick2Stix iaitu, Energy Fits Crew.

Kos yang rendah

Stick2Stix merupakan senaman aerobik yang dihasilkan oleh anak tempatan untuk diperkenalkan ke peringkat antarabangsa.

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa senaman itu melibatkan kos tambahan kerana melibatkan perkakasan tersebut, namun tanggapan itu ternyata silap. Sepasang kayu hanya berharga kurang daripada RM15.

Ia juga senang dibawa kerana tidak berat. Bagi menambahkan keunikannya, ia didatangkan dalam pelbagai warna bagi memberikan suasana ceria ketika bersenam.

Penggunaan alat itu mampu membantu rutin kecergasan seseorang khususnya semasa melakukan senaman kardiovaskular, imbangan, regangan dan pelbagai pergerakan kreatif lain.

Bagi Ashraf Abdullah, 31, yang telah terlibat dalam sukan gimnastik sejak kecil, dia berminat menyertai senaman Stick2Stix setelah merasai kelebihan senaman itu berbanding senaman aerobik.


K-WARRIOR merupakan kumpulan pertama yang memperkenalkan senaman ini di Kelantan.


"Saya sememangnya sering melakukan senaman aerobik. Setelah mencuba senaman ini, ia sememangnya mampu meningkatkan tahap kecergasan dengan lebih cepat. Ambil cara yang mudah iaitu rutin senaman shoulder press.

"Saya dapat menggabungkan rutin tersebut dan mengulangnya dalam senaman Stick2Stik.

"Senaman ini juga membolehkan saya menghasilkan koreografi kreatif termasuk memasukkan elemen gimnastik dalam setiap rutin," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelas Asyraf, senaman ini seharusnya dijadikan rutin untuk warga kota. Paling mudah adalah dengan hanya meletakkan kayu itu di lantai dan melangkahnya berulang-ulang kali.

Stick2Stix dianggap sebagai sebuah senaman kardiovaskular kerana ia sejenis senaman yang menguji dan memperbaiki stamina, dengan menumpukan rutin pergerakan berulang banyak kali dalam tempoh tertentu.

"Rutin dalam senaman ini juga tidak terlalu bergantung kepada sesuatu format yang telah ditetapkan dan ini membuatkan Stick2Stix lebih bebas terutamanya dari segi pergerakan.


AKSI kumpulan T.A.G sejurus selesai menamatkan persembahan mereka di Piala Kejohanan Stick2Stix baru-baru ini.


"Usaha WSFFM memperkenalkan senaman ini adalah sebagai langkah menggalakkan warga kota menjaga kesihatan dan melakukan senaman dalam rutin harian mereka. Senaman ini lebih seronok jika dilakukan secara beramai-ramai," ujarnya.

Perkembangan Stick2Stik

Walaupun pengenalan mengenai senaman Stick2Stix secara serius dilakukan oleh pihak WSFFM melalui satu kursus pada Oktober lalu, senaman itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

Ia turut mendapat sambutan kumpulan-kumpulan senaman dari seluruh Malaysia termasuk kumpulan yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan iaitu K Warrior.

Atas inisiatif sendiri, kumpulan yang bernaung di bawah Persatuan Senamrobik Kelantan (Kesra) itu telah membuat stick rekaan sendiri.

Presiden Kesra, Profesor Mohamed Rusli Abdullah, 49, memberitahu persatuan itu aktif menganjurkan sesi senaman aerobik di sekitar Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

"Pada awalnya, kami tidak mendapat gambaran mengenai senaman ini. Setelah menghadiri bengkel kecergasan Stick2Stix, baru kami mengetahui senaman ini tidak jauh beza dengan senaman aerobik.

"Kami juga menggabungkan pergerakan-pergerakan dalam tarian tradisional Melayu dalam setiap rutin senaman. Kami juga akan cuba memperkenalkan kelebihan dan kewujudan senaman ini kepada warga Kelantan," ujar pensyarah Jabatan Komuniti Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian ini.

Halfest ekspo halal terbesar

Posted:

Halfest ekspo halal terbesar

Halfest ekspo halal terbesar

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
ayman.ghaffa@kosmo.com.my


IRWAN menunjukkan syiling dinar (kiri) dan dirham yang dipamerkan di gerai World Islamic Mint.


PENGANJURAN ekspo Halal Fiesta Malaysia 2012 (Halfest 2012) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini memberi peluang kepada orang ramai mengetahui secara mendalam bukan sahaja label-label produk halal bahkan cara pembuatannya.

Ekspo tahunan yang berlangsung selama lima hari itu telah disertai 500 syarikat dan usahawan seluruh negara yang mendapat sijil halal sah.

Menerusi ekspo itu, pelbagai produk telah diketengahkan untuk para pengunjung seperti sektor makanan, minuman, kosmetik, perbankan, insurans, seni kraf Islam dan busana untuk Muslimah.

Ia juga tidak terhad kepada usahawan yang terdiri daripada syarikat-syarikat besar malah mereka yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana juga diberi peluang untuk mempromosikan produk mereka.

Minuman cincau halal

Salah sebuah syarikat minuman tempatan, Fitrah Food, berjaya menarik pengunjung untuk singgah ke gerai mereka yang terletak di Dewan Tun Razak dengan memberikan sampel minuman herba cincau secara percuma.


EKSPO yang berlangsung selama lima hari ini berjaya menarik 70,000 pengunjung untuk mendapatkan informasi mengenai hal ehwal halal tanah air.


Pegawai pemasaran syarikat tersebut, Rabbiatul Adawiyah Hasim, 20, memberitahu, penyertaan syarikat milik bapanya, Hasim Mohd. itu dalam Halfest 2012 merupakan salah satu langkah memperkenalkan minuman cincau halal yang dihasilkan oleh syarikat bumiputera.

"Selain daripada cincau, kami juga memperkenalkan perisa baharu keluaran syarikat kami iaitu minuman rumpai laut dengan ekstrak lemon. Ia mempunyai banyak khasiat seperti mengandungi kandungan serat tinggi dan bagus untuk penjagaan kulit," ujarnya.

Tambahnya, Fitrah Food yang telah beroperasi sejak 12 tahun lalu turut memberi informasi mengenai cara pemprosesan dan pembuatan herba cincau secara halal kepada pengunjung yang sering kali ragu mengenai status halal herba yang diimport dari China itu.

Antara aktiviti lain yang mencuri tumpuan pengunjung ialah kehadiran selebriti terkenal tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Izara Aishah, Jamal Abdillah dan Kamal Adli yang menghiburkan para pengunjung serta menunjukkan kemahiran memasak dalam Bengkel Bersama Chef Zam.

Promosi harga

Selain itu, seminar dan forum yang membincangkan hal ehwal halal juga merupakan antara salah satu acara utama yang berlangsung sepanjang ekspo tersebut.

Sementara itu, syarikat yang terkenal dengan produk makanan dan minuman yang berasaskan kesihatan, Saffron Integrated Marketing tidak melepaskan peluang untuk terlibat dalam ekspo itu.

Syarikat yang terkenal dengan produk Jus Tok Guru itu menawarkan potongan harga untuk setiap produk yang dijual semasa ekspo itu.


HALFEST menjadi landasan bagi usahawan industri halal negara mempromosikan barangan bermutu keluaran syarikat tempatan.


Menurut duta produk untuk syarikat itu, Mohd. Fauzi Mustaffa, tiga botol Jus Tok Guru berharga RM50 berbeza dengan harga pasaran yang dijual pada harga RM60.

"Ini merupakan salah satu cara kami memberi informasi mengenai produk yang ditawarkan secara terus kepada pengguna. Setakat penglibatan kami dalam ekspo ini, ramai yang semakin mengetahui mengenai kepentingan produk berasaskan kesihatan terutamanya habbatus sauda," ujarnya yang juga aktif dalam bidang pengacaraan di stesen televisyen tempatan.

Selain Jus Tok Guru, antara produk lain keluaran syarikat tersebut yang dijual sempena ekspo itu ialah madu lebah dari Yaman, cuka epal dan air bacaan al-Quran 30 juzuk.

Tidak hanya tertumpu kepada sektor pemakanan halal, Halfest turut memberi informasi mengenai sistem kewangan Islam iaitu penggunaan syiling dinar dan dirham.

Antara syarikat yang mengadakan promosi dan pameran syiling emas dinar dan syiling perak dirham dalam ekspo itu ialah World Islamic Mint.

Pengarahnya, Irwan Izhar memberitahu, tujuan syarikat itu mengadakan pameran syiling itu adalah untuk memberi kesedaran mengenai penggunaan mata wang halal di sisi syariah.

"Dalam ilmu fikah, mata wang ini tiada unsur riba malahan tiada unsur-unsur hutang. Dalilnya ialah setiap urus niaga dijalankan dengan bersih semasa zaman Rasulullah dengan penggunaan dinar dan dirham," jelasnya.

Menurutnya lagi, ramai yang telah mula menyimpan emas terutamanya dinar dewasa ini sebagai pelaburan jangka masa panjang kerana nilai emas semakin naik sejak tahun 2010.

Perumahan mesra komuniti

Posted:

Perumahan mesra komuniti

Perumahan mesra komuniti


GAMBARAN suasana kejiranan di kediaman Royal Ivory 2 dari pandangan balkoni.


BERIKUTAN sambutan memberangsangkan di BSP Avenue, Bandar Saujana Putra, syarikat pemaju hartanah, LBS, terus menawarkan pengalaman hidup eksklusif kepada pembeli rumah dengan pelancaran Royal Ivory 2 dan Royal Garden.

Ia merupakan dua fasa terakhir pembangunan kediaman bertanah di BSP sebelum LBS memasuki fasa pembinaan bangunan tinggi.

Projek yang melibatkan rumah kembar berangkai kelompok dua tingkat dan rumah kembar dua tingkat itu menawarkan kediaman unggul kepada pembeli rumah dalam kategori pertengahan, masing-masing pada harga bermula RM549,900 dan RM699,900.

Rumah di kedua-dua fasa itu akan dilengkapi tingkap panjang yang ditempatkan secara strategik untuk membolehkan bahagian dalaman rumah diterangi pencahayaan semula jadi.

Royal Ivory 2 mempunyai empat bilik tidur dan empat bilik mandi manakala Royal Garden menawarkan susun atur yang lebih luas dengan 4+1 bilik tidur dan empat bilik mandi, serta laman teres di tingkat atas.

Persekitaran mesra

BSP Avenue menawarkan persekitaran yang mesra untuk kehidupan bermasyarakat. Ia menyediakan rumah reka bentuk kontemporari, ciri-ciri yang mengurangkan penyelenggaraan dan kawasan lapang.

Dengan pembangunan bercampur yang merangkumi rumah teres setingkat, rumah kembar berangkai kelompok dua tingkat dan juga rumah kembar satu serta dua tingkat, BSP Avenue akan didiami oleh 1,500 keluarga menjelang tahun 2015.

Jenis rumah di BSP Avenue termasuklah Ivory Residences 1, Ivory Residences 2, Royal Ivory, Indigo Homes, Magenta Homes I, Magenta Homes II dan Camellia Cottage, yang kesemuanya mendapat sambutan positif dan sudah dijual sepenuhnya.

"Kami komited untuk menyediakan rumah menurut keperluan gaya hidup pembeli rumah Malaysia.

Falsafah LBS adalah untuk meningkatkan taraf kehidupan bermasyarakat dengan memudahkan hubungan dan kemesraan menerusi konsep rumah kelompok serta kemudahan lain," jelas Pengarah Urusan LBS, Datuk Lim Hock San.


ILUSTRASI grafik menunjukkan rumah model Royal Garden.


Walaupun lokasinya berhampiran dengan bandar raya, persekitaran menghijau yang segar dan nyaman membolehkan penduduk mendapat ketenangan dan mengasingkan diri.

Kawasan kediaman seluas 57.5 hektar itu juga menyediakan kawasan kelompok yang tidak terbatas. Ia memudahkan interaksi dan menyepadukan masyarakat.

Kemudahan awam

Projek tersebut juga dilengkapi ciri-ciri keselamatan moden, taman permainan interaktif, laman hijau dan kemudahan awam yang lain seperti lorong joging untuk anak-anak muda dan warga emas.

Padang permainan interaktif menyediakan platform untuk menggalakan gaya hidup sihat, pembelajaran dan pergaulan sosial antara penduduk BSP.

Kemudahan lain yang terletak berhampiran termasuk sekolah, pasar raya hiper dan hospital. Taman perumahan BSP yang serba lengkap dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tujuh tahun.

Dilancarkan pada 2003, Bandar Saujana Putra adalah sebuah taman perumahan yang semakin terkenal, dengan lebih 6,000 rumah telah disiapkan setakat ini.

Taman perumahan serba lengkap itu terletak kira-kira 30 kilometer ke tenggara pusat bandar Kuala Lumpur, berhampiran banyak taman perumahan pinggir bandar utama di Lembah Klang, tetapi cukup terpencil untuk memberikan ketenteraman.

Ia dihubungkan kepada beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuh Raya Maju (MEX). - NIZHA PERIASWAMY

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved