Ahad, 18 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tenaga lebih 'muda' berbanding usia

Posted:

Tenaga lebih 'muda' berbanding usia

Tenaga lebih 'muda' berbanding usia

SECARA analogi, adalah tidak keterlaluan jika mengibaratkan tubuh manusia seperti kereta. Bagi kereta yang sudah sampai jarak kilometer perjalanan yang perlu diservis, pemiliknya perlu menghantar kenderaan itu ke bengkel untuk pemeriksaan komponen, menukar minyak enjin dan sebagainya.

Jika rutin tersebut diabaikan, pasti lambat laun jentera tersebut akan hilang prestasi seterusnya 'meragam'.

Begitu juga dengan tubuh manusia. Darah yang mengalir di dalam tubuh umpama minyak enjin bagi memastikan kelancaran fungsi setiap organ.

"Jika minyak hitam perlu ditukar baharu, manusia tidaklah perlu sehingga menukar darah. Memadai dengan merawat darah yang ada.

"Setitik darah sudah mampu menentukan pelbagai jenis penyakit, apatah lagi lebih 50 jenis penyakit berpunca daripada darah dan toksik dalam darah itu sendiri," kata Dr. Mohammad Hazimi Hamzah daripada Pusat Pakar Perubatan Ozon dan Rejuvenasi (OMRSC).

Darah terdiri daripada 40 peratus pepejal (sel darah) dan 60 peratus cecair (plasma). Ia berfungsi membekalkan oksigen, zat makanan dan menjadi medium untuk seluruh sistem organ dalam badan manusia.

Tambah Mohammad Hazimi, apabila darah sudah menjadi punca penyakit, rawatan boleh dilakukan pada darah dengan kaedah terapi ozon.

Ia merupakan cabang perubatan komplementari yang sudah bertapak di Malaysia seawal tahun 1999. Konsep rawatan terapi ozon tersebut seolah-olah kaedah berbekam yang mengeluarkan darah untuk melancarkan aliran darah dalam badan, tetapi terapi ozon membersihkan darah dengan cara menapisnya.

"Rawatan ozon membolehkan kadar oksigen dalam darah berada pada tahap optimum dan ia menjadikan seseorang itu lebih bertenaga sehingga proses penyembuhan penyakit menjadi lebih cepat.

"Ia adalah rawatan alternatif kepada pesakit bagi membantu proses penyembuhan penyakit. Selain itu, ia mengelakkan seseorang daripada bergantung harap pada ubat-ubatan yang terlalu banyak atau mengurangkan dos ubat yang diambil," ujarnya.

Singkir toksin

Jelas Mohammad Hazimi, sesiapa sahaja boleh mendapatkan rawatan itu kerana ia tidak khusus buat mereka yang berpenyakit. Selain meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan, rawatan itu juga boleh menggalakkan proses antipenuaan, penyingkiran toksin dan pengurusan berat badan.

Tiada had umur ditetapkan bagi menjalani rawatan tersebut. Sungguhpun begitu, kebiasaannya peringkat umur 17 tahun hingga 60 tahun disarankan untuk berbuat demikian.


SEMUA alat dan komponen pemindahan darah tidak akan diguna semula.


"Begitupun, wanita yang mengandung dan uzur (datang haid) tidak digalakkan melakukannya. Golongan yang menghidap penyakit Glukosa-6-Fosfat Dehidrogenase (G6PD) pula perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan," jelasnya.

G6PD merupakan penyakit genetik iaitu tubuh tidak kekurangan enzim glukosa-6-fosfat dehidrogenase yang membantu sel-sel darah merah berfungsi secara normal.

Terapi ozon secara amnya boleh dijadikan alternatif untuk rawatan penyakit-penyakit seperti kolesterol tinggi, darah tinggi, diabetes melitus, ketidakseimbangan hormon, malaise (tidak sedap badan), gout, obesiti dan masalah kulit.

Semua pesakit perlu berjumpa dengan perunding terapi atau doktor bertugas terlebih dahulu untuk berbincang tentang masalah kesihatan yang dihidapi.

"Apabila segala maklumat latar belakang kesihatan pesakit diperoleh termasuk ujian darah, barulah pelan rawatan disediakan," katanya.

Sekali pandang, prosedur rawatan ozon seperti rawatan dialisis yang dijalankan ke atas pesakit yang mengalami kerosakan buah pinggang.

Terdapat pelbagai kaedah rawatan dan OMRSC menggunakan kaedah Extracorporeal Blood Oxygenation and Ozonation (EBOO) yang menyertakan vitamin dan mineral mengikut dos yang bersesuaian dengan pesakit.

Setiap pesakit perlu mengikut nasihat dan menjalankan rawatan susulan bagi menjamin kesan yang lebih efektif terhadap rawatan ozon tersebut.

Ujar Mohammad Hazimi, rawatan tersebut mengambil masa selama satu jam dan lebih kurang 30 mililiter darah akan ditapis dalam seminit dan 1,800 mililiter dalam satu sesi rawatan.

"Darah akan keluar dan masuk ke dalam satu alat yang dipanggil dialyzer yang berfungsi menapis segala toksin, kolestrol dan sel-sel yang berisiko menyebabkan kanser.

"Darah yang sudah ditapis akan masuk melalui satu tiub dan ozon yang dicampur dengan oksigen tulen akan 'ditembak' ke dalam darah tersebut (pengoksigenan dan pengozonan) sebelum diserap masuk kembali ke dalam salur darah," terangnya sambil memberitahu pesakit tidak akan berasa sakit sepanjang rawatan kecuali sedikit ketika proses mencucuk jarum branula.

Mohammad Hazimi menambah, rawatan ozon tersebut tidak mempunyai kesan sampingan. Pesakit boleh pulang tanpa rasa terhuyung-hayang, cuma pesakit disarankan minum air sekurang-kurangnya sebanyak tiga liter dalam tempoh 24 jam selepas rawatan.

"Pesakit tidak perlu bimbang kerana semua alat-alat yang digunakan tidak akan diguna semula.

"Bagi pesakit kronik, kita sarankan mereka untuk membuat rawatan sebanyak tiga kali selama tiga minggu berturut-turut dan kemudian rawatan susulan," katanya yang turut berpengalaman dalam bidang perubatan Islam, moden, komplimentari, akupuntur, herba dan homeopati.


DARAH yang telah ditapis dan dimasukkan oksigen serta ozon akan bertukar warna merah cerah berbanding merah pekat sebelumnya.


Rawatan pelengkap

Mohammad Hazimi menjelaskan, rawatan ozon tidak mengetepikan kepentingan perubatan moden, kerana ia lebih kepada pelengkap bagi perubatan moden.

Contohnya, pesakit yang berhadapan dengan masalah darah tinggi tidak akan disuruh menghentikan pengambilan ubat.

Terapi ozon sebaliknya bertindak membersihkan darah daripada radikal bebas yang boleh mengganggu penyerapan ubat. Secara tidak langsung, terapi ozon membantu keberkesanan perubatan moden.

"Pesakit yang mengalami masalah strok, diabetes, kencing manis dan darah tinggi, kami mencadangkan agar rawatan dilakukan setiap minggu bergantung kepada keadaan pesakit. Jika keadaan seseorang itu bertambah baik, rawatan hanya dilakukan sebulan sekali.

"Darah pesakit yang keluar berwarna merah pekat dan selepas ditapis dan dimasukkan oksigen dan ozon, darah akan berwarna merah cerah menandakan darah tersebut sudah bersih," ujarnya yang turut mengalu-alukan pesakit yang baru sahaja didiagnosis menghidap kanser peringkat awal.

Dalam pada itu, seorang pesakit, Faridah Hussaini, 49, dan suaminya Abang Bohari Abang Johari, 63, sanggup merentas Laut China Selatan untuk datang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mendapatkan rawatan terapi ozon.

Faridah dan suami dari Petrajaya, Kuching mula mendapatkan rawatan pada bulan Jun tahun lalu selepas disyorkan oleh temannya.

"Sebelum ini, saya sering mengalami migrain dan turut mengambil suplemen. Namun, rakan saya memberitahu jika tidak cuci darah, suplemen tidak boleh menyerap dengan baik ke dalam badan," katanya.

Menurut Faridah yang menafikan proses itu menyakitkan, selepas beberapa minit terapi dijalankan kepadanya, dia dapat melihat bendasing kuning dalam darah yang keluar melalui tiub sebelum ia ditapis.

"Dahulu, setiap minggu pasti saya dan suami datang ke pusat rawatan ini untuk melakukan terapi ozon, tetapi kini kami ke sini sebulan atau dua bulan sekali mengikut kelapangan.

"Badan akan rasa segar dan ringan sebaik sahaja rawatan selesai. Migrain yang dihidapi sebelum ini juga semakin berkurangan," katanya.

Bagi Faridah dan suami, kesihatan merupakan sesuatu yang tidak ternilai harganya.

"Bagi saya, kesihatan itu sangat penting bagi membolehkan kita beribadat. Jika berbelanja untuk benda lain kita sanggup, kenapa untuk kesihatan sendiri perlu berkira?," katanya.

Kemudahan bayar zakat dalam talian

Posted:

Kemudahan bayar zakat dalam talian

Kemudahan bayar zakat dalam talian

Oleh NURUL HALAWATI AZHARI


EKSEKUTIF Zakat, Siti Rozy Liani Mohd. Ramli (kanan) membaca doa selepas seorang pelanggan selesai melakukan pembayaran zakat.


PORTAL Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), menerusi www.zakat.com.my, bukan sahaja mampu memperkenalkan pelbagai perkhidmatan pembayaran zakat dalam talian malahan meningkatkan jumlah pembayar zakat.

Sejak dilancarkan pada bulan Ogos tahun lalu, Portal PPZ-MAIWP berjaya menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memberi kemudahan kepada pembayar zakat, menunaikan tanggungjawab zakat mereka pada bila-bila masa.

Berdasarkan statistik pembayaran zakat melalui potongan gaji zakat dalam talian dari bulan Ogos hingga Disember 2011, PPZ menerima jumlah RM266,638.28 daripada 740 pembayar zakat. Ia menyumbang sebanyak 10 peratus daripada kutipan zakat di portal PPZ-MAIWP.

Lebih menggembirakan, antara bulan Januari hingga Ogos tahun 2012, jumlah pembayar zakat potongan gaji dalam talian terus meningkat seramai 613 pembayar dengan kutipan sebanyak RM75,878.

Portal pembayaran

Menurut Pengurus Besar Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan perkhidmatan potongan gaji zakat itu dinamakan Skim Thohir.

"Thohir bermaksud suci dan membabitkan skim potongan gaji zakat berjadual. Portal ini menyediakan kemudahan pembayaran ke atas semua jenis zakat iaitu zakat pendapatan, zakat wang simpanan, zakat perniagaan, zakat emas, zakat saham dan zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)."

Kemudahan Skim Thohir secara talian diperkenalkan bagi memudahkan pembayar zakat. Pengguna dan pembayar zakat dialu-alukan menggunakan kemudahan Skim Thohir dalam talian kerana mereka boleh mentaksir zakat dan taksiran tersebut akan disimpan dalam rekod taksiran.

Pengguna juga boleh mencetak, memadam atau membayar zakat yang telah ditaksir kerana ia mengandungi jumlah taksiran tahunan dan bulanan.

Mohammed berkata, langkah untuk membuat pembayaran zakat secara potongan gaji menerusi skim yang diperkenalkan PPZ-MAIWP itu sangat mudah.

Pembayar hanya perlu mengisi Borang Kebenaran Potongan Gaji (PPZ 052) dalam talian dan pihak PPZ-MAIWP akan membuat susulan kepada majikan pembayar. Proses ini mengambil masa dalam tujuh hari bekerja.

Beliau turut menyenaraikan faedah yang diperoleh pengguna menerusi skim berkenaan. Selain membolehkan taksiran zakat sendiri, pembayar zakat juga boleh mengisi borang potongan gaji dalam talian.

Segala urusan potongan gaji akan dikendalikan sepenuhnya oleh PPZ-MAIWP dengan majikan. Pembayar juga boleh melakukan semakan penyata dalam talian.

Bagi pembayar yang telah membuat bayaran zakat di kaunter-kaunter zakat di Wilayah Persekutuan, mereka juga boleh membuat semakan pembayaran rasmi dengan mendaftar terlebih dahulu di portal berkenaan.

Kemudahan lain, pembayar boleh memohon salinan resit. Penyata melalui e-mel dan akan dipos ke alamat yang didaftarkan. Pembayar juga boleh mencetak rekod bayaran yang telah dibuat.

Zakat diwajibkan ke atas setiap umat Islam yang mencukupi syarat-syarat berzakat iaitu Islam, merdeka, milik yang sempurna, cukup nisab, cukup haul dan niat untuk berniaga.

Keberkatan pendapatan

Seperti firman Allah: "Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah melihat apa yang kamu kerjakan." Al-Baqarah: 110. Sebagai salah satu daripada Rukun Islam yang lima, kewajipan menunaikan perintah Allah ini bertujuan untuk memberi ketenangan dan keberkatan pendapatan kepada si pembayar zakat. Pihak yang layak menerima zakat (asnaf) pula, hasil kekayaan itu dapat dirasai bersama dan membantu mengurangkan beban mereka.

Sehubungan itu, ibadat zakat yang diwajibkan ialah pembahagian harta yang dimiliki oleh golongan kaya mengikut syarak.

Menurut Mohammed, pihak PPZ-MAIWP berharap dengan kemudahan pembayaran zakat dalam talian ini, mereka yang layak membayar zakat dapat menunaikan zakat yang wajib ke atas mereka.

Beliau menjelaskan, mereka yang membayar zakat boleh mendapat rebat cukai pendapatan individu seperti yang terdapat dalam akta Rebat Zakat Individu (Mastautin).

Bayaran zakat dibenarkan potongan sebagai rebat di bawah Sek 6A (3) ACP 1967 yang berkuat kuasa mulai tahun 1978: "Rebat hendaklah diberikan pada tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis."

Bagi kemudahan rebat bulanan atas Potongan Cukai Berjadual (PCB), majikan boleh menyelaraskan potongan cukai bulanan zakat daripada potongan cukai bulanan membayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Penyelarasan terus hendaklah dibuat dengan mengambil kira amaun zakat dan mengurangkan jumlah PCB sesuatu bulan.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi pusat panggilan PPZ di talian 1-300-88-5757 atau layari laman web www.zakat.com.my.

– Bernama

Ilham daripada murid sekolah

Posted:

Ilham daripada murid sekolah

Ilham daripada murid sekolah


ZAYU HISHAM menunjukkan beberapa buah karya tulisannya yang menjadi bacaan bermanfaat buat anak-anak muda.


BERTUGAS di Sekolah Kebangsaan PPR Lembah Subang, Petaling Jaya selaku guru dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Wan Zayuhisham Wan Yusoff, 40, berdepan dengan pelbagai pengalaman menarik.

Semua pengalaman tersebut menjadi pendorong untuknya menghasilkan beberapa buah novel dan buku cerita buat pembaca muda.

Mula mengasah ilmu penulisan novel Islamik di syarikat penerbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (GISB) pada bulan Mei 2009, dia yang menggunakan nama pena Zayu Hisham tampil dengan novel pertama, Impian Juara pada bulan Januari 2010.

"Sebelum memulakan minat penulisan ini, saya sebenarnya tidak pernah menulis cerpen dan tidak gemar membaca novel. Tetapi, saya banyak membaca buku-buku pembangunan diri.

"Pada bulan April 2009, Pengarang Kanan GISB, Zakaria Sungib, memaklumkan jika saya mahu menjadi novelis, saya wajib membaca seberapa banyak novel," kata anak kelahiran Setiu, Terengganu itu.

Pemegang diploma perguruan dari Institut Perguruan Islam Bangi dan ijazah Universiti Terbuka Malaysia (OUM) itu pada awalnya memaksa diri menghabiskan bacaan novel terbitan GISB berjudul Andai Namaku Afrina dalam masa tiga hari.

Zayu seterusnya membeli novel-novel remaja sebagai rujukan dan persiapan menulis manuskrip pertama.

"Ia penting supaya saya biasa dengan bahasa penulisan novel. Selepas itu saya menyertai pelbagai kursus penulisan novel dan cerpen. Antara guru penulisan saya ialah Zaharah Nawawi, Nisah Haron, Kusyi Hirdan, Zulina Hasan dan Maria Kajiwa," ujar Zayu.

Selama dua tahun setengah melibatkan diri dalam dunia penulisan, Zayu menghasilkan empat buah novel awal remaja selain Impian Juara iaitu Siri Penyiasatan Adib Adibah: Ops Menjejak Pencuri (2010), Impian Juara 2 (2011) dan Siri Penyiasatan Adib Adibah: Ops Conteng (2011).

Selepas itu, pada tahun 2012, Zayu mencuba genre penulisan buku motivasi iaitu Suami Yang Teruji yang telah dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012.

Dekat dengan diri

"Dunia kanak-kanak sangat dekat dengan diri saya. Itulah petua yang diberikan oleh Zakaria iaitu menulis sesuatu yang dekat dengan diri agar memudahkan tugasan menulis.

"Pengalaman berada dalam dunia pendidikan selama 14 tahun memudahkan tugasan saya menulis tentang dunia kanak-kanak," terang Zayu yang selalu mendapat ilham daripada anak-anak muridnya termasuk daripada empat orang anak lelakinya.

Sama seperti dirinya yang banyak menyerap ilmu penulisan, Zayu tidak lokek berkongsi tip kepada bakal penulis novel khususnya kanak-kanak.

Antara yang dititipkan Zayu ialah agar penulisan tersebut mengelakkan konflik yang sukar sebagaimana novel dewasa, watak negatif yang lebih dominan dan plot yang berselirat.

Zayu juga menasihatkan agar konflik dan mesej perlu sesuai dengan kanak-kanak sementara watak dalam novel itu seharusnya boleh dijadikan contoh kepada pembaca.

"Pastikan dialog yang digunakan boleh membina akhlak kanak-kanak. Tanamkan juga nilai-nilai murni seperti persahabatan dan kesabaran selain memuatkan unsur humor yang bersesuaian," ujar Zayu.

Jika diteliti, walaupun novel-novel Zayu berkisar tentang dunia sukan dan penyiasatan, tetapi unsur-unsur Islamik yang membina akhlak pembaca begitu ketara dipersembahkan.

Zayu juga sempat menceritakan tentang pengalaman yang paling tidak dapat dilupakannya. Menurutnya, sewaktu menghasilkan manuskrip pertama, hampir 80 peratus ideanya ditolak oleh Zakaria.

Begitupun, Zayu tidak putus asa. Dia tahu semua itu cabaran buatnya untuk menjadi lebih fokus, gigih dan lebih kreatif.

"Bukan mudah untuk bergelar novelis jika seseorang itu tiada burning desire dalam diri. Saya terpaksa menulis lebih kurang lima jam sehari pada setiap hari untuk menyiapkan novel pertama," ujarnya. - NIZHA PERIASWAMY

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved