Isnin, 26 November 2012

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Sentuhan magis pereka bersaudara

Posted:

Sentuhan magis pereka bersaudara

Sentuhan magis pereka bersaudara

Oleh HAFIZ AHMAD
mohammadhafi.ahmad@kosmo.com.my

KESUKARAN untuk mendapatkan busana istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri beberapa tahun lalu mencetus idea kepada pemilik jenama AzuraAzwa, Azura Liyana Azmi, 28, dan Azwa Elena Azmi, 25, untuk menjahit sendiri baju lebaran.

"Semuanya bermula ketika kami berada di United Kingdom (UK) untuk melanjutkan pelajaran," ujar Azura memulakan bicara.

Tidak mahu menyusahkan kedua-dua ibu bapa untuk mengirimkan baju-baju dari Malaysia, kedua-duanya sepakat mahu mereka dan menjahit baju tersebut dengan sedikit olahan yang lebih kontemporari.

Ghairah mereka bertambah usai mendapat perhatian pelajar antarabangsa yang lain. Akhirnya daripada sekadar suka-duka, dua beradik itu mula mengorak langkah untuk menceburi bidang rekaan kreatif secara sambilan.

"Kawan-kawan di UK sangat teruja dengan jahitan manik sarat yang terdapat pada baju dan aksesori yang kami reka. Malah, ada yang turut menempah busana dan aksesori hingga tercetusnya idea untuk mengembangkan perniagaan kami sekembalinya ke tanah air kelak," tambah Azwa yang menuntut dalam bidang Sistem Informasi Perniagaan di Middlesex University, London.

Azura, graduan Jurusan Rekaan Dalaman, Nottingham Trent University, bahkan turut mengambil jurusan jangka pendek di Central St. Martins, University of the Arts London bagi mendalami industri fesyen secara formal.

Signatur turban

"Sekembalinya saya ke tanah air, turban menjadi sandaran utama dalam memperkenalkan jenama AzuraAzwa kepada penggemar fesyen tempatan," jelas Azura.

Tambahnya, gaya turban tercetus apabila dia mula berjinak-jinak untuk tampil lebih muslimah. Tercari-cari imej yang lebih urban dan bergaya, turban dengan padanan busana moden dipilih bagi menampilkan pesona diri.

"Namun kebanyakan turban yang ada kadangkala merimaskan kerana lilitan yang tidak kemas. Lanjutan daripada itu, saya jahit lilitan turban yang dimahukan dan hanya serkup sahaja ketika menggayakannya," jelas gadis kelahiran Terengganu itu.

Ternyata, fesyen turban mula mendapat perhatian ramai sehingga boleh digayakan untuk pelbagai acara dan busana. Ia kini menjadi trend baharu kepada golongan remaja urban.

Tidak terhad kepada penggayaan wanita dengan imej muslimah, turban AzuraAzwa juga boleh digunakan oleh sesiapa sahaja kerana bentuk yang versatil dan boleh diolah pelbagai gaya.


AZWA (kiri) dan Azura antara pereka bersaudara yang sedang membina nama dalam industri fesyen.


Kelainan yang dikatakan terletak pada kombinasi dua gaya berbeza yang mewakili dua pereka tersebut.

"Rekaan AzuraAzwa terdiri daripada rangkuman gaya peribadi saya dan Azwa yang sangat kontra.

"Saya lebih feminin dengan penataan rona-rona pastel dan gaya yang lebih selamat, manakala Azwa pula suka menumpukan konsep yang lebih berani dengan mainan warna-warna garang serta fabrik yang di luar kebiasaan," jelas Azura.

Oleh kerana itu, tambahnya, pengguna akan mengetahui rekaan busana tersebut berdasarkan konsep peribadi Azura atau Azwa.

Terjun ke bidang yang berbeza dengan jurusan yang diikuti tidak membuatkan kedua-dua adik-beradik itu canggung, namun sedia bertatih bermula daripada awal.

"Ayah dan ibu sentiasa memberikan dorongan yang berterusan walau ada sedikit keraguan pada awalnya. Atas kesungguhan dan percaya pada takdir, kami terus mengorak langkah sehingga kini.

"Malah, ibu turut mengambil peranan sebagai pengurus bagi mengawal selia perjalanan perniagaan agar lebih lancar," bicara Azwa.

Butik yang dibuka kini juga merupakan pemberian daripada ibu dan ayah. Terletak di kawasan perumahan sekitar Damansara, Selangor rumah dua tingkat itu diubah dekorasinya menjadi rumah fesyen yang menempatkan bilik pameran dan ruang jahitan.

Lebih menarik, butik tersebut dihias indah oleh Azura sendiri yang pada masa sama turut membuat projek hiasan dalaman secara sambilan.

Koleksi busana

Melangkah lebih jauh dalam bidang fesyen, AzuraAzwa mencipta keghairahan dengan menghasilkan koleksi busana bagi penggemar jenama tersebut.

Koleksi ulung tersebut dikeluarkan sempena perayaan Aidilfitri yang lepas dengan memperkenalkan rekaan yang lebih kontemporari dan penggunaan corak fabrik berani.

Menariknya koleksi raya tersebut dilatari penggunaan corak kulit harimau yang membuatkan si pemakai tampak berbeza, namun masih mengekalkan ciri-ciri menawan dengan potongan yang feminin.


PADA usia label dua tahun, Azura dan Azwa wajar diberi pujian kerana empayar fesyen mereka semakin dikenali.


"Kami tidak menyangka apabila percubaan pertama tersebut mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan malah stok pakaian telah habis. Sehingga kini, kami masih lagi menerima tempahan bagi koleksi tersebut," ujar Azura.

Bagi meneruskan momentum perniagaan AzuraAzwa, jenama tersebut akan hadir dengan koleksi terbaharu yang didedikasikan khas buat ibu tercinta pereka.

"Setiap busana tersebut menggambarkan gaya peribadi ibu kami yang sentiasa tampil anggun dengan gaya yang mempesona," ujar Azwa.

Penggemar boleh menjangka rekaan yang lebih sederhana dengan menumpukan kepada ciptaan busana muslimah.

"Dalam koleksi tersebut, akan ada 20 pasang busana baharu bersama lima turban," jelas Azwa.

Tambah Azura, koleksi yang dijangka menemui penggemar fesyen pada Disember tahun ini, banyak menggunakan fabrik seperti sutera Itali, Swiss Zurich dan Shantung.

Bakal bertukar lokasi butik yang lebih besar tidak lama lagi, koleksi AzuraAzwa juga boleh dilihat melalui laman web www.azuraazwa.com.

Eksperimentasi pereka muda Sarawak

Posted:

Eksperimentasi pereka muda Sarawak

Eksperimentasi pereka muda Sarawak

ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my


TEMA Massive Merge melatari dres pendek rekaan Q Adamsha.


PEREKA-pereka muda Sarawak yang menyertai Sarawak Fashion Hi-Tea pada 17 November lalu dilihat masih tercari-cari identiti bagi merebut ruang dalam industri fesyen tanah air.

Tema The Uniqueness of Sarawak Art gagal diterjemahkan sebaiknya empat pereka amatur yang terdiri daripada MO Studios, Q Adamsha, Erwan Asbor dan Propaganda Boutique. Kecelaruan nyata terlihat dalam koleksi yang cuba ditampilkan sekali gus melenyapkan keterujaan hadirin yang menyaksikan acara yang berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor.

MO Studios misalnya, cuba bereksperimen dengan busana bermotifkan kain pua kumbu. Penggunaan terhad material kebanggaan Kepulauan Borneo itu menjadikan konsep rekaan yang cuba ditonjolkan agak kabur.


INSPIRASI pua kumbu menjadi pilihan pereka Von Jolly untuk koleksi terbaharunya.


Pujian harus diberikan kepada Q Adamsha atau nama sebenarnya, Kuraisya Banu Adamsya, 21, yang memilih Massive Merge sebagai tema koleksi peribadinya. Pelajar jurusan fesyen di Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) itu bijak mengolah rekaannya berinspirasikan kostum kaum Melanau.

Corak dan pola

"Saya memberi penegasan pada corak dan pembuatan pola menerusi permainan panel yang berbeza-beza. Hitam dan biru dipilih sebagai warna dominan yang kemudiannya diadun bersama sedikit teknik tompokan bersama rona jingga dan biru," jelas Kuraisya ketika ditemui Stailo usai acara tersebut.

Slot kemuncak pertunjukan fesyen menjadi milik pereka ternama, Von Jolly yang menyajikan tetamu dengan keindahan lapan rekaannya. Kesemua busana tersebut merupakan koleksi musim bunga/panas 2013 Von Jolly yang mengangkat pua kumbu sebagai pusat cerita.


BUSANA tradisi diolah menjadi dres peplum dengan padanan tali pinggang corak pua kumbu.


Rekaan Von Jolly secara tidak langsung menjadi rujukan buat kumpulan pereka muda tersebut. Cantuman berjaya kain pua kumbu bersama fabrik lain membuktikan kredibiliti Von Jolly selaku pereka tempatan yang berpengetahuan luas dalam industri seni reka.

"Masih banyak yang perlu dipelajari oleh pereka-pereka muda ini dan saya melihat acara sebegini sebagai platform terbaik bagi mereka mengembangkan bakat yang terpendam.

"Kolaborasi seperti ini wajar diadakan lagi kerana ia memberi pendedahan kepada pereka fesyen Sarawak yang bercita-cita mencipta nama dalam lapangan fesyen negara," ringkas pandangan Von Jolly.

Butik terbesar Pedro di 1Utama

Posted:

Butik terbesar Pedro di 1Utama

Butik terbesar Pedro di 1Utama


REKAAN sofistikated Pedro menepati cita rasa warga kota.


JENAMA kasut mewah dan moden, Pedro, membuka butik terbesarnya di pusat beli-belah 1Utama, Petaling Jaya, Selangor awal November lalu.

Pembukaan butik tersebut menggenapkan jumlah keseluruhan 44 butik jenama itu yang kini berada di 10 buah negara dalam rantau Asia.

Konsep butik: Sebagai butik Pedro terbesar di dunia, ruang dalaman kedai tersebut jauh lebih luas berbanding empat butik lain di negara ini. Kasut dan aksesori disusun secara teratur bagi memudahkan pengunjung membelek-belek barangan.

Hitam, putih dan kelabu mengisi penataan warna pada segenap ruang butik tersebut. Sofa hitam yang elegan membantu pengunjung mencuba sepatu pilihan dengan selesa.

Menawarkan: Sepatu pelbagai jenis seperti kulit, baldu dan sued untuk lelaki dan wanita menjadi lambang kemegahan Pedro. Aksesori berkualiti yang sofistikated termasuk beg, tali pinggang, tali leher dan dompet turut menepati cita rasa warga kota.


PELAKON Fizo Omar hadir pada majlis pembukaan butik Pedro 1Utama.


Rekaan dan warna: Mainan warna-warna lembut dan tidak terlalu garang mengisi rangkaian kasut Pedro. Namun, ia lebih dominan pada koleksi sepatu formal yang mempertaruhkan rona hitam dan coklat. Rekaannya pula ringkas dan bersahaja.

Keistimewaan: Kualiti item-item Pedro sememangnya diakui pelanggan setianya. Pada harga yang berpatutan, barangan Pedro mampu dimiliki dan dapat bertahan untuk tempoh yang panjang jika pemilik cermat menjaganya. Selain itu, nama Pedro itu sendiri cukup untuk membariskan si pemakai dalam kategori individu celik fesyen, rata-rata mereka bangga menyatakan: "Saya pakai Pedro!"

Lokasi: Lot G307, Ground Floor, Highstreet, Pusat beli-belah 1Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Telefon: 03-7726 5225.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved