Sabtu, 17 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Sako bebas merayap dalam rumah

Posted:

Sako bebas merayap dalam rumah

Sako bebas merayap dalam rumah

JIKA pengacara Dangerous Encounters di saluran Nat Geo Wild, Dr. Brady Barr terkenal dengan kebolehannya menjinakkan semua spesies reptilia, kepakaran Phang Joon Siong, 52, melayan ular sawa yang rupa dan saiznya seakan-akan ular anakonda juga tidak kurang hebatnya.

Joon Siong boleh disamakan dengan Barr, pakar reptilia dari Indiana, Amerika Syarikat, kerana dia turut mempunyai pengetahuan saintifik dan minat yang mendalam terhadap haiwan eksotik berbahaya.

Percaya atau tidak, ahli perniagaan itu memiliki hubungan istimewa dengan ular sawa batik belaannya yang diberi nama Sako. Sako juga dipanggil 'Abang Ular' memandangkan ia sudah dianggap seperti anak kandung Joon Siong sejak 22 tahun lalu.

Malah, bapa kepada empat orang anak yang digelar pakar menjinakkan haiwan eksotik oleh orang ramai itu kadangkala membiarkan Sako yang sepanjang 7 meter dengan berat mencecah 80 kilogram itu bebas 'bermain-main' di dalam rumah mereka yang terletak di Stutong Baru, Kuching, Sarawak.

Bukan omongan kosong kerana ketika penulis datang ke kediamannya baru-baru ini, rumahnya sentiasa dipenuhi pengunjung. Mereka juga kelihatan begitu selesa membelai dan bergambar bersama Sako yang bukan sahaja manja bahkan mesra.

Tidak cukup dengan itu, ada pengunjung yang tidak pernah mendekati dan memahami kehidupan sebenar reptlia itu sebelum ini terkejut melihat Joon Siong mencium dan mengusap Sako sambil kepala ular itu diletakkan di tapak tangannya.


KATA Joon Siong, ular akan bertindak agresif semasa bersalin kulit.


Joon Siong juga menunjukkan demonstrasi cara menghadapi seekor ular sawa gergasi seperti Sako yang sedang mengawal sarangnya.

Joon Siong berkata, beliau sentiasa merendah diri meskipun mempunyai pengalaman berdepan dengan reptilia berbadan licin dan bersisik berkenaan.

Bapa kepada empat orang anak itu mengakui pengetahuannya mengenai ular adalah berdasarkan pembacaan selain kecintaannya terhadap haiwan sejak kecil. Semua itu mendorongnya untuk belajar berkomunikasi dengan Sako.

Bercakap

"Selepas memahami Sako dan berkomunikasi dengannya, saya lebih mudah menjaganya. Setakat ini, saya boleh bercakap dengan Sako sahaja dan bukan dengan ular-ular lain memandangkan saya sudah biasa berkomunikasi dengannya.

"Mungkin ramai yang menganggap ia sekadar cakap-cakap kosong, tetapi inilah bakat yang saya ada," katanya kepada penulis.

Mengetahui tidak mustahil dirinya boleh menjadi makanan terbaik ular sawa jantan belaannya itu, Joon Siong memberitahu, dia menyedari ancaman itu.

Katanya, sesiapa sahaja yang membela haiwan oportunis itu sebenarnya terdedah kepada bahaya ditelan hidup-hidup. Ular sawa sering bertindak agresif semasa sebelum mahupun selepas bersalin kulit.

"Namun, bagi saya Sako berbeza daripada ular sawa lain. Ia sangat jinak malah mampu mengenali tuannya. Lebih-lebih lagi ia langsung tidak menunjukkan ekspresi muka seperti sakit, marah dan lapar.

"Sako semakin jinak apabila kerap dibelai dan disentuh. Berdasarkan pengetahuan saya, kehangatan tubuh manusia menjadi salah satu faktor mengapa ular berasa selesa dan manja, bahkan tidak menganggap manusia yang menjadi tuannya sebagai ancaman," ceritanya.

Mengimbas kembali ketika dia mula-mula membela Sako pada tahun 1990, Joon Siong mengakui hatinya berbelah-bahagi untuk meneruskan hasrat itu kerana terlalu sibuk bekerja di sebuah warung selain berdepan masalah kewangan.

Selepas dua bulan membelanya, Joon Siong menyerahkan Sako kepada seorang kawannya.

"Bagaimanapun, empat bulan kemudian warung tempat saya bekerja gempar apabila seekor ular sawa muncul secara tiba-tiba di situ. Tidak sangka, rupa-rupanya ular tersebut adalah Sako yang lari dari rumah rakan saya tadi.

Tidur


AKSI mencium dan membelai ular sawa sudah menjadi kebiasaan ahli keluarga Joon Siong.


"Jadi saya memutuskan untuk membelanya semula. Sejak itu, nasib saya berubah menjadi lebih baik termasuk murah rezeki sehingga mampu memulakan perniagaan sendiri," katanya.

Menurut Joon Siong, dalam tempoh sembilan tahun pertama membela Sako, adakalanya mereka tidur bersama menyebabkan haiwan itu menjadi terlalu jinak kerana sudah kenal dengan bau badan tuannya.

Menjaga Sako tidak sesukar mana kerana ia cuma makan tiga ekor ayam hidup setiap dua minggu.

"Tetapi saya juga perlu menyediakan sangkar besar sebagai kediamannya. Sako tahu had kawasannya. Jika dia bermain-main hingga ke pintu, ia pasti berundur sendiri seolah-olah tahu kawasan di luar rumah tidak selamat untuknya," katanya.

Perkara paling menarik perhatian ialah apabila mendengar cerita Joon Siong yang mengambil inisiatif untuk tidak mengurung haiwan kesayangannya itu ketika dia berada di rumah.

Katanya, haiwan bukan untuk dikurung kerana keadaan itu akan menyebabkanya mengalami tekanan.

"Seperti manusia, apabila tertekan, haiwan berkenaan tidak akan makan dan menjadi murung. Justeru, haiwan peliharaan saya bebas di rumah. Sako ada bilik sendiri. Kadangkala mereka akan dibiarkan bebas di ruang tamu.

"Paling lucu, anjing dan kucing peliharaan saya yang nakal suka mengusik Sako. Jadi mereka selalu main sorok-sorok di bawah kerusi," ceritanya.

Selain Sako, Joon Siong juga ada memelihara seekor anak ular sawa yang diberi nama Sa Chiek.

Joon Siong perlu memperbaharui permit untuk memelihara haiwan seperti Sako yang dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Sarawak kepada Jabatan Hutan Sarawak dengan bayaran RM10 setahun.

Selama 22 tahun membela Sako, haiwan itu dipercayai banyak membawa tuah sehingga orang ramai datang menziarahinya setiap hari sambil memberikan derma.


ANAK Joon Siong, Phang Lee Cheng, 13, gemar bermain-main dengan Sako.


Malah, ada beberapa individu mahu membeli Sako dan menawarkan wang tunai sehingga RM10,000 namun dia tidak sekali-kali akan menjualnya.

"Saya pernah menerima tawaran harga yang tinggi daripada peminat ular dari luar negara dua tahun lalu, tetapi saya enggan berbuat demikian semata-mata untuk mendapatkan duit segera.

"Bagi saya, haiwan juga ada perasaan. Saya tidak akan menjualnya kerana saya tidak sampai hati kecuali haiwan itu dibiak untuk dipelihara," katanya.

Masalah terlalu pengotor, pembersih

Posted:

Masalah terlalu pengotor, pembersih

Masalah terlalu pengotor, pembersih

TIDAK mandi seharian sahaja sudah menyebabkan badan berbau busuk namun sebaliknya bagi seorang lelaki tua di Mumbai, India, Kailash Singh. Singh tidak mandi selama lebih 37 tahun.

Dia juga tidak pernah memotong dua tocangnya yang sepanjang 1.82 meter sejak berkahwin pada tahun 1974.

Malah, bapa kepada tujuh orang anak perempuan itu mengatakan, seorang guru agama Hindu memberi jaminan kepadanya bahawa dia akan dikurniakan anak lelaki kalau melakukan perkara tersebut.

Malangnya Singh, 66, belum dikurniakan anak lelaki sehingga kini. Akibat kedegilannya itu, isterinya Kalavati Devi, 60, pernah mengugut untuk tidak mahu tidur bersamanya.

Tetapi memikirkan tanggungjawab sebagai seorang isteri, hasrat itu dipendamkan begitu sahaja oleh Devi.

Walaupun tidak mandi, Singh membasuh muka dan tangannya setiap hari.

Dia juga menggembala lembu dekat bandar Varanasi yang mencatatkan suhu panas sehingga 47 darjah Celsius. Singh selalu menjadi mangsa ejekan kanak-kanak di kampungnya akibat terlalu liat untuk mandi.

"Saya pernah memaksanya mandi tetapi dia melarikan diri seperti budak-budak.

"Malah, dia mengatakan dia lebih rela mati daripada mandi," cerita Devi.

Anaknya Pooja, 16, pula bersikap sebaliknya. Tabiat ayahnya itu menyebabkan dia popular di sekolah.

"Rakan-rakan sekolah sering ingin berjumpa dengan ayah bagi mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana dia boleh terus hidup tanpa perlu menjirus air ke tubuhnya.

"Pada mulanya saya memang marah dengan sikapnya tetapi dia bertegas dengan pendiriannya. Dia enggan mandi sehingga dikurniakan anak lelaki," ujar Pooja.

300 kali

Jika Singh tidak mahu mandi, berbeza pula dengan seorang wanita bernama Julie, 40, yang bersikap terlalu pembersih.

"Saya merasakan diri tidak cukup bersih," katanya yang bekerja sebagai pembantu pentadbiran di ibu negara.

Sejak 20 tahun lalu, Julie akan mencuci tangan sebanyak 300 kali sehari dan mandi 25 kali sehari.

Secara keseluruhan, masa yang diambil wanita ini untuk mandi ialah selama lima jam. Sebenarnya, Julie menghidap penyakit kecelaruan obsesif kompulsif.

Mengikut sains perubatan, mereka yang mengalaminya akan bersikap terlalu pembersih dan antikotoran serta bakteria.

Menurut Julie, dalam tempoh seminggu, sebanyak dua botol pencuci rambut serta 21 ketul sabun digunakan untuk dirinya seorang. Selain itu, bayaran bil utiliti flat yang disewanya di Kuala Lumpur meningkat setiap bulan.

"Selama 20 tahun saya mengalaminya iaitu sejak mula bekerja di makmal yang perlu mengendalikan darah pesakit HIV.

"Selepas bekerja di sana, saya seperti ketagih mencuci tangan," tutur Julie.

Dia pernah dibuang kerja kerana sering lewat ke tempat kerja akibat penyakit 'mahu mandi lama' itu.

Namun, kini dia sedang mengikuti kelas bagi membolehkannya mengawal nafsu daripada terus membersihkan diri.

Situasi sama dialami Howard Hughes, seorang jutawan Amerika Syarikat yang sering membasuh tangan sejak kecil.

Menurut rakan-rakan Hughes, dia juga akan memotong kacang yang merupakan makanan kegemarannya menggunakan garpu khas kepada beberapa bahagian kecil selain tidak pernah keluar rumah selama beberapa bulan.

Menurut pakar sakit mental dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Nor Zuraida Zainal, penyakit ini disebabkan perasaan takut yang keterlaluan.

Ujarnya, tindakan itu boleh mendorong kepada simptom fizikal seperti sesak nafas dan jantung berdegup kencang sebelum menjurus kepada sakit dada manakala tangan dan badan menggeletar.

Fobia ini lebih banyak menyerang wanita berbanding lelaki.

"Banyak faktor yang mempengaruhinya, antaranya peristiwa yang dialami seseorang semasa kanak-kanak, keturunan, panik yang melampau atau tekanan yang sedang dihadapi.

"Tetapi mungkin ramai pesakit yang tidak berjumpa doktor menyebabkan kelakuan ini berubah menjadi lebih buruk kerana tidak diubati lebih awal," katanya yang menegaskan pesakit boleh menjadi gila jika tidak dirawat.

Namun, banyak pendekatan yang boleh digunakan untuk memulihkan penyakit ini. Antaranya dengan mengambil ubat-ubatan secara berkala selain mengajar mereka mengawal perasaan fobia itu.

"Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan pesakit mental, jarang sekali menemukan kes seperti ini. Tetapi mungkin ramai yang tidak mengetahui mereka sebenarnya sedang menghidap sejenis penyakit," tutur Zuraida. - Agensi

Mandi-manda sepuasnya

Posted:

Mandi-manda sepuasnya

Mandi-manda sepuasnya

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM



MUSIM cuti persekolahan yang kembali tiba menyebabkan ibu bapa runsing memikirkan keinginan anak-anak yang mahu bercuti di tempat-tempat menarik.

Sememangnya Malaysia kaya dengan destinasi percutian sama ada berkonsepkan gunung-ganang, sungai, mahupun pulau dan laut.

Bagi yang ingin merasai keghairahan mandi-manda selain menikmati pemandangan indah tepi pantai, Ancasa Allsuites Resort & Spa di Port Dickson, Negeri Sembilan mungkin satu percaturan yang baik.

Terletak di tengah-tengah kawasan hijau yang subur di Teluk Kemang, resort ini pasti menawan hati dengan aura kehangatan sebuah resort mewah ala tropika.

Menawarkan lebih 100 suite bilik tidur, kunjungan anda berbaloi dengan keadaan bilik yang selesa dan lengkap berhawa dingin.

Memasuki bilik pantas membuatkan anda terpesona dengan rekaan bercirikan mewahnya selain permainan warna terang dan gelap yang sangat sepadan.

Set perabot kayu berunsurkan tradisional membuai perasaan seolah-olah anda sedang bercuti di kampung halaman.

Susun atur perabot pula tidak terlalu padat sehingga menyesakkan pandangan.

Jangan terkejut kerana terdapat pokok buluh dan keladi hidup yang diletakkan di dalam bilik. Ini menjadikan persekitaran hijau benar-benar terserlah.

Pengurus Perhubungan Awam Ancasa, Melinda Marie Ambrose, berkata, sebelum mandi di pantai, eloklah mandi sepuas-puasnya di kolam renang hotel terlebih dulu kerana peluang mandi di kolam yang luas itu jarang dapat diperoleh.

Terapi

"Tetapi ada juga pengunjung khususnya kanak-kanak yang mandi pantai hampir seharian sebelum mencuba kolam renang," katanya.

Setelah puas mandi pantai dan kolam, Saffron Brasserie bersedia dengan menu makanan yang akan membuatkan anda kecur air liur.

"Terdapat kepelbagaian menu masakan yang sedia disajikan termasuk ala Barat dan Timur.

"Kemudahan barbeku juga disediakan mengikut permintaan tetamu," kata Melinda.

Selain itu, jika ingin menguji kelunakan suara, terdapat lima bilik karaoke pelbagai saiz boleh dicuba dengan kadar harga yang berpatutan.

Kalau anda lenguh-lenguh badan akibat bercempera terlalu lama, Spa Ancasa menjanjikan rehat maksimum sambil diurut oleh ahli terapi profesional.

Spa berkonsepkan tradisional Bali ini menawarkan pilihan rawatan daripada hujung rambut hingga hujung kaki bagi menyeimbangkan kembali minda yang kusut dan tubuh yang letih.

Malah, kelegaan mula terasa seawal kaki melangkah masuk ke kawasan spa yang berlandskap indah ini apatah lagi selepas telinga sayup-sayup menangkap kelunakan lagu-lagu Bali yang menenangkan.

Kemudian, pengunjung berpeluang membasahkan tekak dengan secawan air halia panas yang menyegarkan sebelum rawatan bermula.

Melinda memberitahu, urutan itu bagaikan dapat mengembalikan tenaga yang hilang bahkan mententeramkan fikiran.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved