Rabu, 28 November 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Tawan pelajar bahana hutang

Posted:

Tawan pelajar bahana hutang

Tawan pelajar bahana hutang

Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my

ANGGOTA polis mengelilingi suspek (dalam bulatan) yang menjadikan Wan Nor Hayati sebagai tebusan di Samarahan kelmarin.


SAMARAHAN – Seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menghadapi detik paling mencemaskan dalam hidupnya apabila dijadikan tebusan selama sejam oleh seorang lelaki Indonesia yang menghadapi masalah hutang kelmarin.

Kejadian pukul 5.15 petang berhampiran Koperasi Kolej Cempaka, kampus tersebut di sini itu menyebabkan Wan Nor Hayati Wan Mahmud, 22, dari Kelantan trauma apabila diacu pisat lipat oleh suspek.

Bagaimanapun, pelajar tahun tiga jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dengan Kepujian (Pengurusan Seni) universiti tersebut tidak dicederakan.

Polis yang tiba sebaik menerima maklumat kemudian telah membuat rundingan dengan suspek sebelum lelaki itu bersetuju melepaskan mangsa.

Difahamkan, suspek dari Lempur Danau, Jambi Indonesia berusia 30 tahun tersebut datang ke negara ini pada Sabtu lalu untuk mencari pekerjaan.

Sebaik tiba di Kuching, suspek telah tinggal di rumah kongsi bersama seorang rakannya yang bekerja sebagai buruh binaan di dalam kawasan kampus tersebut.

Sebelum kejadian, suspek dikatakan telah menerima panggilan dari kampung mengatakan anak dan isterinya telah ditahan dan diugut ah long kerana hutang yang dibuatnya.

Suspek yang berang apabila majikan tidak mengizinkannya pulang kemudian nekad menggunakan jalan mudah untuk dihantar pulang dengan menjadikan mangsa sebagai tebusan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Zulkifli Hassan berkata, semasa menahan mangsa, suspek memberitahu pelajar itu supaya 'jangan bimbang saya takkan cederakan kamu, panggil polis saya banyak lakukan dosa.'


SITI NURFARAWAHIDA (kanan) menunjukkan bagaimana suspek mengacukan pisau ke leher Wan Nor Hayati.


Katanya, sebaik tiba, pihaknya tidak mengambil masa yang lama untuk membuatkan suspek menyerah diri dan melepaskan tebusan.

"Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian tetapi tidak menolak kemungkinan suspek berbuat demikian kerana masalah keluarga di kampungnya.

"Kita juga percaya suspek berbuat demikian untuk mendapat perhatian polis supaya dihantar pulang," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Zulkifli, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah.

Sementara itu, Wan Noor Hayati memberitahu, dia tidak dapat melupakan saat-saat cemas ketika ditawan selama sejam.

Katanya, sebelum kejadian, dia sedang berjalan bersama rakan, Siti Nurfarawahida Abdul Rahim, 22, untuk ke kelas sebelum suspek menerpa dari belakang.

"Saya cuba leraikan pelukan lelaki tersebut dengan cara memukul menggunakan payung tetapi bukan sahaja gagal malah, pelukan itu semakin kuat. Ketika itu saya hanya memikirkan mengenai nyawa saya melayang," cerita anak ketiga daripada lima beradik itu yang masih trauma ekoran kejadian tersebut.

Tambahnya, dia ada bertanya mengapa dia dijadikan sasaran tetapi suspek tidak menjawab. Dia bagaimanapun bersyukur apabila dilepaskan sebaik polis tiba.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Unimas, Mohd. Fadzil Abd. Rahman berkata, pihaknya telah memaklumkan mengenai kejadian tersebut kepada keluarga mangsa.

Maut ditimpa durian 2 kilogram

Posted:

Maut ditimpa durian 2 kilogram

Maut ditimpa durian 2 kilogram

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my


ZAINAL menunjukkan buah durian yang menimpa anak sulungnya sambil diperhatikan Samimi.


NIBONG TEBAL – Seorang bayi lelaki berusia sebulan maut apabila dihempap sebiji durian seberat dua kilogram yang luruh ketika berada dalam dukungan ibunya di belakang rumah sewa mereka di Kampung Badak Mati, Jawi dekat sini kelmarin.

Muhd. Yusuf Zainal disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Bakap (HSB) pada pukul 5 petang akibat kecederaan parah di kepala.

Sejam sebelum disahkan meninggal dunia, durian kampung tersebut luruh dari sebatang pokok setinggi 13 meter yang tumbuh bersebelahan dengan ampaian tempat ibu mangsa, Samimi Kasmin, 40-an, menjemur pakaian.

Samimi merupakan seorang warga Indonesia manakala suaminya, Zainal Abedin, 46, merupakan rakyat Bangladesh dan bekerja sebagai buruh binaan di Permatang Tinggi.

Kedua-dua pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga pada 2010 dan menetap di rumah papan itu sejak berkahwin.


MUHD. YUSUF menemui ajal selepas kepalanya ditimpa durian kampung seberat dua kilogram di Nibong Tebal kelmarin.


Mengimbau semula kejadian itu, Samimi memberitahu, sebelum kejadian dia sedang mengangkat pakaian di ampaian dan mendengar tangisan Muhd. Yusuf yang ketika itu sedang tidur di buaian di dalam rumah.

"Saya kemudian masuk lalu mendukungnya sebelum meneruskan semula kerja mengangkat pakaian. Tanpa disangka, sebiji durian tiba-tiba luruh lalu terkena kepala dia dan tangan kiri saya," ceritanya ketika ditemui di HSB di sini.

Tambahnya, dia kemudian cemas apabila mendapati Muhd. Yusuf terus terdiam dan tidak sedarkan diri sebelum menjerit dan memanggil jiran untuk membawa anaknya ke HSB. Ketika itu suaminya keluar bekerja.

Sementara itu, Zainal berkata, dia reda dengan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu namun enggan mengulas lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Kepala koyak main gelongsor air

Posted:

Kepala koyak main gelongsor air

Kepala koyak main gelongsor air

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my


SHARINA menunjukkan kesan luka di kepala anaknya, Muhammad Aiman selepas mendakwa terjatuh ketika mandi-manda di sebuah taman tema air di Melaka 20 November lalu.


KANGAR – Keseronokan seorang pelajar mandi-manda di sebuah taman tema air di Ayer Keroh, Melaka bertukar menjadi igauan buruk ketika bermain salah satu gelongsor air di situ.

Akibat kejadian itu, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini, Muhammad Aiman Afzal Suhaizam, 14, mengalami pendarahan otak dan tempurung kepalanya retak selepas terjatuh pada ketinggian kira-kira empat meter dari permainan gelongsor air boomerang dalam kejadian 20 November lalu.

Mengimbau semula kejadian itu, ibu mangsa, Sharina Wahab, 39, mendakwa, dalam kejadian itu, kepala anaknya terhantuk sehingga terpaksa menerima 30 jahitan selain lebam di lutut, tangan dan tengkuk.

Dakwanya, anaknya pergi ke situ selepas mengikuti percutian selama empat hari anjuran Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis melibatkan rombongan kira-kira 80 orang terdiri daripada pelajar dan guru bermula 19 November lalu.

"Kejadian disebabkan kecuaian petugas yang menyelia permainan gelongsor tersebut apabila dia melepaskan Aiman dalam keadaan berpusing-pusing sehingga anak saya terpelanting keluar.

"Ekoran itu, Aiman terjatuh ke lantai konkrit dari ketinggian empat meter menyebabkan kepala anak saya terhantuk selain kesan lebam di lutut, tangan dan tengkuk sehingga menerima 30 jahitan," dakwanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Padi di sini semalam.

Dakwanya lagi, sebelum itu, Aiman telah meminta penyelia terbabit supaya tidak memusingkan pelampung yang dinaiki namun tidak diendahkan.

Menurut Sharina, dia kini resah dan risau apabila doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat anaknya memaklumkan yang Aiman bakal mengalami simptom pening dan sakit kepala seumur hidup.

"Kini anak saya sering mengantuk selain lesu setiap kali bangun tidur dan keadaan itu telah mengubah kehidupan anak saya yang sebelum ini ceria," dakwanya.

Ujar Sharina, apa yang dikesalkan pihak taman rema air tersebut dan JPN Perlis mendiamkan diri selepas kejadian itu.

Sementara itu Pengarah Pelajaran Negeri, Dun Kasa ketika dihubungi menyatakan, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

Dalam pada itu di Melaka, jurucakap taman tema tersebut memberitahu, pihaknya tidak pernah lepas tangan mengenai kejadian berkenaan dan sedang menunggu laporan penuh perubatan untuk tindakan lanjut.

"Kami telah menyediakan ambulans untuk menghantar mangsa ke Hospital Melaka sebaik kejadian sebelum dia dirujuk ke HKL.

"Kes ini pertama kali berlaku sejak kami mula beroperasi pada 15 Mei 2010," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, kejadian mungkin berlaku apabila posisi badan mangsa yang ketika itu menggunakan pelampung tidak stabil sehingga dia tercampak keluar.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved