Rabu, 28 November 2012

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Tiga tarikan mengisi masa

Posted:

Tiga tarikan mengisi masa

Tiga tarikan mengisi masa

Oleh NASRI JAMALUDIN

KEINDAHAN pemandangan Broga menggamit kedatangan pengunjung.


WAKTU itu, jam tepat menunjukkan pukul 12 tengah hari. Cuaca sangat panas, badan pula terasa penat, namun desiran lalang yang ditiup angin menghasilkan satu irama indah membakar semangat penulis meneruskan pendakian ke puncak yang tinggal hanya beberapa meter.

Pendakian yang ditemani jurufoto, Azliza Hailani dan Pengarah Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Perbandaran Kajang, Shariman Mohd. Nor itu berjalan lancar.

Liuk-lentuk lalang dengan pemandangan indah di Bukit Broga, Semenyih memberikan kami kepuasan mendaki bukit yang setinggi 400 meter itu.

Bukit Broga terkenal bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah warga asing. Pendakian bukit ini bermula dari kawasan kelapa sawit memasuki kawasan hutan sebelum ke bahagian atas yang dipenuhi pokok lalang.

Bukit Broga tidak sukar didaki tetapi perlu memakai kasut yang sesuai kerana laluannya licin terutama selepas hujan. Kira-kira 200 meter di bahagian atas pula, dipenuhi lalang menyebabkan panas terik mentari mencucuk diri.


KELETAH arnab yang comel dan jinak menarik perhatian pengunjung.


Keadaan bukitnya juga curam dan pendaki perlu sentiasa berhati-hati terutama ketika turun. Terdapat juga batu-batu besar yang perlu dipanjat.

Bagi individu yang ingin melihat matahari terbit, lazimnya mereka sudah bersedia memulakan pendakian seawal pukul 4 pagi. Pastinya, lampu suluh menjadi peneman.

Memakan masa pendakian sekitar sejam lebih, tidak hairanlah bukit ini turut menjadi tumpuan gadis-gadis serta warga emas yang mengutamakan kesihatan dan kecergasan.

Menjelang tengah hari, bilangan pengunjung di Bukit Broga ini semakin kurang dan pulang ke destinasi masing-masing.

Saya pula tidak melepaskan peluang melawat ladang arnab terbesar di Malaysia yang terletak bertentangan dengan Bukit Broga. Hanya beberapa minit berjalan kaki dari kawasan kelapa sawit, penulis sudah berada di pintu masuk tempat yang dikenali sebagai Rabbit Fun Land ini.

Bermesra dengan arnab

Dengan bayaran RM2, penulis menghabiskan masa kira-kira sejam untuk 'bermesra' dengan arnab. Kawasan ini sebenarnya turut dihuni haiwan lain seperti lembu, kambing, kera, burung unta, kuda, keldai dan rusa.

Arnab-arnab di sini bakanya diimport dari New Zealand, Amerika Syarikat, Australia dan Perancis. Ia diternak bagi pasaran daging arnab seluruh Malaysia. Terdapat 30,000 ekor arnab diternak di Rabbit Fun Land.

Bagaimanapun, para pengunjung hanya berpeluang bermesra dengan beberapa ekor arnab yang diletakkan di dalam satu kawasan yang berpagar.

"Eee...comelnya, bulu pun cantik dan lembut," itulah kata pengunjung, Wong Wai Yee, 13, ketika bermain dengan arnab.

Puas bermain dengan arnab, pengunjung boleh menunggang kuda atau memberi kera makan lobak. Pasti anda terhibur melihat gelagat-gelagat monyet ini ketika meminta makanan daripada pengunjung.

Pengusaha ladang tersebut, Daniel Wong, 30, berkata, ladang tersebut dibuka sejak enam tahun lalu, namun bapanya, David Wong, 55, telah terbabit dengan perusahaan arnab sejak 25 tahun lalu.

"Kami merupakan peneraju dalam perusahaan arnab di negara ini. Arnab-arnab di sini dagingnya dibuat sate, burger, disalai, masak kari atau sup.

"Di Rabbit Fun Land, pengunjung boleh membelai arnab, bergambar dengan lembu susu atau kambing Afrika," katanya.

Pengunjung juga boleh menikmati sate arnab, nasi goreng daging arnab salai daging arnab salai dan lain-lain makanan di kawasan ini. Isu halal? Jangan bimbang, kerana restoran itu mendapat pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


SEORANG pekerja Restoran Fish Valley menangkap ikan tilapia merah yang ditempah pelanggan.


Penat mendaki Bukit Broga semakin terasa dan hati pun sudah puas 'bermesra' bersama arnab, perut pula minta diisi.

Dari segi makanan, Semenyih turut mempunyai tarikan tersendiri. Restoran Fish Valley di Taman Sri Heneco cukup popular dengan makanan yang berasaskan ikan air tawar segar.

Tangkap ikan

Walaupun baru tiga tahun dibuka, restoran ini mempunyai pelanggan tetap termasuk daripada kalangan orang ternama tempatan dan negara jiran, Singapura.

Sebanyak 11 buah kolam yang terletak di sekitar kawasan restoran menjadi bukti bahawa bekalan ikannya segar dan mudah didapati.

Apabila pelanggan membuat tempahan, para pekerja akan menangkap ikan di kolam sekunder sebelum ditimbang dan disiang lalu dibersihkan untuk dimasak.

Kolam-kolam tersebut juga merupakan milik restoran berkenaan yang menjadi tumpuan kaki pancing selain ikan-ikan tersebut untuk pasaran tempatan dan pasar-pasar raya.

Berkonsep masakan Thai dan Cina, pengusaha restoran, Hanim Raduan, 44, menggajikan ketua tukang masak dari Thailand yang merupakan salah seorang daripada 10 tukang masak terbaik di negara berkenaan.

"Restoran ini mempunyai 16 orang tukang masak dan menu kami sentiasa bertambah kerana mereka rajin mencuba masakan baharu hinggakan ada masakan yang tidak bernama.

"Kami jamin, ikan yang digunakan ialah ikan gred A, segar dan isinya enak. Kolam-kolam kami disaliri air bukit dengan sumber makanan jagung dan palet," katanya.

Ikan talapia merah dilumur garam dan dibakar antara 916 menu kegemaran para pelanggan tetap di restoran tersebut.

Penulis juga sempat menikmati satu menu baharu iaitu ikan tilapia merah digoreng bersama kacang dengan beberapa ramuan lain.

Sehari berada di Semenyih memberikan satu pengalaman baharu dan berharga. Walaupun penat, kepuasan mendaki Bukit Broga, membelai arnab dan menikmati masakan ikan segar membuatkan ia satu penerokaan yang berbaloi.

Kayuhan musim luruh Korea Selatan

Posted:

Kayuhan musim luruh Korea Selatan

Kayuhan musim luruh Korea Selatan


KEMUDAHAN penyewaan basikal turut disediakan kepada para pelancong.


'MIRACLE Of The Han River'. Itulah kata-kata hebat bekas Presiden Korea Selatan, Park Chung Hee yang berjaya membangkitkan semangat rakyat Korea Selatan untuk bersama-sama menjadikan negara tersebut kuat dan maju.

Kini, seluruh dunia terkena tempias 'Gelombang Korea' yang menjadi bukti kebangkitan negara tersebut dalam pelbagai bidang. Korea Selatan muncul sebagai salah satu kuasa baharu dalam bidang teknologi di dunia.


PENULIS mengayuh basikal selama dua jam menyusuri Sungai Han dan beberapa kawasan perkampungan.


Tidak cukup dengan itu, negara yang berada pada kedudukan kelima secara keseluruhan pada Sukan Olimpik London tahun ini turut terkenal dalam industri hiburan.

Di Malaysia, ramai yang tergila-gilakan drama Korea dan muzik K-Pop. Bahkan, lagu Gangnam Style nyanyian Psy turut menjadi kegilaan seluruh dunia.

Begitulah antara pengaruh negara empat musim itu sehingga menyebabkan jutaan pelancong bertandang tamu di negara itu setiap tahun.

Dengan menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang penerbangan ke Seoul hanya memakan masa selama enam jam 30 minit.


PELANCONG boleh berhenti di lokasi tertentu untuk mengambil foto atau menjamu selera.


Jadi, tidak hairanlah Korea Selatan juga menjadi tumpuan percutian rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman iklim empat musim.

Antara lokasi pelancongan popular di Seoul termasuklah Itaewon, Dongdaemon, Namdaemon, Insa Dong, Myeong Dong dan Pulau Nami.

Kita boleh menemui ramai pelancong Malaysia di kawasan tersebut dan masing-masing sempat tersenyum apabila bertemu satu sama lain.

Keramahan rakyat Malaysia tetap terpelihara, walaupun berada di luar negara. Istilah tidak mengenali antara satu sama lain bukanlah penghalang untuk saling bertegur sapa, bahkan bertukar pandangan mengenai tempat yang patut dilawati.


PASPORT yang diterima penulis selepas membuat kayuhan sekitar 10 kilometer di laluan Sungai Han.


Aktiviti berbasikal

Bagaimanapun, percutian penulis ke Korea agak berbeza apabila memilih cara berbasikal untuk mengembara melalui empat sungai utama di negara tersebut.

Idea untuk mengembara secara berbasikal timbul apabila perkhidmatan kereta api trek tunggal yang melalui empat sungai utama iaitu Sungai Han, Sungai Nakdong, Sungai Geum dan Sungai Yeongsan ditamatkan.

Rel kereta api itu yang asalnya sejajar dengan sungai-sungai berkenaan kini bertukar kepada laluan basikal sepanjang 633 kilometer.

Ia sekali gus menjadikan aktiviti riadah selain tarikan pelancongan popular bagi penggemar basikal, tidak hanya di Korea Selatan, bahkan di seluruh dunia.

Penulis bersama rakan-rakan berbasikal sepanjang Sungai Han pada awal November lalu. Kami berada di Korea untuk program anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dan Central Officials Training Institute (COTI) di Seoul.


PENULIS bergambar kenangan berlatar belakangkan sebuah jambatan merentangi Sungai Han.


Ketika itu musim luruh, namun cuaca tetap sejuk kerana suhu menjunam ke paras 1 darjah Celcius selain tiupan angin yang kuat.

Keadaan cuaca yang sejuk bukanlah satu penghalang, malah menjadi pencetus semangat kami untuk meneruskan pengembaraan.

Kami menyewa basikal pada harga RM15 selama dua jam bermula di Stesen Neungnae.

Kami mengayuh lebih 10 kilometer melepasi pelbagai landskap indah sekitar Seoul.

Pelancong yang ingin mengikuti percutian secara berbasikal, perkhidmatan penyewaan basikal termasuk basikal kembar boleh didapati di setiap stesen kereta api.

Sebaik-baiknya, pelancong mendaftar terlebih dulu sebelum memulakan kayuhan. Ini bagi membolehkan anda memegang pasport basikal yang perlu dicop apabila berhenti di stesen-stesen tertentu.


PASAR Itaewon menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk membeli-belah di Seoul.


Keselamatan

Jika semua 49 ruangan di setiap pasport tersebut dicop, pengayuh akan menerima pingat dan sijil sebagai tanda penghargaan.

Sehingga Oktober tahun ini, hanya 12 pengayuh dari Malaysia yang berjaya melengkapi kayuhan di semua sungai tersebut.

Mengembara dengan mengayuh basikal amat istimewa kerana dapat menikmati pemandangan indah Korea Selatan dengan lebih dekat. Sepanjang kayuhan itu, penulis melalui pelbagai bentuk jambatan, terowong, kawasan perkampungan, bandar-bandar kecil, sungai dan bukit-bukau.

Jika berasa penat, jangan khuatir kerana terdapat banyak tempat untuk berhenti. Setiap tempat tersebut banyak terdapat gerai atau premis menjual makanan dan minuman selain tandas yang bersih.

Dari segi keselamatan juga jangan gusar kerana terdapat banyak televisyen litar tertutup (CCTV) yang sentiasa memantau pergerakan anda. Jika berlaku kecemasan, bantuan segera akan diberikan oleh petugas di stesen terdekat.

Komitmen dan kesungguhan Korea Selatan merancakkan aktiviti sukan dan amalan gaya hidup sihat turut mendapat respons positif rakyat negara tersebut.

Aktiviti itu umpama serampang dua mata apabila bukan sahaja berjaya menjadikan masyarakat yang lebih sihat, malah menarik kedatangan pelancong terutama peminat aktiviti berbasikal.

Mengembara menaiki basikal memang meletihkan, namun memberikan satu kepuasan yang sukar digambarkan. Penulis sendiri dapat menikmati keunikan Korea Selatan pada sudut berbeza.

Menara tertinggi di Vietnam

Posted:

Menara tertinggi di Vietnam

Menara tertinggi di Vietnam


MENARA utama diapit dua menara untuk kediaman bermandikan cahaya pada waktu malam.


PERANG Vietnam begitu sinonim dalam sejarah peradaban dunia. Peperangan yang berakhir pada 30 April 1975 itu mengorbankan 3 juta rakyatnya dan lebih 55,000 tentera Amerika.

Bagaimanapun, kisah duka itu telah berakhir. Vietnam kini terus berkembang dari segi ekonomi termasuk menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Bahkan perkembangan Vietnam semakin pesat. Buktinya, bangunan pencakar langit, Keangnam Hanoi Landmark Tower gagah berdiri di Hanoi, ibu kota negara berkenaan.

Terletak di Jalan Pham Hung, Cau Giay, bangunan yang bercirikan senibina moden ini mempunyai tiga menara masing-masing iaitu menara utama, Menara Keangnam setinggi 336 meter (m) dan diapit dua menara lain setinggi 212 m.

Di menara utama menempatkan kompleks beli-belah dan 70 tingkat untuk pejabat manakala dua menara lagi untuk kediaman masing-masing 47 tingkat. Bahagian bawah atau permukaan merupakan kawasan tempat meletak motosikal dan kereta.

Menara utama terletak di kawasan seluas 46,000 meter persegi (m2) daripada keseluruhan tapak pembinaan iaitu 579,000 m2. Ia berada pada kedudukan kelima dunia dari segi keluasan tapak bagi sebuah bangunan tinggi.


HANOI semakin pesat membangun seiring dengan negara Asia Tenggara lain seperti Thailand dan Malaysia.


Siap dibina pada tahun ini, bangunan menara tersebut turut menempatkan hotel lima bintang, pejabat, ruang hiburan, perniagaan runcit, klinik dan pusat konvensyen.

Bangunan kediaman pula menawarkan kediaman berkonsep apartmen yang terdiri daripada dua hingga empat bilik.

Helikopter mendarat

Apartmen ini turut menyasarkan pembeli warga asing terutama bagi unit yang dilengkapi semua kemudahan.

Menara Keangnam merupakan yang ke-26 tertinggi di dunia dan ke-17 bagi kategori pejabat untuk disewa.

Sebuah syarikat dari Korea Selatan, Vin Keangnam menjadikan bangunan yang diperbuat daripada besi dan kaca itu sebagai ibu pejabat mereka.

Bahagian paling atas menara itu turut disediakan lokasi pendaratan helikopter.

Pembinaan menara tersebut sepatutnya siap pada tahun lalu, namun berdepan beberapa kekangan.

Semasa dalam pembinaan, berlaku beberapa kemalangan yang membabitkan kematian pekerja. Pada Julai 2009, empat pekerja maut akibat terjatuh dari tempat tinggi manakala dua tahun kemudian dua lagi pekerja turut maut.

Tingkat dua bangunan itu juga pernah musnah dijilat api pada 2010.

Sejak dibuka, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk persembahan hiburan yang diadakan di ruang konvensyen Menara Keangnam.

Pihak pengurusan juga tidak melepaskan peluang menganjurkan acara larian menara yang tertinggi di Vietnam itu.

Selain menyaksikan keindahan bandar raya Hanoi pada waktu siang, pengunjung pasti teruja melihat bandar raya tersebut yang bermandikan cahaya pada waktu malam. - NASRI JAMALUDIN

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved