Isnin, 22 Oktober 2012

Kosmo Online


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Kereta Porsche dicuri ditemui di Seri Kembangan

Posted:

Kereta Porsche dicuri ditemui di Seri Kembangan

22/10/2012 7:29pm

KUALA LUMPUR — Kereta Porsche Panamera bernilai kira-kira RM900,000 yang dicuri dari sebuah bilik pameran di Jalan Bukit Bintang pada 11 Oktober lepas, ditemui semula berdekatan sebuah kondominium di Seri Kembangan di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kereta Porsche berwarna emas itu ditemui dalam keadaan baik pada 12 tengah hari.

"Kereta mewah itu kini diletakkan di Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah di sini," katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam kejadian itu, kereta Porsche berkenaan dilarikan pada kira-kira 9 pagi oleh seorang lelaki yang sebelum itu berpura-pura untuk berjumpa dengan seorang petugas di bilik pameran itu.

Lelaki berpakaian kemas dan bertopi itu kemudian naik ke tingkat satu premis dan menggeledah meja untuk mencari kunci kereta berkenaan sebelum melarikan kereta itu.—BERNAMA

Tapak khemah jemaah M’sia di Padang Arafah siap

Posted:

Tapak khemah jemaah M'sia di Padang Arafah siap

22/10/2012 7:18pm

MEKAH — Hanya tinggal tiga hari lagi sebelum jemaah haji Malaysia mula bergerak ke tapak perkhemahan di Padang Arafah kira-kira 22 kilometer dari sini untuk menjalani ibadah Wukuf, rukun haji kedua, tetapi yang utama daripada rukun-rukun haji.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, beliau sangat berpuas hati dengan pemasangan khemah-khemah itu di tapak yang sama pada tahun lepas.

"Saya rasa lokasinya amat baik kerana terletak di pinggiran jalan dan ini akan memudahkan pergerakan keluar masuk bas kita," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak perkhemahan itu di Padang Arafah hari ini.

Katanya, antara pembaharuan yang diperkenalkan tahun ini adalah penggunaan sistem audio visual elektronik untuk memanggil jemaah haji menaiki bas-bas yang disediakan untuk pergerakan ke Muzdalifah dan Mina.

Sebanyak 220 khemah disediakan untuk setiap maktab atau kumpulan jemaah haji (2,200 orang) dan setiap khemah akan memuatkan 10 orang jemaah, katanya.— BERNAMA

572 pusat pemindahan mangsa banjir di Pahang

Posted:

572 pusat pemindahan mangsa banjir di Pahang

22/10/2012 5:58pm

KUANTAN — Sebanyak 572 pusat pemindahan banjir dan 87 pangkalan hadapan disediakan bagi menghadapi banjir yang dijangka melanda Pahang Disember ini.

Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta bagi membuat persiapan untuk musim tengkujuh ini dan peruntukan itu akan ditambah sekiranya perlu.

Persiapan rapi dibuat bagi memastikan keperluan mangsa banjir termasuk penyediaan bekalan makanan dan keperluan lain di pangkalan hadapan disediakan lebih awal, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Persiapan Menghadapi Musim Tengkujuh di sini, hari ini.

"Cuti semua pegawai dan anggota agensi yang terlibat dengan banjir akan dibekukan bermula 1 Disember depan hingga 15 Januari tahun depan, bagaimanapun pembekuan cuti itu bergantung pada keadaan banjir dan mungkin ia lebih awal jika banjir berlaku awal dari jangkaan," katanya.— BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved