Isnin, 22 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


10 maut serangan bom di Damsyik

Posted:

10 maut serangan bom di Damsyik

GAMBAR menunjukkan beberapa buah kereta yang rosak akibat letupan yang berlaku berhampiran balai polis di daerah Bab Touma, Damsyik semalam.


DAMSYIK - Satu letupan kuat berlaku di bandar lama di sini semalam, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan berpuluh-puluh orang awam, kata aktivis Syria.

Seorang pegawai Syria berkata, letupan itu disasarkan ke atas sebuah balai polis di kawasan kejiranan Bab Touma di sini.

Bab Touma merupakan sebuah tempat tarikan beli-belah yang kebanyakan dihuni oleh kaum minoriti penganut Kristian Syria.

Angka kematian tersebut dilaporkan oleh Kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Britain.

Bagaimanapun, angka tersebut tidak menyatakan sama ada semua mangsa yang maut terdiri daripada orang awam atau turut melibatkan anggota polis.

Namun, ia menggambarkan letupan yang berlaku sebagai amat kuat dan menyatakan beberapa ambulans dan kereta polis dikejarkan ke tempat kejadian.

Tiada maklumat lain diberikan.

Dalam kejadian berasingan, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di dalam sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan di hadapan sebuah hospital di Jalan al-Zohour, bandar Aleppo.

Agensi berita SANA memberitahu, tiada kemalangan jiwa berlaku tetapi letupan itu menyebabkan beberapa pejalan kaki cedera.

Sementara itu, Presiden Syria, Bashar al-Assad dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu-Liga Arab, Lakhdar Brahimi bagi membincangkan soal gencatan senjata selama empat hari sempena sambutan Aidiladha bermula Jumaat ini.

Beliau tiba di Damsyik pada Jumaat lalu selepas mengadakan lawatan di Timur Tengah untuk mendapatkan sokongan pemimpin-pemimpin negara terbabit bagi menghidupkan harapan gencatan senjata di Syria.

Konflik di Syria yang bermula pada Mac 2011 telah meragut lebih 30,000 nyawa. - Agensi

Arab Saudi beri jaminan jemaah haji selamat

Posted:

Arab Saudi beri jaminan jemaah haji selamat


JEMAAH haji mengelilingi Kabah di Masjidil Haram di Kota Mekah kelmarin.


MEKAH - Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Ahmad Abdul Aziz memberi jaminan kepada umat Islam yang berkunjung ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji bahawa mereka selamat daripada tempias pergolakan yang sedang berlaku di Syria dan beberapa wilayah terdekatnya.

Putera Ahmad berkata, kerajaan Arab Saudi sentiasa komited bagi memastikan musim haji tahun ini berjalan lancar dan bebas daripada suasana kucar kacir.

Apabila ditanya sama ada penyokong pro-Presiden Bashar Al-Assad boleh lolos masuk ke negara berkenaan dengan menyamar sebagai jemaah haji untuk mencetuskan kekacauan, beliau memberitahu: "Mereka yang melakukan ibadah haji terdiri daripada umat Islam dan sebagai seorang saudara seagama, mereka tidak akan menyakiti antara satu sama lain, lebih-lebih lagi ketika musim haji.

"Namun, sesiapa yang cuba untuk menggunakan musim haji ini bagi tujuan politik, mereka akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing," tegasnya.

Arab Saudi sebelum ini menyokong perjuangan pemberontak Syria yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria.

Sebelum ini, duta Arab Saudi ke Lebanon memberitahu bahawa kerajaannya memberikan visa kepada pelarian Syria yang mendapatkan perlindungan di Lebanon, Turki dan Jordan untuk menunaikan haji.

Kenyataan tersebut menyangkal dakwaan agensi berita Syria, SANA pada September lalu bahawa Riyadh melarang rakyat Syria memasuki kota suci itu bagi mengerjakan haji.

Majoriti penduduk Syria merupakan pengikut ajaran Sunnah manakala kepimpinan Syria dikuasai oleh pengikut Syiah Alawi.

Setakat ini, sekitar 1.6 juta jemaah telah tiba di kota suci ini bagi menunaikan ibadah haji dengan lebih 2.5 juta umat Islam mengerjakan rukun Islam kelima itu tahun lalu.

Setiap negara Islam diberikan kuota 1,000 jemaah haji untuk setiap sejuta penduduk dengan jemaah haji terbesar di dunia iaitu 200,000 orang datang dari Indonesia. - Agensi

Perkahwinan diraja Luxembourg meriah

Posted:

Perkahwinan diraja Luxembourg meriah


COUNTESS Stephanie memakai gaun pengantin sepanjang empat meter semasa majlis perkahwinannya di sebuah gereja di Luxembourg kelmarin.


LUXEMBOURG - Pewaris takhta kerajaan Luxembourg, Putera Mahkota Guillaume Marie Louis Christian dan anggota kerabat diraja Belgium, Countess Stephanie de Lannoy melangsungkan perkahwinan di Gereja Notre Dame, di sini, lapor akhbar MailOnline kelmarin.

Diiringi bapanya, Count Phillipe de Lannoy, mempelai berusia 28 tahun itu hadir di gereja itu dengan memakai gaun pengantin rekaan pereka fesyen popular, Elie Saab.

Menampilkan corak flora, gaun sutera itu memiliki leretan sepanjang empat meter dan lebih panjang daripada gaun yang dipakai oleh isteri Putera William, Kate Middleton dalam majlis perkahwinan mereka pada April 2011.

Majlis perkahwinan diraja yang berlangsung selama dua hari itu dianggarkan menelan belanja 500,000 euro (RM1.98 juta). Majlis tersebut turut diserikan lagi dengan konsert percuma, pertunjukan jalanan dan bunga api.

Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk anggota diraja Eropah termasuk Belgium, Norway, Sweden, Belanda dan Britain.

Putera Guillaume, 30, dan Stephanie de Lannoy popular dan disenangi rakyat di negara masing-masing.

Luxembourg yang pernah dijajah oleh Sepanyol, Perancis dan Austria, memperoleh kemerdekaan daripada Belanda pada 1839.

Terletak di barat benua Eropah, negara kecil berkenaan memiliki keluaran dalam negara kasar kedua terbesar di dunia melebihi AS$80,000 (RM244,000) selepas Qatar. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved