Selasa, 16 Oktober 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Masakan terbaik penulis blog

Posted:

Masakan terbaik penulis blog

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

PARA peserta tidak melepaskan peluang bergambar dengan chef-chef selebriti terkenal yang hadir pada pertandingan akhir Gourmet Blog Challenge 2012 baru-baru ini.


MEREKA bukan chef terkenal yang bertugas di dapur hotel, jauh lagi chef selebriti yang sering dilihat mengendalikan program rancangan masakan di stesen-stesen televisyen.

Persamaan yang ada adalah setiap daripada mereka memiliki blog masakan. Di situlah, mereka berkongsi segala kisah dan tip terkini mengenai bidang masakan baik dari segi resipi, teknik persembahan, kebersihan dan kesihatan.

Menyedari sumbangan besar para blogger itu khususnya dalam memartabatkan bidang kulinari di negara ini, produk makanan sedia, myChef menganjurkan Gourmet Blog Challenge 2012 yang diadakan di laman sosial Facebook, MyChef-Ready Meals/Dishes bermula Ogos hingga September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Flavor Innovation Sdn. Bhd., Mohd. Fairuz Abdullah berkata, objektif pertandingan adalah untuk memperkenalkan jenama myChef dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Katanya, pertandingan yang terbuka kepada pemilik blog masakan dan pengguna Facebook itu mendapat sambutan yang menggalakkan dengan lebih 50 penyertaan.

"Syaratnya mudah, peserta hanya perlu mengubah suai mana-mana resipi produk myChef yang terdapat di pasaran dengan menggunakan kreativiti masing-masing. Seterusnya mereka dikehendaki memuat naik ke MyChef-Ready Meals/Dishes lengkap dengan gambar dan resipi hidangan.

"Selepas beberapa proses tapisan, kami telah memilih 12 peserta untuk memasuki pertandingan akhir bagi merebut hadiah keseluruhan sebanyak RM18,000 yang ditawarkan," katanya.

Menariknya, pada pertandingan akhir yang diadakan pada 29 September lalu di Restoran Rebong Chef Ismail, ia menggunakan konsep ala siri program realiti masakan popular, Masterchef.

Barisan juri yang terlibat terdiri daripada empat chef selebriti terkenal tanah air merangkap duta-duta produk myChef seperti Chef Florence Tan, Chef Liza, Chef Zam dan Chef Izani Farhana.

Tambah Mohd. Fairuz, pada pertandingan akhir itu, para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut kategori iaitu kategori Chef Florence Tan, kategori Chef Liza, kategori Chef Zam dan kategori Chef Ismail.

"Kesemua peserta bebas menyediakan hidangan di rumah, namun proses akhir perlu dipersembahkan di hadapan juri. Antara kriteria pemarkahan meliputi rasa masakan (40 peratus), persembahan hidangan (30 peratus) dan kebersihan (30 peratus)," katanya.

Hadiah tempat pertama bagi setiap kategori terdiri daripada wang tunai sebanyak RM2,500, sebuah ketuhar mikro gelombang dan produk myChef bernilai RM200.

Pemenang sagu hati pula berkongsi hadiah yang sama iaitu wang tunai sebanyak RM500 dan produk myChef bernilai RM80.

Rezeki ayam kalio

Sementara itu, pemenang tempat pertama kategori Chef Ismail, Siti Sarah Ismail, 32, berkata dia tidak menyangka resipi nasi serai ayam kalio berjaya menarik perhatian juri.

Mewarisi bakat memasak daripada ibunya, Dalilah Ab. Hamid, 56, Siti Sarah berkata, dia menghantar sebanyak empat penyertaan bagi kategori Chef Ismail dan Chef Liza.

"Saya hanya mengetahui mengenai Gourmet Blog Challenge 2012 daripada seorang rakan di Facebook, itu pun di saat-saat akhir. Mungkin ini rezeki, saya tidak sangka akan menang kerana ramai peserta lain yang lebih berpengalaman dan menyediakan hidangan yang tidak kurang hebat," katanya yang berasal dari Bukit Tinggi, Klang, Selangor.

Bagi Fadilah Nahar, 33, pula, dia bersyukur kerana muncul sebagai juara kategori Chef Liza dan hadiah sagu hati bagi kategori Chef Ismail.

"Saya menghantar sembilan penyertaan secara keseluruhan sebelum dua daripadanya layak ke peringkat akhir.

"Kedua-dua resipi iaitu chicken mini quiche (juara) dan pizza semur daging Betawi (sagu hati) merupakan ciptaan saya sendiri yang digabungkan dengan produk myChef," ujarnya yang mempunyai blog masakan delimazamrud79.blogspot.com.

Ricoh lawat anak pokok bakau

Posted:

Ricoh lawat anak pokok bakau

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

KAKITANGAN Ricoh bersama pelanggan dan sukarelawan gembira kerana dapat melihat progres pokok bakau yang ditanam setahun lalu.


SELEPAS setahun melakukan aktiviti menanam pokok bakau bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia melalui program Segala-galanya Mengenai Pokok Bakau, Ricoh sekali lagi bersama pelanggan dan pembekalnya bertandang ke Taman Alam Kuala Selangor untuk melihat hasilnya.

Lawatan kali kedua itu bertujuan untuk melihat perkembangan anak pokok bakau yang ditanam tahun lalu di samping mengenal pasti kawasan yang masih boleh ditanam dengan anak pokok bakau.

"Kehidupan di kota metropolitan membuatkan kita terlupa mengenai kepentingan menjaga alam semula jadi. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menguar-uarkan kepentingannya.

"Peserta tahun lalu begitu teruja untuk menyertai aktiviti ini. Justeru, kali ini kami mengalu-alukan sesiapa yang ingin menyertai aktiviti penanaman pokok secara sukarela," kata Timbalan Pengurus Besar Pemasaran Ricoh Malaysia, Lim Choon Weng.

Hasil aktiviti penanaman lalu, anak pokok bakau itu kini telah mencecah ketinggian 20 sentimeter. Kesemuanya subur di bawah seliaan pakar bakau walaupun pada awalnya mereka menjangkakan ia sukar membesar.

Bantu habitat

Menyasarkan sebanyak 500 pokok bakau dalam tempoh dua tahun, Ricoh akan meneruskan aktiviti berkumpulan ini untuk memastikan habitat haiwan liar seperti burung air berkekalan.

Pada program tersebut, sebanyak 375 batang anak pokok bakau telah berjaya ditanam di tapak semaian berlumpur.

Di Semenanjung Malaysia, hutan pokok bakau sering ditemui di kawasan Pantai Barat. Kajian mendapati, nilai pasaran bagi pokok bakau mencecah nilai RM5.5 juta.

Dikenali sebagai tempat yang sesuai untuk pembiakan haiwan liar, pokok bakau menyumbang kepada ekonomi negara dalam bentuk sumber dan produk seperti arang, balak, kertas pulpa dan makanan laut.

Secara tidak langsung, ia menggalakkan industri pelancongan tempatan selain menjadi benteng kepada tebing pantai daripada impak tsunami.

Selain itu, ia juga menjadi penapis semula jadi kepada pencemaran air. Tambahan pula, pokok bakau Malaysia menyediakan sarang yang selamat kepada burung-burung yang berhijrah.

"Pokok bakau mengalami kemusnahan teruk ekoran pencemaran dan pembangunan yang tidak terancang di sepanjang perairan Malaysia. Selama 24 tahun lalu, lebih 14 peratus hutan pokok bakau telah musnah.

"Ia menjadi petanda tidak baik kepada hutan pokok bakau yang kaya dengan biodiversiti warisan semula jadi kita akan turut musnah dan mengganggu ekonomi jika hutan pokok bakau tidak dipelihara dengan sewajarnya," kata Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam, Shah Redza Hussein.

Inisiatif berterusan

Program Ricoh Malaysia selama dua tahun yang menelan belanja RM200,000 itu melibatkan rakan niaga dan usaha mendidik pelanggan selain pemuliharaan pokok bakau bersama Persatuan Pencinta Alam. Penanaman semula anak pokok bakau merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan untuk menjaga alam sekitar.

"Di Ricoh, kami mengenal pasti kepentingan kestabilan dan kesannya kepada perniagaan. Ketika kami menandatangani perjanjian selama dua tahun bersama Persatuan Pencinta Alam, kami memahami bahawa usaha memelihara ekosistem bukanlah kerja semalaman tetapi ia menuntut komitmen yang panjang.

"Kami konsisten untuk mengharmonikan perniagaan tumbuh-tumbuhan kami dengan alam sekeliling di samping meminimumkan kesan jangka panjang kepada pelanggan.

"Tambahan pula, kami mengawal alam sekitar menerusi produk dan perkhidmatan. Kami berbangga jika ada pelanggan yang menggunakan barangan dan perkhidmatan Ricoh dan ini bermakna mereka menyokong usaha kami mengekalkan kestabilan alam sekitar," kata Lim.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved