Selasa, 16 Oktober 2012

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Portal gajet bahasa Melayu

Posted:

Portal gajet bahasa Melayu

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

PADA usia 18 tahun, Aman Firdaus Abul Hassan begitu obses terhadap pelbagai gajet canggih yang berada di pasaran ketika itu. Justeru, bagi mengetahui sejauh mana fungsi dan keberkesanan produk tersebut, internet menjadi medium untuknya mendapatkan jawapan.

Dari satu blog ke satu blog dan dari satu laman web ke laman web yang lain, anak muda yang mesra disapa Aman ini tidak pernah jemu menimba ilmu tentang inovasi gajet terkini yang dipaparkan.

Namun, kebanyakan laman web tersebut membuat ulasan dalam bahasa Inggeris dan sudah tentu ia mengundang rasa kurang senang apabila tidak memahami dengan jelas akan perkara yang dimaksudkan oleh penulis blog atau laman web tersebut.

Menyedari hakikat itu, Aman pantas mengatur strategi untuk mewujudkan satu laman web berkaitan dunia teknologi dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Ia dianggap sebagai khidmat secara tidak rasmi atau dalam erti kata lain, tanggungjawab sosial buat pengguna yang dahagakan informasi sedemikian.

Ketika usaha itu bermula, bilik tidur remaja tersebut menjadi saksi terhadap segala tindak-tanduknya ketika mula menjadi 'pengulas amatur' tentang sesuatu gajet dan peralatan teknologi yang dimiliki melalui laman web Amanz.net yang dibina sendiri.

Matlamatnya hanya satu iaitu untuk berkongsi tentang dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bersama khalayak.

Itu antara kisah awal yang berlaku lapan tahun lalu iaitu pada 2005. Kini, Aman sudah boleh berbangga apabila laman web yang diasaskan, Amanz.net yang telah ditukar kepada Amanz.my semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta ICT serta dijadikan rujukan bagi mereka.

Tidak percaya

"Jujurnya, saya seperti tidak percaya dengan kejayaan yang telah dikecapi melalui laman web ini. Tetapi, Alhamdulillah, objektif kami dalam usaha meningkatkan minat masyarakat terhadap dunia ICT melalui penulisan dalam Bahasa Melayu yang mudah difahami dapat dicapai.

"Rentetan daripada itu, saya telah menubuhkan syarikat Amanz Media Sdn. Bhd. yang didaftarkan secara rasmi pada awal tahun ini bagi melancarkan gerak kerja kami secara lebih profesional," ujar Aman, 25, graduan lulusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Industri Selangor (Unisel) ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


KOMITMEN dan kerja keras yang dilakukan oleh kumpulan remaja ini untuk membangunkan laman web berkaitan dunia teknologi dalam Bahasa Melayu perlu dicontohi ramai pihak.


Menurut Aman, antara kelebihan laman web tersebut adalah penggunaan Bahasa Melayu tinggi sepenuhnya dalam setiap artikel yang dihasilkan.

"Kami menyediakan ulasan yang adil dan saksama untuk setiap peranti, aplikasi atau projek berkaitan ICT. Ia secara tidak langsung membolehkan kami membantu syarikat ICT tempatan dalam menyampaikan maklumat berkenaan aktiviti dan produk mereka.

Buat masa ini, Amanz Media mempunyai tiga kakitangan tetap yang menjadi tunjang utama kepada kelancaran laman web tersebut selain beberapa penulis jemputan.

Jenama

Bagi Ikhwan Nazri Mohd. Asran, 27, dia bertuah kerana pada usia yang masih muda dirinya sudah berpeluang memegang jawatan besar dalam sebuah syarikat.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amanz Media, Ikhwan mengakui banyak cabaran yang dihadapi sebelum jenama mereka dikenali ramai dan menarik minat pelbagai pihak untuk menjalin kerjasama.

"Mendapatkan kepercayaan sesuatu pihak bukan perkara yang mudah. Apatah lagi bagi kami yang tidak mempunyai latar belakang perniagaan yang kukuh.

"Namun, apabila kita menghasilkan satu produk yang berkualiti, lama-kelamaan kepercayaan pihak lain akan datang sendiri.

"Begitu juga dengan syarikat kami. Kerjasama yang terjalin antara Amanz.my dan syarikat-syarikat besar yang lain berlaku tanpa dirancang. Pada mulanya kami hanya membuat ulasan dengan tujuan untuk berkongsi dengan pembaca.

"Bagaimanapun, apabila laman web kami mendapat sambutan yang amat memberangsangkan, mereka (pihak syarikat tertentu) tampil untuk bekerjasama seperti Google, YouTube dan sebagainya," jelas Ikhwan.

Tambahnya, di peringkat awal, antara cabaran yang mereka hadapi termasuklah untuk mendapatkan lebih ramai pembaca bagi laman web Amanz.my.

Pengunjung bertambah

Jika dahulu, laman tersebut hanya dilayari kira-kira 5,000 pelayar pada setiap bulan, kini jumlahnya sudah meningkat kepada lebih 600,000 sebulan.

"Amanz.my berjaya menarik lebih ramai pembaca dan pelayar apabila kami mengubah gaya penulisan dan memperbanyakkan lagi skop berkaitan teknologi," terang Ikhwan sambil memberitahu laman web tersebut direka seumpama laman berita.

Ini kerana sebaik sahaja masuk kepada paparan pertama, pembaca atau pelayar akan dapat melihat lapan berita terkini yang boleh dibaca sekali gus membantu mereka melihat berita yang diinginkan.

REKA bentuk laman web Amanz.my mudah untuk diterokai dan menggunakan Bahasa Melayu tinggi sepenuhnya dalam setiap ulasan yang dibuat.


Menggunakan sistem perisian WordPress bagi penghasilan artikel dan sistem analisis pelawat Google Analytics serta Effective Measure, Amanz.my akan menyalurkan sehingga 10 berita berkaitan sains dan teknologi pada setiap hari. Ia termasuk paparan berita dari dalam dan luar negara.

Selain berita, portal itu juga komited menghasilkan segmen tutorial dalam usaha untuk mendidik para pengguna tempatan mendapatkan pelbagai info dan tip semasa berkaitan teknologi.

Dalam pada itu, setiap bulan terdapat sekurang-kurangnya 30 pertanyaan yang diterima pihak Amanz.my merangkumi gajet, peralatan teknologi, perisian, tutorial dan startup.

Masa depan generasi singa Atlas

Posted:

Masa depan generasi singa Atlas

IMEJ ganas dan pembunuh seekor singa seperti terpapar pada lukisan bertajuk Last Prayer di atas sering dikaitkan dengan haiwan yang telah pupus di hidupan liar itu.


SELEPAS hampir seabad pemburu yang terdiri daripada kolonial Perancis meletakkan peluru di dalam tubuh singa Atlas terakhir yang hidup secara liar, zoo Maghribi kini berhempas-pulas mengembalikan semula subspesies legenda itu daripada ancaman kepupusan sepenuhnya.

Binatang hebat yang turut dikenali sebagai singa Barbary itu pernah menjadi haiwan yang sering kelihatan di seluruh Afrika tetapi berkesudahan dengan pengumuman kepupusannya selepas pemburuan terakhir pada tahun 1922 yang menyaksikan ia terhapus sama sekali daripada persekitaran alam semula jadi.

Ajaibnya, beberapa dozen ekor singa itu terselamat dalam kurungan dan zoo di Rabat yang baru dibuka itu berjuang untuk menyelamatkan keturunannya sekali gus meningkatkan bilangan populasi haiwan tersebut.

"Pada jangka masa panjang, dikatakan spesies ini akan lenyap sama sekali. Bagaimanapun, Sultan Mohammed V (nenda Sultan Maghribi sekarang) mempunyai beberapa ekor singa Atlas dalam taman persendiriannya," kata ketua operasi zoo, Abderrahim Salhi.

Taman eksotik milik sultan yang menaiki takhta ketika kemerdekaan negara itu menerima bekalan singa daripada ketua-ketua puak yang memburu haiwan itu dan menawarkan kepada pihak pemerintah sebagai ufti dan bukti taat setia.

"Selepas Maghribi mencapai kemerdekaan pada tahun 1956, singa-singa Atlas dari taman diraja itu membentuk teras zoo dan menjadi simbol kebanggaan," kata Salhi.

Jata monarki

Hari ini, simbolnya berada pada jata monarki yang menggambarkan dua ekor singa melindungi mahkota dan pasukan bola sepak kebangsaan Maghribi turut menggunakan nama jolokan Singa Atlas sebagai harapan pada kecintaan terhadap bola sepak negara.

Singa jantan Atlas sangat unggul dengan surai yang panjang berwarna gelap. Surai merupakan bulu pada tengkuk singa. Bulunya sangat panjang sehingga ke bahagian belakang dan bawah perutnya.

Badan yang berotot dan kecekatannya dikatakan berevolusi daripada kehidupannya yang sentiasa memburu dan mendaki gunung-ganang.

Ada pemerhati mengatakan saiznya lebih besar daripada saudara terdekatnya, sub-Sahara sehingga mencecah berat 225 kilogram atau lebih tetapi pendapat itu masih dalam pertikaian.

Zoo Rabat yang baru sahaja diubahsuai itu dibuka pada awal tahun ini menerima kelahiran tiga ekor anak singa di premis tersebut.

Kakitangan di situ menyifatkan kelahiran anak-anak singa itu sebagai acara yang paling menggembirakan.

"Anak-anak singa ini merupakan keturunan terus singa Atlas sama seperti singa-singa lain daripada baka tulen. Ia tidak dikacukkan," kata Salhi yang menjadi penjaga ketiga-tiga anak singa itu.

Di zoo itu sendiri kini mempunyai 32 ekor singa yang meliputi separuh daripada bilangan yang masih tinggal di dunia manakala yang lain boleh ditemui di tempat lain di Magribi dan di Eropah.

Namun, dalam semua kejayaan yang dilihat, masa depan pemburu paling agung di Maghribi itu masih lagi belum terjamin.

Banyak faktor yang mendorong singa-singa Afrika di hidupan liar berdepan ancaman kepupusan. Kegiatan penebangan hutan di Pergunungan Atlas dan kemasukan senjata api sepanjang abad ke-19 telah mengancam hidupan liar selain kegiatan memburu untuk bulu serta sukan.

Haiwan dalam keluarga kucing itu sudah pun lenyap dalam kuantiti yang besar sejak beratus-ratus tahun lalu. Mereka ditangkap dan dihantar ke Rom sebagai bahan hiburan mengerikan di Collosseum atau amfiteater.

Dalam keadaan kelaparan dan marah, singa-singa itu dilepaskan kepada penempur dan penjenayah sama seperti yang digambarkan dalam lukisan orientalis Perancis pada abad ke-19, Christian Martyrs.

ZOO Rabat mempunyai 32 ekor singa Atlas yang merangkumi separuh daripada bilangan keseluruhan di dunia.


Lukisan bertajuk, Last Prayer, menunjukkan haiwan dari Barbary itu muncul di pit untuk menyerang sekumpulan penganut Kristian.

Zoo malam

Kini, imej yang kurang mengganggu menyambut para pelawat ke zoo yang seluas 50 hektar itu. Imej singa-singa dewasa sedang berehat di bawah teduhan manakala anak-anaknya sedang bermain-main berdekatannya.

Taman haiwan itu merupakan kediaman kepada hampir 1,200 ekor binatang yang terdiri daripada 120 spesies Afrika yang berbeza termasuk badak sumbu putih, gajah, badak air dan harimau bintang.

Selain itu, terdapat cadangan untuk membuka zoo malam untuk hidupan nokturnal seperti harimau kumbang.

Kata pihak berkuasa zoo, tugas memelihara singa Atlas sekali gus meningkatkan jumlahnya dan bekerjasama dengan zoo-zoo lain di seluruh dunia kekal menjadi objektif utama taman haiwan itu. "Ia merupakan cabaran terbesar, melindungi mereka adalah keutamaan kami," kata Salhi bersungguh-sungguh. - AFP

Virus bikin kecoh dalam Prototype 2

Posted:

Virus bikin kecoh dalam Prototype 2

Oleh MOHAMMAD RADZI ZOHRI


WATAK James Heller yang berdendam untuk membunuh Alex Mercer yang menyebabkan kematian ahli keluarganya.


T HIRD-PERSON adalah satu mod permainan yang kerap digunakan dalam permainan video. Malah, penggunaan tersebut sangat meluas dan sesuai untuk semua genre permainan video.

Contoh yang terbaik ialah francais Devil May Cry. Ia merupakan permainan video yang mencapai kejayaan besar hasil gabungan third-person dan action-adventure.

Rentetan itu, ramai pembikin permainan video meletakkan third-person sebagai landasan mereka untuk menghasilkan permainan yang lebih menarik.

Salah satu daripadanya ialah Radical Entertainment yang telah membikin sebuah permainan video bagi memenuhi permintaan masyarakat gamer iaitu Prototype 2. Ia adalah kesinambungan kepada permainan sebelum itu, Prototype.

Dilancarkan pada 24 April 2012, Prototype 2 boleh didapati pada platform Microsoft Windows, PlayStation 3 dan juga Xbox 360.

Plot

Prototype 2 merupakan sambungan terus daripada siri sebelum ini dan jika pemain pernah menamatkan Prototype, pemain akan dapati bahawa watak utama iaitu Alex Mercer telah menjadi antagonis bagi sambungan francais ini.

Kini, pemain akan diberi kawalan atas watak bernama James Heller, seorang askar yang telah disuntik dengan virus Alex Mercer. James Heller yang sedang berubah diakibatkan virus tersebut berdendam untuk membunuh Alex Mercer yang bertanggungjawab atas kematian keluarganya.

Namun, motif sebenar Alex Mercer masih tidak jelas kerana dia kini bermatlamat untuk menyebarkan virus tersebut.

Mekanisme permainan

Pemain sudah pasti boleh membuat tanggapan berdasarkan keterangan yang diberikan pada awal artikel ini iaitu Prototype 2 boleh disamakan dengan permainan-permainan video lain yang sering dipanggil sebagai permainan video hack and slash.

Anggaran anda benar. Sepanjang permainan, pemain boleh berubah bentuk dan mengambil identiti serta memori orang lain dengan memakan mereka. Kelebihan ini perlu digunakan sebaik mungkin kerana orang sekeliling akan bertindak secara berbeza bergantung pada jenis watak yang diambil oleh pemain.

Paling penting, dengan sistem kepintaran buatan (AI) yang diperbaik dan lebih pintar, pemain kadangkala akan mendapati diri mereka tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menyelamatkan diri.

Untuk itu, Radical Entertainment telah memperkenalkan dodging system yang baharu bagi mengurangkan beban pemain. Malah, pemain juga diberikan tendrils yang membolehkan mereka melakukan pelbagai perkara termasuk menghancurkan objek menggunakan serangan Black Hole.

Grafik dan audio

Prototype 2 mempunyai grafik yang sederhana dan memenuhi kriteria yang dicari oleh masyarakat gamer pada masa kini. Untuk pengetahuan pembaca, grafik permainan video di dunia PC adalah jauh lebih baik berbanding dengan grafik konsol daripada segala aspek atas faktor limitasi perkakas konsol itu sendiri.

Namun, perkara ini jarang kali mengganggu dengan aspek permainan berkenaan. Di samping itu, audio yang ditawarkan juga adalah sederhana dan tidak begitu menonjol sepanjang permainan.

Paling penting, gabungan kedua-dua elemen ini adalah mencukupi dan berjaya menarik serta memerangkap pemain dalam dunia permainan yang submersif.

Secara keseluruhannya, Prototype 2 dijamin untuk memberikan pengalaman aksi third-person yang pasti tidak dapat dilupakan oleh masyarakat gamer.

Bagi mereka yang juga merupakan peminat permainan video seperti Devil May Cry dan God of War, Prototype 2 adalah permainan video untuk anda.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved