Kosmo Online - Urban |
- Dedikasi Badan Warisan Malaysia
- Tradisi tempatan dikongsi pelancong asing
- Laluan motosikal juga berbahaya
Dedikasi Badan Warisan Malaysia Posted: Dedikasi Badan Warisan MalaysiaJam telah menunjukkan pukul 1 tengah hari. Kelihatan pekarangan ibu pejabat Badan Warisan Malaysia (BWM), Nombor 2, Jalan Stonor, Kuala Lumpur semakin lengang dan orang ramai sedang beransur pulang. Namun, sebahagian peniaga yang terdiri daripada warga tempatan dan golongan Mat Saleh masih rancak menjalankan urus niaga walaupun barangan di meja jualan sebenarnya sudah hampir habis. "Happy Hour! Happy Hour! Happy Hour! Semua barangan RM1! Semua barangan RM1!" kedengaran suara seorang peniaga di gerai yang terletak di hujung khemah. Ketika itu, semua barangan seperti pakaian, permainan kanak-kanak, buku dan cakera padat di gerai itu dijual pada harga RM1. Pada waktu itu juga kelihatan pelanggan mula berpusu-pusu ke gerai itu. Senario begitu merupakan situasi normal di Bazaar Chic yang dianjurkan pada 29 September lalu. Bazar itu menghimpunkan pelbagai barangan baharu dan terpakai berjenama untuk dijual kepada pelanggan. KELENGKAPAN dan perhiasan rumah antik yang mempunyai nilai sejarah dijual pada harga yang berpatutan. Bazar yang diadakan setiap dua tahun sekali sejak tahun 2008 itu merupakan kali ketiga penganjurannya bertujuan mengutip derma untuk meningkatkan kemudahan operasi BWM iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Barangan berjenama "Barangan yang dijual di sini masih elok serta berkualiti, malah ada di antara barangan ini masih baharu. Saya percaya sesetengahnya masih belum dipakai," ujar dramatis terkenal tanah air, Vanidah Imran. Vanidah atau lebih mesra dengan panggilan Vee mengakui, dia juga merupakan antara penyokong utama Bazaar Chic dan juga usaha-usaha untuk memulihara warisan negara oleh BWM. Baginya, ini merupakan salah satu caranya untuk memberi sumbangan kepada pertubuhan itu kerana seluruh hasil jualan akan disalurkan secara terus kepada pertubuhan berkenaan. "Apa yang paling menarik ialah harga barangan yang dijual sangat murah dan sudah pasti tidak akan dapat di tempat lain. Sebagai contoh, baju kemeja lelaki berjenama Raoul. Di sini ia dijual pada harga RM20 dan keadaannya masih seperti baharu. "Kebanyakan peniaga yang berniaga di bazar ini terdiri daripada warga asing. Ini juga merupakan salah satu cara saya mengetahui serba sedikit kebudayaan dari negara mereka," jelasnya yang juga amat meminati barangan-barangan lama dan antik. Peta antik KEBANYAKAN pakaian berjenama antarabangsa sama ada yang baharu atau terpakai, habis diborong oleh pelanggan seawal pukul 10 pagi lagi. Perkataan chic dipilih sebagai nama bazar tersebut kerana menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka ia bermaksud bergaya. Ini selari dengan setiap barangan yang dijual di bazar berkenaan. Tidak hanya tertumpu kepada barangan kelengkapan peribadi dan perhiasan rumah, terdapat satu gerai yang begitu menarik perhatian ramai iaitu gerai yang menjual pelbagai jenis peta. Gerai yang dimiliki oleh warga United Kingdom iaitu Johan Nicholson, 70, itu menjual peta-peta antik yang jarang ditemui dalam era baharu ini untuk dijual kepada pelanggan. Nicholson yang telah menetap di Petaling Jaya, Selangor sejak dari tahun 1968 mempunyai pelbagai jenis peta pelbagai negara terutamanya peta Tanah Melayu sebelum bergabung dengan Sabah dan Sarawak. "Peta tersebut telah dilakar oleh pihak British pada tahun 1913 dan ia diperbuat daripada kertas linen. Peta antik itu dijual pada harga RM4,200 dan sehingga kini masih belum mempunyai pembeli," ujarnya sambil ketawa. Berniaga dan menderma Sementara itu, Halimah Mohd. Said yang menjual aksesori barang kemas kostum terpakai memberitahu, dia telah membuat persediaan untuk menyertai bazar ini sejak empat bulan lalu. Setiap barang kemas kostum terdiri daripada campuran emas, permata, kaca dan manik itu diperoleh hasil sumbangan daripada rakan-rakan menerusi laman Facebook dan rakan terdekatnya. Harga yang ditawarkan pula amat berpatutan iaitu bermula RM5 hingga RM20 mengikut jenis dan keadaan barang kemas kostum itu. Jika mengikut harga pasaran aksesori itu mampu mencecah harga RM100 hingga RM500. PELANGGAN juga dapat menikmati hidangan makanan dan minuman selepas penat membeli-belah. "Mengikut pengalaman saya menyertai Bazaar Chic, gerai saya merupakan antara gerai yang sering menjadi tumpuan kaum wanita untuk mendapatkan aksesori diri. "Segala hasil jualan saya di Bazaar Chic ini, saya akan serahkan kepada BWM untuk operasi NGO itu. Ini juga merupakan salah satu kerja amal yang dilakukan oleh saya dan rakan-rakan untuk membantu pertubuhan yang bertindak memulihara warisan negara ini," ujarnya yang juga sukarelawan BWM. | ||||
Tradisi tempatan dikongsi pelancong asing Posted: Tradisi tempatan dikongsi pelancong asingOleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA PELANCONG dari Tanah Besar China dan Iran tidak ketinggalan mencuba alat muzik tradisional iaitu caklempong. UNIT Pelancongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama penggiat industri pelancongan tanah air seperti agensi perhotelan, kelab persendirian, restoran dan peruncit bergabung menganjurkan festival khas untuk pelancong asing yang bertamu di ibu negara bulan lalu. Festival Makanan dan Kebudayaan Kuala Lumpur 2012 itu membuka ruang kepada pelancong asing untuk mengenal dan merasai pelbagai makanan tradisi tempatan serta aktiviti kebudayaan yang popular dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Festival yang berlangsung meriah di pekarangan Kuala Lumpur City Gallery pada 12 September lalu, berjaya menarik ramai pelancong asing yang secara kebetulan berkunjung ke tempat bersejarah berdekatan dengan galeri tersebut iaitu Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib memberitahu, ia merupakan inisiatif kali pertama pihak DBKL menganjurkan festival khas untuk pelancong asing mengenal tradisi dan budaya masyarakat di Malaysia.
"Melalui festival ini, kami menyasarkan sebanyak 500 hingga 1,000 pelancong asing dapat sama-sama merasai keenakan hidangan tradisi tempatan serta mempelajari serba sedikit warisan kebudayaan yang terdapat di Malaysia. "Walaupun hanya berlangsung selama sehari, pelancong juga dapat merasai gambaran suasana sebenar di kampung-kampung dengan melakukan aktiviti seperti mengacau dodol dan membuat ketupat, " jelasnya. Sebanyak 33 gerai makanan, aktiviti kesenian dan kraf tangan dibuka sempena dengan festival tersebut dan setiap gerai itu terdiri daripada agensi perhotelan terkenal tanah air. Setiap pelancong akan diberikan satu kupon berbentuk poskad yang tertera pelbagai jenis nama makanan tradisi tempatan sebagai panduan kepada mereka untuk ke gerai-gerai yang menghidangkan makanan tradisi tempatan. Antara makanan tradisi tempatan yang dihidangkan ialah dodol, mi goreng mamak, teh tarik, kuih kapit, ketupat, lemang, kuih-muih, sate, pasembur dan nasi beriani. Memukau pelancong Seorang pelancong dari Austria, Birgit Harreiter, 24, berpendapat bahawa festival itu berjaya memberi sedikit sebanyak pengetahuan mengenai budaya tempatan kepadanya yang pertama kali berkunjung ke Malaysia.
"Saya amat tertarik dengan hidangan makanan di sini dan salah satu makanan yang telah saya cuba ialah sate. Rasanya berbeza dengan makanan di Eropah," ujarnya yang melancong ke Malaysia bersama seorang rakannya, Stephanie Monschein. Pelancong juga berpeluang untuk mempelajari seni kraf tangan tempatan seperti mencanting batik, menganyam tikar dan memarut kelapa secara tradisional. Selain itu, mereka turut diajar cara untuk bermain permainan tradisional seperti sepak raga dan congkak oleh peserta di gerai yang terlibat. Seorang lagi pelancong dari Perancis, Jules Crocy, 24 memberitahu, dia kagum dengan pelbagai budaya yang dikongsi oleh pelbagai masyarakat di bumi Malaysia. "Pada pandangan saya, setiap makanan dan seni kraf tangan mempunyai nilai-nilai tradisi dan budaya yang melambangkan masyarakat di sini. Ia harus manjadi kebanggaan rakyat Malaysia," ujarnya. | ||||
Laluan motosikal juga berbahaya Posted: Laluan motosikal juga berbahayaPIHAK berkuasa perlu membaik pulih dan meningkatkan tahap keselamatan di laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan. Beberapa hari lalu media melaporkan mengenai dua kejadian kemalangan jalan raya ngeri melibatkan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan, Kuala Lumpur pada hari yang sama membabitkan dua remaja. Walaupun berbeza waktu, namun kejadian di lokasi yang hampir sama itu membawa kesudahan serupa iaitu S. Nathanraj dan Muhammad Amirul Mazlan, masing-masing berusia 19 tahun meninggal dunia akibat cedera teruk. Kedua-duanya juga berkongsi sebab yang sama kemalangan apabila mereka tidak menggunakan lorong motosikal yang disediakan di lebuh raya berkenaan. Tinjauan Kosmo! di lebuh raya tersebut mendapati masih ramai pengguna motosikal yang berdegil atau mempunyai sebab-sebab tertentu untuk mengelak daripada menggunakan lorong khas yang disediakan. Rata-rata, ada di antara mereka yang secara tidak sengaja menggunakan jalan kenderaan besar yang dilihat mudah dan selesa untuk keluar dan masuk. Tetapi agak mengejutkan apabila ramai juga yang mengakui lorong khas itu tidak selamat dan merbahaya. Respons pertama yang terpacul dari mulut mereka adalah, 'jalan teruk!' "Sebelum ini saya pernah menunggang motosikal menggunakan laluan khas motosikal. Keadaannya sangat teruk kerana jalan licin, lubang sana-sini, selekoh tajam, semuanya mengundang bahaya. Namun, saya tiada pilihan lain untuk terus menggunakannya," kata Danny Kumar, 27 dari Klang, Selangor yang kini akhirnya terpaksa berkongsi kereta dengan kawannya untuk ke pejabat. Dia meminta pihak berkuasa bukan sahaja memantau dan menyaman pengguna motosikal yang menggunakan jalan besar, tetapi pada masa yang sama turut membuat kerja-kerja penyelenggaraan di laluan khas motosikal agar lebih selamat. Kejadian samun Katanya keadaan lebih buruk apabila berlaku kerja-kerja pembinaan berdekatan lorong motosikal, kerana segala pasir atau tanah akan dibiar begitu sahaja. Apabila hujan keadaan menjadi lebih teruk apabila laluan khas itu berlumpur dan banjir. "Bayangkan bagaimana ketika berpakaian bersih dan kemas untuk ke pejabat, kami hampir saban hari melalui situasi itu. Akhirnya ramai yang terpaksa memilih laluan besar," tambah Danny lagi. Seorang lagi penunggang, Azmin Abdul Halim, 40, memberitahu, dia tidak gemar menggunakan lorong motosikal pada waktu malam kerana jalan di situ tidak berlampu yang membahayakan lagi keselamatan penunggang. "Alhamdulillah, saya tidak pernah mengalami kejadian malang, tetapi saya sering juga terserempak dengan penunggang yang terlanggar lubang dan terjatuh. Biasanya penunggang baharu tidak perasan," katanya yang berharap supaya lubang-lubang di lorong motosikal diselenggara demi keselamatan semua pengguna motosikal. Detektif Urban! turut diberitahu mengenai sindiket yang menahan motosikal di bawah terowong atau jambatan untuk menyamun wang dan barangan. Tidak ketinggalan ada pula individu dipercayai sengaja membuang paku di atas jalan di laluan itu. Kelompok ini didakwa mereka mengambil untung dengan membaiki tayar pancit motosikal mangsa. Pihak berkuasa seharusnya memeriksa sendiri keadaan lorong motosikal di Lebuh Raya Persekutuan dan laluan-laluan motosikal lain untuk menjamin keselamatan golongan pengguna itu. - NIZHA PERIASWAMY |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Urban To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan