Ahad, 7 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Budaya bersosial sambil melukis

Posted:

Budaya bersosial sambil melukis

IRAMA lagu berentak perlahan berkumandang di segenap ruang The Studio@KL yang terletak di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. Lebih kurang 20 orang yang berusia antara 30 hingga 50 tahun sedang asyik melukis dalam ruang seluas kira-kira 139 meter persegi.

Pelbagai lukisan berasaskan cat minyak digantung bersebelahan antara satu sama lain. Bersaiz besar, ia menjadi latar dinding galeri itu. Umpama dunia yang berbeza, hiruk-pikuk orang ramai di luar premis tersebut pada petang itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada mereka.

Di salah satu sudut, Tutie Ismail sedang melukis gambar seekor kucing berwarna hitam. Ujarnya, ia merupakan ekspresi rasa sayang terhadap haiwan peliharaannya. Sambil memegang berus lukisan, sempat dia berbual dengan rakan di sebelahnya.

"Saint Elmo's Fire (nama kucing peliharaan) sangat nakal. Dia baru pecahkan pasu di rumah. Jadi, saya ubah warna menjadi hitam biarpun warna sebenar Elmo ialah oren," kata wanita yang berasal dari Bukit Jelutung, Shah Alam itu.

Bekerja dalam bidang perhubungan awam amat memenatkan Tutie. Mengadakan sesebuah acara daripada tiada apa-apa sehingga berjaya merupakan suatu kepuasan. Namun, tekanan kerja tetap ada walaupun ia merupakan kerja yang diminati.

Dahulu, dia akan ke gimnasium untuk bersenam atau melontarkan vokal sepuas hati di pusat-pusat karaoke bergantung pada tahap tekanan yang dialami.

Art Jamming

Walaupun bandar raya Kuala Lumpur semakin berkembang tetapi tempat untuk melepaskan tekanan akibat bebanan kerja amat kurang dan tiada pilihan. Jadi, wanita yang berusia 32 tahun itu menggunakan sumber yang ada.

Namun pada hari Sabtu hujung bulan Mei lalu, dia diperkenalkan oleh rakan-rakannya mengenai sebuah program yang dikenali sebagai Art Jamming di The Studio@KL.

Dia bersama rakan-rakan lain terus menyertai program tersebut dan hasilnya sebuah lukisan kucing direalisasi. Pada masa yang sama, Tutie dapat meluangkan masa dengan rakan-rakan wanitanya.

Art Jamming merupakan suatu bentuk pertemuan sosial bersama rakan-rakan yang berbeza jika dibandingkan dengan apa yang biasa dilakukan oleh rakyat Malaysia.

Daripada duduk berbual-bual selama berjam-jam di restoran mamak atau menari di disko-disko atau kelab malam, mereka yang hadir ke Art Jamming dapat bermesra sesama sendiri sambil melukis.

Konsep bersosial sambil melukis bukan baharu di luar negara, bahkan ia cukup popular di beberapa buah negara seperti di Hong Kong, Dubai, Singapura, London dan Afrika Selatan.

Dalam laman web artjamming.com, pengalaman melukis sambil berkumpul dicipta oleh seorang pelukis tempatan, Betty Cheung apabila mengadakan acara Art Jam pada 4 Mac 2000 di Hong Kong.

Sejak itu, galeri lukisan milik Betty di Wellington Street terkenal dengan aktiviti yang mereka gelar sebagai paintertainment (hiburan melukis).

Art Jamming masuk ke Malaysia pada tahun lalu oleh The Studio@KL dan galeri tersebut menjadi perintis pada konsep itu di Malaysia.

Kata pemiliknya, Jonny Ishaque, 40, dalam masa lebih kurang tiga jam, mereka yang menyertai Art Jamming bebas melukis tanpa ada sekatan dan dibenarkan membawa makanan sendiri.

Bayaran yang dikenakan untuk setiap seorang ialah RM120. Jika datang secara berkumpulan seramai 11 orang, mereka hanya perlu membayar harga 10 orang. Setiap peserta diberi peralatan melukis seperti kanvas, bufet warna akrilik, struktur kuda-kuda (easel), apron dan berus pelbagai saiz.

Contoh lukisan

JADUAL The Studio@KL yang lebih fleksibel membuatkan Rajes selesa meluangkan masa untuk melukis di premis tersebut.


"Kami juga menyediakan beberapa contoh foto lukisan untuk dijadikan rujukan tetapi mereka bebas melukis dan tidak perlu meniru dengan tepat," kata Jonny yang berasal dari United Kingdom.

Antara lukisan yang kerap dilukis ialah pemandangan dan abstrak manakala pengunjung yang datang kebanyakan terdiri daripada ekspatriat serta penduduk tempatan di Kuala Lumpur.

Daripada mata kasar, Art Jamming kelihatan sama seperti kelas-kelas melukis lain tetapi kepada pencinta seni, Rajes Singam, 53, amat menyukai konsep yang terdapat di The Studio@KL itu.

"Saya tidak berbakat dalam seni tetapi sebab saya gemarkan bidang ini, jadi saya banyak menyertai kelas seni termasuk kelas lukisan dan penulisan kreatif," kata wanita yang bekerja sebagai jurulatih jualan dan perkhidmatan ini.

Sepanjang pengalaman menyertai kelas-kelas lukisan, dia terpaksa duduk di suatu tempat yang tetap. Interaksi antara pelajar sangat minimum dan hanya guru yang banyak bercakap.

Kadangkala ia memberi tekanan pula kepada pelajar apabila terpaksa mencapai standard yang ditetapkan seorang guru seni itu.

"Tetapi di sini, kami bebas melukis apa sahaja. Berbual sebentar dan kembali fokus pada lukisan. Bagi saya, seni lebih kepada kepuasan diri sendiri.

"Paling penting, kita bebas untuk datang pada waktu yang sesuai berbanding kelas lukisan biasa yang memiliki jadual tetap," kata wanita yang memiliki dua orang anak dan seorang cucu itu.

Di rumahnya yang terletak di USJ 16, Subang Jaya, Rajes banyak mengantung hasil karyanya yang dihasilkan sepanjang mengikut pelbagai kelas melukis.

Biarpun ia sebuah majlis sosial yang membolehkan orang ramai beramah mesra tetapi disebabkan terdapat aktiviti melukis, para peserta boleh kembali fokus kepada lukisan.

Ketelitian dan tumpuan yang diberikan untuk mendapatkan output yang dibayangkan di atas sekeping kanvas memberikan ketenangan kepada mereka yang menyertai Art Jamming.

Sepanjang sesi berlangsung, pemilik bersama The Studio@KL, Jennifer Tan yang merupakan seorang pelukis akan meninjau dan melihat-lihat mereka yang menyertai majlis sosial itu.

Jika terdapat peserta yang mahukan bantuan atau tunjuk ajar, Jennifer akan membantu. Wanita kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu mempunyai pengalaman dalam bidang seni lukisan di Hong Kong selama 25 tahun.

Merupakan seorang pelukis yang belajar sendiri, wanita berusia 46 tahun itu melukis untuk patron seni di Hong Kong yang membiayainya dengan cara membeli hasil karya Jennifer.

Beri inspirasi

Kata beliau, pelukis sememangnya memerlukan ruang yang boleh membantu memberi inspirasi terutama ketika melukis. Sehubungan itu, The Studio@KL pasti akan memainkan lagu-lagu yang boleh menaikkan perasaan seperti lagu lama sepanjang sesi.

SALAH satu daripada hasil karya individu yang memanfaatkan aktiviti melukis di The Studio@KL.


"Paling penting, sebagai seorang pelukis, kita tidak boleh berasa takut terhadap apa yang dikritik oleh orang lain terhadap hasil seni kita," katanya sambil menambah tidak mungkin orang lain dapat menterjemah perasaan pelukis melalui lukisan.

Selain menjadi sebuah tempat untuk rakan-rakan berkumpul, aktiviti Art Jamming juga memberi peluang kepada keluarga berkumpul dan melakukan perkara yang sama.

Pada petang itu, bukan sahaja kumpulan Tutie dan Rajes berkumpul tetapi terdapat sebuah keluarga yang turut menyertai Art Jamming.

"Daripada berjalan di pusat beli-belah, lebih baik berkumpul di sini untuk melukis dan berbual," kata Chew Hock Poon, 50, yang datang bersama-sama isteri dan anak perempuannya.

Menetap di Kelana Jaya, isteri Hock Poon, Malarvilli, 42, melukis imej kepala burung merak manakala anaknya, Alexandra Shruty, 8, yang kadangkala memerlukan bantuan ibunya melukis seekor rama-rama.

Lukisan terapi gangguan mental

Posted:

Lukisan terapi gangguan mental


TERDAPAT rawatan yang dikenali sebagai rawatan seni dalam menangani masalah pesakit psikiatri. - Gambar hiasan


DALAM laporan akhbar Kosmo! bertarikh 19 Januari 2011, bilangan pesakit mental yang menerima rawatan di hospital kerajaan pada tahun sebelumnya menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus. Dengan erti kata lain, jumlah tersebut ialah 400,227 orang.

Pada 3 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan hasil Tinjauan Kesihatan Mobiditi dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berumur antara 18 hingga 60 tahun berdepan pelbagai penyakit mental.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Abdul Kadir Abu Bakar dipetik sebagai berkata, statistik terbaharu itu menunjukkan seorang daripada enam rakyat negara ini menghidap penyakit mental.

Katanya, dalam tinjauan kajian itu juga mendapati, wanita dua kali ganda lebih ramai mengalami sakit mental berbanding lelaki.

Mengulas perkara berkenaan, Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail, 53, dari Pusat Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menyifatkan ia berlaku kerana tekanan ekonomi terutamanya mereka yang tinggal di bandar namun ini tidak bermakna penduduk di luar bandar tidak mengalami tekanan langsung.

Tekanan berlaku apabila seseorang itu menggunakan tenaga lebih daripada kapasiti yang boleh ditanggung. Sama seperti gelang getah, jika diberi daya yang berlebihan menyebabkan ia mengalami kegagalan dan putus.

Bagaimanapun jika kurang mengalami tekanan kerja juga tidak elok kerana menjadikan seseorang itu berada dalam keadaan terlalu rileks.

Ulas Khaidzir, Art Jamming yang merupakan sesuatu yang baharu di Kuala Lumpur tidaklah unik kerana ia telah lama digunakan dalam melegakan tekanan selain menjadi kaedah rawatan psikologi tetapi ia merupakan idea yang bagus.

Dalam bidang psikologi, terdapat satu kaedah rawatan yang dikenali sebagai terapi seni bagi membantu pesakit-pesakit menangani masalah terutama kanak-kanak.

Memendam rasa

Mereka yang menjalani terapi tersebut selalunya memendam perasaan dan sukar untuk meluahkan melalui percakapan atau perbuatan.

Kaedahnya ialah dengan meminta kanak-kanak melukis gambar sebuah keluarga jika mereka menghadapi masalah berkaitan.


PESAKIT yang mengalami gangguan mental kadangkala sukar menyalurkan perasaan sebenar yang dialami mereka.


"Daripada hasil lukisan, pakar terapi akan menanyakan beberapa soalan mengapa kanak-kanak terbabit tidak melukis individu tertentu.

"Jawapan yang diterima selalunya kerana mereka tidak suka dengan individu jahat tersebut malah ada yang menggunakan perkataan jahat untuk orang yang tidak dilukis," ujar Khaidzir.

Art Jamming memberi pilihan kepada penduduk bandar untuk menghilangkan stres terutama kepada mereka yang tidak gemar dengan suasana kelam dan bising di pusat karaoke atau kelab malam.

Ia boleh menjadi suatu cara eskapisme bagi mengalih perhatian peserta daripada rutin harian. Tambahan pula, konsep tersebut menggalakkan percampuran masyarakat pelbagai peringkat.

Berbeza dengan golongan profesional artis yang menjadikan lukisan sebagai mata pencarian dan memiliki minat mendalam.

"Mereka memiliki cara pemikiran yang berbeza dan cita rasa berlainan malah memiliki sifat halus dan sangat sensitif.

"Sebab itu, kadangkala mereka mempunyai personaliti berbeza dengan penampilan pakaian yang pelik dan berambut panjang," terang Khaidzir.

Barang yang dibeli juga memiliki tujuan yang lain. Kebanyakan orang membeli kerana jenama tetapi mereka berminat terhadap sesuatu produk disebabkan rekaan yang menarik. - ADLAN JAAFAR

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved