Sabtu, 27 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


'Penyembelih haiwan mesti berani'

Posted:

'Penyembelih haiwan mesti berani'

RAUT wajah Siti Fatonah Arbain nampak tenang ketika berdepan seekor kambing yang telah direbahkan di atas rusuk kiri. Sambil menggenggam sebilah pisau khas yang diletakkan di leher haiwan tersebut, wanita berusia 43 tahun itu sempat membetulkan posisi tubuhnya.

Seboleh-bolehnya dia mahu lekas melakukan penyembelihan tersebut kerana enggan memberi tekanan kepada kambing baka import daripada jenis ferral itu.

Sejurus membaca kalimah syahadah, Fatonah memutuskan dua urat leher kambing itu dari kiri ke kanan dengan sepenuh kudrat wanitanya. Beberapa orang pekerja membantunya memegang haiwan itu agar tidak meronta-ronta.

"Kita seharusnya segerakan proses penyembelihan selepas haiwan ditumbangkan kerana tidak mahu berterusan memberi tekanan dan menyeksanya.

"Kita disunatkan menggunakan pisau sembelih khas yang tajam bagi mengurangkan kesakitan haiwan itu semasa disembelih," kata Fatonah sejurus melakukan proses tersebut yang dilihat begitu mudah.

Fatonah mengikuti kursus penyembelihan haiwan anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun 2005 sekali gus mendapat pentauliahan daripada jabatan agama itu. Dia merupakan satu-satunya peserta wanita dalam kalangan 45 peserta dalam kursus selama empat hari itu.


FATONAH merupakan segelintir wanita di negara ini yang memiliki sijil pentauliahan untuk menyembelih haiwan.


Menganggap tugasan tersebut sebagai tuntutan fardu kifayah, Fatonah bagaimanapun enggan mengambil alih tugas lelaki sebagai tukang sembelih. Dia sebaliknya mempersiapkan ilmu tersebut untuk kegunaan waktu darurat.

"Saya belajar cara menyembelih disebabkan tanggungjawab yang harus dipikul. Apatah lagi saya dan suami merupakan pengusaha ladang ternakan haiwan. Jadi ilmu berkaitan seharusnya saya tahu.

"Selalunya tugas menyembelih ini saya berikan kepada suami. Tetapi saya sentiasa bersedia untuk menyembelih terutamanya semasa ketiadaan suami atau berdepan dengan haiwan yang sedang nazak akibat masalah kesihatan.

"Saya sebenarnya sudah jarang menyembelih kerana melakukan tugasan lain di ladang ini," katanya.

Jelas Fatonah, seorang wanita seharusnya memiliki ilmu tersebut sekurang-kurangnya sebagai persediaan untuk kegunaan ketika memerlukannya.

Begitupun, stigma masyarakat tentang penglibatan wanita dalam proses tersebut turut menjadi penghalang buat golongan hawa untuk pergi jauh dalam bidang itu.

Bagaimanapun ia bukan alasan untuk Fatonah berada selangkah di hadapan.

"Untuk menyembelih tidaklah terlalu sukar. Apa yang penting adalah ilmu dan keberanian. Cuma persepsi negatif segelintir masyarakat menyebabkan tukang sembelih wanita dipandang sebelah mata.

Makruh

BERMESRA dan 'berbual-bual' dengan haiwan peliharaannya menjadi rutin harian Fatonah.


"Tiada salahnya jika wanita melakukan penyembelihan kerana rukun menyembelih tidak mensyaratkan lelaki sebagai tukang sembelih.

"Cuma tindakan itu makruh. Saya sendiri mendapat reaksi negatif daripada orang ramai yang tidak memahami perkara itu.

"Ada orang yang pernah menyatakan bahawa daging haiwan yang saya sembelih tidak boleh dimakan oleh orang lelaki, hanya orang perempuan yang boleh memakannya. Itu tidak benar," kata Fatonah ketika ditemui Jurnal di ladang ternakan miliknya di Kampung Teluk Penyamun, Kuala Selangor, Selangor.

Fatonah dan suaminya, Mohamad Jamil Mahidin, merupakan usahawan ternakan yang berjaya. Antara haiwan yang diternak mereka atas nama MJ Fatonah Sdn. Bhd. termasuklah lembu, kambing, ayam belanda, ayam mutiara, ayam kampung, itik, puyuh dan arnab.

Perusahaan tersebut ditubuhkan sejak tahun 2005 selepas 15 tahun Fatonah terlibat dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa di sebuah kilang pembuatan badan pesawat.

Tanah seluas 8,093 meter persegi yang dikelilingi ladang kelapa sawit di Kuala Selangor itu menjadi lokasi penternakannya. Di situ juga terdapat ruang-ruang tertentu untuk peserta kursus bidang penternakan yang dianjurkan oleh MJ Fatonah.

Bergelar usahawan ternakan membuatkan ibu kepada dua orang cahaya mata itu tegar kepada cabaran apatah lagi setiap hari dia perlu berdepan dengan bau haiwan dan persekitaran yang dianggap kurang selesa oleh orang lain.

Namun, dia tidak pernah mengeluh bahkan kerjaya itu sangat bermakna baginya biarpun terpaksa bekerja pada hari raya.

Jelas Fatonah, musim hari raya korban pada setiap tahun merupakan waktu paling sibuk kerana dia perlu membekalkan lembu dalam jumlah yang banyak pada masa yang hampir serentak.


ELAKKAN daripada menindih lembu korban dan memegang secara beramai-ramai kerana ini akan memberi tekanan kepada haiwan tersebut. - Gambar hiasan


Dia mengakui dirinya tidak kisah untuk beraya di dalam ladang itu.

"Setelah selesai melakukan ibadat korban di kawasan kediaman saya di Kampung Melayu Subang di Shah Alam, Selangor, saya akan bergegas ke sini (Kuala Selangor). Jubah hari raya akan ditukar kepada uniform ladang sejurus lembu korban saya selesai disembelih.

"Tempoh beberapa hari sebelum hari raya haji dan hari tasyrik (hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijah) merupakan waktu paling sibuk dalam setahun.

"Kalau orang lain beraya bersama keluarga sambil bergotong-royong melakukan ibadat korban, saya pula berhari raya di atas lori untuk menghantar lembu-lembu kepada pelanggan," katanya berjenaka.

Gincu bibir beracun

Posted:

Gincu bibir beracun

Susunan NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR

KAUM hawa harus lebih berhati-hati apabila memilih gincu bibir. - Gambar hiasan


RAMAI wanita yang berasa kurang selesa tampil di khalayak ramai tanpa mengenakan secalit gincu di bibir mereka, tetapi mereka tidak sedar bahan penyeri bibir itu sebenarnya berbahaya.

Hasil penyelidikan terbaharu mendapati, gincu bibir yang tahan lama mungkin mengandungi pelbagai bahan kimia yang boleh memberi kesan kepada kesihatan.

Contohnya, triklosan yang digunakan sebagai pengawet dalam gincu mempunyai kaitan dengan masalah jantung dan otot. Bahan kimia itu juga telah mencetuskan kebimbangan yang ia menyebabkan bakteria menjadi kebal kepada antibiotik dan bertukar menjadi superbug.

Penyelidikan terbaharu pada triclosan menunjukkan bahawa ia boleh menghalang otot termasuk jantung daripada menerima isyarat otak.

Menurut seorang penyelidik dari Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat (AS), Prof. Ishak Pessah, triklosan mengurangkan sebanyak 25 peratus fungsi jantung dalam tempoh 20 minit pada tikus makmal.

Beliau memberi amaran terdapat bukti kukuh bahawa ia boleh menjejaskan kesihatan manusia. Kajian itu juga mendapati pendedahan kepada triklosan secara serius mampu mengurangkan kuasa otot.

"Kajian sebelum ini menunjukkan triklosan mungkin mempunyai pautan kepada masalah tiroid dan kesuburan. Ia juga boleh meningkatkan tahap hormon lelaki dalam badan seorang wanita yang akan menyebabkan gejala seperti jerawat, masalah berat badan, pertumbuhan bulu roma yang berlebihan, menjejaskan fungsi haid, dan kemandulan," tambahnya.

Jelasnya, hasil penemuan itu mencetuskan kebimbangan mengenai kesan produk kecantikan tersebut ke atas manusia dan alam sekitar.

"Bagi seseorang yang sihat, penurunan sebanyak 10 peratus dalam fungsi jantung mungkin tidak mempunyai kesan, tetapi jika anda ada masalah jantung, ia boleh membuat perbezaan yang besar.

Risiko penyakit

Bagaimanapun, wakil Persatuan Kosmetik, Dandanan Diri dan Minyak Wangi United Kingdom (CTPA), Dr. Chris Flower menegaskan, penyelidikan itu tidak relevan kerana ia hanya melibatkan ujian ke atas tikus dan bukannya manusia. Selain itu, jumlah triklosan yang digunakan dalam eksperimen itu melebihi tahap maksimum yang dibenarkan dalam produk kosmetik.

"Terdapat banyak dakwaan palsu yang dilemparkan terhadap pengeluar kosmetik kononnya mereka menjual produk yang tidak selamat dan menggunakan bahan-bahan yang berbahaya. Dakwaan itu hanyalah palsu," jelasnya.

Namun begitu, kajian-kajian lain mendapati wujud bahan kimia yang membimbangkan dalam beberapa jenis gincu. Sebagai contoh, pada tahun 2010 penyelidik telah mengkaji bahan-bahan daripada pelbagai jenama gincu dan mendapati gincu tersebut mengandungi sejumlah besar logam berat iaitu kadmium dan kromium. Laporan mengenainya ada dimuatkan Journal of Hazardous Materials.

Gincu dikaitkan dengan masalah seperti dermatitis, keradangan kulit dan kerosakan buah pinggang dalam jangka panjang.

Pada tahun 2008, penyelidik di Pusat Perubatan Tufts di Boston, AS, meneliti hasil kajian sebelumnya dan membuat kesimpulan bahawa menggunakan gincu sekurang-kurangnya tiga hari seminggu meningkatkan risiko menghidap penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE).

Berdasarkan kajian itu, wanita yang mula memakai gincu sebelum umur 16 tahun mempunyai tahap risiko yang tinggi, seperti yang dilakukan oleh wanita yang memakai gincu selama tujuh hari seminggu.

Dalam ujian yang dijalankan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) pada tahun lepas, mendapati kebanyakan daripada 400 gincu yang dikaji mengandungi bahan kimia tahap maksimum dan dikesan mempunyai lebih daripada dua kali ganda daripada yang dicatatkan antara tahun 2009 dan 2011.

Coklat hitam turunkan tekanan darah

Posted:

Coklat hitam turunkan tekanan darah

COKLAT hitam baik untuk kesihatan jantung.


COKLAT hitam sudah lama diketahui manfaatnya kepada kesihatan. Hasil analisis ke atas 20 kajian lain menunjukkan pengambilan coklat hitam setiap hari akan menurunkan tekanan darah.

Penyelidikan yang dilakukan The Cochrane Group melaporkan, zat aktif dalam coklat berguna untuk membuat saluran darah lebih relaks. Akibatnya, tekanan darah menurun.

Zat aktif yang punya kesan positif tersebut dikenali sebagai flavonol. Ia akan menghasilkan zat kimia oksida nitrat dan membuatkan aliran darah lebih lancar.

Analisis tersebut menggabungkan beberapa penyelidikan sebelumnya untuk mengetahui ada atau tidak kesan coklat pada tekanan darah.

Coklat hitam yang diambil responden dalam penyelidikan itu terlalu banyak iaitu antara 3 gram (g) hingga 105g setiap hari.

Menurut seorang penyelidik, Karin Ried, dari Institut Perubatan Intergratif Kebangsaan di Melbourne, Australia, penurunan tekanan darah dalam jangka masa pendek menjadi bukti kebaikan pengambilan coklat hitam.

"Walaupun tiada bukti kesannya untuk jangka masa panjang, ia mungkin memberi kesan terhadap penurunan risiko penyakit jantung," jelasnya.

Selain coklat, kacang, aprikot, beri hitam dan epal juga mengandungi flavonol walaupun kadarnya lebih rendah daripada coklat.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved