Rabu, 17 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Antara fenomena, populariti dan kuasa bertahan

Posted:

Antara fenomena, populariti dan kuasa bertahan

TERCETUSNYA sesuatu fenomena dalam industri hiburan khususnya, adalah disebabkan oleh khalayak yang terlalu minat mahupun obses terhadap seseorang selebriti.

Ia adalah ekoran kejayaan mereka melalui bidang muzik mahupun lakonan dan tidak kurang juga menerusi pakej bakat dan rupa.

Walaupun masih hijau dalam lapangan seni, namun arus populariti mereka merebak bagaikan satu virus sehingga membuatkan peminat hiburan tempatan terus 'terjangkit' dengan aura mahupun pesona penyanyi atau pelakon tersebut.

Penyanyi - Datuk Siti Nurhaliza Tarudin

Datuk Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa sebagai Siti, mula menempah nama sebagai artis dalam bidang seni pada tahun 1995.

Ketika usianya baru 16 tahun, dia telah menjuarai pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini.

Berbekalkan rupa dan suara yang merdu, Siti terus menjadi igauan peminat di Malaysia ketika bakatnya mula mendapat perhatian ramai semasa mendendangkan lagu Kau Mawarku bersama kumpulan 2 By 2.

Bukan itu sahaja, sebagai seorang penyanyi baharu pada waktu itu, Siti juga berjaya mengalahkan penyanyi-penyanyi senior dalam beberapa anugerah muzik yang diadakan.

Saban tahun, setiap pertandingan yang menampilkan dirinya, hampir semua kemenangan menjadi milik Siti.

Sehingga pada satu tahap, Siti dengan rela hati menarik diri daripada menyertai sebarang pertandingan untuk memberi laluan kepada artis lain.

Siti menjadi tokoh terkenal dalam budaya pop Melayu. Kombinasi wajah wanita Melayu asli dan suara merdu bak buluh perindu membuatkan Siti digemari oleh peminatnya.

Tidak dinafikan, sehingga kini selepas 15 tahun, Siti masih menjadi idola peminat seni muzik tempatan.

Setakat ini, Siti telah memenangi lebih 200 anugerah muzik, dianugerahkan gelaran Datuk pada tahun 2006 kerana sumbangan terhadap industri seni, melakar nama sehingga ke pentas Royal Albert Hall London membuat konsert tersohornya di sana serta memiliki empayar perniagaan SimplySiti yang semakin berkembang.

Dalam kebanyakan temu bual, kata Siti tentang rahsia kejayaannya: "Sentiasa merendah diri, menghargai peminat, kerja keras dan tidak mudah putus asa."

Bintang Akademi Fantasia - Mawi

Juara Akademi Fantasia 3)

Siapa yang tidak mengetahui tentang program realiti TV popular, Akademi Fantasia yang ditayangkan di Astro selama sembilan musim.

MAWI mencipta fenomena mega sebaik diumumkan sebagai juara Akademi Fantasia musim ketiga pada tahun 2006.


Sejak dari musim pertama kemunculannya iaitu pada tahun 2003 hingga ke musim penamatnya pada 2010, khalayak bagaikan dijangkiti demam untuk menunggu dan melihat siapakah pelajar yang seterusnya dipilih bagi mempertaruhkan bakat pada setiap musim.

Tidak dinafikan setiap musim Akademi Fantasia ditayangkan, ia pasti meraih rating yang tinggi.

Populariti program tersebut mencapai kemuncaknya ketika musim ketiganya ditayangkan pada tahun 2006, ekoran kemunculan seorang peserta yang bersifat naif, Asmawi Ani.

Kemudian dikenali dengan nama komersialnya, Mawi, anak kelahiran Felda Taib Andak, Johor Bahru ini sememangnya mendapat perhatian peminat kerana penampilan diri yang naif tersebut.

Tidak mempunyai kelebihan vokal, namun dia pernah tersingkir tetapi diserap kembali, Mawi menang di hati peminatnya menerusi cerminan dirinya yang dikatakan berpengetahuan agama.

Dia lantas mewujudkan fenomena yang digelar Tsumawi sewaktu bertanding dalam program tersebut, sebelum dinobatkan sebagai juara.

Mawi kemudian digelar sebagai Raja SMS (khidmat pesanan ringkas), diiktiraf kerana popular selepas dia mendominasi hampir semua kemenangan yang berbentuk populariti sejak tahun 2005 hingga 2007.

Walaupun masih wujud dalam industri seni, namun fenomena Mawi tidak kekal lama dan hanya bertahan selama beberapa tahun sahaja.

Aaron Aziz - Pelakon

Bersandarkan pakej lengkap, aktor kacak kelahiran Singapura ini berjaya menambat hati peminat tempatan khususnya wanita melalui watak lakonannya iaitu Seth Tan menerusi drama bersiri, Nora Elena pada tahun lepas.

Sejak itu, dia telah berjaya melonjakkan nama sebagai seorang aktor yang harus diberi perhatian kerana bukan sahaja dengan rupa yang kacak, namun bakat yang ditampilkan.

Pemilik nama Aaron Mustapha Aziz ini lantas menempa kejayaan demi kejayaan yang yang mana dua naskhah lakonannya, KL Gangster dan Ombak Rindu masing-masing meraih kejayaan kutipan pecah panggung melebihi RM11 juta.

Jejak bertapak Aaron begitu teguh dalam industri hiburan tempatan sehinggakan dia dipilih untuk mengikat kontrak dengan banyak produk dan kalender karier Aaron dari tahun 2011 sehingga saat ini masih lagi bersinar cerah.

POPULARITI Raihan sebagai kumpulan nasyid yang mengalunkan lagu-lagu merdu dan menenangkan hati, melangkau hingga ke luar negara.


Sehinggakan, apa sahaja yang menampilkan Aaron Aziz, pasti produk tersebut dilihat berpotensi besar meraih sambutan daripada masyarakat.

Rezekinya semakin mencurah-curah dan namanya disebut-sebut oleh segenap lapisan masyarakat.

Namun sebagai aktor yang berjaya, Aaron bagaimanapun tidak pernah melupakan asal usulnya dan sentiasa memberikan yang terbaik buat peminat tempatannya.

Terkini, namanya kembali menjadi igauan ramai menerusi lakonannya untuk watak Adam Mukhriz, seorang juruterbang yang digilai kaum wanita dalam drama bersiri, Adam dan Hawa.

Raihan - Kumpulan Nasyid

Raihan bukan lagi sebuah nama yang asing bagi peminat muzik tenpatan. Raihan yang bermaksud wangian dari syurga, telah ditubuhkan pada tahun 2006.

Ketika itu, kumpulan nasyid ini dianggotai oleh Azhari Ahmad sebagai ketua, Nazrey Johani, Che Imran Idris, Abu Bakar Md. Yatim dan Amran Ibrahim.

Melalui album sulung mereka, Puji-Pujian yang diterbitkan pada tahun 2006, Raihan telah mencipta fenomena tersendiri dalam dunia seni suara tempatan yang didominasi oleh pasaran muzik pop.

Album-album nasyid dan lagu-lagu dakwah mereka telah diterima dengan baik sehingga mencatat rekod jualan album terlaris di Malaysia mencecah 750,000 unit - satu pencapaian luar biasa untuk sebuah album nasyid yang gagal disaingi album genre muzik lain sehingga ke hari ini.

Selepas kejayaan Raihan berdakwah melalui muzik, maka muncul banyak kumpulan nasyid yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Bagaimanapun, populariti Raihan tidak dapat digugat dan mereka terus bertahan. Raihan bukan sahaja mendapat pengiktirafan dalam negara, namun mereka terus mengharumkan nama Malaysia di persada seni antarabangsa.

Antaranya, Raihan berjaya meraih anugerah nasyid antarabangsa yang julung-julung kalinya diadakan di Binayas Ballroom, Hotel Grand Hyatt, Dubai pada 26 Oktober 2006.

Anugerah yang diberi nama Almahabba Awards Art of Love turut diraih beberapa kumpulan nasyid terpilih dari seluruh dunia termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah dan Afrika Selatan.

Apa yang menariknya, Raihan merupakan satu-satunya kumpulan nasyid dari benua Asia yang berjaya memperoleh anugerah antarabangsa tersebut.

Ia membuktikan bahawa genre nasyid juga kini telah diterima bukan sahaja oleh peminat tempatan, namun oleh peminat di seluruh dunia.

Lebih membanggakan, setelah 10 tahun berkorban untuk memperjuangkan irama nasyid, Raihan berpeluang mengadakan persembahan di hadapan Putera Charles pada tahun 1999.

Sehingga kini, nama Raihan masih teguh dan mereka tetap memperjuangkan nasyid walaupun anggota kumpulannya sudah bertukar ganti.

Pada hakikatnya, banyak lagi kejayaan dalam pelbagai genre muzik oleh pelbagai artis yang berjaya dalam arus perdana industri hiburan tempatan.

Tidak kurang artis tempatan yang berjaya mencipta nama di luar negara seperti Yuna dan baru-baru ini, Shila Amzah yang menjuarai Asian Wave 2012 di Shanghai, China.

Kesimpulannya, untuk mengecapi kejayaan dalam tempoh masa yang lama, ia harus diiringi bakat dan minat ingin berjaya.

Tidak dinafikan rupa sememangnya mampu menaikkan nama seseorang namun jika tidak disulam dengan bakat yang bagus, lama-kelamaan populariti yang dikecapi tidak kekal lama.

Fenomena seni takluk dunia

Posted:

Fenomena seni takluk dunia

WONDER GIRLS antara nama popular yang muncul daripada penularan fenomena budaya K-Pop.


GELOMBANG fenomena artis luar negara lebih terasa kerana bukan sekadar menempa nama dalam bidang nyanyian di negara sendiri, malah menggegarkan industri muzik di seluruh dunia.

Apa sahaja yang dipakai, dilakukan dan dibicarakan pasti ingin diketahui peminat dan tidak kurang juga yang meniru gaya yang ditampilkan mereka.

Para figura berikut iaitu Lady Gaga, Justin Bieber, Psy dan artis-artis K-Pop kini sedang menjadi fenomena global, tidak terkecuali di Malaysia.

Lady Gaga

Stefani Joanne Angelina Germanotta atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Lady Gaga menemui kejayaannya yang tersendiri apabila dia dikenali menerusi penampilan dan cita rasa fesyen yang unik serta bersifat provokatif.

Antara busana pelik yang pernah disarungkan Gaga merupakan baju yang diperbuat daripada daging. Dia juga selesa menyarung kasut tumit tinggi berukuran 10 inci (25 sentimeter).

Sejak awal pembabitannya dalam industri seni, nama Gaga terus melonjak dan dikenali di seluruh dunia menerusi lagu hit, Born This Way.

Dalam kebanyakan klip video serta kemunculannya menerusi album, Gaga menampilkan idea pelik serta menggelarkan dirinya sebagai anak raksasa.

Kemashyuran wanita berusia 26 tahun itu nyata mencetus fenomena yang berlarutan dengan impak hebat.

Dilihat sisi positifnya, dia menjadi artis nombor satu dunia dari segi bilangan pengikut paling ramai di laman sosial Twitter yang kini melebihi 30 juta orang.

Sisi negatifnya pula, Gaga telah menerima bantahan daripada banyak pihak, terutama yang berkaitan dengan persatuan agama. Dia telah disekat daripada muncul untuk siri jelajah konsertnya di Indonesia dan Filipina baru-baru ini dan ia dibatalkan pada saat-saat akhir.

Justin Bieber

Lain pula kisah remaja lelaki yang bakatnya mula menarik minat penyanyi terkenal, Usher menerusi video yang dimuat naik ke dalam laman YouTube.

Justin Drew Bieber yang ketika itu berumur 14 tahun telah berjaya menawan hati peminat dunia, khususnya gadis remaja kerana dia dikurniakan wajah yang comel.

Mula membina nama dengan lagu pertamanya yang berjudul Baby, ternyata Bieber mempunyai bakat dalam seni suara dan tarian.


LADY GAGA meraih perhatian global dengan gaya unik dan lagu-lagunya yang senang menangkap fokus peminat muzik rancak dan segar.


Semakin hari semakin panas termometer populariti Bieber sehingga dirinya kini dikenali di seluruh dunia dan antara remaja terkaya.

Setiap pergerakan atau kehidupan yang dijalani Bieber pasti diikuti.

Setiap kali muncul di pentas untuk membuat persembahan, kemunculan Bieber disambut dengan jeritan dan tidak kurang juga ada yang menangis kerana dapat melihat idola mereka berdiri di depan mata.

Gangnam Style

Tarian yang dikenali sebagai Gangnam Style antara fenomena baharu dan masih segar yang berlegar dalam industri hiburan antarabangsa.

Apa yang menariknya tentang klip video Gangnam Style, sehingga awal Oktober tahun ini, ia telah ditonton sebanyak 400 juta kali menerusi laman YouTube.

Sebenarnya Gangnam Style merupakan tarian ala kuda yang ditarikan oleh seorang penyanyi kelahiran Korea Selatan, Psy (Park Jae Sang) untuk lagu berjudul, Oppa Gangnam Style.

Sejak fenomena muzik video lagu tersebut dimuat naik ke dalam laman YouTube, ia sememangnya telah mencetus kegilaan ramai.

Dalam temu ramah dengan media Korea Selatan, ujar Psy, dia sendiri tidak menyangka tarian ala kuda yang dipersembahkan itu telah menjadi fenomena di seluruh dunia.

TAHUN 2012 akan diingati kerana kemunculan tarian Gangnam Style yang diperkenalkan Psy sehingga kini menjadi fenomena global.


Pada mulanya, kehadiran Psy dalam persada seni Korea Selatan tidak menonjol lantaran fizikalnya yang tidak kacak, berbadan gempal dan hanya jadi bahan gurauan.

Namun kini, seluruh dunia telah mengenali lelaki berumur 34 tahun ini. Maka benarlah peribahasa yang berbunyi, 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia, siapa yang tahu'.

K-Pop

Fenomena artis Korean Pop atau K-Pop sememangnya kini sedang merasuk peminat muzik, khususnya di Malaysia.

Mungkin kerana fizikal dan rupa barisan anggota kumpulan K-Pop ini yang 'jambu' (comel), maka ia khususnya, menjadi kegilaan remaja.

Walaupun mereka berasal dari Korea, namun populariti budaya K-Pop ini bukan sahaja menular di negara Asia, malah hingga ke negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Brazil turut terkena tempiasnya.

Tidak kurang juga, peminat dan selebriti muda yang meniru fesyen serta gaya yang ditampilkan para bintang K-Pop ini. Antara kumpulan yang mendapat perhatian ialah Wondergirls, Big Bang, 2PM, Super Junior dan banyak lagi.

Ada yang mengakui sanggup berhabis ratusan ringgit untuk aksesori pelengkap gaya K-Pop.

Ia termasuklah aksesori lengkap dengan nama artis pujaan seperti tag nama, baju, skaf dan lain-lain apabila hadir ke konsert idola mereka itu.

– NOOR ASHREEN ISMAIL

Bunker imbau era perang Vietnam

Posted:

Bunker imbau era perang Vietnam

BUNKER konkrit bersaiz 20 meter persegi ini digunakan ketika era peperangan Vietnam.


BUNKER konkrit era komunis Vietnam yang terletak di bawah hotel di bandar Hanoi kini menjadi tumpuan pelbagai tetamu daripada bintang Hollywood hinggalah delegasi persatuan perdagangan yang berpakaian selekeh.

Selepas peperangan tamat pada tahun 1975, bunker atau bilik bawah tanah yang terdapat di hotel tersebut dikunci dan kewujudannya dilupai. Namun apabila pihak hotel melakukan kerja-kerja menaiktaraf baru-baru ini, ia ditemui tersembunyi di bawah tanah.

"Saya rasa seperti Indiana Jones yang menjumpai Temple of Doom," kata Kai Speth, Pengarah Urusan Hotel Metropole ketika menggambarkan perasaannya yang pertama kali memasuki bunker tujuh bilik itu.

Bunker sebesar 20 meter persegi itu dibina pihak hotel pada tahun 1968. Hotel itu kemudiannya dikenali sebagai Thong Nhat.

Pelakon seperti Jane Fonda dan penyanyi, Joan Baez juga pernah menggunakan bunker tersebut. Baez pernah merakamkan lagu di dalam bunker itu pada Disember 1972 ketika sambutan Krismas yang dihujani kira-kira 20,000 ton bom dalam tempoh 11 hari oleh Amerika Syarikat (AS).

Lebih daripada 1,600 orang awam mati dalam serangan itu. Lagu yang dirakam Baez Where Are You Now My Son di dalam konkrit itu turut memuatkan bunyi letupan bom.

"Kamu boleh mendengar bunyi letupan bom dan bunyi tembakan mesingan antikapal perang yang terletak di Opera House berhampiran hotel ini," kata Speth.

Selepas pengeboman itu, Fonda tiba dan melakukan satu jelajah di negara tersebut yang menimbulkan kontroversi lalu beliau ditahan pihak berkuasa. Beliau kemudiannya digelar Hanoi Jane.

"Bunyi letupan bom boleh didengari dari jarak jauh dan mereka (Fonda dan tetamu hotel lain) turun ke bunker. Bom tentera udara AS tidak mengenai hotel. Ketika itu, Fonda dilihat sangat tenang dan dia tidak menunjukkan perasaan takut," kata Speth lagi.


TOPI keselamatan disediakan pihak hotel sebagai jaminan keselamatan para pengunjung bunker.


Bunker di hotel berkenaan dipelihara dalam bentuk asalnya dan dibuka kepada pelancong. Bunker seumpama itu merupakan salah satu daripada beribu bunker yang dibina oleh penduduk pada era peperangan Vietnam.

Kebanyakan bunker telah tertimbus, namun bunker yang pernah dihuni oleh Jeneral Vo Nguyen Giap dan Presiden Ho Chi Minh masih utuh di sebalik dinding batu di Thang Long Citadel.

Ketika kebanyakan industri pelancongan berkaitan peninggalan peperangan Vietnam bertumpu di selatan, pelancong di bandar Ho Chi Minh pula boleh mengunjungi muzium perang dan laluan bawah tanah di Cu Chi.

Wajah baharu

Di Tasik Truc Bach, Hanoi turut terpahat sejarah kapal tentera udara Senator AS, John McCain ditembak jatuh sekali gus beliau dijadikan tahanan perang. Kapal terbang tersebut antara 10 buah kapal AS yang ditembak jatuh oleh pasukan penembak antikapal terbang dalam tempoh sehari pada tahun 1967.

Pelancong juga boleh melawat penjara yang dikenali sebagai Hanoi Hilton. Meskipun sebahagian besar Penjara Hoa Lo musnah, beberapa bahagian masih lagi masih kekal seperti pintu masuk.


BUNKER seumpama ini antara beribu bunker yang dibina penduduk pada era peperangan Vietnam.


Bagaimanapun, tidak semua tinggalan perang masih kekal seperti dahulu. Sebagai contoh, sebuah pangkalan yang terletak di Tasik Barat yang sebelum ini menjadi stor penyimpanan senjata Perancis telah diubah menjadi kafe.

"Kafe ini istimewa kerana mempunyai kesan sejarah lampau. Apabila pelanggan datang, mereka amat berminat tentang sejarahnya," kata pemilik kafe, Vu Thi Huong.

Di beberapa tempat di bandar Hanoi, kesan peninggalan perang juga telah dijadikan sebagai landskap sesuatu kawasan.

Di pasar Yen Hinh-Hang Bun, pada 1946 berlaku kejadian seorang askar Perancis melakukan tembakan terbuka yang membunuh sedozen manusia.

Hari ini, kawasan yang dianggap keramat itu terkenal dengan hidangan mi yang lazat.

"Penduduk di sini menggelarnya gerai mi keramat," kata pemiliknya, Do Thi Yen. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved