Rabu, 17 Oktober 2012

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Tarikan istimewa mukim kecil

Posted:

Tarikan istimewa mukim kecil

Oleh NASRI JAMALUDIN
nasri.jamaludin@kosmo.com.my

BATANG KALI sejak sekian lama menjadi laluan penting orang ramai yang ingin ke Timur, Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia. Mukim di daerah Hulu Selangor itu sememangnya sering menjadi pekan transit dalam perjalanan ke destinasi lain.

Ia juga dijadikan pilihan alternatif pengguna jalan raya yang ingin ke pusat peranginan Genting Highlands. Hanya kira-kira 25 minit diperlukan untuk sampai ke puncaknya melalui Batang Kali.

Namun, di sebalik kesibukan lalu lintas di kawasan tersebut, Batang Kali masih agak ketinggalan jika dinilai daripada aspek pelancongan. Tanpa disedari, destinasi tersebut tersembunyi pelbagai tarikan untuk mereka bercuti bersama ahli keluarga.

Sehubungan itu, Smart Discovery Leisure & Tours Sdn. Bhd. (Smart Discovery) mengambil inisiatif memperkenalkan tujuh tarikan utama di Batang Kali kepada para pelancong.

Tarikan-tarikan pelancongan itu adalah Kolam Air Panas Hulu Tamu, Perkampungan Orang Asli, Teratak Nelly Resort, Taman Rekreasi Sungai Sendat, Taman Pertanian Kekal, Perigi Tujuh dan kuil Siam.

Berendam

Sambil menikmati pemandangan suasana perkampungan Melayu seperti Kampung Genting Malik, Kampung Sungai Masin, Kampung Kuantan dan Desa Hulu Tamu, perjalanan sejauh 6 kilometer (km) dari pekan Batang Kali ke Kolam Air Panas Hulu Tamu dirasakan begitu singkat.

Kolam air panas itu sememangnya terkenal dalam kalangan penduduk tempatan. Justeru tidak hairanlah, pada hujung minggu atau cuti umum, kolam yang mendapat punca air daripada mata air bawah tanah ini menjadi tumpuan orang ramai untuk berendam.

Dengan bacaan suhu antara 30 hingga 60 darjah Celsius, dari jauh dapat dilihat wap yang keluar daripada kolam air panas itu. Air di kolam itu dipercayai mampu mengubat penyakit seperti penyakit kulit.


KOLAM air panas ini digemari mereka yang ingin menghilangkan keletihan tubuh.


Bagi memberikan kemudahan kepada para pengunjung, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah menaik taraf kawasan tersebut dengan membina dua buah kolam dan pondok wakaf.

Jika pengunjung tidak berminat untuk berendam di kawasan kolam air panas, Taman Rekreasi Sungai Sendat yang terletak kira-kira 4km dari pekan Hulu Yam Baharu boleh dijadikan pilihan untuk bersantai bersama keluarga dan teman-teman.

Lokasi itu menawarkan dua buah air terjun yang cantik malah sesuai untuk aktiviti bermandi-manda dan perkelahan. Ia mampu menjadikan percutian anda satu kenangan indah.

Bukan itu sahaja, bunyi cengkerik dan unggas rimba turut mewarnai suasana di sekitar kawasan air terjun itu sekali gus menjadi terapi pendengaran saat menjalankan aktiviti barbeku ataupun perkhemahan.

Pokok-pokok hutan yang menjulang tinggi termasuk rimbunan pokok buluh memberikan dos oksigen terbaik selain berfungsi menyaring terik matahari pada waktu siang.

Jika bertuah, pengunjung juga berpeluang menyaksikan rama-rama yang menjadi ikon kebangsaan. Dikenali sebagai rama-rama Rajah Brooke, ia berlegar-legar sekitar kawasan air terjun dengan pesona corak sayap berwarna hijau dan hitam.

Orang Asli

Perkampungan Orang Asli Ulu Tamu yang terletak kira-kira 15km dari Batang Kali juga tersimpan keunikan budaya dan kehidupan suku kaum Temuan.

Perkampungan itu dikelilingi landskap alam semula jadi yang berlatarbelakangkan tanah tinggi Genting Highlands.

Seramai 360 orang atau 50 keluarga menghuni kawasan perkampungan tersebut. Aktiviti utama mereka termasuk menoreh getah, mencari hasil-hasil hutan selain ada yang bekerja di bandar.


ANTARA wakaf yang disediakan untuk keselesaan tetamu di Teratak Nelly.


Pengunjung boleh menyaksikan kehidupan Orang Asli di sini selain menyusuri anak-anak sungai yang terdapat di penempatan itu.

Menunggang kuda

Sebelum memasuki perkampungan Orang Asli Ulu Tamu, pengunjung akan melewati kawasan resort Teratak Nelly yang menawarkan pelbagai kemudahan penginapan dan aktiviti kepada para tetamu.

Antara kemudahan atau aktiviti yang disediakan pemiliknya termasuklah berkayak, menunggang motosikal scrambler, terbang keluang (flying fox), memancing. menunggang kuda, menaiki pacuan empat roda dan meredah hutan.

Mereka yang berminat untuk menunggang kuda yang diimport dari Poland, resort tersebut turut menyediakannya dengan bayaran semurah RM5 bagi satu pusingan di kawasan itu.

Ladang sayur

Jika singgah di Taman Pertanian Kekal pula, pengunjung akan mengetahui bahawa terdapat sebuah ladang sayur terbesar di daerah itu. Ladang itu menghasilkan antara 40 hingga 50 metrik tan sayur sehari.

Berdasarkan kajian Jabatan Pertanian Selangor, sawi yang ditanam di kawasan tersebut adalah yang terbaik di negara ini berikutan kualiti tumbesarannya daripada tanah yang subur.

PETAI merupakan salah satu contoh jualan penduduk setempat yang boleh ditemui di pinggir jalan sekitar Batang Kali.


Pengusaha-pengusaha ladang turut mengusahakan tanaman seperti kangkung, timun, bayam, kacang panjang dan beberapa lagi jenis sayuran lain.

Pengunjung mesti terpukau dengan perspektif batas-batas tanaman yang tersusun cantik. Kegigihan para pekerja menguruskan tanaman seperti menanam, membuang rumput, membaja dan meracun juga dapat disaksikan.

Ketika pancuran air menyiram sayur, bukan sahaja suasana dingin dapat dirasai malah turut menghasilkan pelangi yang indah untuk dirakam melalui lensa kamera.

Elak banjir

Setelah puas menyaksikan sayur-sayuran, apa kata anda berkunjung ke Perigi Tujuh, Serendah.

Tujuan Perigi Tujuh tersebut dibina adalah untuk mencegah banjir besar berlaku di kawasan rendah.

Sehubungan itu, sebuah empangan kecil telah dibina oleh pihak pengusaha lombong bijih timah yang berada di bahagian rendah di situ bagi mengelakkan banjir berlaku.

Di bahagian atas empangan berkenaan dapat dilihat tujuh perigi yang menjadi laluan keluar air menerusi empangan itu.

Pengunjung bolehlah berehat di kawasan ini sambil mendengar deruan air yang terhasil daripada empangan itu. Di kawasan itu, pengunjung dinasihatkan agar tidak bermandi-manda kerana bahagian bawah empangan itu sangat dalam.

Tarikan yang ketujuh di Batang Kali ini adalah Kuil Siam yang terletak 2.7 kilometer dari pekan Ulu Yam Baharu. Kuil Siam itu merupakan yang terbesar di Batang Kali.

Sepanjang perjalanan ke kuil itu, pengunjung dapat menyaksikan kehidupan penduduk kampung selain keindahan flora dan fauna di sekitar kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Smart Discovery, Muhd. Halilur Rahman berkata, kesemua tujuh tarikan itu boleh dinikmati pengunjung dengan bayaran pakej pelancongan antara RM115 hingga RM250 seorang.

"Dengan pengenalan tujuh tarikan utama di Batang Kali ini, kami berharap kawasan ini bukan lagi sekadar menjadi transit orang ramai ke lokasi lain.

"Batang Kali sebenarnya kaya dengan tarikan alam semula jadi yang indah selain aktiviti-aktiviti yang wujud di sekitarnya termasuk kemudahan calet atau resort," katanya.

Jejak ahli sihir bandar Salem

Posted:

Jejak ahli sihir bandar Salem


TUGU ahli sihir yang terbang dengan sebatang penyapu melintasi bulan ini menjadi tumpuan di sebuah taman awam.


PEMINAT rancangan televisyen pasti masih mengingati siri sitkom bertajuk Sabrina, The Teenage Witch. Sitkom itu mengisahkan seorang remaja perempuan Amerika bernama Sabrina, yang baru menyedari bahawa dirinya mewarisi darah ahli sihir sempena ulang tahun hari kelahirannya yang ke-16,

Sabrina tinggal bersama dua ibu saudaranya, Hilda dan Zelda, yang juga ahli sihir, serta seekor kucing hitam yang bijak berbicara bernama Salem.

Salem juga ialah nama sebuah bandar di Essex County, Massachusetts, New England. Ia dikenali sebagai bandar yang dikatakan mempunyai sejarah tersendiri berkenaan kewujudan ahli sihir.

Sabrina bukan sahaja menghiburkan tetapi turut menjadi drama ahli sihir terawal yang membanjiri skrin televisyen, disusuli dengan fenomena ahli sihir tiga beradik yang dikenali dalam siri Charmed.

Ingatan yang masih segar mengenai dua cerita televisyen itu membuatkan penulis terpanggil untuk berkunjung ke bandar Salem, yang dikatakan mempunyai sejarah tersendiri berkenaan kewujudan ahli sihir.

Dengan populasi penduduk kira-kira 41,300 orang, bandar Salem boleh dikunjungi dengan menaiki feri atau kereta api, masing-masing menawarkan pengalaman perjalanan yang berbeza.

Penulis memilih untuk menaiki kereta api yang ternyata lebih murah dan cepat iaitu hanya mengambil masa 30 minit dari Boston berbanding feri (45 minit hingga sejam).

Pengunjung perlu mengambil kereta api di North Station, yang terletak satu bangunan dengan gelanggang pasukan bola keranjang terkenal, Boston Celtic, seterusnya menaiki kereta api yang menuju Newburyport.

Salem adalah perhentian ketiga dan pengunjung perlu membayar sebanyak AS$11 (RM33.78) untuk perjalanan pergi dan balik.

Kemudahan WiFi dalam gerabak kereta api turut disediakan bagi mereka yang mahukan kemudahan melayari internet.

Ratusan tahun

Dari stesen kereta api, penulis mengambil masa antara lima hingga 10 minit berjalan kaki untuk ke bandar.

Pandangan hadapan Muzium Ahli Sihir Salem yang menjadi binaan ikonik di bandar itu.


Ternyata, saya terpesona dengan bangunan-bangunan berusia beratus-ratus tahun yang masih gah berdiri. Turut ditemui ialah hiasan berbentuk penyapu terbang dan kucing hitam yang mempunyai kaitan dengan ahli sihir. Semuanya terpampang sebagai aksesori menghiasi kedai-kedai di situ.

Memandangkan penulis hanya mempunyai kira-kira lima jam untuk menjelajahi seluruh bandar Salem, trem menjadi pilihan terbaik bagi memanfaatkan waktu yang singkat.

Perjalanan menaiki trem mengambil masa hampir dua jam yang melalui lebih 10 tempat tarikan pelancong.

Misi utama penulis ialah ke Muzium Ahli Sihir yang dikatakan menjadi tarikan utama pelancong yang berminat mengetahui kisah sebenar di sebalik kejadian hukuman gantung beberapa penduduknya kerana dakwaan terlibat dalam ilmu sihir.

Pengunjung perlu membayar tiket berharga AS$9 (RM27) untuk dewasa, yang bakal menggunakan wisata berpemandu.

Ia bermula dengan para pengunjung diletakkan dalam sebuah bilik yang dipenuhi patung-patung yang menjadi simbol penceritaan.

Kemudian, lampu akan ditutup dan pengunjung akan mendengar sendiri kisah ahli sihir di bandar berkenaan melalui penceritaan audio selama 45 minit.

Patung-patung di dalam bilik itu mewakili setiap bab dalam penceritaan audio berkenaan. Ia turut diiringi latar bunyi yang berupaya menimbulkan bibit-bibit menyeramkan buat pengunjung.

Selepas itu, pengunjung akan dibawa untuk mendengar penjelasan pendek oleh pemandu pelancong mengenai sejarah ahli sihir, bukan sahaja di Salem tetapi di Amerika Syarikat secara am.

BANYAK bangunan, muzium dan rumah yang masih mengekalkan ciri-ciri binaan zaman lampau.


Bagaimanapun, imej ahli sihir pada awal penubuhan Amerika Syarikat tidaklah seindah khabar atau selucu Sabrina, ahli sihir remaja itu.

Menyorot sejarah bandar Salem, ternyata kisahnya kelihatan lebih menyayat hati.

Antara tahun 1692 sehingga tahun 1693, lebih 200 orang telah dibicarakan di Salem kerana disyaki mengamalkan sihir, yang ketika itu tidak berapa disenangi. Peristiwa itu menjurus kepada hukuman gantung sampai mati terhadap 19 orang.

Bagaimanapun, imej ahli sihir yang dikatakan jahat itu semakin dilupakan, selaras dengan arus pemodenan Amerika Syarikat.

Bila penulis bertanyakan sama ada kewujudan ahli sihir masih wujud pada hari ini, rata-rata penduduk Salem yang ditemui hanya tersenyum mendengarnya.

Tumpuan lanun

Selain muzium ahli sihir, penulis juga berminat dengan sejarah lanun di sini yang dikatakan pernah menjadi sebuah daripada pelabuhan terkenal satu ketika dahulu.

Dengan tiket berharga AS$8 (kira-kira RM25), pelancong berpeluang menyelusuri sejarah beberapa lanun yang dikatakan pernah mengganas di sekitar laut New England.

Penulis ditemani pemandu pelancong yang bernama Ozan, yang lengkap berpakaian seperti seorang lanun, yang memberi penjelasan selama 20 hingga 30 minit sambil melawat lebih 60 lanun yang terkemuka seawal tahun 1600.

Antara yang terdapat di muzim berkenaan ialah replika pelabuhan dan kapal lanun, artifak milik lanun-lanun dan meneroka gua sambil menemui replika beberapa lanun terkenal abad ke-17.

Lanun-lanun yang terkenal pada abad itu termasuk Kidd, Blackbeard, Bellamy dan Quelch, yang berkeliaran di serata perairan Boston North Shore yang dikenali sebagai Gold Coast.

Ozan berkata, mereka dikatakan banyak menyimpan khazanah haram, hasil rompakan dan rampasan di sekitar kawasan berkenaan yang dipercayai masih wujud sehingga kini. – Bernama

Meneroka budaya etnik Sabah

Posted:

Meneroka budaya etnik Sabah

KUNJUNGAN ke Mari-Mari Cultural Village menjanjikan pengalaman yang sukar dilupakan sampai bila-bila.


SABAH bukan sahaja dianugerahkan dengan pelbagai sumber asli dan keindahan alam semula jadi, malah kaya dengan warisan sejarah serta budaya yang tinggi nilainya.

Terdapat tidak kurang daripada 30 suku kaum yang tinggal di negeri itu dan mereka menggunakan lebih daripada 50 bahasa dan tidak kurang daripada 90 dialek.

Etnik terbesar di Sabah adalah Kadazan Dusun, Bajau dan Murut. Antara suku kaum yang lain ialah Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan beberapa lagi.

Mempunyai pelbagai adat istiadat, pegangan hidup, pakaian, agama dan latar belakang, setiap etnik mengamalkan gaya hidup yang tersendiri.

Bagi mereka yang mahu mengenali dan mengenal kepelbagaian etnik di Negeri Di Bawah Bayu itu dengan lebih dekat, bolehlah berkunjung ke Mari-Mari Cultural Village yang terletak di Kionsom, Inanam.

Jauh dari hiruk-pikuk kota, perjalanan ke perkampungan itu mengambil masa kira-kira 40 minit dari Kota Kinabalu.

Panorama desa dan kehijauan alam semula jadi di kiri dan kanan laluan begitu mengasyikkan lantas membuatkan membuatkan perjalanan panjang itu tidak begitu dirasakan.

Sebaik tiba bahagian pintu masuk, pengunjung akan diberi taklimat ringkas oleh petugas mengenai aktiviti yang diadakan.

Pelbagai demonstrasi menonjolkan keunikan budaya setiap etnik.


Perkara pertama yang dilakukan pengunjung ialah berjalan merentasi jambatan gantung menuju ke kawasan perkampungan.

Melihat binaan rumah-rumah tradisional yang menjadi identiti perkampungan seakan-akan dibawa kembali ke zaman silam. Tiada peralatan moden yang digunakan sebaliknya bahan-bahan semula jadi seperti kayu, buluh, rotan dan rumbia.

Penerokaan di perkampungan ini dimulakan di rumah tradisional etnik Dusun, iaitu etnik terbesar di Sabah. Seterusnya, pengunjung dibawa melawat rumah tradisional etnik Rungus, Lundayeh, Bajau dan Murut.

Identiti seni bina

Menariknya, setiap rumah dibina mengikut rekaan dan seni bina asal melambangkan identiti setiap etnik berkenaan.

Misalnya, rumah Rungus mirip rumah-rumah panjang yang sering dilihat di Sarawak. Itu tidak menghairankan kerana kaum itu mempunyai beberapa komuniti yang tinggal di bawah satu bumbung.

PERKAMPUNGAN ini lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti restoran, gerai cenderamata dan pentas terbuka.


Sementara itu, rumah Lundayeh pula agak ringkas dengan ruang bilik, beranda dan dapur. Sekali imbas, ia tidak jauh berbeza berbanding rumah-rumah tradisional Melayu di negara ini.

Di samping melihat kehalusan dan seni bina setiap rumah, pengunjung juga berpeluang mempelajari kebudayaan setiap etnik melalui kostum dan demonstrasi yang diadakan.

Antaranya, teknik menghidupkan api dan memasak tapai (etnik Dusun), bermain muzik (etnik Rungus), teknik membuat tatu (etnik Murut) dan demonstrasi masakan tradisional (etnik Bajau),

Di samping itu, perkampungan itu turut dilengkapi sebuah pentas terbuka bagi acara pesembahan tradisional. Setiap persembahan adalah berbeza setiap hari dan pengunjung tidak sekadar melihatnya dari bawah pentas sebaliknya boleh turut serta dan merasai keseronokan yang ditawarkan.

Selepas puas meneroka, akhiri lawatan ke kedai cenderamata atau menjamu selera Mari Mari Cultural Village Restaurant. Ia menawarkan seleksi hidangan tradisional Sabah yang pastinya membuatkan pengunjung pulang kekenyangan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved