Selasa, 13 Disember 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Keprihatinan Tuanku Abdul Halim

Posted:

Keprihatinan Tuanku Abdul Halim

Keprihatinan Tuanku Abdul Halim

KE BAWAH Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid dari tahun 1946 hingga 1949.

Semasa menuntut di situ, baginda pernah bersemayam di asrama Kolej Sultan Abdul Hamid dan bergaul dengan pelajar-pelajar daripada pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat.

Guru dan rakan sekolah menyifatkan baginda seorang yang berhemah tinggi, seorang yang bertolak-ansur dan tidak pernah berbangga diri, biarpun baginda ketika itu bakal raja Kedah.

Menurut tokoh sejarah Kedah, Datuk Wan Shamsudin Mohd. Yusof, baginda yang aktif dalam pasukan seragam kerap mengikuti perkhemahan termasuk di Gunung Jerai bersama-sama rakan-rakannya.

Sebagai seorang yang cintakan ilmu pengetahuan, baginda berangkat ke England pada Februari 1949 untuk melanjutkan pelajaran di Wadham College, Oxford dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.

Semasa di England iaitu pada 6 Ogos 1949, baginda telah ditabalkan sebagai Raja Muda Kedah.

Sekembali ke tanah air pada tahun 1955, baginda berkhidmat di Pejabat Daerah Kota Setar dan Pejabat Perbendaharaan Negeri.

Baginda bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah pada bulan Mac 1956 di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Almarhumah merupakan puteri sulung Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Muhammad yang juga Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Hasil perkahwinan diraja itu, Tuanku berdua dikurniakan tiga puteri iaitu Datuk Seri Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Pada 9 Mac 1957, baginda dilantik sebagai pemangku Sultan Kedah kerana Almarhum Sultan Badlishah telah berangkat ke luar negara pada 12 Mac hingga Julai 1957.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menaiki takhta pada 14 Julai 1958 setelah ayahanda baginda Almarhum Sultan Badlishah mangkat.

Pada 20 Februari 1959, baginda ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah ke-28 dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bahiyah sebagai Sultanah Kedah dalam satu istiadat gilang-gemilang di Balai Besar, Alor Setar.

Menurut sejarah, baginda merupakan Sultan Kedah Ke-2 ditabalkan mengikut istiadat. Sultan sebelumnya ialah Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II atau Marhum Melaka, Sultan ke-22 (1804 hingga 1845) yang juga berlangsung di Balai Besar.

Istiadat perlantikan

Wan Shamsudin memberitahu, perlantikan Sultan Ahmad Tajuddin mengikut istiadat tercatat dalam manuskrip bertulisan jawi yang diterbitkan pada tahun 1805.

Tuanku Sultan dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-5 antara tahun 1970 hingga 1975.

Pada 21 September 1970, baginda dan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah dilantik secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Abdul Malik (Tuanku Bendahara yang kemudiannya bergelar Raja Muda) telah dilantik sebagai Pemangku Sultan Kedah.

Pada ketika ini juga ayahanda saudara Tuanku, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersara dari jawatan Perdana Menteri Malaysia.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah merupakan seorang putera raja yang berhemah tinggi. Baginda terkenal dengan pertuturan yang lemah-lembut dan bersopan santun. Baginda adalah seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti dan tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas.

Baginda amat mengambil perhatian hal ehwal agama dan rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda.

Keprihatinan baginda jelas terbukti apabila baginda berangkat setiap hari ke Wisma Darul Aman, Alor Setar iaitu pusat pentadbiran kerajaan negeri.

Baginda mahu merapatkan diri dengan kerajaan untuk memudahkan para pentadbir berunding dengan baginda tanpa mengambil masa menghadap di istana.

Menurut Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Menteri Besar boleh memberikan maklumat dengan mudah kepada baginda jika ada perkara mustahak yang perlu dibincangkan dan diselesaikan khususnya dalam menjaga keprihatinan rakyat jelata yang berada di bawah naungan baginda.

Hal itu diakui oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Kata beliau, baginda amat mengambil berat tentang pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.


GAMBAR lukisan hitam putih Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang terdapat di Muzium Diraja Kedah di Alor Setar, Kedah.


Mesra rakyat

Baginda amat prihatin dengan tiga perkara iaitu hal berkaitan agama, Perkhidmatan Tadbir Awam Kedah (KCS) dan adat istiadat Melayu.

Tambahnya, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat ke pejabat kira-kira pukul 9 pagi dan pulang ke istana untuk bersantap dan kadangkala baginda berangkat semula ke pejabat pada sebelah petang.

"Sekiranya tiada urusan rasmi, baginda berkenan berangkat ke pejabat kerana semua fail dan dokumen berkaitan bidang kuasa baginda disimpan di sini," kata Azizan.

Menurut Azizan, apabila bercakap baginda tidak lokek dengan senyuman dan teguran. Bahkan, baginda seorang yang penuh berhemah dan penuh diplomasi.

"Baginda seorang raja yang mesra dan tahu banyak perkara, jadi kita tidak boleh bohong baginda," katanya memberitahu beliau merupakan menteri besar ke-11 di bawah pemerintahan Tuanku Abdul Halim.

Pada 26 Ogos 2003, Tuanku Sultanah Bahiyah mangkat di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit.

Pada 9 Januari 2004 telah berlangsung satu istiadat gilang-gemilang pelantikan Yang Mulia Che Puan Haminah Hamidun sebagai Sultanah Kedah yang baharu dengan gelaran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah.

Istiadat pelantikan itu disambut gembira oleh seluruh rakyat Kedah. Tuanku Sultanah Haminah dilahirkan di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan Tuanku Abdul Halim pada 25 Disember 1975.

Selain golf, semasa muda Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah juga gemar bermain tenis dan billiard sehingga kini. Baginda masih bergiat aktif bersukan, namun baginda turut mempunyai hobi lain iaitu fotografi dan melancong.

Baginda juga telah berangkat ke Eropah pada tahun 1950 dan 1954 selain mengelilingi dunia pada tahun 1963.

Baginda juga amat berminat memelihara haiwan. Di Istana Anak Bukit, terdapat taman haiwan yang menempatkan pelbagai jenis burung kegemaran baginda dan haiwan lain seperti rusa dan kuda.

Baginda sendiri mengambil berat terhadap pengawasan binatang peliharaan setiap hari. Baginda seorang yang mencintai alam semula jadi dan sentiasa memberi perhatian kepada pemuliharaan flora dan fauna.


TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah, (tengah), Tuanku Haminah (kiri) dan Tunku Puteri Intan Safinaz bergambar di Cameron Highlands pada tahun 2007.


Pada 7 April 1994, baginda telah dipersembahkan dengan watikah pelantikan sebagai Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) sehingga kini. Baginda juga menjadi penaung diraja kepada pelbagai persatuan dan badan-badan bukan kerajaan di seluruh negeri Kedah.

Menyentuh soal Sultan Berjiwa Rakyat, Wan Shamsudin yang menjangkau usia 79 tahun ini ada kisahnya tersendiri.

Ujarnya, baginda tidak memilih makanan, malah sedia santap sebarang jenis makanan yang disajikan.

Katanya, beliau ada pengalaman mengenai hal itu ketika menjadi Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Sultan Abdul Hamid pada satu ketika dulu.

"Saya tanya baginda mahu makan apa pada majlis jamuan itu. Baginda bertitah, beta suka makan apa yang rakyat makan.

"Tuanku suka makan mi abu dan popia. Jadi saya pun bawa peniaga makanan itu pada majlis itu untuk dihidangkan kepada baginda," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tuanku Mizan raja berjiwa rakyat

Posted:

Tuanku Mizan raja berjiwa rakyat

Tuanku Mizan raja berjiwa rakyat


SEGAK dan tampan, kehebatan Tuanku Mizan juga dikagumi kerana begitu dekat di hati rakyat jelata.


BAGINDA berbeza daripada gambaran tipikal seorang raja di dunia. Baginda seorang raja yang berjiwa rakyat, berdedikasi, berkarisma, bertenaga, gigih dan aktif. Demikian karakter yang menggambarkan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Baginda yang baru menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13 semalam juga berjaya melaksanakan tugas-tugas sebagai pemerintah negara dengan begitu cemerlang dan berkesan.

Sememangnya, susur-galur hidup Tuanku Mizan sangat menarik untuk disingkap.

Tuanku Mizan mencipta sejarah tersendiri apabila mencatatkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua termuda pada usia 45 tahun iaitu selepas Almarhum Tuanku Syed Putra Almarhum Syed Hassan Jamalullail yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ketiga pada usia 40 tahun. Bahkan, menariknya baginda merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang lahir selepas merdeka.

Menjengah usia 17 tahun, baginda telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Muda Terengganu pada 6 November 1979.

Tuanku Mizan dilantik sebagai Sultan Terengganu ke-16 pada 15 Mei 1998 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Dalam lipatan sejarah, baginda juga adalah sultan termuda di negara ini pada usia 36 tahun.

Kehidupan Tuanku Mizan, 49, yang merupakan putera sulung daripada tujuh bersaudara tidak terbatas di istana semata-mata.

Sebelum berangkat ke luar negara untuk mengikuti kursus ketenteraan di England, baginda pernah berkhidmat sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu. Pengalaman selama setahun itu membenihkan pengalaman berharga kepada baginda.

Galas tanggungjawab

Aura sebagai seorang pemimpin terserlah sejak Tuanku Mizan masih muda. Baginda dikatakan sanggup meredah hutan dan turun padang bersama kakitangannya berpanas ke merata kampung bagi mengetahui cara-cara mengukur tanah.

Ketabahan baginda menghadapi dugaan dan cabaran diperkukuhkan dengan latihan ketenteraan, termasuk kursus pegawai kadet selama enam bulan di Akademi Tentera Diraja Sandhurts, England iaitu dari Mei hingga Disember 1983.

Setelah menamatkan pengajian di U.S. International University-Europe (kini dikenali sebagai Alliant International University) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Hubungan Antarabangsa), baginda dilantik sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 11 Julai 1988 sehingga 10 Julai 1989.

Kemudian, Tuanku Mizan telah dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah selama dua tahun iaitu mulai 11 Julai 1989 hingga 10 Julai 1991. Dalam tempoh itu juga sebagai Ketua Agama Islam, baginda telah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mulai 1 Jun 1991 hingga 31 Disember 1995.


SULTAN MIZAN bergambar di hadapan pesawat Sukhoi SU-30MKM sebelum berlepas menaiki pesawat itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth.


Pada 28 Mac 1996, baginda telah selamat diijabkabulkan dengan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Bahtera kehidupan baginda berdua diserikan dengan empat orang cahaya mata.

Akrab dengan rakyat

Tuanku Mizan disifatkan sebagai pemerintah yang sangat prihatin terhadap kemakmuran dan keharmonian rakyat jelata. Bahkan, bagi merapatkan jurang antara rakyat dan istana, baginda mengambil pendekatan turun ke akar umbi dengan solat Jumaat di masjid-masjid seluruh negeri Terengganu.

Justeru, jolokan Raja Berjiwa Rakyat kepada Tuanku Mizan sangat bertepatan untuk baginda.

Sebagai satu landasan untuk terus meringankan beban rakyat, baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil inisiatif mewujudkan Yayasan Diraja Sultan Mizan yang dilancarkan pada 19 Julai 2005.

Yayasan itu membuka ruang seluas-luasnya untuk baginda terlibat dalam kerja-kerja amal dalam menaiktaraf sosioekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.

Tuanku Mizan dikatakan begitu mengambil berat berkenaan impak keberkesanan yayasan tersebut. Baginda bertindak proaktif dengan melibatkan diri secara langsung dengan mempengerusikan setiap mesyuarat lembaga pemegang amanah yayasan berkenaan.

Transformasi

Semasa masih bergelar Yang di-Pertuan Agong, baginda juga telah melakukan transformasi terhadap tatacara Istana Negara berurusan dengan rakyat dan kerajaan.

Transformasi itu bermula dengan rombakan dalam pentadbiran istana sendiri apabila hampir 80 peratus pegawai-pegawai kanan telah digantikan dengan mereka yang dipilih oleh Tuanku Mizan sendiri.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbincang dengan Tuanku Mizan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-224 di Istana Negara.


Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Mohd. Safiain Wan Hasan berkata, tiada lagi majlis larut malam yang akan dihadiri oleh Tuanku Mizan. Majlis-majlis mesti dimulakan pada pukul 8.30 malam dan berakhir pada pukul 10.30 malam.

Baginda tidak mahu rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan pulang lewat hanya disebabkan baginda, sedangkan mereka perlu bekerja pada keesokan harinya.

Dalam hubungan diplomasi pula, lawatan baginda ke Kemboja, Laos, Kuwait dan banyak lagi telah menyumbang kepada kesuburan, keakraban dan pengukuhan hubungan global. Pendekatan itu juga menjadikan Malaysia sentiasa diiktiraf dan dihormati oleh masyarakat dunia.

Lawatan kerja Tuanku Mizan selama empat hari ke benua Antartika pada pertengahan November lalu menggambarkan kesungguhan dan komitmen baginda kepada negara.

"Lawatan Seri Paduka itu dilihat akan memperkukuhkan kerjasama penyelidikan saintifik Antartika di samping mengeratkan hubungan dua hala dengan New Zealand," ujar Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Sesungguhnya, sepanjang perkhidmatan Tuanku Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda berjaya menjalankan seadil-adilnya pemerintahan mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara.

Mulai hari ini, baginda kembali bersemayam memerintah negeri Terengganu selepas lima tahun mentadbir Malaysia sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13.

Full content generated by Get Full RSS.

Kuasa Raja-Raja Melayu

Posted:

Kuasa Raja-Raja Melayu

Kuasa Raja-Raja Melayu


MAJLIS Raja-Raja yang terdiri daripada raja dari sembilan buah negeri akan bersidang setiap lima tahun untuk memilih salah seorang daripada mereka sebagai Yang di-Pertuan Agong.


SEJAK Malaysia mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, terlalu banyak perubahan dan pembangunan dilakukan bagi memartabatkan negara di peringkat antarabangsa.

Namun, sepanjang menyusuri arus perubahan dan kemodenan, Malaysia masih mengekalkan sistem yang diamalkan sejak kurun yang ke-15.

Pastinya, sistem yang dimaksudkan itu ialah sistem pemerintahan beraja yang merupakan teras utama sistem pemerintahan negara. Lagipun umum mengetahui bahawa Malaysia yang mempunyai 14 buah negeri mempraktikkan sistem Raja Berperlembagaan.

Hari ini, sudah lima dekad sistem Raja Berperlembagaan memainkan peranan dalam kestabilan dan keamanan pada negara.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Perkara 40 menjelaskan, tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong sama ada di bawah Perlembagaan atau di bawah Undang-Undang Persekutuan, hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selain perlembagaan ini.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong berhak mendapat maklumat mengenai pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh jemaah menteri.

Secara amnya, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua negara yang dipilih menerusi Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada sembilan buah negeri seperti Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Setiap raja dari sembilan negeri itu mempunyai peluang untuk menjadi ketua negara dengan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh lima tahun seperti yang termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.

Secara keseluruhan, Malaysia dipayungi Yang di-Pertuan Agong tetapi sembilan buah negeri beraja ditunjangi raja atau sultan negeri, manakala empat buah lagi negeri pula diketuai Yang di-Pertua Negeri.

Namun sistem beraja di Negeri Sembilan paling unik berbanding negeri-negeri beraja yang lain. Rajanya tidak dipanggil sultan atau raja, sebaliknya digelar Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Selain itu, sistem di negeri tersebut pula bukannya monarki turunan tetapi dipilih oleh empat Undang iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau.

Menurut pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, dalam hierarki masyarakat Melayu yang berbentuk piramid, raja merupakan golongan yang menduduki kedudukan teratas.


NEGERI Pahang dipayungi Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang telah diputerakan di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang pada 24 Oktober 1930.


Ketinggian darjat raja dalam masyarakat telah memberikan mereka kuasa pemerintahan utama. Malah, kedaulatan dan kuasa raja berkekalan dan terjamin seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 181 (1).

"Biar zaman semakin canggih dan moden, asalkan kita tidak lupa asal-usul dan kedaulatan kepada Raja-Raja Melayu. Peranan raja dan sultan masih lagi diperlukan dan relevan bagi melindungi rakyat dan negeri yang diperintah. Sebab itu, masyarakat dinasihatkan agar sentiasa menjaga kedudukan raja atau sultan sampai bila-bila," kata Ramlah.

Menjelaskan lanjut mengenai peranan raja negeri, Ramlah memberitahu, mereka berkuasa melantik seorang Menteri Besar atas budi bicara. Pada masa yang sama, Raja Negeri juga berhak menolak calon Menteri Besar sekiranya tidak menepati kriteria dan kurang yakin kredibiliti meskipun individu berkenaan merupakan ahli pada sebuah parti yang memenangi majoriti 2/3 dalam pilihan raya.

Selain itu, Raja Negeri boleh menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri, bertindak sebagai ketua agama atau berhubung dengan adat Melayu serta melantik waris atau waris-waris, isteri, pemangku raja atau jemaah pemangku raja.

Antaranya termasuklah melantik pemegang pangkat, gelaran, kemuliaan dan kebesaran di sisi adat Melayu.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved