Selasa, 13 Disember 2011

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Majalah di hujung jari

Posted:

Majalah di hujung jari

Majalah di hujung jari

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

DALAM menuntut ilmu pengetahuan, ia tidak mengenal erti masa atau pun tempat asalkan mempunyai kemahuan yang tinggi untuk menambah ilmu.

Dengan pelbagai medium bahan bacaan yang terdapat di pasaran hari ini, ia memudahkan lagi pembaca mengakses dan membuka pintu rahsia ilmu pengetahuan untuk dijadikan rujukan ataupun iktibar dalam kehidupan mereka.

Tidak terkecuali, majalah turut menjadi salah satu medium bacaan untuk dijadikan wadah hiburan, rujukan, memperoleh tip dan banyak lagi.

Bagaimanapun, tidak banyak kedai majalah membuka pintunya 24 jam kepada pembaca, sehingga menyebabkan pembaca terpaksa menunggu keesokan hari bagi mendapatkan hasil karya majalah kegemaran mereka.

Malah, bila dihimpunkan beberapa naskhah majalah yang tebal, akhirnya ia tidak sesuai lagi dijadikan peneman saat berjalan-jalan di luar.

Justeru itu, Netxpert Sdn. Bhd. membangunkan dua majalah alam maya melalui portal penerbitan wuuhuuonline.com dalam memberi kebebasan kepada penggemar bahan bacaan membaca pada bila-bila masa sahaja mengikut kesesuaian waktu mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Onn Ismail berkata, peranan majalah dalam kehidupan penggemar bahan bacaan hari ini semakin meningkat kerana ia lebih santai dan sarat dengan pelbagai segmen dalam memenuhi kehendak mereka.

"Sebagai langkah permulaan, kita telah menerbitkan dua majalah alam maya iaitu Femag dan Entertainment and Fashion (ENF) untuk ditawarkan kepada pembaca terutamanya golongan wanita serta penggemar hiburan.

"Dengan penerbitan dua majalah ini, kita memberikan platform terbaik kepada pembaca untuk menikmati dan membaca majalah di mana-mana sahaja asalkan mempunyai capaian Internet," katanya kepada Kosmo!.

Teknologi Flip Book

Dalam memberi pengalaman bak majalah fizikal yang terdapat di pasaran kepada pembaca, Che Onn berkata, majalah-majalah tersebut telah dibangunkan menggunakan teknologi Flip Book.


MAJALAH online kini semakin mendapat tempat di hati pengguna terutama dengan kelahiran gajet tablet.


"Penggunaan teknologi Flip Book ini membenarkan pembaca merasai pengalaman seolah-olah mereka sedang membaca bahan penerbitan yang dicetak seperti dijual di pasaran hari ini.

"Halaman paparan elektronik yang dapat dilihat di muka skrin pula kelihatan seperti majalah fizikal malah, boleh diselak atau pun dengan menekan butang penunjuk animasi. Ia dibangunkan oleh perisian Adobe Flash dalam memudahkan lagi pembaca," ujarnya lagi.

Dia menambah, pengenalan teknologi tersebut juga dapat memudahkan lagi pengguna dalam memilih muka surat yang ingin dibaca mereka dengan lebih pantas.

"Selain daripada itu, majalah alam maya ini dapat membantu pembaca majalah untuk memperoleh bahan bacaan di hujung jari mereka tanpa perlu memikul majalah kegemaran yang mempunyai puluhan helaian.

"Mereka juga tidak perlu bimbang mengenai ruang menyimpan majalah kerana hanya perlu melawati laman web wuuhuuonline.com dan mendapatkan semua isu majalah yang telah diterbitkan sebelum ini," ujarnya lagi.

Pembaca boleh menggunakan pelbagai platform seperti komputer riba, komputer peribadi, tablet mahupun telefon pintar dalam merasai pengalaman baharu membaca majalah-majalah tersebut.

Secara tidak langsung, Che Onn memberitahu, pengenalan majalah digital berkenaan dapat membantu memulihara alam sekitar kerana tidak menggunakan kertas dan bahan kimia.

"Mungkin sumbangan yang dilakukan ini agak kecil tetapi, berharap ia dapat membantu mengurangkan pemanasan global yang melanda dunia hari ini.


FAIZAL berbincang dengan petugas grafik yang menyiapkan majalah online ENF.


"Dalam pada itu, pembaca juga dapat menjimatkan kos kerana tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan dalam menikmati wadah bacaan alam maya ini apabila ia ditawarkan secara percuma," katanya lagi.

Che Onn menambah, dia juga bercadang memperkenalkan hiperpautan pada halaman majalah berkenaan bagi memudahkan pembaca melawat terus laman web produk, artis dan sebagainya.

"Sehingga kini, majalah-majalah berkenaan telah diakses sebanyak 84 negara seluruh dunia. Ini menunjukkan wadah bacaan bahasa Melayu boleh diterima kerana banyak rakyat negara ini dan serantau berada di luar negara," katanya.

Majalah ENF dan Femag

Sementara itu, Pengarang ENF, Faizal Harun memberitahu, pengenalan majalah alam maya tersebut tidak membataskan pengkarya dalam mengetengahkan idea mereka.

"Sebagai contoh, berbanding majalah fizikal kita mempunyai halaman terhad yang boleh diisi tetapi, apabila menggunakan teknologi ini ia lebih bebas. Ia sekaligus dapat memenuhi permintaan pembaca yang mempunyai pelbagai cita rasa terhadap bahan bacaan mereka," katanya.

Faizal menambah, keluaran pertama majalah ENF yang mempunyai konsep mengenai dunia hiburan dan gaya hidup telah dilakukan pada awal November lalu.

Katanya lagi, ia dibangunkan untuk memberi penghargaan kepada penyanyi, pelakon, pemuzik, petugas belakang tabir dan banyak lagi yang terlibat dalam industri hiburan tanah air.

"Antara kelainan yang dapat dilihat dalam majalah ini adalah segmen On Stage. Kita cuba memberi gambaran kepada pembaca mengenai kostum yang dipadan pelakon atau penyanyi apabila mereka melakonkan filem dan teater.


CHE ONN (tengah) bersama tenaga kerja majalah alam maya yang diterbitkan oleh wuuhuuonline.com.


"Dalam pada itu, imej-imej pegun yang terdapat dalam majalah ini juga dirakam jurugambar profesional untuk meninggalkan kesan kepada pembaca," katanya lagi.

Menyentuh mengenai majalah Femag pula, Che Onn berkata, ia merupakan 'hadiah' kepada golongan wanita.

Katanya, majalah tersebut sarat dengan pelbagai maklumat dan artikel mengenai golongan Hawa itu.

Dia berharap dapat memeriahkan lagi industri penerbitan digital di negara ini dengan 'kelahiran' majalah-majalah tersebut.

Katanya, ia juga diharap dapat meningkatkan lagi budaya membaca dalam kalangan masyarakat negara ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Selamatkan orang utan untuk masa depan

Posted:

Selamatkan orang utan untuk masa depan

Selamatkan orang utan untuk masa depan

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM


PULAU Orang Utan memberi pendedahan mengenai kehidupan primat berkenaan kepada orang ramai.


SEAWAL pukul 7 pagi, riak wajah ceria terpancar pada peserta-peserta program jalan kaki amal Walk With Us - Save The Orang Utans yang berkumpul di hadapan Menara Mustapha Kamal, Damansara Perdana, Selangor.

Sedondon memadankan baju-t berwarna putih dengan lambang Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YOU), mereka kelihatan cukup bersemangat untuk menyumbang sedikit keringat membantu survival orang utan di negara ini.

Program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan MK Land Holdings serta Kumpulan Emkay bertujuan mengutip dana YOU berjaya mengumpulkan kira-kira 500 peserta dalam bersama-sama memulihara primat yang pernah menjadi maskot Sukan Komanwel 1998 itu.

Peserta-peserta telah berjalan sejauh 3.9 kilometer (km) sekitar Damansara Perdana dengan membawa pelbagai sepanduk mengenai kepentingan menyelamatkan orang utan.

Ia turut disertai Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar yang juga pencetus idea program berkenaan.

Ahli Lembaga Pengarah YOU, Prof. Emeritus Datuk Abdul Latiff Mohamad berkata, program berkenaan merupakan salah satu medium dalam memberi pendedahan kepada masyarakat umum mengenai kepentingan memulihara orang utan.

"Satu ketika dahulu, jumlah orang utan di hutan negara ini tidak membimbangkan tetapi, pelbagai perubahan bumi termasuk dari segi landskap, masalah kesihatan, haiwan pemangsa dan lain-lain menyumbang kepada pengurangan populasi primat ini.

"Justeru, kita berharap dengan usaha memulihara orang utan di Pulau Orang Utan ia dapat meningkatkan populasi dan memanjangkan lagi jangka hayatnya untuk generasi masa hadapan," katanya pada pemberita selepas program jalan kaki amal Walk With Us - Save The Orang Utans.


KIRA-KIRA 500 peserta menyertai program jalan kaki amal Walk With Us - Save The Orang Utans.


Dalam pada itu, beliau menambah, program berkenaan turut diadakan bagi mengutip dana YOU bertujuan untuk membiayai kos pembiakan, pemulihan, pendidikan dan penyelidikan orang utan.

Setakat ini, Abdul Latiff yang merupakan pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu, terdapat 27 ekor orang utan di Pulau Orang Utan untuk memulihara primat berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pulau Orang Utan Bukit Merah Laketown Resort, Dr. D. Sabapathy berkata, daripada 27 ekor orang utan tersebut sebanyak 17 daripadanya lahir di pulau berkenaan.

"Kesemua 17 orang utan yang lahir di pulau berkenaan terdiri daripada lapan betina dan sembilan ekor jantan," ujarnya.

Berbakti

Sementara itu, seorang peserta, Yeoh Hong Leng, 24, berkata, dia sangat seronok apabila menyertai program jalan amal berkenaan kerana dapat membantu menyumbang kepada pembangunan dan survival orang utan.

"Orang utan merupakan antara primat ikon yang dikenali bukan sahaja di dalam negara ini tetapi, sehingga seluruh dunia.

"Justeru itu, ia adalah sesuatu yang baik apabila dapat bersama-sama berbakti dalam memastikan orang utan dapat terus hidup untuk generasi akan datang," katanya yang kerap menyertai aktiviti amal.

Norazlin Ibrahim, 29, yang cukup ceria apabila menyertai program berkenaan memberitahu, ia merupakan usaha murni bagi mengumpul dana agar orang utan dapat melalui kehidupan lebih sempurna.


ANAK orang utan dijaga dengan rapi di Pulau Orang Utan untuk memastikan survival primat itu.


"Dengan adanya aktiviti sebegini, kita dapat mengenali kehidupan orang utan dengan lebih rapat apabila terdapat pameran-pameran disediakan untuk menambah pengetahuan.

"Selain dapat beramal menyumbang kepada orang utan, kita juga dapat menyihatkan tubuh badan apabila berjalan sejauh 3.9 kilometer," katanya penuh semangat.

Salah seorang peserta muda yang berjaya menghabiskan jalan amal berkenaan, Mohamad Yasir Mohamed Nasir, 7, menambah, dia sangat seronok dapat bersenam pada waktu pagi.

"Bukan selalu dapat bersenam sambil menyebarkan kesedaran menyelamatkan orang utan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kamkoder mampu milik

Posted:

Kamkoder mampu milik

Kamkoder mampu milik

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM


KERANGKA kompak dan ringan memudahkan kendalian pengguna.


BINGKISAN kehidupan yang dilalui sepanjang hayat tentu sekali menjadi lebih bermakna apabila dapat diputar semula untuk dijadikan kenangan terindah.

Apatah lagi, apabila satu persatu bingkai kehidupan tersebut dapat dirakam dan dimainkan semula bak filem pendek arahan sendiri untuk dijadikan tontonan pada masa hadapan.

Pengenalan kamkoder yang dilengkapi pengesan CMOS dengan rakaman progresif untuk menghasilkan video berkualiti dan mudah dikendalikan, amat sesuai digunakan oleh penggemar peranti berteknologi tinggi.

Model terbaharu, Samsung SMX-F700 yang mempunyai resolusi sehingga lima megapiksel dan filter warna utama mampu menghasilkan video dengan warna lebih tepat dan semula jadi.

Dengan teknologi terkini, kamkoder tersebut boleh merakam video pada kadar 30 atau 25 bingkai per saat sekali gus memberikan kepuasan kepada pengguna.

Dalam pada itu, pengesan CMOS yang terdapat pada kamkoder itu turut memberikan perlindungan pencahayaan apabila merakam subjek terang seperti cahaya ataupun matahari.

Bagi yang tidak yakin ataupun bimbang rakaman video akan menjadi kabur, mereka tidak perlu khuatir kerana teknologi penstabilan imej Hyper Digital dapat membantu memberi rakaman lebih sempurna.


PAPARAN skrin yang luas dapat memberi kepuasan terutamanya ketika merakam video. SPESIFIKASI SAMSUNG SMX-F700 HARGA: RM699 PAPARAN SKRIN: 69 sentimeter BERAT: 220 gram DIMENSI: 5.39 x 5.64 x 11.9 sentimeter WARNA: Hitam dan perak


Samsung SMX-F700 didatangkan bersama lensa Schneider Kreuznach yang mempunyai optikal zum 52x dapat memastikan video dirakam dengan lebih terperinci walaupun ketika sedang fokus pada subjek jarak jauh.

Pengendalian kamkoder lebih mudah apabila ciri pintar Smart Auto membolehkan pemilihan mod rakaman dilakukan secara automatik bergantung kepada keadaan cahaya dan subjek.

Peranti yang hanya mempunyai berat mencecah 220 gram dan kerangka kompak membenarkan pengguna membawa ia ke mana-mana sahaja malah boleh merakam imej pegun berkualiti tinggi.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kamkoder Samsung SMX-F700 yang dijual pada harga RM699, laman web www.samsung.com boleh dilayari untuk rujukan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved