Jumaat, 2 Disember 2011

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Keunikan Evoque

Posted:

Keunikan Evoque

Keunikan Evoque

Oleh SHAWKATH AZDE

PENGENALANNYA menandakan permulaan era baharu buat jenama ikonik British. Penciptaannya juga disifatkan sebagai langkah yang cukup berani oleh pengeluarnya. Ia mengubah tradisi lamanya. Itulah Evoque, model SUV terbaharu Range Rover.

Sebelum ini, rangkaian Range Rover disifatkan lebih ke arah pelanggan lelaki. Lihat sahaja senario pemanduan jentera ini di atas jalan raya di negara ini. Rata-ratanya pemandu lelaki. Bukan tiada pemandu wanita tetapi jarang sekali ditemui.

Senario itu bakal berubah. Bilangan pemandu wanita Range Rover di jalanan pastinya lebih kerap menerusi pengenalan Evoque. Model ini dikatakan mampu menjadi faktor pengimbang pasaran lelaki dan wanita dengan kadar nisbah 50:50.

Untuk makluman, Evoque ialah SUV paling kecil, ringan dan efisien pernah dihasilkan dalam rangkaian model Range Rover. Ia dibangunkan berdasarkan kereta konsep Range Rover LRX yang pernah dipamerkan pada North American International Auto Show pada tahun 2008.

Sewaktu Paris Auto Show tahun lalu, kereta konsep itu dizahirkan menjadi Evoque model tiga pintu (Coupe). Tahun yang sama turut menyaksikan pengenalan model lima pintu SUV Range Rover itu dalam Los Angeles Auto Show.


EVOQUE Coupe pastinya menarik perhatian umum sewaktu menyusuri jalan raya.


Awal bulan ini, kedua-dua model Evoque itu dibawa masuk ke dalam pasaran tempatan oleh Land Rover (Malaysia) Sdn. Bhd. (Land Rover Malaysia). Model yang diimport sepenuhnya itu (CBU) didatangkan dalam pilihan enjin petrol dan diesel.

Pengarah Urusan Land Rover Malaysia, Mohd. Hazem Abdul Rahman menyifatkan Evoque sebagai model paling penting dan menarik keluaran Land Rover. Katanya, Evoque merupakan agen perubah jenama Range Rover.

"Ia menterjemahkan satu segmen serba baharu dalam pasaran SUV dan direka untuk mengubah set minda. Buat pertama kalinya, kami memiliki satu produk perintis yang akan menarik minat mereka yang tidak pernah mempertimbangkan sebuah Land Rover, Range Rover atau SUV sebelum ini.

Tempahan 250 unit

"Evoque memberikan yang terbaik daripada aspek penampilan kereta konsep menakjubkan dan digabungkan dengan keselesaan, praktikaliti untuk kegunaan harian dan kemampuan 4X4 yang tiada tandingan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Hazem mengesahkan, sehingga kini, tempahan yang diterima untuk model Evoque sudah melepasi paras 250 unit. Dijangka varian lima pintu petrol akan meraih sambutan memberangsangkan.


SUSUN atur butang kawalan kemas dan mudah dicapai pemandu.


Evoque coupe dan lima pintunya masih berpegang pada nilai-nilai utama dan kemewahan premium jenama Range Rover. Ia menawarkan prestasi mengagumkan di atas semua bentuk laluan selain pengendalian yang dinamik dan sporty.

Model SUV itu didatangkan dengan pilihan enjin petrol 2.0 liter dan diesel 2.2 liter. Enjin petrol Si4 tersebut digabungkan dengan sistem pancitan terus bahan api, pengecas turbo dan pemboleh ubah pemasaan injap berkembar untuk pemanduan serta penjimatan bahan api.

Bagi model diesel pula, ia menggunakan khidmat enjin turbodiesel yang turut digunakan pada model Land Rover Freelander 2. Kedua-dua jenis enjin empat silinder sebaris itu diberi padanan transmisi automatik enam kelajuan AW F-21 G generasi baru dengan Rotary Auto Shifter.

Semua varian Evoque dipasang dengan rim aloi bersaiz 20 inci. Selain itu, ia dilengkapi sistem audio dengan 11 unit pembesar suara, skrin sentuh bersaiz lapan inci bersama sistem navigasi, paparan maklumat pemandu TFT berwarna bersaiz lima inci yang ditempatkan di antara dua dial instrumen, sistem parkir selari automatik dan pintu but berkuasa.

Tidak lupa juga sambungan teknologi seperti input USB, soket imput tambahan untuk iPod dan peranti mudah alih lain, sambungan Bluetooth untuk kegunaan telefon bebas tangan dan penstriman audio.


ROTARY Auto Shifter menggantikan penggunaan tombol gear konvensional.


Sistem Adaptive Dynamics

Bagi Evoque Coupe, ia didatangkan bersama sistem Adaptive Dynamics dan peredam MagneRide yang menawarkan keseimbangan antara keyakinan, pengendalian lincah, fleksibel serta pemanduan terkawal.

Bumbung panoramik kaca bersaiz penuh meningkatkan lagi sensasi ruang yang luas. Pada masa yang sama, ia menerangkan ruang kabin secara semula jadi dan meluaskan pemandangan untuk semua penumpang di dalamnya.

Evoque lima pintu mempunyai garis bumbung bahagian belakang yang lebih tinggi. Ia memberikan lebihan ruang dan versatiliti pada bahagian kabin. Sekali gus memastikan penumpang tempat duduk belakang tetap selesa sepanjang perjalanan.

Cerminan sebenar Evoque terletak pada penampilan luarannya. Evoque nyata lebih menyerlah menerusi aplikasi lampu utama adaptif xenon bersama satu grafik signatur penuh kuasa pada lampu hadapan menggunakan teknologi bilah lampu LED. Grafik sama diulang pada lampu belakang LED dengan reka bentuk kelopak 3D seperti sebiji batu permata.

Masuk ke dalam kabin, didapati paparan dalaman hidup menerusi urutan penghidup yang dikoreograf. Lampu ambien LED memberikan iluminasi sofistikated dan tepat ke dalam kabin. Apabila memilih mode Dynamic, skim warna merah muncul dan menerangi ruang dalaman dan gugusan paparan meter.

Fabrik yang digunakan pada bahagian dalaman membabitkan kulit premium Oxford. Ia dijahit menggunakan tangan dengan jahitan dua bilah jarum. Ia meliputi bahagian tengah papan pemuka, panel pintu dan tempat duduk.


PANEL instrumen juga memaparkan status kenderaan dan pelbagai program pilihan.


Evoque menggunakan sistem suspensi dan struktur baharu. Ia menawarkan pemanduan dinamik sama ada di laluan off-road atau sebaliknya. Struktur tubuhnya dibina menggunakan keluli ringan yang kukuh untuk memberi ketegaran terbaik.

Model itu juga sarat dengan pelbagai teknologi keselamatan seperti Dynamic Stability Control, Roll Stability Control, Traction Control System, Trailer Stability Assist, Hill Start Assist, Hill Descent Control, Gradient Release Control dan Engine Drag torque Control.

Full content generated by Get Full RSS.

VW Passat Alltrack

Posted:

VW Passat Alltrack

VW Passat Alltrack

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


JENTERA ini dipasang dengan pacuan empat roda 4MOTION.


BARU-BARU ini Volkswagen (VW) melancarkan tiga model serentak iaitu Passat, Jetta dan Cross Touran di pasaran tempatan. Memandangkan model-model tersebut sudah lama dipasarkan secara global jadi tidak hairanlah VW mampu melancarkannya secara sekali gus.

Anehnya Passat yang dipasarkan adalah diimport sepenuhnya (CBU) dari Jerman dan bukan model pemasangan terurai tempatan (CKD). Passat merupakan salah satu model yang bakal dipasang di kilang milik DRB Hicom pada penghujung tahun ini.

Lazimnya akan ada perbezaan harga antara model CBU dan CKD dan saya tidak pasti mengapa VW tidak sabar untuk memperkenalkan model Passat CBU. Apa pun VW pasti mempunyai perancangan tersendiri dengan senario tersebut.

Selain isu di atas, apa yang menarik perhatian (juga aneh) ialah apabila VW memperkenalkan MPV Touran versi Cross. Jangkaan ramai bahawa VW akan memperkenalkan Touran agak tersasar dengan pengenalan varian Cross yang nampak rugged untuk sebuah MPV.

Seingat saya tidak ada lagi model Cross untuk sebuah MPV ditawarkan dalam pasaran tempatan. MPV ialah kenderaan untuk mengangkut penumpang. Bukannya digunakan untuk meredah hutan kecil atau memancing, apatah lagi melawat ladang kelapa sawit.

Boleh bayangkan bagaimana Proton Exora atau pun Toyota Avanza ditawarkan dengan versi Cross? Huh, buruk rasanya.

Walau bagaimanapun, Cross Touran dengan arca rodanya yang lebar tidaklah buruk bahkan agak sempurna apabila digabungkan dengan badan berkotak Touran. Sekali lagi saya percaya VW mempunyai perancangannya tersendiri dengan pengenalan model tersebut walaupun tidak pernah dibuat oleh pengeluar lain.


RUANG kabin yang menguatamakan keselesaan pemandunya.


Di peringkat global pula, VW baru sahaja mendedahkan beberapa foto model terbaru mereka iaitu Passat Alltrack. VW membuat penampilan sulung global model itu di Pameran Kenderaan Tokyo 2011 dengan program produksi yang dirancang pada tahun 2012.

Passat Estate

Di sebalik nama Alltrack, saya percaya ini adalah sebuah lagi varian Cross yang berselindung di sebalik nama yang agak fancy dan catchy.

Passat Alltrack sebenarnya dibina berasaskan model Passat Estate, cuma model baharu itu ditambahkan dengan pacuan empat roda 4MOTION dan jarak kelegaan bumi ditinggikan untuk keberkesanan sewaktu off road.

Imej luarannya juga turut diubah dengan penambahan aksesori bagi melindungi badan kereta daripada tercalar apabila melalui permukaan yang mencabar. Aksesori tersebut terdiri daripada panel pelindung depan dan belakang dengan efek besi tahan karat serta arca roda yang lebar.

Pada 4,771 milimeter (mm), panjang Passat Alltrack sebenarnya adalah sama dengan Passat Estate. Biarpun dengan arca roda baharu, lebarnya tetap sama dengan 1,820mm.

Suspensi Passat Alltrack ditinggikan bagi menambah kelegaan bumi daripada 135mm kepada 165mm. Peningkatan tersebut membolehkan badan kereta melepasi lebih halangan di laluan yang sukar.

Seperti kenderaan VW lain yang menggunakan sistem 4MOTION, roda Passat Alltrack dipacukan pada bahagian depan dengan hanya sepuluh peratus kuasa diagihkan pada roda belakang bagi membantu menjimatkan minyak.


BUKAAN pintu yang luas untuk memudahkan proses keluar masuk dari ruang kabin.


Jika perlu, hampir 100 peratus kuasa boleh dihantar ke gandar belakang melalui penggunaan klac elektrohidraulik Haldex. Passat Alltrack turut mempunyai seleksi mode off road yang sama seperti model Tiguan Escape.

Apabila seleksi dipilih melalui butang pada papan pemuka, sistem Hill Descent Assist (HAD) akan diaktifkan dengan fungsi brek secara automatik apabila kenderaan berada pada curam melebihi 10 darjah.

Fungsi ABS juga diubah supaya lebih sensitif pada permukaan licin beserta fungsi electronic differential locks (EDS) yang lebih aktif bertindak balas bagi mengelak daripada gelinciran roda (wheelspin).

Bagi varian yang menggunakan transmisi klac berkembar DSG pula, corak penukaran gear turut diubah apabila seleksi mode off road dipilih. Poin penukaran ditala sedikit tinggi untuk memberikan kuasa dengan pergerakan pedal minyak yang lebih senang untuk dikawal, selain tanpa penukaran gear menaik secara automatik dalam mode manual.

Untuk pasaran United Kingdom (UK), model Passat Alltrack akan ditawarkan dalam versi 2.0 liter TDI berkuasa 140 PS dengan transmisi enam kelajuan manual dan versi 2.0 liter TDI berkuasa 170 PS dengan transmisi enam kelajuan DSG.

Adakah model ini akan dipasarkan di Malaysia? Rasanya tidak, memandangkan kita sudah ada versi Cross tersendiri iaitu Cross Touran.

Full content generated by Get Full RSS.

Kematangan Ford Ranger

Posted:

Kematangan Ford Ranger

Kematangan Ford Ranger

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN


WARNA merah menyala ini membolehkan anda dilihat dari jauh lagi.


"THIS is Ford Ranger test drive, not Ford Danger test drive. So, please be safe on the road," kata marshal yang mengetuai sesi pandu uji pada pagi itu. Pesanannya disambut gelak ketawa semua yang ada di dalam dewan.

Dua minggu lalu, saya dan sekumpulan wartawan dijemput oleh pihak Sime Darby Auto Connexion Sdn. Bhd. (Auto ConneXion) untuk memandu uji jentera terbarunya. Kali ini, lokasi pandu uji mengambil tempat di Chiang Rai, Thailand.

Jika anda masih ingat, Ford Ranger membuat debut antarabangsa pada Bangkok Motor Show April lalu. Selepas beberapa bulan 'bertapa', Ford akhirnya benar-benar bersedia untuk menunjukkan rupa sebenar Ranger.

Perkataan serba baharu memang signifikan dengan Ranger. Jika pengeluar lain menggunakan frasa itu untuk merujuk kepada bampar hadapan, belakang dan lampu yang ditukar, Ranger berbeza. Sebabnya, apa yang diambil daripada model sebelumnya hanya skru dan nat sahaja!

Sesi pandu uji menyaksikan Ford menampilkan beberapa varian termasuklah pacuan dua roda (4x2) dan empat roda (4x4). Variannya turut ditentukan oleh sesaran enjin, petrol atau diesel serta jenis badannya sama ada single cab, open cab atau double cab.

Varian yang bakal dipasarkan di Malaysia bagaimanapun masih belum dapat dipastikan.

Auto ConneXion dlihat benar-benar bersungguh untuk membuatkan pengguna sedar tentang kehadiran Ranger. Antara sebabnya, beberapa pengeluar lain dijangka memperkenalkan trak pikap baharu masing-masing pada tahun depan. Chevrolet dengan model Colorado dan Mitsubishi Triton. Tidak mustahil akan ada lagi model pikap yang lain, memang meriah juga segmen trak pikap di Malaysia nanti. Tunggu sahaja.


INILAH ruang kabin untuk model Wildtrack 4x4 dengan enjin 3.2 liter.


Pandu uji di Chiang Rai meliputi perjalanan sejauh 175 kilometer (km). Ya, memang pendek jika hendak dibandingkan dengan kemampuan jentera yang boleh mencecah perbatuan hampir 1,000km untuk satu tangki penuh bahan api. Biarpun begitu, laluannya boleh dikatakan agak menyeluruh. Ada lebuh raya, laluan berbukit dan off-road yang tidaklah terlalu radikal.

Pandu uji saya dimulakan dengan model asas berpacuan 4x2. Enjin diesel 2.2 liter yang ada padanya dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan (anda tidak salah baca) yang saya fikir pertama jika ia selamat sampai ke bilik-bilik pameran Ford dalam negara pada tahun depan.

Memandangkan ia sebuah model asas, banyak benda yang tidak ada padanya. Seterengnya kosong tanpa sebarang butang kawalan audio atau sebagainya. Tetapi tempat duduknya yang dibalut fabrik warna hitam itu selesa.

Masuk sahaja ke gear pertama, Ranger terasa seperti hendak melompat. Kuasa torknya sangat ketara. Ada ketika, anak panah berwarna hijau pada meter akan muncul. Ia sebenarnya indikator bahawa anda perlu menukar ke gear lebih tinggi.

Kedudukan gearnya agak rapat. Anda hanya perlu menolak sedikit sahaja untuk menukar ke gear yang seterusnya. Saya memandu model tersebut di laluan lebuh raya. Melepasi takat 100 km sejam (km/j) tahap kesenyapan dalam kabinnya boleh dipuji.

Baru hendak panas, saya terpaksa menyerahkan stereng kepada rakan untuk memandunya pula. Laluan yang ditempuhnya lebih menarik. Banyak sekali selekohnya. Sebagai penumpang, saya boleh katakan bahawa olengan tubuh Ranger tidaklah keterlaluan.

Selepas menikmati makan tengah hari, saya agak bertuah. Ranger yang dikenali sebagai Wildtrak menjadi jentera ujian. Apa yang membezakan Wildtrak dengan Ranger biasa?

Perbezaan paling ketara ialah dari segi luarannya yang mendapat gril radiator berwarna hitam, roof rail, kemasan pada tepi ruang kargo dan banyak lagi. Pendek kata, Wildtrak nampak lebih cantik dan garang. Silap-silap, kalau sudah dibeli sayang pula hendak melanggar lecak di jalan kampung.


MAMPU meredah air sedalam 800mm tanpa sebarang masalah.


Tetapi, rasa gembira sedikit berkurang apabila menyedari ia bukanlah varian Wildtrack yang paling tinggi. Maksudnya, model tersebut cuma dipasang dengan enjin diesel 2.2 liter (varian tertinggi 3.2 liter 4x4). Beberapa butang di atas papan pemuka seperti Hill Descent Control (HDC) tidak ada di sana. Biar pun begitu, kuasa serta cengkaman Ranger masih meyakinkan ketika menaiki dan menuruni laluan curam yang berlumpur.

Jika trak pikap lain memiliki kemampuan untuk mengharung air setinggi 500mm, Ranger meletakkan penanda aras baharu apabila mampu meredah air setinggi 800mm. Tetapi, kami tidaklah meredah banjir di Bangkok, ujian itu dilakukan di sebatang sungai kecil dan Ranger lulus dengan cemerlang.

Mahu tampil sebagai trak pikap berteknologi tinggi, Ranger hadir dengan ciri Voice Control di dalam kabinnya. Sama seperti yang ada pada model kompak Fiesta, ia membenarkan pemandu 'berinteraksi' dengan sistem audio sama ada untuk menukar saluran radio atau membuat panggilan telefon.

Ranger dibina di atas kerangka, dua enjin penuh kuasa baharu, transmisi serta pelbagai ciri berteknologi tinggi yang membuatkan Ranger berada dalam kelas tersendiri. Pendek kata, Ranger ialah sebuah trak pikap yang paling menarik dan memuaskan hati pernah saya pandu setakat ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved