Ahad, 6 November 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


35 tahun setia menjaga kubur

Posted:

35 tahun setia menjaga kubur

35 tahun setia menjaga kubur

SETIAP hari selama 35 tahun, Catherine Lessler melakukan rutin harian yang sama bermula seawal pukul 4 pagi. Dia akan mengesat habuk dan menyapu sampah di seluruh ruang rumah ibadat yang juga menjadi sebahagian daripada kediamannya.

Ia disusuli pula dengan membersihkan pekarangan kawasan tanah perkuburan Jepun yang terbesar di Malaysia. Sebaik selesai, dia akan menunggu dengan penuh setia kedatangan pelawat yang mungkin akan hadir sehingga pukul 5 petang.

Pada petang awal bulan lalu, rumput-rumput yang baru dipotong masih lagi basah kesan daripada hujan lebat yang sukar diramal menuntut Catherine supaya segera membersihkannya.

"Upah memotong rumput sangat mahal, kawasan perkuburan sahaja berharga RM200 dan perlu dilakukan dua kali sebulan," katanya ketika ditemui di kawasan perkuburan Jepun, Off Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.

Dahulu, dia bersama-sama dengan mendiang suaminya, Stanley Bernard Lessler masih lagi mampu memotong rumput dan membersihkan sendiri kawasan perkuburan tersebut.

Namun, apabila tubuh dimamah usia, wanita berusia lingkungan 70-an itu terpaksa mengupah orang luar untuk memotong rumput tetapi, kerja-kerja membersihkannya tetap dia lakukan sendiri.

Tatkala kaki wanita yang mesra dipanggil Madam Catherine itu melangkah menyusuri kawasan perkuburan Jepun seluas 0.8 hektar untuk membuang bunga-bunga layu dan rumput-rumput kering, pasti ada cerita yang terpacul daripada mulutnya mengenai nisan-nisan yang tegak berdiri di situ.

T. Mori


CATHERINE pernah terfikir untuk berhenti daripada tugas menjaga kubur Jepun, tetapi mengenangkan jasa T. Mori, dia membatalkan niat itu.


Suasana yang masih berbekas dihatinya adalah upacara menanam beramai-ramai abu mayat mangsa kapal terbang JA8051 yang terhempas pada tahun 1977.

"Keadaan pada waktu itu penuh dengan suara tangisan oleh sanak saudara si mati. Terdapat sebuah keluarga, anak-anaknya masih kecil lagi menangis dan meratap pemergian ayah mereka," imbas Catherine.

Selepas melepasi beberapa nisan, langkah Catherine terhenti di hadapan sebuah nisan tertulis nama Mori Takamizu (T. Mori), lantas dia bersihkan kuburan tersebut.

Mori ialah individu yang bertanggungjawab memberikan pekerjaan penjaga kubur tersebut kepada Catherine sekeluarga ketika mereka mula-mula sampai di Kuala Lumpur.

Pada saat-saat akhir hidup lelaki itu, Catherine merupakan individu yang banyak menjaga T. Mori sehingga lelaki tersebut meninggal dunia pada tahun 1986 pada usia 79 tahun.

"Dia (T. Mori) pernah menjadi wakil kepada penduduk Jepun di Malaysia dan memainkan peranan penting dalam memelihara kawasan kubur ini serta mengeratkan hubungan antara Jepun dan Malaysia," terangnya.

Ujar Catherine, T. Mori juga pernah bertugas sebagai pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (Lelaki) Methodist, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur, manakala isterinya merupakan salah seorang daripada adik-beradik ibu Allahyarham Tun Endon Mahmood.

Beberapa meter dari batu nisan T. Mori, sambil menunjukkan ke arah sebuah kubur, Catherine berkata, hampir setiap tahun pasti akan ada keluarga yang melawat lokasi tersebut. Malah menariknya, keluarga tersebut berketurunan India.

Katanya, kubur tersebut mempunyai kaitan saudara dengan seorang pakar psikiatri, terkenal Malaysia, Tan Sri M. Mahadevan. Bagaimanapun, dia tidak dapat memastikan perkara tersebut benar atau tidak.

Semakin masa berlalu, daripada pemerhatian penjaga kubur Jepun itu, bilangan pengunjung terutama dari Jepun yang datang melawat tanah perkuburan saudara-mara di situ semakin berkurangan.

"Mungkin mereka sudah tua atau sudah meninggal dunia malah, ada di kalangan anak-anak mereka mengambil abu nenek-moyang mereka untuk ditanam di sana (Jepun)," katanya yang dibayar gaji oleh The Japan Club of Kuala Lumpur (JCKL).

Lokasi tersembunyi


TANAH perkuburan Jepun Kuala Lumpur merupakan tanah perkuburan Jepun terbesar di negara ini.


Mendiami kawasan perkuburan tersebut hampir setiap saat dalam tempoh masa yang panjang tidak sedikit pun menimbulkan perasaan takut kepada Catherine dan keluarganya mengenai kewujudan hantu.

"Cuma, kami sekeluarga risau dengan penagih dadah yang selalu curi-curi masuk ke kawasan perkuburan untuk 'berparti' pada waktu malam. Mungkin tempat ini terlindung dan sesuai menjadi tempat mereka," ujar Catherine sambil menunjukkan ke arah sebuah altar berbumbung di kawasan perkuburan itu.

Kedudukan tanah perkuburan Jepun yang terletak di cabang Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur agak tersorok daripada pandangan umum dan ketiadaan nama jalan sering menyebabkan orang ramai keliru.

Menurut anak Catherine, Vincent Charles Lessler, 35, mereka kerap menerima aduan daripada pihak berkuasa tempatan yang mendakwa mereka tidak menjaga kebersihan tanah perkuburan dan membiarkan anjing berkeliaran.

"Sebenarnya, tanah perkuburan yang tidak berjaga dan anjing berkeliaran itu bukanlah tanah perkuburan Jepun sebaliknya sebuah lagi tanah perkuburan lain yang terletak di depan kawasan kami," keluhnya mengenangkan aduan orang ramai tanpa usul periksa.

Membesar di perkarangan kawasan perkuburan Jepun itu, Vincent mengakui mereka sekeluarga jarang dapat keluar makan angin bersama-sama seperti orang lain.

Jelasnya, setiap kali keluar berjalan, pasti salah seorang tiada kerana tuntutan kerja yang mewajibkan terdapat orang yang menjaga kawasan perkuburan itu.

"Mungkin sekali dalam setahun, kami dapat kelepasan untuk keluar bersama-sama seperti ingin meraikan hari lahir tetapi itu masih memerlukan pengganti," katanya.

Paling ironik, menurut cerita yang disampaikan oleh saudara-mara Vincent kepadanya, kedua-dua datuknya terbunuh oleh askar Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Rekod rasmi


KAWASAN tanah perkuburan masyarakat Jepun lama yang sudah diberi wajah baharu di Jalan Dewan Bahasa.


Penasihat JCKL, T. Mandai, 77, berkata, kedatangan imigran Jepun ke Tanah Melayu sangat berbeza dengan kemasukan rakyat Malaysia berketurunan India atau Cina.

Terangnya, tiada rekod rasmi yang menunjukkan jumlah kemasukan mereka, tempat asal dan identiti sama ada pada pihak Jepun atau di pihak Malaysia.

Malah, bilangan abu mayat yang telah ditanam di tanah perkuburan Jepun Kuala Lumpur juga sukar ditentukan tetapi yang pasti ia lebih dari 7,000 orang. Ini kerana selain mayat yang ditanam sejak tahun 1897, pada tahun 1945 ketika Perang Dunia Kedua berakhir, seramai 7,000 orang askar Jepun turut dikebumikan di situ.

Bagaimanapun ujar Mandai, daripada ribuan jumlah mayat yang disemadi di situ, JCKL hanya mempunyai rekod penuh 500 hingga 600 orang seperti nama, asal-usul dan pekerjaan mereka di Malaysia.

Antara rekod awal kewujudan komuniti Jepun di Malaysia adalah pada akhir tahun 1800 apabila tersebar berita terdapat orang Jepun diserang jangkitan demam campak.

Selain itu, lima tahun lalu di Raub, Pahang, pemaju perumahan di situ melaporkan kepada Kedutaan Jepun mengenai penemuan sebuah batu nisan yang bertarikh lebih kurang 1800. Individu tersebut meninggal dunia pada umur 100 tahun.


SURAT pewartaan yang membenarkan kawasan di Jalan Dewan Bahasa itu dijadikan tanah perkuburan komuniti Jepun.


"Kawasan perkuburan Jepun di Kuala Lumpur pula hanya diwartakan kepada komuniti Jepun pada tahun 1897 oleh kerajaan British," kata Mandai ketika ditemui di Taman Seputeh, Kuala Lumpur.

Seorang penterjemah di Singapura bernama Kusano, dikatakan individu bertanggungjawab meminta sebidang tanah untuk dijadikan kawasan perkuburan pada tahun 1896.

Kawasan perkuburan tersebut dibuka secara rasmi pada bulan Mac 1901, manakala rumah ibadat yang berada di kawasan sama telah dinaik taraf sebanyak tiga kali.

Tambahnya, antara kubur yang mempunyai rekod adalah sebanyak 200 mayat wanita pernah ditanam di kawasan tersebut dan mereka dipercayai bekerja di sektor pekerjaan paling tua dunia iaitu sebagai pelacur.

Wanita terakhir daripada golongan berkenaan dikebumikan di situ ialah seorang perempuan berusia 93 tahun yang meninggal dunia pada tahun 1988.

Komuniti Jepun yang berhijrah ke Malaya pada waktu itu tidak ramai dan kebanyakan mereka tergolong dalam golongan profesional pelabur ladang getah dan aktiviti perlombongan emas dan bijih timah.

"Mereka bukan kuli tetapi jurutera dan ahli perniagaan yang membuka perniagaan di bandar-bandar," ujarnya menerangkan sebab kemasukan komuniti Jepun terlalu sedikit.

Full content generated by Get Full RSS.

Sepakat pupuk nilai murni

Posted:

Sepakat pupuk nilai murni

Sepakat pupuk nilai murni


JUSCO menekankan konsep budi bahasa dalam kalangan petugas mereka malah, tidak ketinggalan menjalankan pelbagai program CSR lambang kemurniaan hati syarikat itu.


YANG kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa. Putih tulang di kandung tanah, budi yang baik dikenang juga.

Itu adalah antara peribahasa-peribahasa yang menyerlahkan betapa budi bahasa amat disanjung tinggi oleh masyarakat negara ini.

Namun begitu, peredaran globalisasi yang menyaksikan penularan senario 'individualistik' dalam kalangan warga dunia termasuk Malaysia, sedikit sebanyak memberi impak kepada amalan budi bahasa masyarakat.

Lantaran itu, kita sering mendengar ketidakpuasan hati sesetengah pihak terhadap layanan mahu pun perkhidmatan yang diterima contohnya di pusat beli-belah, restoran dan sebagainya.

Jika senyuman yang menjadi perkara paling asas tiada langsung bagi sesetengah peniaga atau petugas di kaunter melayan pelanggan organisasi tertentu, bagaimana mengharapkan perkhidmatan yang mesra dan cekap.

Persoalannya, benarkah nilai-nilai budi bahasa sudah semakin luntur?

Masih utuh

Menyentuh mengenai dakwaan bahawa nilai-nilai murni dan budi bahasa semakin kurang dalam sahsiah diri seseorang, pekerja di sektor kerajaan, Nur Adila Abdul Wahab berpandangan sebaliknya.

"Kebiadapan atau kurangnya nilai-nilai murni bukanlah merangkumi seluruh rakyat negara ini. Ia hanya meliputi segelintir sahaja. Tetapi biasalah. Hanya disebabkan segelintir mereka ini, timbul pula persepsi negara kita semakin luntur budi bahasanya," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, gadis berusia 25 tahun itu memberitahu, beliau belum pernah dilayan kasar, dimarahi ketika berkunjung ke pusat beli-belah atau mana-mana restoran.

Katanya, kemesraan dan ucapan selamat datang masih lagi dapat dirasai sama ada ketika di restoran, pelayan di kaunter hadapan organisasi tertentu mahu pun semasa berkomunikasi dengan pembantu jualan.

Bagi Noor Farhana Ahmad Norain pula, beliau melihat senario ini bagaikan tertumpu kepada satu pihak sahaja, walhal ia perlu dimainkan secara situasi menang-menang.

Memahami bahawa juruwang, pembantu jualan juga manusia biasa, Noor Farhana berkata, mereka seperti orang lain, kadangkala turut berhadapan perasaan marah.

"Memanglah dalam pekerjaan, kita tidak boleh campur-adukkan dengan peribadi. Tetapi mereka juga manusia biasa tidak terkecuali. Tambahan pula, apabila berhadapan dengan pelanggan yang pelbagai karenah.

"Disebabkan tekanan itu, ia menyebabkan kadangkala mereka bermasam muka, terkasar bahasa kepada pelanggan. Namun, sebagai seorang pelanggan janganlah terlalu dikeruhkan lagi keadaan," katanya.

Selalunya, senario yang membangkitkan rasa tidak puas hati yang dipaparkan di media elektronik, cetak mahu pun menjadi buah mulut jiran tetangga hanyalah merangkumi komuniti pelanggan sahaja.

Namun, pernahkah kita mengambil tahu akan cara, sikap kita ketika membeli-belah, memesan makanan dan sebagainya?

Oleh itu, bagi memastikan usaha kerajaan dalam merancakkan pemupukan kempen Budi Bahasa Budaya Kita yang dilancarkan sejak tahun 2005 dan kini dikenali sebagai Kempen Adab dan Sopan berjaya, ia perlu disertai semua pihak.


KEMPEN Adab dan Sopan bukan hanya melibatkan peniaga dan petugas kaunter hadapan tetapi juga orang ramai. - Gambar hiasan


Selain melingkari peranan ibu bapa dan sekolah dalam memupuk amalan budi bahasa generasi muda, Noor Farhana berpandangan penganjuran program yang rapat dengan mereka seharusnya diperbanyakkan.

Kepuasan pelanggan

Berlainan pula dengan Kisho Kumari, gadis kelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan) dari Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) yang berpendapat pemupukan budi bahasa lebih berkesan sekiranya diamalkan di pejabat, iaitu tempat di mana banyak masa diperuntukkan.

Katanya, dengan merangka satu undang-undang baharu khusus di tempat kerja dan dipantau dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), sedikit sebanyak mampu memupuk nilai-nilai murni seseorang pekerja.

Menyedari bahawa kepuasan pelanggan adalah antara penyumbang kepada peningkatan keuntungan, AEON Co (M) Bhd., pengendali rangkaian pasar raya Jusco, sering menerapkan cara terbaik untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Pengurus Bahagian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Penjenamaan Korporat, Noryahwati Mohd. Noh berkata, aspek berkenaan termasuk sambutan pelanggan terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh pembantu jualan di kompleks beli-belah dan cawangannya.

"Dalam sektor peruncitan dan perniagaan, perhubungan yang baik adalah menjadi keutamaan kami. Jadi adalah penting bagi kami untuk berusaha ke arah memuaskan hati dan permintaan para pelanggan. Kami perlu memahami tingkah laku dan corak kehidupan pelanggan, agar kami dapat memenuhi keperluan mereka," katanya.

Sebagai peruncit terkemuka di Malaysia dengan kira-kira 10,000 pelanggan sehari, AEON menekankan konsep budi bahasa dalam kalangan petugas terutama di bahagian hadapan.

Ini tidak terhad kepada senyuman, kata Noryahwati kerana AEON mempunyai standard prosedur operasi sendiri bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti dan memuaskan pelanggan. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

7 bilion bukan sekadar angka

Posted:

7 bilion bukan sekadar angka

7 bilion bukan sekadar angka

Oleh SYALMIZI HAMID dan KUMARA SABAPATTY

DI MANA-MANA bahagian dunia pada minggu ini, kelahiran bayi dianggap sesuatu yang sangat istimewa kerana mereka merupakan penduduk ke-7 bilion bumi.

Bilangan penduduk bumi mencecah angka tujuh bilion Isnin lalu, cuma 12 tahun selepas ia mencapai enam bilion. Peralihan angka satu bilion itu hakikatnya memberi cabaran yang besar untuk tahun-tahun akan datang.

Bagaimanapun, sesetengah orang bertanya sebesar mana angka tujuh bilion itu?

Individu seperti genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, mungkin menyukai permainan angka itu. Sekali pandang, ia tidak jauh berbeza daripada enam bilion.

Kalau ditulis dalam nombor, ada sembilan nombor sifar dalam 6,000,000,000, sama seperti sembilan nombor itu dalam 7,000,000,000.


DUNIA menyaksikan penduduk bumi sudah mencecah angka tujuh bilion pada minggu ini.


Tetapi jika anda mengira semua nombor yang ada di antara enam bilion dan tujuh bilion, ia akan mengambil masa selama 30 tahun untuk diselesaikan. Ya, tiga dekad.

Bilakah kali terakhir anda menggunakan angka tujuh bilion dalam kehidupan seharian? Pernahkah anda makan tujuh bilion sesuatu atau memiliki tujuh bilion benda?

Pada awal tahun ini, cuma ada 140 orang di dunia yang mempunyai kekayaan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM21 bilion), menurut majalah Forbes.

"Nombor itu berada di luar pemikiran harian kita," kata profesor madya matematik di Universiti Villanova, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), Klaus Volpert.

"Kita mengira hingga angka 10 menggunakan jari tangan dan itulah skala kita. Malah untuk mengira hingga sejuta pun bukanlah satu kebiasaan. Angka yang besar itu membuatkan kita keliru," tambah beliau.

Ada banyak cara untuk kita membayangkan angka tujuh bilion. Tujuh bilion saat yang lalu ialah tahun 1789. Di Amerika Syarikat, ia merupakan tahun George Washington menjadi Presiden pertama negara itu.

Jika anda membuat tujuh bilion langkah di sepanjang garisan Khatulistiwa, iaitu kira-kira setengah meter bagi setiap langkah, anda boleh berjalan mengelilingi bumi sebanyak 106 kali.

Katakanlah purata ketinggian manusia ialah 1.6 meter. Jika anda menyusun mereka secara menegak, ia akan mencecah kira-kira 1 per 14 jarak matahari atau 27 kali jarak di antara bumi dengan bulan, kata Volpert.

Makanan


KRISIS air di India, negara kedua penduduk paling ramai di dunia, boleh bertukar menjadi krisis kemanusiaan.


Tujuh bilion semut, purata tiga miligram seekor pula boleh menjadi seberat 23,000 kilogram.

"Minda kita cuma menerawang apabila memikirkan betapa besarnya tujuh bilion," kata Volpert.

Beliau berkata, perasaan yang sama akan hadir apabila kita cuba membayangkan ukuran yang sangat kecil atau sesuatu yang berada di luar angkasa.

"Setiap kali kita mendongak ke langit dan melihat bintang, kita akan terpegun dengan skalanya yang besar dan menakjubkan," ujarnya.

Bumi belum sampai ke angka satu bilion penghuni sehingga tahun 1800, menurut Biro Referen Populasi AS, dan mencecah dua bilion pada tahun 1930.

Tetapi dengan kemajuan perubatan moden, ia hanya mengambil masa selama 30 tahun untuk mencatat tiga bilion, 14 tahun untuk empat bilion, 13 tahun untuk menjadi lima bilion dan 12 tahun untuk mencapai enam dan tujuh bilion.


PERTAMBAHAN sisa pepejal seiring dengan peningkatan bilangan penduduk.


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan populasi dunia akan bertambah kepada 9.3 bilion menjelang tahun 2050.

Pertambahan itu menimbulkan kebimbangan tentang banyak perkara daripada makanan hinggalah ruang untuk tempat tinggal.

Pakar-pakar di National Geographic berkata, tujuh bilion manusia muat untuk bandar Los Angeles di AS yang seluas 800 kilometer persegi – jika kita berdiri dari bahu ke bahu. Mujurlah bumi mempunyai keluasan 149 juta kilometer persegi.

Pertambahan penduduk bermakna lebih banyak proses perbandaran berlaku. Pada tahun 1950, kira-kira 730 juta orang penghuni dunia adalah penduduk bandar.

Ada hampir 3.5 bilion penghuni bandar pada tahun 2009 dan dijangka 6.3 bilion manusia tinggal di bandar-bandar pada 40 tahun akan datang.

PBB juga menganggarkan pertambahan sebanyak 70 peratus terhadap keperluan makanan untuk sembilan bilion orang pada tahun 2050.

Kegunaan air juga dijangka meningkat dua kali ganda. Malangnya, lebih satu bilion manusia sekarang tidak mendapat bekalan air minuman.

Dijangkan bilangan lelaki dan wanita adalah sama. Namun, jangka hayat khususnya di negara maju akan bertambah.

Menurut Biro Perangkaan AS, sekarang terdapat hampir 390,000 orang yang berumur 100 tahun atau lebih, hampir 13 juta berumur lebih 90 tahun dan 1.5 bilion melebihi usia 50 tahun.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved