Jumaat, 4 November 2011

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Kelapa sumber rezeki Ishak

Posted:

Kelapa sumber rezeki Ishak

Kelapa sumber rezeki Ishak

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my

BAGI yang sudah terbiasa dngan produk tempatan berasaskan bahan semula jadi, tentu tidak asing apabila melihat jenama Bio-Asli. Cukup gah dengan rangkaian produk berasaskan herba dan juga minyak kelapa dara, keluaran milik syarikat Ishak Basiran, 42, itu banyak cerita dan keistimewaannya.

Namun, di sebalik kejayaannya mencipta hingga 40 produk dan dipasarkan dalam talian ke 231 buah negara, laluan buat Ishak sebenarnya tidak bermula dengan mudah. Ia merupakan hasil kerja keras serta usaha yang tidak pernah putus.

Pada awal zaman persekolahan, Ishak kerap ponteng kelas dan hal itu membuatkan hati ibunya sedikit tersinggung memikirkan masa depan anaknya.

"Saya ambil upah kupas kelapa setiap kali saya ponteng sekolah. Bila tiba masa kawan-kawan pulang dari sekolah, saya akan menyorok dalam lori kelapa tersebut.

"Memanglah ketika itu malas sangat hendak belajar, tapi selepas ditegur oleh seorang lelaki yang juga mengambil upah kupas kelapa sama seperti saya, ia membuatkan saya sedikit takut akan masa depan dan bimbang menjadi seperti dia," imbas Ishak yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor.

Bermula saat itu, Ishak tekad untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran. Setiap malam Ishak akan mengulangkaji pelajaran bertemankan pelita tanah dan seperti biasa dia tetap akan mengambil upah mengupas kelapa selepas habis kelas.

Walaupun persekolahan Ishak berjalan lancar selepas itu, tetapi dia masih gagal mengatasi kelemahan Bahasa Inggeris dan ciri-ciri kepimpinan dalam diri. Begitupun, berkat usaha yang tidak kenal putus asa, akhirnya dia muncul sebagai pelajar terbaik Sijil Rendah Pelajaran (SRP) di sekolahnya.

Sejurus menempatkan diri di Universiti Teknologi Mara (ketika itu Institut Teknologi Mara), kecintaan Ishak terhadap dunia perniagaan semakin ketara apabila dia terlibat dengan jualan dari rumah ke rumah menjual barangan syarikat yang disertainya seperti berus gigi, buku dan lain-lain.


MINYAK Kelapa Dara merupakan produk pertama keluaran Bio-Asli pada tahun 2005.


"Di kolej pula, saya memang tidak boleh duduk diam, saya akan isi masa saya menjual nasi lemak dari bilik ke bilik dan pendek kata selagi saya boleh membuat duit saya akan cuba lakukan," imbas Ishak.

Jurutera elektronik

Sebagai lulusan Ijazah Sarjana Kepujian Kejuruteraan Jentera, Ishak menimba pengalaman dahulu dalam bidang tersebut untuk beberapa tahun sebelum membuka sebuah kilang elektronik di Sabak Bernam pada 1997.

Bermodalkan RM2,600 dan enam orang tenaga kerja, kilang tersebut mendapat kepercayaan syarikat gergasi Jepun, Tamura Electronics (M) Sdn. Bhd. untuk pemasangan komponen transformer.

Pada awalnya, ia mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap bulan dan secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak desa Sabak Bernam.

"Kegawatan ekonomi ketika itu menjejaskan prestasi syarikat dan bagi mengelakkan perniagaan saya terkubur, saya mengambil alternatif lain dengan melakukan satu lagi perniagaan dengan jenama Desaku.

"Desaku diwujudkan pada 2000 dengan produk utama kami merupakan makanan dan minuman berasaskan bahan-bahan asli orang kampung seperti buah-buahan tempatan," katanya yang juga memiliki pengalaman menimba ilmu sebagai jurutera di Amerika Syarikat (AS) dan Korea.

Masih belum berpuas hati dengan perkembangan perniagaan Desaku, Ishak lantas cuba berfikir untuk mencipta produk baharu menggunakan herba ataupun buah-buahan tempatan.

Selepas menjalankan beberapa siri penyelidikan dan pembangunan (R&D), pada tahun 2005 dengan rasminya tercipta minyak kelapa dara sebagai produk sulung di bawah syarikat baharu Ishak, Bioasli Global Business.

Minyak kelapa dara

Pemilihan minyak kelapa dara dirasakan bertepatan dengan kehendak perniagaan Ishak yang mahu membawa rangkaian produk tempatan ke peringkat antarabangsa.

"Kelapa merupakan buah-buahan tempatan yang mengandungi banyak khasiatnya. Paling menyedihkan, orang kita sendiri tidak tahu akan keistimewaan buah kelapa tersebut.

"Penciptaan minyak kelapa dara membuka mata ramai pihak bahawa isi kelapa segar itu membantu merawat tubuh badan dan boleh diekstrak ke dalam bentuk lain untuk tujuan kecantikan dan kesihatan.

"Lebih daripada itu, produk ini boleh digunakan oleh semua orang di serata dunia. Menerusi aplikasi dalam talian, perniagaan saya lebih mudah dan berkembang dengan pantas," jelasnya yang cukup mengagumi kehebatan herba-herba tempatan.


DALAM tempoh lebih lima tahun, Bio-Asli berjaya mencipta sehingga 40 jenis produk.


Kini selepas lima tahun bertapak, minyak kelapa dara keluaran Bio-Asli terus bertahan dan mendapat permintaan menggalakkan orang ramai berikutan kualiti serta perkhidmatan yang cemerlang.

Selaku usahawan, Ishak tidak mahu Bio-Asli hanya bergantung harap pada minyak kelapa dara. Oleh itu, dia akan memastikan satu produk baharu dihasilkan setiap tiga bulan sekali.

Kesemua produk yang dihasilkan itu pula tidak tertumpu kepada kesihatan sahaja malah ia turut merangkumi kecantikan lelaki dan wanita seperti losyen, syampu, deodoran dan minyak wangi.

Produk untuk keintiman suami isteri yang menggunakan herba tradisional juga mendapat permintaan dalam kalangan pengguna produk bioasli terutama produk Brutal yang menjadi pilihan utama kaum Adam.

Orang kampung

Percaya atau tidak, kejayaan yang diciptakan Ishak itu terjadi di luar bandar dan ibu pejabat serta kilang pemprosesan perniagaannya juga terletak di Sabak Bernam.

Kemudahan perniagaan dalam talian memudahkan segala urusan Bio-Asli berhubung ke serata negara tanpa perlu bersusah payah ke bandar atau ke luar negara bagi menghantar produk yang dibeli pengguna.

"Untuk menjadi seorang usahawan, kita tidak perlu bersusah payah bekerja di bandar kerana sebenarnya kawasan kampung paling banyak membuka pintu rezeki buat masyarakat kita.

"Jika kita lihat, banyak tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan herba-herba tempatan boleh dikomersialkan menjadi produk bertaraf antarabangsa namun, anak-anak muda kita lebih suka bekerja di bandar kerana suasananya lebih mewah dan selesa," luahnya.

Ishak juga berpendapat bahawa jika pakar-pakar penyelidik pulang ke kampung halaman dan bersedia menjadi usahawan, sudah tentu Malaysia sudah menjadi negara yang terkenal dengan pengekstrakan produk tempatan.

Full content generated by Get Full RSS.

Teater Aladin hiburkan si kecil

Posted:

Teater Aladin hiburkan si kecil

Teater Aladin hiburkan si kecil

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my


PERCINTAAN antara Aladdin dan Puteri Jasmin berjaya dihayati dengan sempurna oleh kedua-dua pemegang watak utama.


KISAH Aladdin bersama teko ajaibnya merupakan salah satu karakter kartun yang popular di seluruh dunia. Meskipun kisah dongeng itu dipercayai berasal dari Tanah Arab, namun ia tetap menjadi kegemaran karyawan dari Barat untuk dikomersialkan.

Malah, di Malaysia juga sudah banyak pementasan Aladdin dilakukan oleh produksi tertentu dalam usaha menarik minat masyarakat terhadap kesenian teater.

Terkini, sekumpulan pelajar tahun dua Diploma Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) memilih karya tersebut untuk dipentaskan di Panggung Eksperimen, Aswara.

Berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Oktober lalu, teater kanak-kanak Aladdin itu berjaya menghiburkan penonton menerusi lakonan mantap para pelajar dan set pentas yang menarik.

Pensyarah Fakulti Teater, Datin Marlia Musa memberitahu secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan setiap pelajar yang terlibat dalam produksi tersebut.

Walaupun setiap semester pelajar hanya perlu menyiapkan satu produksi teater sahaja, namun pada semester ini mereka membuat kejutan dengan menghasilkan dua produksi teater.

"Sempena Seminar Teater Kebangsaan yang berlangsung pada bulan September lalu, kumpulan pelajar ini telah mengadakan persembahan teater bertajuk Baju Emas Sang Maharaja karya Johan Jaaffar.

"Sebulan kemudian, mereka tampil dengan persembahan teater kanak-kanak Aladdin ini pula untuk penilaian akhir tahun," jelas Marlia yang turut bertindak sebagai pengarah bagi kedua-dua teater tersebut.

Tambah Marlia, maklum balas yang diterima daripada penonton terutama ibu bapa yang membawa anak-anak kecil mereka menyaksikan persembahan teater Aladdin juga sangat memberangsangkan.


KRU produksi teater Aladdin yang terdiri daripada pelajar tahun dua Diploma Teater Aswara merakam gambar bersama sebaik pementasan berakhir.


"Ada ibu bapa yang sanggup membawa anak-anak menonton persembahan ini beberapa kali. Malah, apabila melihat penonton cilik itu menghayati setiap persembahan dengan penuh teruja, ia merupakan satu kepuasan kepada kami.

"Selaku pengarah, tanda aras untuk persembahan yang dijayakan terletak pada keseronokan penonton kecil ini. Jika mereka terhibur, maka ia dianggap kejayaan yang bermakna," tuturnya lagi.

Sementara itu, pelakon utama watak Aladdin, Aizat Akmal Ahmad, 25, mengakui dia amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh rakan-rakannya termasuk pensyarah yang terlibat.

"Bayangkan dalam tempoh yang singkat iaitu lebih kurang sebulan selepas persembahan Baju Emas Sang Maharaja, kami menjayakan produksi teater Aladdin ini pula. Semua itu hasil komitmen seluruh krew produksi yang bertungkus-lumus untuk menjadikan persembahan ini satu hiburan untuk seisi keluarga," ujar Aizat sambil memberitahu pemilihan pelakon teater itu adalah berdasarkan sesi uji bakat.

Seronok

Majoriti pelakon teater tersebut diterajui oleh pelajar tahun dua dalam jurusan Diploma Teater di Aswara. Namun, ia turut dibantu oleh pelajar tahun pertama jurusan yang sama.

Seorang lagi pelajar bagi produksi terbabit, Anip Latip berkata, dia seronok menyertai persembahan teater Aladdin yang diminati oleh kanak-kanak itu.

Walaupun memilih untuk tidak berlakon, pelajar yang memikul tanggungjawab sebagai pengurus pentas itu tetap memainkan peranannya dengan penuh semangat.

"Tugas sebagai pengurus pentas agak mencabar tapi saya gembira kerana dapat melaksanakan amanah yang diberikan oleh pensyarah sebaik mungkin," kata Anip yang dipetik dari blognya, hidupitukejam.blogspot.com.


AKSI Aladdin apabila bertemu lampu ajaib yang mengandungi jin di dalamnya.


Teater tersebut mengisahkan seorang budak bernama Aladdin yang tinggal di kota Baghdad. Pada suatu hari, Aladdin bertemu dengan Jaafar yang mengaku dirinya sebagai pak cik Aladdin.

Jaafar menyuruh Aladdin masuk ke dalam gua untuk mengambil teko ajaib. Tiba-tiba muncul jin bernama Jinny yang sangat lucu.

Pada keesokan hari, Jaafar datang ke kota Baghdad dan menyamar sebagai seorang perempuan. Jaafar ingin mendapatkan teko ajaib yang sebenar daripada Aladdin.

Jaafar dikejar oleh penduduk Baghdad kerana dituduh mencuri, tetapi mereka gagal menangkapnya. Kemudian, muncul pula Puteri Jasmin yang cantik jelita diiringi dua orang pengiring. Aladdin kemudian jatuh cinta setelah melihat kecantikan Puteri Jasmin.

Jaafar yang melihat kemesraan antara Puteri Jasmin dan Aladdin menyebabkan Jaafar mengugut untuk membunuh Puteri Jasmin sekiranya teko ajaib itu gagal dimilikinya.

Namun, atas kebijaksanaan Aladdin, dia berjaya menyelamatkan Puteri Jasmin daripada dibunuh oleh Jaafar, sekali gus menewaskan penjahat itu serta hidup bahagia bersama Puteri Jasmin.

Full content generated by Get Full RSS.

Biskut Teratai Delima Hati

Posted:

Biskut Teratai Delima Hati

Biskut Teratai Delima Hati


BISKUT Teratai Delima Hati ini menggunakan bahan yang mudah dan ringkas.


LAZIMNYA pembuatan biskut raya hanya rancak dilakukan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri namun aneka biskut raya juga turut menjadi kudapan pada pagi Aidiladha.

Ia bukanlah dijadikan sebagai menu utama pada pagi raya bagi menggantikan lemang, ketupat, nasi himpit, rendang, lontong dan sebagainya tetapi lebih kepada hidangan sampingan pemanis mulut yang dijamah ketika bersantai bersama tetamu.

Bagi yang masih tercari-cari resipi biskut raya yang mahu dihidangkan pada pagi Aidiladha nanti, apa kata anda mencuba resipi Naib Juara Kategori Biskut Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat akhir iaitu Natrah Ismail, 59.

Natrah, peserta paling veteran dari Seberang Jaya, Pulau Pinang telah memenangi cabaran tersebut selepas menambat hati juri dengan mempertaruhkan resipi biskut Kana Daisy.

Bahan-bahan:

160 gram tepung kastard

120 gram tepung Jagung

80 gram tepung gandum

80 gram gula halus

150 gram minyak jagung Daisy

1/4 sudu teh Emplex

1/4 sudu teh vanilin

100 gram serbuk badam

1/4 sudu teh garam

Cara-cara:

1) Masukkan semua bahan-bahan kering ke dalam mangkuk, mesinkan sebati.

2) Masukkan minyak jagung Daisy dan mesin hingga menjadi doh.

3) Canai adunan dan terapkan acuan bunga teratai.

4) Letakkan adunan dalam acuan mangkuk kecil.

Adunan bunga:

80 gram tepung gandum

30 gram gula ising

30 gram tepung jagung

1/2 sudu teh esen strawberi

Cara-cara:

1) Mesinkan semua bahan-bahan kering, kemudian masukkan minyak jagung Daisy.

2) Gaul hingga sebati dan lembut.

3) Dengan menggunakan nozel samperit, paipkan adunan di atas adunan bentuk teratai tadi.

4) Panaskan ketuhar 160 Celcius bakar antara 15 hingga 20 minit sehingga biskut masak.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved