Ahad, 30 Oktober 2011

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Sentuhan perunding perkahwinan lelaki

Posted:

Sentuhan perunding perkahwinan lelaki

Sentuhan perunding perkahwinan lelaki

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my

TAUFEEQ selesa dengan kariernya sebagai perunding perkahwinan dan acara.


JARI-JEMARI Mohd. Muas Sazwan Mohammad Mazlan, 24, pantas mencantas batang bunga teluki segar berwarna merah yang bertaburan di atas meja.

Kemudian, dia menyusun satu-persatu bunga itu di dalam sebuah pasu kaca yang tinggi, sebelum beralih pada proses menggubah hantaran perkahwinan yang menggunakan sangkar burung.

Sesekali, anak muda yang mesra disapa Muas itu memeriksa peti masuk e-melnya dan menjawab panggilan telefon yang bertalu-talu.

"Syukur, rezeki pada hujung tahun. Maklumlah, sebelum menutup tirai tahun ini dan seiring musim cuti sekolah tak lama lagi kebanyakan pasangan mengambil peluang untuk mendirikan rumah tangga. Jadi, saban minggu saya sentiasa sibuk menguruskan majlis perkahwinan, pernikahan, pertunangan dan majlis makan malam.

"Selain memikirkan tentang konsep gubahan hantaran, saya turut menitikberatkan soal dekorasi pelamin, dewan dan atur cara bagi sesebuah majlis. Saya berfikiran kreatif kerana kerjaya ini menuntut kepakaran dari segi rekaan dan pengurusan yang tinggi," jelas Muas yang mengendalikan Muas Mo-Wedding Planner & Event Coordination iaitu sebuah syarikat berkonsepkan pengurusan majlis dan perunding perkahwinan.

Namun, anak kelahiran Klang, Selangor itu menarik nafas lega kerana ilmu dan pengalaman yang dikutip sepanjang mendalami Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Majlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, Selangor, sedikit sebanyak membantu melancarkan pekerjaannya pada hari ini.

Berbicara mengenai penglibatannya dalam bidang pengurusan dan perunding perkahwinan, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama, Hisamuddin Sungai Bertih, Klang, Selangor, menyatakan semuanya berputik selepas menjalani latihan industri di dua buah syarikat berbeza iaitu pengurusan acara dan syarikat dekorasi majlis bertema.


MUAS (tengah) sentiasa berbincang dengan pembantunya bagi meningkatkan mutu produk syarikat.


Pelanggan bebas berkarya

Kesempatan bekerja sementara di kedua-dua syarikat berkenaan, Muas mengambil peluang sebaik mungkin dengan mendalami selok-belok perniagaan.

"Pada peringkat awal, saya memang ragu-ragu untuk mengusahakan bisnes ini, namun berkat sokongan daripada ibu bapa, Normawati Hayon dan Mazlan Amin, akhirnya saya bertekad jua," jelas Muas yang pernah bekerja bersama pereka fesyen ternama, Jovian Mandagie dalam menjayakan sebuah majlis perkahwinan.

Selepas lapan bulan berkecimpung dalam bidang itu, Muas semakin seronok dan ligat mencari pelanggan.

Baginya segala penat lelah yang dilakukan bagi menjayakan sesebuah majlis itu hilang sekiranya para pelanggan menguntumkan senyuman tanda berpuas hati.

Sebab itu, biar rendah atau tinggi bajet seseorang pelanggan, Muas berusaha sebaik mungkin menghasilkan produk yang terbaik mengikut cita rasa.

"Segelintir pelanggan mempunyai bajet rendah tetapi mengimpikan sebuah majlis perkahwinan yang nampak gah dan mahal. Di sinilah peranan saya sebagai perunding perkahwinan cuba merealisasikan impian mempelai dengan menggunakan bajet dipersetujui," kata Muas.

Hantaran produk tempatan

Sementara itu, seorang lagi perunding perkahwinan jejaka, Mohammad Taufeeq Adam, 24, menyifatkan kerjaya tersebut bukan sekadar menuntutnya menghasilkan sebuah majlis perkahwinan seperti mana yang diingini pelanggan malah, pada masa yang sama mengambil peluang mendidik pelanggan terutamanya aspek hantaran.

"Jika diperhatikan bakal pengantin lebih cenderung membeli produk hantaran berjenama dan mahal kerana enggan majlis akad nikah ataupun majlis bersanding tampak hambar. Dek terlebih belanja untuk barang segelintir pelanggan terpaksa mengehadkan pula kos gubahan hantaran.


MUAS MO Wedding Planner & Event Coordination menawarkan pakej perkahwinan pada harga berpatutan.


"Akibatnya gubahan dan produk hantaran kelihatan tidak seiring. Saranan saya, usah segan membeli kosmetik, pakaian mahupun aksesori buatan tempatan. Bila disatukan dengan gubahan yang cantik, ia akan nampak mewah," jelas Taufeeq ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur.

Taufeeq yang kini mengendalikan butik andaman dan pengurusan majlis, Galeri Sarah Hani di Segamat, Johor, memberitahu rangkaian produk Safi Rania Gold dan Safi Balqis antara item ideal dibuat hantaran.

Menyentuh mengenai trend hantaran dan pelamin hari ini yang dihiasi taburan bunga-bunga segar, pemegang Diploma Pengurusan Artistik, UiTM, Shah Alam, Selangor, itu menyifatkan penggunaan flora segar membangkitkan mood gembira dan bahagia.

Selain mengubah hantaran dan dekorasi pelamin, jejaka yang murah senyuman itu turut berkebolehan menyolek pelbagai konsep, menjahit manik dan mereka kostum, pakaian pengantin serta pakaian formal.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved