Ahad, 30 Oktober 2011

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Imej baru Akma dan Azura

Posted:

Imej baru Akma dan Azura

Imej baru Akma dan Azura

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

KETAWA dan ramahnya masih sama. Hadir ke studio dalam persalinan kasual yang cukup ringkas dan bergaya dengan kasut ala penari balet. Cuma yang membezakan, Akma, 26, kini sudah bertudung litup.

Jika dia tidak menanggalkan cermin mata hitamnya itu pasti orang sekeliling akan tertanya-tanya, siapakah gadis tinggi lampai yang anggun dalam lilitan tudung persis Hana Tajima iaitu pereka dan ikon fesyen dari United Kingdom.

Akma atau nama asalnya Asiahtunakma Abdullah, merupakan penyanyi tempatan kelahiran program realiti Akademi Fantasia, musim ketiga (AF3).

Kemunculan Akma yang bertudung bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan sejak kebelakangan ini satu-persatu selebriti yang sedang mencipta nama di persada seni tanah air tampil dengan imej yang sama.

Persoalannya, adakah bertudung sudah dikategori sebagai salah satu trend fesyen atau dari sudut positif ia merupakan penghijrahan dan pengorbanan ikhlas seseorang itu untuk berubah?

"Tidak dinafikan, sesetengah individu memandang serong kepada kelompok selebriti yang mengambil keputusan untuk bertudung. Lebih menyedihkan mereka sanggup bertaruh untuk melihat pendirian seseorang artis itu bertudung.

"Bukankah lebih baik sekiranya masyarakat sekeliling berdoa dan terus memberi sokongan supaya kami mengekalkan imej sopan dan muslimah ini," jelas Akma ketika menggayakan jubah nuansa biru lembut koleksi Hurul Ain.

Pasang niat

Bicara wanita yang dilahirkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu, sejak tahun lalu dia sudah memasang niat untuk bertudung, namun hasrat murni berkenaan tercapai jua pada 13 Syawal lalu.


SETAKAT ini, Akma memiliki lebih 50 pasang sepatu yang dibeli secara talian.


Tambah anak keempat daripada enam adik-beradik itu, pada mulanya dia gusar sekiranya undangan nyanyian berkurangan gara-gara keputusannya memakai tudung. Tetapi, semakin dia mendekatkan diri kepada Tuhan semakin melimpah ruah rezekinya.

Acap kali menyentuh mengenai imej terbaharunya itu, Akma yang popular menerusi lagu Percaya Pada Cinta, sentiasa tersenyum. Bicara peminat sepatu itu lagi, paling mengujakan pantang mempunyai masa terluang dia tidak melepaskan pe luang mengunjungi Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur untuk membeli-belah tudung dan selendang.

"Saya tak cerewet dalam aspek jenama mahupun harga. Biasanya saya suka membeli selendang jenis likra atau satin kerana ia mudah dibentuk. Dari segi warna pula saya gemarkan warna-warna terang dan ceria kerana ia sesuai dengan usia remaja," jelas Akma yang suka mencuba pelbagai teknik lilitan tudung untuk disesuaikan dengan lokasi dan acara yang dihadiri.

Sementara itu, pembaca berita TV9, Norazura Abu Samah, 28, atau lebih mesra disapa Zura menyifatkan dia mengambil keputusan untuk memakai tudung selepas berhadapan dengan dua kejadian yang menakutkan.

Biarpun menyedari perubahan imejnya itu boleh menyebabkan dia kehilangan kerja tetapi wanita bersuara serak-serak basah itu reda dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

"Saya akui majikan sebelum ini kurang selesa jika staf memakai pakaian yang bertudung litup. Pada masa tersebut sukar untuk mencari kerja baharu tetapi saya nekad memakai tudung dan sanggup berhenti kerja.

"Bersyukur, selepas berhijab saya diberi peluang menyertai Pesona Nona kendalian TV3 iaitu sebuah program yang mencari bakat-bakat baharu dalam dunia pengacaraan," kata Zura yang murah dengan senyuman.

Detik menginsafkan

Bertitik tolak daripada episod itu dia semakin yakin bertudung kerana menyifatkan sehelai selendang yang menutup kepalanya itu bukan penghalang untuk dia mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.


IMEJ bertudung litup sedikitpun tidak menghalang Akma untuk terus aktif dalam bidang seni.


Malah, bekas pelajar Sekolah Menengah Puteri Wilayah, Kuala Lumpur itu berasa gembira kerana diterima pula berkhidmat sebagai pembaca berita di stesen TV9, meskipun bertudung.

Bercerita tentang detik yang menginsafkan sehingga mendorongnya memakai tudung, Zura yang masih bujang menyatakan dia pernah berhadapan dengan dua kejadian yang mencemaskan.

Empat tahun lalu, sewaktu menghadiri majlis kenduri-kendara di kampung halamannya di Pontian, Johor Bahru, Johor dia jatuh pengsan.

"Bayangkan, saya tiba-tiba rebah dan badan menggigil. Anak mata pula naik ke atas. Saudara-mara mula resah dan berusaha memulihkan saya dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran.

"Selang beberapa bulan ketika sibuk dengan aktiviti merewang untuk sebuah majlis perkahwinan sepupu di Kuala Lumpur, beberapa buah khemah dan pelamin roboh serta musnah akibat ribut. Ibu saya juga terjatuh dan kami hampir dipanah kilat," luah Zura yang menyifatkan sekiranya maut menjemputnya akibat terkena panahan petir itu, apakah amalan dan persediaan diri yang dibawa.

Rentetan dua insiden berkenaan membuka seribu hikmah buat graduan Diploma Pengajian Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), itu.

Tambah pencinta aksesori ini; "Usah teragak-agak untuk melakukan pengorbanan buat diri sendiri dan agama. Lagipun bertudung sememangnya dituntut agama.

"Siapa kata dengan bertudung kita tak boleh bergaya, padahal trend fesyen tudung terkini semakin banyak dan mengikut peredaran zaman.

Full content generated by Get Full RSS.

Ekspresi pakaian kreatif

Posted:

Ekspresi pakaian kreatif

Ekspresi pakaian kreatif

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my


RADZUAN RADZIWILL mempamerkan koleksi pakaiannya yang berasaskan batik warna-warna lembut.


SEJAK bulan Oktober 2011 sehingga Januari 2012, orang ramai dijemput hadir menyaksikan pameran pakaian kreatif yang dipamerkan di Galeri Petronas, Suria KLCC Kuala Lumpur.

Pameran yang bertemakan Irresistible Wear itu menyaksikan 48 karya hasil rekaan dan kreativiti 12 pereka fesyen serta tekstil berkaliber tanah air.

Pameran Irresistible Wear merupakan platform bagi penggiat seni fesyen tempatan mengekspresi pakaian unik, inovatif dan menawan yang memiliki elemen tersirat untuk diamati serta dinilai oleh para pengunjung.

Dalam pada itu, pada pameran berkenaan pengunjung tempatan mahupun antarabangsa berpeluang melihat ciri-ciri teknikal dan aspek perincian yang diselitkan pada setiap rekaan serta tekstil yang dihasilkan.

Menurut Pengurus Besar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan, Petronas, Datuk Mohammad Medan Abdullah, Galeri Petronas bukan sekadar galeri yang mengangkat kreativiti seni lukis malah turut berfungsi secara holistik ke arah pembangunan kepelbagaian seni buat masyarakat Malaysia.

"Pameran ini membolehkan kami memberi penghargaan, penghormatan dan galakan kepada para pereka fesyen dan seniman untuk terus berkarya.

"Paling penting, pameran ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengunjung tempatan dan antarabangsa mengenai seni fesyen tempatan," jelas Mohammad pada majlis pelancaran pameran Irresistible Wear yang dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.


PENGUNJUNG berpeluang melihat koleksi pakaian dan tekstil hasil rekaan pereka fesyen serta pereka tekstil profesional.


Pada majlis tersebut orang ramai berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen yang dihasilkan oleh empat pereka profesional seperti Datuk Radzuan Radziwill, Datin Sharifah Kirana, Faizal Abdul Hamid dan Eddie Yap. Menariknya, setiap rekaan yang ditonjolkan mengangkat keistimewaan lakaran batik yang halus dan eksklusif.

Mood ceria

Salah seorang pereka fesyen yang terlibat, Faizal, 40, menghasilkan empat pasang busana yang banyak bermain dengan rona hitam.

Namun koleksi fesyennya yang diberi nama Feminine Mystique itu diserikan dengan cantingan batik warna-warna terang bagi menyuntik mood ceria.


GAUN formal batik rekaan Datin Sharifah Kirana.


"Hitam itu elegan dan mempesonakan. Ia menggambarkan sisi sofistikasi dan keanggunan seseorang wanita itu apatah lagi setiap koleksi saya menampilkan potongan baju yang bercirikan puteri diraja zaman dahulu.

"Jika diperhatikan, meskipun puteri kepahlawanan Melayu tangkas bersilat tetapi mereka tetap menitikberatkan soal penampilan diri. Maka, dari situ lahirnya idea untuk menghasilkan pakaian yang menggabungkan konsep fesyen feminin dan berani," jelas Faizal ketika ditemui Stailo pada pameran tersebut.

Selain Faizal, pameran berkenaan turut menonjolkan karya seni rekaan Edric Ong, Adnan Hassan, Akma Suriati, Asliza Aris, Zainol Salleh, Eddie Yap, Fion Poon, Prof. Madya Hasnul Jamal Saidon dan Abdul Hamid Hassan.

Full content generated by Get Full RSS.

Gincu teknologi True Vision

Posted:

Gincu teknologi True Vision

Gincu teknologi True Vision


LIPSTIK Pure Color didatangkan dalam warna terang dan lembut.


WANITA pasti jatuh cinta dengan gincu bibir ini. Setiap calitannya membantu menyerlahkan kecantikan dan kemekaran bibir."

Inilah ungkapan ringkas daripada Pengarah Mekap Kreatif Estee Lauder, Tom Pecheux, sewaktu memperkenalkan rangkaian gincu bibir terbaharu jenama Estee Lauder, Lipstik Pure Color.

Himpunan gincu bibir yang menggabungkan fesyen dan teknologi itu menggunakan dua formula tambahan yang membantu menyuntik lapisan bibir kelihatan moden.

Misalnya, formulasi teknologi True Vision menghasilkan warna terang dan pekat apabila dioles pada bibir. Pigmen-pigmen pekat yang bersalut dalam polimer kristal jernih itu pula membantu penampilan bibir lebih menawan.

Pada masa yang sama, bibir sentiasa lembap dalam tempoh yang lama kerana koleksi gincu berkenaan diperbuat daripada biji aprikot, mentega sayur (shea butter), vitamin C dan vitamin E.

Bagi memastikan bibir lembap dan tidak merekah, Lipstik Pure Color yang terdiri daripada dua edisi Lipstik Pure Color Long Lasting dan Lipstik Pure Color Crystal, turut hadir dalam palet pelbagai warna yang menjanjikan penampilan bibir menarik.

Ia ideal untuk merias wajah bagi acara formal, majlis minum petang, parti mahupun bersantai bersama teman pada hujung minggu. Paling mengujakan, lipstik yang dihasilkan daripada tenaga pakar itu dirumus khas bagi mengekalkan mutu warna dan kilauannya.

20 warna terang

Bagi golongan remaja dan wanita yang gemarkan stail funky dan ceria, koleksi gincu Lipstik Pure Color Long Lasting merupakan pilihan yang sesuai. Gincu tersebut didatangkan dalam 20 warna terang dan berani yang berbeza-beza.


KOLEKSI gincu terbaharu Estee Lauder ini diperbuat daripada formulasi True Vision yang menghasilkan warna terang.


"Gincu bibir yang tahan pudar dan kekal sepanjang hari itu boleh disapu secara sederhana atau tebal. Ia mempunyai dua tekstur dinamik seperti Satin Creme iaitu polimer pigmen berwarna yang menghasilkan sapuan lembut berkilat manakala Lustrous Shimmer, pigmen cerah yang membuatkan bibir berkilat," jelas Pecheux.

Sementara itu, Lipstik Pure Color Crystal yang terdiri daripada 15 warna berkilat pula memiliki tekstur Sheer Shine menghasilkan sapuan lembut, jernih dan kilat. Ini termasuklah tekstur Brilliant Shimmer iaitu sejenis pigmen cerah yang membantu bibir sentiasa bersinar.

Keistimewaan gincu bibir berkenaan terletak pada pembungkusan klasik yang bersalut emas bersama kiub jernih di bahagian atas supaya warna lipstik mudah dilihat.

Bekas lipstik seperti permata ini menyerlahkan lagi keindahan Lipstik Pure Color. Ia dijual pada harga RM85 seunit.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved