Ahad, 30 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Nisa, Jamilah, Ikhwal popularkan Malaysia

Posted:

Nisa, Jamilah, Ikhwal popularkan Malaysia

Nisa, Jamilah, Ikhwal popularkan Malaysia

NISA ADDINA MOHAMAD TAUFIK, 15, antara bakat muda yang mengharumkan nama negara dalam pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

Pemain biola kelahiran Kuching, Sarawak itu gembira kerana berjaya membawa kemenangan utama menerusi pertandingan seni persembahan yang disertai lebih 40 buah negara.

Mewakili negara dalam kategori Junior Instrumental, remaja yang mesra disapa Nisa itu mengungguli tiga pingat emas dalam genre asal, klasikal dan kontemporari dan pingat perak bagi kategori genre terbuka.

"Saya turut memenangi Juara Keseluruhan Dunia untuk kategori instrumental klasikal dan kontemporari. Syukur, segala usaha yang dilakukan membuahkan hasil.

"Sewaktu berada di atas pentas, dada berdegup kencang manakala tangan menggigil-gigil. Debaran bertanding 10 kali ganda menakutkan berbanding melakukan persembahan biasa dan sesi latihan. Maklumlah, ini pengalaman pertama saya beraksi di pentas dunia," jelas Nisa yang mengutip pengalaman berharga sepanjang berada di Los Angeles.

Alunan biola

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang, Kuching itu berpeluang menjalani sesi latihan bersama Dorian Holley, pemuzik yang pernah bekerjasama dengan Raja Pop Dunia, Michael Jackson. Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin kerana Nisa memasang impian untuk berjaya dalam bidang muzik seperti penyanyi hip hop AS, Eminem dan bintang pop Jepun, Utada Hikaru.

Nisa yang bermain biola klasik dan elektrik menjelaskan, dia mula bermain biola pada umurnya tujuh tahun. Pada waktu itu, dia sedang menghadiri kelas piano dan terlihat seorang pemuda begitu asyik menggesek biola. Alunan muzik yang merdu dan reka bentuk biola yang cantik telah menarik minat Nisa untuk bermain alat muzik berkenaan.

"Melihat kesungguhan saya yang mahu bermain biola, ibu menghantar saya ke kelas biola kendalian Marcus Leong dan ahli Orkestra Simfoni Negeri Sarawak (SONS). Pada mulanya, kehadiran saya tidak terlalu menonjol kerana saya pemalu dan merupakan pelajar yang paling muda.


JAMILAH kini tampil dengan album pertama Keroncong Jamilah yang mengandungi 12 buah lagu keroncong.


"Tetapi lama-kelamaan, saya berubah kerana kita perlu berani dan pantas bertindak. Kini, saya semakin selesa dengan muzik biola dan sentiasa menerima undangan persembahan daripada pelbagai pihak dan organisasi," jelas pencinta rona biru itu yang gemar membuat persembahan di Pusat Konvensyen Kuching Bornei (BCCK). Alasannya ringkas, Nisa menggemari suasana dewan yang selesa dan sistem bunyinya.

Seorang lagi permata negara berbakat besar, Jamilah Abu Bakar, 16, mula memperkenalkan muzik tradisional Malaysia di mata dunia sejak usia 12 tahun. Memiliki vokal yang lunak merdu ketika menyanyikan lagu-lagu asli antara faktor utama Jamilah dipilih mewakili negara ke Festival Kanak-Kanak Antarabangsa 2007 yang berlangsung di Turki.

"Itulah pengalaman pertama saya melakukan persembahan di luar negara. Paling menyedihkan pemergian saya ke sana tidak ditemani ibu atau bapa. Mula-mula sukar untuk membiasakan diri apatah lagi berhadapan dengan musim sejuk di Turki.

"Namun, memikirkan tanggungjawab yang digalas demi Malaysia, pada hari persembahan saya berusaha lakukan yang terbaik supaya masyarakat di luar sana dapat menghargai keistimewaan muzik tradisional kita," jelas Jamilah yang menyanyikan lagu Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Cindai, pada festival berkenaan.

Keroncong Jamilah

Menyingkap titik permulaan Jamilah dalam bidang seni tradisional terutamanya keroncong, anak ketujuh daripada sembilan beradik itu menyatakan semuanya bermula sejak enam tahun lalu.

Disebabkan selalu melakukan persembahan nyanyian pada majlis anjuran sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Bukit Teratai, Ampang, Kuala Lumpur, salah seorang gurunya telah memilih Jamilah mewakili sekolah ke Pertandingan Keroncong Remaja peringkat negeri Selangor.

Malangnya, pada hari pertandingan itu, Jamilah tidak dibenarkan bertanding kerana belum cukup umur. Namun dia tetap diberi peluang menyanyi selaku penyanyi jemputan. Bertitik tolak daripada episod itulah, Jamilah yang berkebolehan mengalunkan lagu keroncong dengan baik menambah hati Abdullah Jufri iaitu salah seorang juri profesional pada pertandingan keroncong tersebut.

Lebih membanggakan, bakat nyanyian keroncong Johan Bintang Kecil Selangor 2007 dan Johan Karaoke Terbuka Tahun Melawat Malaysia 2007 itu turut diasuh oleh nama-nama besar dalam muzik keroncong. Antaranya, Allahyarham Wawang Wijaya, 64, komposer keroncong terkenal dari Indonesia.

"Wawang. guru keroncong terbaik. Dia tidak lokek ilmu malah sentiasa mengajar dan mengasah anak-anak didiknya menyanyikan lagu irama keroncong dengan betul. Muzik keroncong perlu diberi penekanan pada aspek lenggok dan patah kata.


NISA berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam pertandingan WCOPA 2011 yang berlangsung di Los Angeles.


"Walaupun hanya sempat menuntut selama tiga tahun bersama Wawang, sehingga ke hari ini kata-katanya masih tersemat di jiwa saya. Wawang menasihati saya agar menyanyikan lagu keroncong dengan hati yang ikhlas dan jangan sesekali pedulikan sindiran sinis orang sekeliling yang cuba memperlekehkan kita," jelas Jamilah yang pernah terlibat dalam persembahan Keroncong Kasih-Menyusur Zaman di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) anjuran Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP).

Namun cinta Jamilah terhadap muzik keroncong semakin mendalam meskipun selepas Wawang sudah tiada. Enggan membiarkan kecintaan itu lenyap begitu saja, kini dia menuntut ilmu irama keroncong bersama penggiat keroncong tempatan, Mahzan Manan, 77, dan pada masa yang sama meningkatkan mutu vokal di dalam kelas kelolaan, Siti Hajar.

Lebih mengujakan kecintaannya pada irama keroncong diterjemahkan dalam album Keroncong Jamilah yang mengandungi 12 buah lagu keroncong.

Studio mini

"Seronok sepanjang menyiapkan proses album ini kerana saya benar-benar menghayati lirik lagu keroncong yang amat puitis dan romantik. Apatah lagi, ia didendangkan bersama alunan irama mengasyikkan," jelas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik Ampang yang pernah memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Sementara itu, ibu Jamilah, Kamariah Che Soh, 46, yang menguruskan aktiviti Jamilah memberitahu dia dan suaminya, Abu Bakar Ismail, 57, amat menyokong perjalanan seni anak gadisnya itu.

Bagaimanapun, Kamariah sentiasa memastikan Jamilah membahagikan masa antara nyanyian dan pelajaran dengan betul kerana pada tahun depan dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Lazimnya, selepas pulang dari sekolah dia menumpukan sepenuh perhatian pada sesi ulang kaji dan menyiapkan kerja sekolah.

Tepat pukul 6 petang dia berlatih menyanyi di studio mini bersama bapanya di rumah. Latihan yang konsisten membantu Jamilah menghafal lagu dan membetulkan lenggok, sebelum melakukan persembahan pada setiap hujung minggu.

Tambah Kamariah: "Di rumah, Jamilah tak banyak cakap dan pemalu tetapi sebaik saja berada di atas pentas, dia bertukar menjadi individu yang bersahaja dan ramah berkomunikasi dengan penonton."

Full content generated by Get Full RSS.

Koirala penyelamat gadis hamba seks

Posted:

Koirala penyelamat gadis hamba seks

Koirala penyelamat gadis hamba seks


MAITI NEPAL kini dikatakan sudah menyelamatkan lebih 10,000 gadis daripada lembah pelacuran.


DENGAN penampilan sederhana, seorang wanita berusia 62 tahun ini mungkin kelihatan seperti seorang pesara tetapi, bagi ribuan gadis Nepal yang telah diselamatkannya daripada kancah penghambaan seks, dia digelar sebagai penyelamat.

Anuradha Koirala meninggalkan kerjaya sebagai guru 18 tahun lalu dan mengabdikan hidupnya untuk melancarkan perang ke atas pengedar-pengedar dadah yang menyeludup wanita dan kanak-kanak ke rumah-rumah pelacuran di India. Mangsa akan diserang, dirogol dan dibiarkan kelaparan.

Bermula dengan membina sebuah rumah yang selamat di Kathmandu dan melakukan penyamaran yang menyebabkan serbuan di rumah pelacuran di Mumbai, Koirala memberitahu, dia telah menolong lebih 10,000 mangsa kekejaman dunia gelap yang menyaksikan mereka didagangkan setiap hari merentasi sempadan.

"Saya berharap masanya akan tiba di mana saya tidak perlu lagi menjaga mangsa-mangsa tersebut. Saya mahu semua ini berakhir," katanya.

Dianggarkan kira-kira 12,000 gadis Nepal didagangkan setiap tahun, terdiri daripada golongan yang tidak mempunyai pekerjaan, miskin, mangsa diskriminasi jantina dan mangsa pemberontakan 10 tahun Parti Komunis Nepal (Maoist) yang merosakkan ekonomi dan kehidupan.

Beberapa anggaran turut menambah jumlah mereka yang terperangkap dalam industri pelacuran India kepada 200,000 mangsa, manakala organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO) tempatan Mumbai melaporkan bahawa 40 peratus daripada mangsa yang diselamatkan adalah gadis-gadis Nepal.

Koirala membuat keputusan bahawa kesengsaraan itu mesti dihentikan. Justeru, pada tahun 1993 dia menubuhkan sebuah rumah perlindungan yang dinamakan sebagai Maiti Nepal diambil daripada perkataan Nepal.

Pada bulan Ogos 1999 dia mengambil risiko untuk mengembara ke jalan-jalan paling terkenal di Mumbai. Di situ gadis-gadis bawah umur dipaksa pemilik rumah pelacuran untuk menjual tubuh mereka kepada pelanggan tempatan, ahli perniagaan dan pelancong seks.

Adegan ganas

Di Kamathipura, sebuah daerah di bandar berkenaan, dia menyamar menjadi seorang peminat dalam kalangan ahli rombongan mendiang Sunil Dutt yang terkenal dengan kerja-kerja sosialnya melawat rumah-rumah pelacuran dan berbual dengan pekerja-pekerja seks.

Tetapi penyamarannya gagal dan lawatan tersebut bertukar menjadi adegan ganas.

"Proses menyelamat itu agak aneh. Majoriti pemilik rumah pelacuran itu rupa-rupanya adalah wanita Nepal yang dahulu pernah menjadi mangsa," katanya.

"Mereka menjadi ganas dan mula membaling kasut dan peralatan dapur dibantu pembantu-pembantu mereka kepada kami. Mereka juga cuba menyorokkan gadis-gadis berkenaan.


GADIS-GADIS yang diselamatkan diberi pendidikan dan kemahiran dalam memastikan survival mereka di luar.


"Kebanyakan mereka adalah gadis-gadis bawah umur, malah ada di antaranya berusia lingkungan 12 tahun dan disimpan di dalam bilik yang sempit sehingga sukar untuk bernafas," tambahnya.

Koirala, ibu kepada seorang anak itu membina Maiti Nepal di Kathmandu selepas berjumpa dengan sejumlah mangsa yang tidak berumah akibat keganasan rumah tangga.

Dia melancarkan rangkaian yang mengupah wanita-wanita berkenaan untuk menjual rokok, coklat dan snek menggunakan dulang buluh yang ditenun dan menyewa sebuah rumah untuk melindungi sebanyak 80 orang anak-anak mangsa.

Kerja-kerja Koirala kini berkembang ke pinggir-pinggir bandar sekitar Kathmandu, di mana perdagangan seks berusia seabad itu berkembang.

Lelaki muda dan pertengahan umur memerangkap gadis-gadis miskin dan tidak bekerja untuk mengahwini mereka dengan janji mencarikan pekerjaan di bandar, tetapi akhirnya menjual pengantin muda berkenaan di rumah pelacuran di India.

"Mereka selalunya menemui diri mereka di sebuah tempat yang asing di mana bahasa yang tidak difahami menjadi perbualan dan bermulalah penderitaan mereka," kata Koirala.

Seorang mangsa berusia 16 tahun yang identitinya dilindungi serta berpindah bersama keluarganya ke utara India pernah didagangkan sebagai hamba seks oleh seorang lelaki berusia 22 tahun yang berjanji mencarikannya pekerjaan di Mumbai.

"Sekiranya saya tidak melakukan seks dengan pelanggan, mereka tidak memberi saya makan dan menyeksa saya selama berjam-jam," katanya.

Perhatian dunia

Selama 10 bulan hidupnya seperti di neraka sehinggalah dia diselamatkan dari rumah pelacuran selepas serbuan oleh Maiti Nepal dan polis tempatan dua tahun lalu. Gadis itu yang kini menyambung pelajaran di sekolah yang dibangunkan Maiti Nepal menganggap Koirala sebagai penyelamatnya.

"Saya tidak pernah membayangkan dapat keluar dari neraka itu. Saya menjalani hidup baharu yang tidak mungkin saya miliki tanpanya. Saya bersyukur kerana dapat merasai kasih sayangnya. Kini, dia seperti ibu kepada saya," katanya.

Maiti Nepal, yang kini mempunyai semakin ramai penaung termasuk aktres Joanna Lumley dan Demi Moore menjadi perhatian media dunia selepas Putera Charles melakukan lawatan pada tahun 1998 dan menyumbangkan lebih daripada AS$100,000 (RM312,600) daripada hasil jualan lukisannya.

Ia kini berkembang menjadi sebuah kompleks yang menempatkan pejabat, rumah perlindungan dan sekolah. Koirala yang merupakan penerima anugerah Hero CNN tahun lalu percaya bahawa perjuangan menentang penghambaan seks adalah lebih penting kini.

"Kini, gadis-gadis didagangkan ke Asia Barat. Pemerdagangan dalam negara juga semakin meningkat membabitkan gadis-gadis kampung yang terjebak dalam industri seks Kathmandu," katanya.

Koirala memberitahu, penutupan pusat perlindungan berkenaan adalah sasarannya.

"Saya melakukan ini bukan kerana sudah penat dengan kerja-kerja kebajikan, sebaliknya kerana saya tidak mahu masalah ini berterusan selamanya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved