Selasa, 18 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pengaruh budaya pop Korea

Posted:

Pengaruh budaya pop Korea

Pengaruh budaya pop Korea

GHAZLIZANIF GHAZALI bukanlah seorang penggemar drama Korea sebelum ini. Lakonan yang keterlaluan terutamanya melibatkan adegan menangis dirasakannya memualkan.

Namun, keadaan sebaliknya berlaku pada tahun 2007 apabila dia tiba-tiba menggilai pelbagai bentuk hiburan dari negara itu.

Segalanya bermula selepas dia menyertai pertandingan anjuran sebuah syarikat penjual kanta lekap.

Secara kebetulan, Ghazlizanif memenangi pertandingan itu dan dihadiahkan sekeping tiket konsert penyanyi Korea, Rain bernilai RM50.

"Saya begitu terpesona dengan gaya tarian dan lagu-lagunya. Persembahan Rain sangat menarik," ujarnya yang pergi menonton konsert itu bersama kawan-kawan.

Dia yang ditemui di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, pada konsert itulah dia mengenali bintang Korea itu buat pertama kali dan anehnya, dia terus meminatinya.

Sejak itu, dia terus mengikuti semua kerja seni Rain, daripada drama bersiri pertama lakonan Rain, Full House sehinggalah lakonan berkarakter serius, A Love To Kill.

Kemuncaknya, Ghazalizanif, 33, sanggup berkelana seorang diri ke Vietnam dan membelanjakan wang lebih RM1,000 semata-mata untuk menonton Konsert Jelajah Rain di sana.

Dia juga pergi ke Macau untuk melihat konsert Rain selain menonton semua persembahan Rain di Malaysia.

Hiburan Korea Selatan atau lebih dikenali sebagai gelombang Korea (Hallyu) mula menawan dunia pada penghujung tahun 1990-an.

Bermula dengan tayangan drama bersiri terbitan negara itu seperti Winter Sonata, Stairway to Heaven dan Autumn in My Heart di negara-negara Asia Tenggara.

Kemudian, ia disusuli dengan bentuk hiburan lain seperti filem, program komedi dan kumpulan pop Korea atau lebih dikenali sebagai K-Pop seperti Girl Generation, Super Junior dan 2PM.

Bagi seorang eksekutif sumber manusia, Liza Shafinaz Abu bakar, minatnya terhadap hiburan Korea telah membawanya terbang ke bandar raya Seoul pada Mac lalu.

Melancong selama 10 hari, tabiat Liza yang akan menonton drama Korea setiap hari telah memudahkan dia berkomunikasi di sana khususnya melibatkan perkataan yang ringkas seperti terima kasih dan ucap selamat.

Terangnya, terima kasih dalam bahasa Korea adalah kamsamida, ucapan selamat adalah anyeong manakala pak cik atau mak cik disebut sebagai ajuma atau ajusshi.

"Rata-rata orang Korea terkejut apabila kita bertutur dalam bahasa mereka walaupun sedikit. Tetapi mereka bangga kerana perkembangan industri hiburan mereka mula menampakkan kesan kepada rakyat asing," ujar gadis berusia 27 tahun itu.

Di rumah, Liza memiliki sebuah televisyen khas untuk dia menonton drama Korea setiap hari. Laman web yang menjadi kesukaannya untuk memuat turun drama Korea pula adalah mysoju.com.


GHAZLIZANIF meminati bahan hiburan Korea selepas menonton konsert Rain di Kuala Lumpur pada tahun 2007.


Untuk mendapatkan berita terkini dunia hiburan di sana, dia melayari laman web dramabeans.com dan koreandrama.com.

Solekan gaya Korea

Lain pula kisahnya dengan, Ooi Kooi Lee, 24. Wanita Cina itu sering menjadikan gaya solekan aktres Korea sebagai rujukan utama.

Menurut Kooi Lee, solekannya harus kelihatan semula jadi dan tidak keterlaluan. Cukup sekadar sapuan pemerah pipi manakala gincu dan pembayang mata perlu dalam rona yang sama dan tidak kontras. Solekan pada mata pula harus sedikit ketara.

"Garisan celak dilukis agak condong ke atas dengan sapuan pembayang mata ton warna semula jadi. Untuk itu, krim BB adalah produk yang wajib dipakai," ujar pekerja di sebuah agensi pencari bakat di Bangsar itu.

Krim BB (Blemish Balm) atau salap penutup kecacatan merupakan sejenis alat solek dari Korea yang menggabungkan beberapa fungsi seperti bedak asas, pelembap dan krim jeragat dalam satu produk. Ia didakwa sering digunakan oleh para selebriti Korea.

Gaya potongan rambut selebriti Korea yang menjadi ikutan Kooi Lee pula adalah jenis potongan fringe. Ia digayakan bergantung kepada kreativiti individu.

Dia menambah, amat mudah mendapatkan produk kecantikan yang memberi penampilan seakan-akan pelakon Korea kerana ia banyak dijual di pusat beli-belah.

"Bagaimanapun, saya lebih suka membelinya di kedai Phill Mart yang terletak di Ampang," ujar Kooi Lee.

Bagi mendapatkan pakaian, butik-butik di Plaza Sungai Wang sering menjadi pilihannya.


ORANG muda Malaysia mempunyai pelbagai alasan untuk menyukai penyanyi dan pelakon Korea.


Sementara itu, pelakon yang pernah menjalani penggambaran drama bersiri Awan Dania di Seoul, Scha Al-Yahya, 28, mengakui bahawa paparan persekitaran yang ditonjolkan dalam drama-drama Korea adalah realiti di negara itu.

Menurutnya, penduduk bandar raya Seoul sentiasa bergaya walaupun mereka ialah pelajar sekolah.

"Saya dapat melihat pelajar sekolah yang berpakaian seragam memakai pelbagai aksesori seperti pengikat rambut dan beg. Lelaki dan wanita dewasa pula lebih bergaya lagi," ujarnya yang berada di Seoul selama 12 hari pada Oktober 2010.

Selain itu, Scha turut melawat pusat teknologi Korea di Incheon yang menghimpunkan pelbagai teknologi terkini dan ada antaranya telah dipaparkan dalam filem-filem mereka.

Realiti Korea

Melalui pemerhatiannya juga, penduduk Seoul sentiasa sibuk. Mereka akan bergegas ke tempat kerja seawal pukul 6 pagi.

"Langkah kaki mereka sangat laju malah ada yang hampir berlanggar bahu. Jika terlanggar pun, mereka akan terus berlalu seperti tiada apa berlaku," terang pemilik nama Sharifah Nor Azian Syed Mahadzir itu.

Scha bukanlah individu yang meminati bahan hiburan Korea tetapi dia ada menonton beberapa klip video K-Pop atas saranan rakan-rakannya.

Bukan Scha sahaja yang tidak menggemari hiburan dari Korea. Lee Chee Wan, 23, juga tidak suka menonton drama-drama tersebut kerana kekangan bahasa.

"Masalahnya apabila disiarkan di televisyen tempatan, ia telah dialih bahasa ke bahasa Mandarin sedangkan saya penutur bahasa Kantonis.

"Manakala sari katanya dalam bahasa Melayu. Saya tidak gemar membaca ketika menonton," ujarnya yang bekerja sebagai pereka grafik.

Tambah Chee Wan, drama Korea mempunyai jalan cerita yang boleh dianggap biasa sahaja.

"Bagi saya tiada kelainan ketara dalam karya mereka," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Memburu 'raja hutan' Sweden

Posted:

Memburu 'raja hutan' Sweden

Memburu 'raja hutan' Sweden


JAN ROBERT SVEEN, 35, pemburu dari Norway ini membelai anjingnya pada musim berburu di hutan berhampiran Nedansjoe, barat Sundsvall, Sweden.


SUASANA pagi di sebuah hutan tebal yang terletak di timur laut Sweden cukup hening dan damai sekali. Di satu kawasan, kelihatan beberapa orang pemburu berkumpul dalam satu kumpulan dengan perasaan teruja dan tidak sabar untuk menanti 'mangsa' pada hari pertama mereka keluar berburu pada tahun ini.

"Hari ini kita boleh menembak rusa dan beruang," kata Emil Toivonen memberitahu ahli kumpulan yang diketuainya pada hari itu selepas setahun tidak keluar berburu.

Waktu sudah menunjukkan pukul 6 pagi. Matahari masih belum menampakkan sinarnya dan kabus kelihatan di mana-mana.

Menjelang pukul 7 pagi, mereka bersedia untuk memulakan pemburuan di luar khemah Emil, pemuda berusia 26 tahun yang gemarkan aktiviti lasak seperti berburu.

Di Sweden, berburu merupakan satu aktiviti yang dinikmati oleh kira-kira 300,000 rakyatnya. Walaupun kebanyakan pemburu terdiri daripada golongan lelaki, tetapi ada juga wanita berkongsi minat yang sama.

Malah, dua pertiga daripada pemburu berdaftar dengan Swedish Association for Hunting & Wildlife Management.

Pelbagai jenis haiwan diburu di Sweden termasuklah serigala yang telah mencetuskan kontroversi di negara itu dan di luar negara.

Bagaimanapun, kumpulan tersebut menyasarkan untuk memburu rusa Amerika Utara yang dikenali sebagai elk di Eropah disebabkan reputasinya sebagai 'raja hutan Sweden'.

Ekspedisi berburu

"Ia tertulis dalam asid deoksiribunokleik (DNA) pemburu Sweden," ujar Oerjan, 56.

Namun, dengan kuota tempatan yang belum diisi untuk beruang perang, haiwan itu juga boleh ditembak. Itu pun jika pemburu bernasib baik menemuinya.


TEMBAKAN yang sempurna mampu membuatkan rusa Amerika Utara rebah di tangan pemburu.


Kesabaran menunggu di tengah-tengah hutan untuk memburu rusa Amerika Utara itu tidak boleh dibantu oleh sesiapa pun. Tetapi apabila melihat kembali gambar-gambar dalam ekspedisi berburu terdahulu pada malam sebelumnya, ia boleh membangkitkan semangat mereka.

Seekor beruang seberat 280 kilogram yang tergantung kakinya dengan bulu yang tebal mampu memberi senyuman lebar kepada pemburu.

Kini, penantian mereka sudah pun berakhir. Pada skrin telefon pintarnya, Oerjan menjejak anjing buruan yang lengkap dipakai dengan Sistem Penentu Kedudukan Satelit (GPS) pada leher mereka.

"Malah, anda boleh menghubungi mereka dan dengar sama ada mereka menyalak apabila menemui mangsa buruan yang dicari-cari.

"Anda juga boleh melihat betapa pantasnya anjing-anjing itu mengesan jejak haiwan yang ingin diburu dan berapa kali mereka menyalak," ujar Oerjan separuh berbisik.

Tiba-tiba Oerjan memandang ke atas apabila telinganya yang sensitif dengan bunyi-bunyian memberitahu salah seekor anjing kini telah berjaya menjejak kesan rusa Amerika Utara berhampiran kawasan tersebut.

"Kita harus bersedia," katanya perlahan sambil bersedia untuk memetik picu senapang Winchester.338 Magnum miliknya.

Kemudian, kedengaran dua das tembakan dilepaskan ke udara. Ia dilakukan Markko, penembak dalam kedudukan berjiran yang bersembunyi di belakang sebuah busut.

Dari jarak 75 meter, tembakannya mengenai bahagian bahu dan dada rusa tersebut selepas salah seekor anjing mengejarnya dengan pantas.

"Selepas tembakan pertama mengenai haiwan tersebut, ia masih boleh melarikan diri. Namun, selepas tembakan kedua, ia terus terjatuh," jelas Markko dengan gembira selepas membunuh rusa Amerika Utara ke-19 dalam karier pemburuannya.


ANJING buruan menghidu rusa yang tewas di tangan pemburu.


"Tembakan itu sangat sempurna," puji seorang pemburu bernama Robert yang dikenali sebagai The Norwegian kerana berasal dari Oslo.

Melapah rusa

Menurut Robert, paru-paru dan bahagian organ di bawahnya merupakan zon terbaik untuk ditembak. Namun jika menyasarkan di bahagian jantungnya ia agak berbahaya kerana jika menembaknya terlalu rendah, ia hanya mencederakan haiwan tersebut.

Kemudian, dengan pantas Robert memulakan aktiviti melapah haiwan seberat 450kg itu dengan panjang 2.5 meter dan setinggi 1.8m itu.

Dia membenamkan mata pisau sedalam 30 sentimeter di leher rusa tersebut sebelum menyiat kulitnya dan menetak bahagian kerongkong untuk mendapatkan esofagusnya dan disimpulkan.

"Ini bagi mengelakkan isi perutnya terkeluar," tambahnya.

Pada akhir hari berburu, semua pemburu akan kembali ke khemah untuk mengambil bahagian masing-masing yang dibahagikan sama rata sebelum kembali meneruskan aktiviti tersebut tahun hadapan. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved