Jumaat, 30 September 2011

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Buku sifu seni Emi

Posted:

Buku sifu seni Emi

Buku sifu seni Emi

Oleh NURUL IZZA ROSLY

JARI-JEMARINYA cermat membengkokkan dawai-dawai perak menggunakan playar sehingga menjadi bentuk yang menarik.

Formasi daripada dawai-dawai logam berharga yang dipateri kemas itu kemudian diserikan dengan hiasan batu-batu permata. Lalu, terhasillah aksesori yang berestetika hasil kreativiti seorang pria.

Melihat Mohd. Hilmi Kamarulzaman, 26, membentuk dawai-dawai logam menjadi aksesori kelihatan mudah, ia tidak semudah yang dilihat.

Menyingkap profil anak sulung daripada dua beradik yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu minatnya terhadap seni gubahan dawai atau wire art bermula enam tahun lalu.

"Cinta saya pada seni gubahan dawai ini bermula ketika mengunjungi kedai buku Kinokuniya selepas membelek buku mengenainya.

"Saya sangat berminat terhadap seni ini dan belajar mengenai asasnya melalui buku sahaja sebelum mula bereksperimen membuat aksesori perhiasan wanita," kata graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Kelana Jaya dalam jurusan Pengurusan Hospitaliti.


MEMBUAT seni gubahan dawai perlukan kesabaran, ketekunan dan daya kreativiti yang tinggi.


Sebelum berkecimpung dalam seni gubahan dawai ini, Mohd. Hilmi atau lebih dikenali dengan nama seninya Emi Kaz terlebih dahulu berjinak-jinak dalam bidang solekan pada umur 19 tahun.

Beliau mempelajari ilmu solekan ketika mengambil Diploma Solekan Kecantikan Profesional di Akademi Solekan di XpressionMaster sebelum melanjutkan pengajiannya di Unitar.

Setelah tamat diploma solekan, Emi 'bertatih' dengan mengutip pengalaman demi pengalaman sehingga namanya dikenali.

"Saya menggemari bidang fesyen tetapi saya tidak tahu menjahit, melukis pun tidak tahu. Jadi saya mengambil keputusan bergiat serius dalam seni gubahan dawai ini.

"Saya tidak mengikuti mana-mana kelas untuk mempelajari mengenai seni ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menjadikan buku sebagai sifunya 100 peratus, Emi mula membina keyakinan meneruskan survival hidup melalui seni yang mula 'membeli' hatinya itu.

Emi mengambil masa tiga tahun untuk menguasai asas selain membina kemahirannya sendiri dalam seni tersebut dan mula membuat aksesori yang lebih rumit serta kompleks sejak tiga tahun lalu.

"Saya juga membuat tutorial dalam talian yang kini merupakan salah satu tutorial seni gubahan dawai yang terlaris di Asia.

"Sebetulnya saya mula serius menjalankan bisnes ini empat tahun lalu. Bermula dengan menjual aksesori hasil seni gubahan dawai pada rakan-rakan ibu saya, kawan-kawan dan ahli keluarga selebihnya lebih kepada mengajar asas seni gubahan dawai kepada mereka yang berminat," ujarnya.

Kelas seni


ANTARA peralatan yang digunakan untuk membuat seni gubahan dawai.


Menurutnya, bisnes tersebut tidak memerlukan modal yang besar seperti bisnes-bisnes yang lain.

"Ia juga membolehkan saya mengekspresikan diri dalam berkarya.

"Banyak masa saya dihabiskan melakukan tutorial dalam talian selain melakukan kelas seni gubahan dawai ini pada hujung minggu mengikut permintaan di beading.com.my di Wangsa Maju," katanya memberitahu kelas hujung minggu selama empat hingga lima jam itu dikenakan yuran sebanyak RM138 turut menyediakan material dan peralatan.

Tidak lokek untuk berkongsi ilmu, Emi mempunyai ramai pelajar yang terdiri daripada orang tempatan dan orang luar dari Singapura, Korea dan Mauritius yang berminat untuk mempelajari mengenai seni gubahan dawai.

Mendapat sokongan penuh keluarganya, Emi tidak merasakan dirinya kecil apabila menceburi bidang yang diminatinya sedang kawan-kawan lain punya profesion kolar putih.

"Saya bangga dengan apa yang saya lakukan. Terasa betapa sukarnya mencari duit titik peluh sendiri sebagai modal membeli dawai-dawai logam berharga seperti perak, tembaga, emas dan batu-batu permata seperti topaz dan ametis tanpa membuat sebarang pinjaman dari bank.

"Semua kepayahan berbayar apabila ada orang menghargai aksesori yang dijual. Seni ini jarang diketengahkan di negara ini, jadi ambil masa sedikit untuk menarik minat orang ramai," ujarnya.

Logam berharga


SALAH satu cara digunakan untuk menghasilkan aksesori daripada seni gubahan dawai.


Ketika ditebak soalan mengenai apakah keistimewaan Emi Kaz berbanding mereka yang menceburi seni gubahan dawai ini, Emi dengan yakin memberitahu, bahawa dia satu-satunya individu di Malaysia yang membuat seni gubahan dawai menggunakan dawai logam berharga.

Kerumitan menghasilkan sesuatu aksesori itu membuatkan ia mengambil masa yang lama.

Aksesori yang rumit mengambil masa seminggu sementara yang lain boleh disiapkan dalam masa empat hari sahaja, manakala aksesori yang mudah boleh disiapkan sebanyak enam unit dalam masa sehari.

Harga aksesori yang diperbuat daripada dawai logam dijual pada harga antara RM80 hingga RM300. Jualan dalam talian pula kebanyakannya dibeli oleh pelanggan dari Amerika Syarikat.

"Setiap kali membuat sesuatu aksesori itu, perasaannya berbeza-beza dan kerana itu jugalah ia tidak ada duplikasi, jika ada yang sama pun cuma 70 peratus persamaan.

"Jika berlaku sedikit kecacatan, saya akan buka balik apa yang telah dihasilkan kerana tiada istilah cincai dalam kamus hidup saya apabila menghasilkan sesuatu aksesori. Bagi saya, setiap aksesori yang dihasilkan itu menggambarkan siapa saya," katanya sambil memberitahu seseorang yang mahu menjadi artis seni gubahan dawai perlu ada minat, kreativiti, kesabaran dan ketelitian.

Tambahnya, saki-baki dawai logam berharga tersebut tidak dibuang begitu sahaja kerana ia boleh dilebur untuk diguna semula.

Bagi meningkatkan kemahirannya dalam seni gubahan dawai, Emi sering menjadikan majalah sebagai sumber utama menjana idea-idea baharu. Dia sanggup membelanjakan antara RM30 hingga RM300 sebulan untuk membeli majalah yang berkaitan dengan seni gubahan dawai.

"Saya mahu buktikan walaupun melibatkan diri dalam bisnes ini, saya mampu mengukir nama dan dikenali melalui hasil kerja saya selain menyimpan cita-cita untuk membuka akademi seni gubahan dawai ini dalam tempoh sedekad.

"Buat masa ini saya hanya membuat aksesori untuk dihantar di beberapa kedai dan butik seperti Butik Kita-Kita selain sibuk membuat rekaan untuk koleksi terbaharu," ujarnya yang memperoleh pendapatan antara RM2,500 hingga RM4,500 sebulan.

Keluarga sokong minat dan usaha Emi

Posted:

Keluarga sokong minat dan usaha Emi

Keluarga sokong minat dan usaha Emi


SEBAHAGIAN daripada batu permata yang digunakan dalam pembuatan aksesori dawai.


KERAP KALI kita mendengar kisah jika seseorang anak teruna itu meminati bidang fesyen, kecantikan dan seni, pasti mendapat tentangan keluarga pada awalnya kerana ibu bapa lebih suka anak teruna mereka berkecimpung dalam dalam kerjaya yang lebih maskulin.

Namun, dalam kes Mohd. Hilmi atau Emi ini berlainan sekali kerana keluarganya memberikan sokongan penuh terhadap minatnya dalam bidang seni lebih-lebih lagi dalam bidang solekan dan seni gubahan wayar.

Ibunya, Mariam Mohamad, 55, memberitahu, minat anak sulungnya itu dalam seni gubahan dawai hanya bermula enam tahun lepas kerana Emi tidak menunjukkan minatnya ke arah seni ketika kecil.

"Cuma, mula-mula Emi mula minat dalam bidang solekan pada zaman remajanya dan selalu menyolek untuk majlis makan malam, pertunangan dan perkahwinan.

"Sejak menceburi seni gubahan dawai ini, Emi sentiasa ada idea-idea baharu," ceritanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, minat mendalam Emi terhadap seni tersebut tidak tahu diwarisi daripada siapa kerana dirinya sendiri tidak begitu meminati bidang seni.


LOKET yang mendapat sentuhan seni Emi.


"Tidak tahu pula daripada mana dia warisi. Kalau diikutkan, saya tak reti sangat seni-seni ini kerana tangan keras.

"Kalau Emi tidak pulang ke rumah, saya tahulah yang dia tidur di studio seninya bagi menyiapkan kerja-kerja seni gubahan dawainya di sana," ujarnya ramah.

Selain Emi, adik perempuannya juga meminati bidang seni tetapi cabang yang berbeza kerana minatnya lebih menjurus kepada fesyen.

"Selaku ibu bapa, kita perlu sokong minat anak-anak dan bukannya paksa mereka melakukan sesuatu yang mereka tidak minat.

"Kebanyakan ibu bapa cenderung menyuruh anak-anak mengambil jurusan pilihan mereka sedangkan anak-anak meminati bidang lain," katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk melihat hasil seni gubahan dawai ilham Emi, boleh mengunjungi blog Emi di emikaz.blogspot.com dan ke http://www.etsy.com/shop/EmiKaz?ref=seller_info bagi yang mahu membeli koleksi rekaannya.

Skil memasak remaja autisme

Posted:

Skil memasak remaja autisme

Skil memasak remaja autisme


CHEF HOONG (dua dari kanan) melihat dua orang remaja memotong ayam sebelum proses memasak diteruskan.


KEBIASAANNYA chef di kebanyakan restoran menghabiskan masa mereka menyediakan masakan di dapur bagi memastikan para pengunjung restoran berpuas hati dengan makanan yang dipesan.

Namun, Chef Lim Ching Shiung atau lebih dikenali dengan gelaran Chef Hoong dalam industri makanan dan minuman dan kini berkhidmat di CHYNIIS Restaurant mahu melakukan kelainan.

Setelah mencapai apa yang diingini dan berjaya dalam bidang masakan, Chef Hoong mengambil keputusan berehat seketika untuk membantu anak-anak remaja yang mengalami masalah pembelajaran sebagai salah satu sumbangannya terhadap masyarakat.

Dia ingin melakukan sesuatu selepas mengetahui mengenai Generating Opportunity for Learning Disables (GOLD) iaitu sebuah pusat bagi anak-anak muda yang menghidap masalah autisme. Tanpa berfikir panjang dia menawarkan diri untuk mengadakan sesi masakan bersama anak-anak istimewa tersebut.

Pengalaman berharga


HASIL hidangan ayam masak masam manis air tangan remaja autisme.


Autisme merupakan kecelaruan perkembangan pervasif (pervasive developmental disorder) yang melibatkan fungsi otak.

Chef dari Tawau, Sabah yang terkenal dengan masakan mi udang sejak 12 tahun lalu itu memberitahu, meluangkan masa bersama anak-anak autisme merupakan pengalaman yang sangat berharga.

"Saya sangat teruja melihat anak-anak ini bersungguh-sungguh belajar walaupun mereka menghidap autisme.

"Mereka tidak menjadikan kekurangan yang dialami sebagai halangan untuk melakukan perkara yang mereka ingini," katanya selepas mengajar lapan anak-anak autisme menyediakan hidangan sup dan ayam masak masam manis.

Kelas tersebut diadakan dengan harapan para peserta akan menawarkan diri untuk menyediakan masakan istimewa buat orang tersayang terutamanya pada Hari Ibu dan Hari Bapa.

Pada mulanya, Chef Hoong agak khuatir sama ada remaja autisme yang mengambil bahagian itu boleh mengendalikan pisau untuk membuang tulang pada ayam.

"Saya risau jika mereka tercedera dan hilang kawalan diri ketika menggunakan pisau. Namun, saya berasa lega apabila mereka berjaya melakukan tugasan dengan baik sekali," ujarnya.

Autisme dianggap sebagai kecacatan neurologi dan bukan gangguan kecacatan psikiatri, walaupun ciri-ciri biasa termasuk masalah dengan perhubungan sosial, komunikasi, emosi dan juga pola biasa berkaitan minat, aktiviti dan perangai.


DARI kiri: S. Dineshwaran, Gavin dan Muhammad Baihaqi, Chef Hoong dan Goh Su Yin tekun membuat kerja-kerja di dapur.


Ia juga melibatkan masalah integrasi deria. Biasanya, autisme boleh dikenal pasti pada usia seawal tiga tahun. Dianggarkan bahawa autisme membabitkan dalam dua hingga enam kes setiap 1,000 orang. Masalah itu juga empat kali lebih kerap dialami kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

Pada masa kini, autisme boleh dirawat tetapi tidak dapat dipulihkan. Diagnosis dan latihan awal amat penting bagi perkembangan masa hadapan kanak-kanak.

Menurut koordinator pusat tersebut, Juairiah Johari, buat masa ini dua peserta iaitu S. Dineshwaran, 18, dan M. Kogilavani, 17, sedang menjalani latihan sebagai pembantu dapur di Pusat Perubatan Sunway.

"Nadiah Syazwani Kamarulzaman, 19, dan Muhammad Baihaqi Abdul Rani pula sudah menjadi pembantu dapur pelatih di Hotel Sunway Resort & Spa.

"Dua orang pelajar lagi menjalani latihan di Universiti Sunway di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Pengurusan Percutian.

"Anda pasti akan terkejut apabila melihat mereka dapat melakukan tugasan dengan baik," kata Juairiah meyakinkan Chef Hoong.

Tambahnya, apabila mereka menamatkan latihan masing-masing September ini, kesemua mereka akan mencari peluang pekerjaan sebagai kakitangan dapur.

Melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh anak-anak remaja autisme ini, Chef Hoong memasang impian agar salah seorang daripada mereka menjadi chef yang berjaya dan dikenali suatu hari nanti.

"Adalah sesuatu yang sukar untuk mencapai peringkat tertinggi dalam kerjaya, namun kita akan berpuas hati apabila melihat orang gembira menikmati hidangan yang kita sediakan," ujarnya.

Menu signatur


DUDUK, dari kiri: Lee Airene, Juairiah, Chef Hoong, Joyce Chin dan Pearly Chin bergambar bersama remaja autisme selepas tamat sesi memasak.


Di Restoran Chyniis di SStwo Mall, Chef Hoong memperkenalkan pelbagai masakan Cina tempatan selain mi udang Chyniis yang merupakan hidangan signaturnya.

Antara hidangan lainnya termasuklah man tou buatan sendiri, kaktus dengan tauhu dan burdock, udang galah panggang bersama dang gui dan mentega serta ayam rangup tanpa tulang.

Kompleks GOLD@3C yang terletak di Jalan PJS 11/2 dikendalikan oleh sukarelawan dan guru-guru pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway. Di situ, mereka meluangkan waktu petang mereka untuk menyampaikan ilmu kemahiran hidup kepada anak-anak remaja autisme.

Pusat tersebut yang dibuka pada tahun 2006 dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Buat masa ini, seramai 30 ahli menyertai sesi latihan pelbagai kemahiran yang disediakan.

Seorang guru, Lee Airene berharap dapat mencari sukarelawan yang dapat meluangkan masa untuk membaca buku bersama para remaja di pusat berkenaan atau membantu mereka membuat kad ucapan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved