Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Pilih produk untuk jadi dutaSITI SALEHA, klasik namanya. Formula yang digunakannya untuk menapak dalam dunia seni bermula daripada berlakon iklan, dilantik menjadi duta kepada beberapa produk dan kemudiannya terlibat dalam dunia lakonan, sehingga hari ini, namanya 'meletup' biarpun masih dianggap pucuk muda yang baru berputik. Drama bersiri Nora Elena yang ditayangkan untuk slot Akasia di TV3 bagaimanapun secara total telah memperkenalkan figura genit itu kepada khalayak tentang siapa sebenarnya Siti Saleha Mohd. Baharum yang baru berusia 21 tahun itu. Apapun, populariti yang diraih pada hari ini bukan calang-calang nilainya. Ada pengorbanan yang perlu ditempuh untuk berada di aras terkini. Perlu bersedia untuk menjadi figura umum yang pastinya akan ditatap walau di mana dia berada, Saleha juga harus akur kadangkala privasinya direnggut buat tatapan umum. Namun, lebih selesa untuk tidak membicarakan perihal kehidupan peribadinya berbanding kerjaya yang dibina, pertemuan bersama Siti Saleha baru-baru ini lebih banyak melihat skop optimisme selaku artis baharu. Bermula dengan bidang lakonan iklan mahupun jurucakap produk, pastinya Saleha tidak boleh lari daripada lingkaran yang sudah dibikinnya itu. Namun ada syarat yang ditetapkannya. "Kalau saya diberikan peluang untuk menjadi duta atau jurucakap pastinya tidak akan ditolak, tapi saya akan melihat juga kepada kesesuaian sesuatu produk dengan saya. "Memandangkan kelompok peminat di negara kita kebanyakannya orang Melayu, maka seboleh-bolehnya saya tidak mahu terlibat dengan iklan atau produk yang menjadikan diri saya sebagai simbol seks," katanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini. Malah, ujarnya tidak menjadi hal sekiranya dia diminta untuk memakai tudung untuk penggambaran drama ataupun iklan dan akuinya juga dia cukup selesa. "Jelas sekali saya pernah memakai tudung dalam beberapa lakonan saya sebelum ini seperti Ustaz Amirul dan Alif Ba Ta, jadi pastinya tidak ada masalah untuk saya berkaitan isu itu," tambah gadis kacukan British-Belanda-Melayu itu.
Sama juga seperti soal berpakaian, Saleha menegaskan dia tidak ada sebarang masalah untuk memilih mana-mana pereka pakaian yang sudi menajanya, namun perlu sesuai dengan imej yang diciptanya selama ini. Enggan menerima pakaian yang terlalu seksi atau menjolok mata, Saleha mengakui dia kadangkala sedikit cerewet dengan solekan yang dikenakan. "Saya bukan seorang yang demanding, sama seperti berlakon drama atau iklan, apa yang datang semuanya rezeki untuk saya, tapi tengok keadaan juga terutama berkaitan dengan solekan. Ada kalanya saya kurang selesa dengan solekan yang tidak kena atau sesuai dengan saya," getus pelajar jurusan komunikasi di Kolej Inti, Subang, Selangor itu lagi. Anugerah Industri Muzik Saleha ketika ditanya tentang keinginannya untuk menceburi bidang lain selain lakonan seperti pengacaraan atau nyanyian mengakui dia sememangnya berminat untuk menjadi pengacara. "Tugas pertama sebagai pengacara adalah mengendalikan satu episod gerbang Anugerah Industri Muzik (AIM) yang akan mengetengahkan mengenai para karyawan muzik yang meraih pencalonan tahun ini. "Memang saya minat bidang pengacaraan tapi seboleh-bolehnya saya ingin mengendalikannya dalam bahasa Inggeris memandangkan itu keselesaan saya berkomunikasi dengan lebih jelas," katanya yang bakal tampil dengan filem Pukul Habis pada penghujung tahun ini. Pukul Habis merupakan filem pertama lakonannya dan watak yang diberikannya adalah dambaannya selama ini. "Dalam filem ini saya memegang watak wanita yang perlu melakukan aksi bertarung. Jika selama ini peminat melihat saya sebagai seorang yang feminin tetapi menerusi filem ini saya mempersiapkan diri dengan ilmu kickboxing untuk menjayakan watak," ujarnya yang bakal bergandingan dengan Aaron Aziz dan Johan Raja Lawak dalam Pukul Habis. Antara Klang dan United Kingdom
Tidak kisah untuk berulang-alik dari kampung ayahnya, Mohd. Baharum Abdul Rahman, 60, di Klang, Selangor ke kediaman ibunya, Tracey Johnson atau nama Islamnya Aisyah Abdullah, 49, di United Kingdom (UK), Saleha sudah kalis dengan dugaan yang ditempuhinya itu sejak berusia 10 tahun. "Dari kecil lagi, apabila kawan-kawan datang ke rumah dan bertanyakan di mana ibu saya, sudah menjadi kelaziman untuk saya berikan jawapan yang sama. "Ini dugaan yang saya tempuh dek penceraian kedua-dua ibu dan bapa saya, tapi syukur buat masa sekarang sekiranya ada masa saya akan pulang ke UK melawat ibu saya dan dia juga ada kalanya akan pulang ke Malaysia dan mungkin juga mengejutkan saya dengan imejnya yang bertudung," kata adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam, 24, itu. Begitu pun, cerita Saleha, pernah bapanya memberikan kelonggaran untuk dia menetap bersama ibunya di UK, namun dia memilih untuk setia menjaga bapanya di Klang. "Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), ayah pernah menyuruh saya tinggal bersama ibu di UK tapi rasanya saya sudah selesa di sini, bersama karier yang sudah kukuh, agak canggung jika saya memilih untuk hidup di sana. Lagipun, saya boleh menjaga ayah di sini," bicara si cantik menyusun frasa. Ditanya apakah perkembangan dirinya dalam tempoh 10 tahun akan datang, Saleha nyata sudah ada gambaran yang jelas. "Saya sekarang sedang menghabiskan pelajaran, supaya 10 tahun lagi saya mahu gembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya. "Kalau boleh saya ingin buka sebuah syarikat produksi yang secara amnya boleh mengeluarkan produk iklan saya sendiri. "Mungkin juga pada masa itu saya sudah berkahwin, menjadi 10 pelakon wanita terbaik Malaysia dan kalau ada rezeki akan melebarkan sayap ke negara jiran seperti Indonesia dan Filipina," tuturnya menutup bualan. | ||||
'Bukan hilang tapi jatuh bilik air' - Shahir Posted: 'Bukan hilang tapi jatuh bilik air' - ShahirOleh HARYATI KARIM
TIDAK habis-habis kontroversi timbul berkenaan juara program Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi. Sebelum ini dia yang digosip bercinta dengan aktres jelita Rozita Che Wan pernah menghilangkan diri dan alasan yang diberi ketika itu dia mempunyai masalah kesihatan. Kemudian, dia dikatakan menghilangkan diri sekali lagi dan kononnya ingin bersara daripada menjadi anak seni. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan