Jumaat, 23 September 2011

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Tetap sihat selepas derma darah beratus kali

Posted:

Tetap sihat selepas derma darah beratus kali

Tetap sihat selepas derma darah beratus kali

Oleh NURUL IZZA ROSLY

SUDAH lumrah, jika ada perajurit terkorban ketika menjalankan tugas atau tewas di perbatasan diangkat sebagai wira negara. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa di negara ini masih ramai wira yang tidak mahu diangkat sedemikian.

Wira ini bukan terkorban dek pertumpahan darah tetapi berkorban menderma darah secara sukarela untuk menyelamatkan nyawa individu lain yang tidak mereka kenali tanpa mengira darjat, bangsa dan agama.

Wira sebegini banyak berjasa menyelamatkan nyawa individu lain dengan hanya menderma darah kerana bagi mereka, setitis darah mampu menyelamatkan nyawa.

Namun, tidak kurang juga yang tidak mahu mengikut jejak wira-wira ini dengan pelbagai alasan yang adakalanya tidak boleh diterima oleh norma akal.

Walaupun banyak cerita kurang enak mengenai menderma darah hinggap ke cuping telinganya, Chee Cheng Son, 40, tidak pernah ambil peduli.

"Saya sendiri sudah sudah 62 kali menderma. Syukur kerana setakat ini badan saya tidak menunjukkan simptom lesu mahupun pertambahan berat badan.

"Malah, saya rasa lebih sihat dan cergas kerana badan saya akan mengeluarkan darah yang baharu bagi menggantikan darah yang saya telah dermakan," katanya yang bekerja di sebuah kilang di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Berpegang kepada prinsip, More you donate, the healthier you are, Cheng Son mula terpanggil menderma darah ketika ramai orang memerlukan darah angkara denggi beberapa tahun lalu.

Cheng Son juga pernah dikatakan gila oleh rakan-rakan kerana menderma darah menggunakan kaedah aferesis dua minggu sekali. Namun, kata-kata tersebut dibiarkan bagai angin lalu kerana dirinya gembira setiap kali menjejakkan kaki di Pusat Darah Negara.

"Ini salah satu cara saya berkhidmat untuk negara. Banyak nyawa boleh dibantu dengan pertolongan tidak seberapa daripada saya ini," katanya sambil menyeru semua warga Malaysia untuk menderma darah.

Ikut jejak ibu

V. Arvindren, 27, menetap di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur boleh dikatakan masih 'hijau' dalam pendermaan darah kerana anak muda tersebut baru kali kelima menderma darah.

"Saya datang ke sini tiga bulan sekali jika keadaan kesihatan saya mengizinkan untuk berbuat demikian. Dulu, saya selalu melihat ibu menderma darah. Namun, sejak menghidap kencing manis, ibu tidak lagi layak untuk menderma darah. Kini, saya pula terpanggil untuk meneruskan perjuangannya itu," katanya yang mula menderma darah pada tahun 2005.

Tidak mudah percaya dengan cerita-cerita mitos mengenai keburukan menderma darah kerana ia tidak benar sama sekali malah, dia berazam mahu menderma dengan lebih kerap.

"Jangan percaya apa yang anda dengar daripada mulut ke mulut. Rasai sendiri pengalaman menderma darah dan nilailah sendiri. Saya sendiri akan menderma darah sehingga keadaan diri saya mengizinkan, mana tahu suatu hari nanti ahli keluarga saya sendiri memerlukan darah," ujarnya.

Tidak dinafikan bahawa ada segelintir masyarakat yang berminat untuk menderma darah namun, hasrat tersebut terbantut gara-gara ada cerita kurang enak mengenainya.

Penulis sendiri pernah bertemu empat mata bersama seorang pesara tentera laut, Donald Charles Pereira, 60, yang telah menderma darah sebanyak 420 kali sejak tahun 1968, di Karnival Hari Penderma Darah Sedunia 2011 pada Jun lalu.

Menurutnya, dia pertama kali menderma darah di Hospital Assunta, Petaling Jaya kerana salah seorang rakannya terlibat dengan kemalangan. Dia masih tidak jemu menderma darah kerana ia menyihatkan tubuhnya.

"Kebanyakan orang kata menderma darah boleh menyebabkan gemuk tetapi, ia sekadar alasan semata-mata kerana tidak mahu menderma darah," katanya yang aktif bermain badminton dan berjoging.

Seorang lagi penderma darah, Chin Jeck Leng, 50, yang sudah menderma darah sebanyak 344 kali ketika itu memberitahu membantu orang dengan memberikan wang sangat mudah berbanding menderma darah.

Jeck Leng bertekad menderma darah sebaik mencecah 18 tahun iaitu usia layak menderma selepas ibunya menghadapi kesukaran mendapatkan darah untuk menjalani pembedahan pada usianya 12 tahun.


ARVINDREN sudah lima kali menderma darah kerana mengikut jejak ibunya.


"Sebahagian daripada penderma mungkin berasa sedikit letih selepas menderma, namun keadaan tersebut adalah sesuatu yang dijangkakan dan bersifat sementara kerana sistem badan penderma akan mengambil sedikit masa untuk pemulihan bagi menggantikan jumlah darah yang telah didermakan," kata Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr. Roshida Hassan.

Ujarnya, pengambilan lebih banyak air dan rehat yang secukupnya dapat mengatasi masalah tersebut, selain mengambil pil zat besi dan asid folik yang dibekalkan oleh Pusat Darah Negara dan tabung darah hospital-hospital untuk proses penggantian semula sel darah merah.

"Mereka ini silent hero yang banyak membantu menyelamatkan nyawa tanpa kita sedari. Kita perlukan ramai hero seperti ini. Respons terhadap pendermaan darah sangat menggalakkan kerana sudah ramai yang tampil kehadapan untuk berbuat demikian," katanya.

Situasi tersebut dapat dilihat melalui jumlah kutipan darah yang semakin meningkat dari tahun ke tahun. Sebagai contoh, pada tahun 2001 jumlah kutipan darah di seluruh negara adalah sebanyak 384,711 berbanding 590,517 pada tahun 2010.

Jenis pendermaan darah

Menurutnya, tidak semua orang layak untuk menderma darah kerana terdapat beberapa kriteria perlu dipenuhi sebelum seseorang itu menderma darah.

Antara kriteria yang ditetapkan ialah seseorang itu perlu berumur di antara 18 tahun hingga 60 tahun, mempunyai berat badan minimum 45 kilogram, tidak mempunyai masalah kesihatan, tidur sekurang-kurangnya lima jam sebelum hari pendermaan, kadar zat besi darah antara 12.5 g/dL - 18.0 g/dL dan tidak termasuk dalam golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV, hepatitis dan sifilis.

Kriteria tersebut ditetapkan bagi memastikan penderma tidak memudaratkan dirinya sendiri apabila menderma dan darah yang diberikan untuk kegunaan pesakit adalah selamat dan berkualiti.

"Secara amnya ada dua jenis pendermaan darah iaitu darah utuh (whole blood) dan aferesis. Kedua-dua jenis pendermaan darah ini adalah sama dari segi kelayakan yang diperlukan tetapi proses pengambilan darah tersebut agak berbeza.

"Pendermaan darah utuh ialah pendermaan darah secara keseluruhannya. Darah ini akan diproses kepada komponen-komponen tertentu selepas pendermaan," katanya.

Jelasnya lagi, pendermaan aferesis pula adalah pendermaan komponen-komponen darah yang spesifik sahaja sama ada plasma, platelet (sel pembeku darah) atau kedua-duanya sekali. Ia hanya boleh dijalankan di pusat pendermaan darah sahaja kerana pendermaan ini memerlukan mesin khas.

Pengumpulan darah daripada penderma sehinggalah diberikan kepada pesakit adalah satu rangkaian proses yang begitu penting dan mesti menepati pelbagai prosedur kualiti yang ketat kerana darah adalah bahan biologikal yang mudah rosak.

Selepas darah diambil daripada penderma, penyimpanan dan pengangkutan darah mestilah dikekalkan pada suhu 20-24°C sehinggalah darah tersebut sampai ke makmal pemprosesan.

"Suhu dan cara penyimpanan pecahan produk darah adalah berbeza, sebagai contoh plasma disimpan pada suhu -30°C, sel pembeku darah 20-24°C dan sebagainya.

"Jangka hayat produk darah adalah berbeza. Sel darah merah dapat bertahan sehingga 42 hari, sel pembekuan darah hanya lima hari sahaja dan plasma pula mampu bertahan selama dua tahun pada suhu -30°C," jelasnya.

Menyentuh mengenai stok bekalan darah, Roshida memberitahu bekalan stok darah kini mencukupi hasil daripada kerjasama erat para penderma darah dan penganjur kempen derma darah yang begitu komited membantu.

"Bekalan darah biasanya akan susut sedikit apabila tiba musim perayaan, namun tidaklah sehingga tahap kritikal kerana penderma-penderma pulang bercuti" katanya sambil menyeru semua rakyat Malaysia di seluruh negara tampil menderma darah tidak kira di mana mereka berada kerana sumbangan mereka mampu menyelamatkan nyawa.

Medan uji bakat mengandam

Posted:

Medan uji bakat mengandam

Medan uji bakat mengandam

Oleh ALIF ABU BAKAR


ROSMAN bangga menjadi lelaki yang memiliki bakat andaman.


SUATU ketika dahulu, kerjaya mengandam cukup sinonim dengan kaum Hawa. Namun, label mak andam itu tidak lagi sesuai diguna pakai apabila bidang itu didominasi oleh lelaki.

Hari ini, kerjaya mengandam semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Bukan sahaja kerana bayarannya yang lumayan, malah ia turut membuka peluang bekerjasama dengan individu-individu ternama.

Sehubungan itu, Butik One Touch Wedding Beauty, Banting menganjurkan pertandingan andaman di Gold Coast Morib Resort baru-baru ini. Dengan tema Ratu Sehari, pertandingan tersebut mengetengahkan bakat-bakat andaman yang diperoleh jurusolek-jurusolek tempatan di sekitar Banting dan Klang.

Profil sendiri

Menyedari peluang buat jurusolek tempatan agak terpencil, inisiatif butik tersebut diharapkan dapat membantu mereka menerima tempahan andaman yang lebih banyak pada masa akan datang.

Pemilik serta pengasas butik tersebut, Shahrizah Azrin Shahrin, 32, memberitahu, jurusolek-jurusolek yang mendapat tempat dalam pertandingan tersebut secara automatik akan memiliki profil sendiri dalam katalog butik tersebut.

"Selaku butik yang fokus kepada majlis perkahwinan, pakej yang kami sediakan merangkumi semua aspek. Begitu juga dengan khidmat tukang andam, menerusi pertandingan ini kita dapat membantu mereka mendapatkan pelanggan dengan lebih mudah.


SHUHADA mendapat inspirasi sehari sebelum pertandingan.


"Apabila ada pelanggan yang berminat dengan hasil kerja mereka, kita akan memanggil mereka untuk memenuhi permintaan pelanggan," jelasnya yang telah berkecimpung lebih lima tahun dalam dunia andaman.

Pada pertandingan hari itu, seramai sembilan peserta dari Banting dan Klang, Selangor mengambil bahagian. Setiap daripada mereka perlu menyiapkan solekan dalam masa satu jam setengah.

Penilaian yang dibuat oleh empat juri terdiri daripada jurusolek-jurusolek profesional yang memberi pemarkahan berdasarkan enam kriteria.

Pemarkahan diberi mengikut teknik solekan, kreativiti, kekemasan, peragaan, baju dan masa yang digunakan menyiapkan tugasan.

Peserta dari Klang, Norshuhada Abd. Hamid, 30, muncul juara pada malam itu apabila seri solekan pengantin yang diaplikasikan pada wajah modelnya menggamit hati juri dan penonton yang hadir pada malam itu.

Pengalaman enam tahun sebagai jurusolek bebas membuatkan Shuhada tampil rileks dan santai sepanjang pertandingan itu berlangsung.

"Saya mendapat inspirasi sehari sebelum pertandingan kerana saya mengetahui tentang pertandingan ini agak lewat. Tetapi berkat usaha dan minat yang mendalam terhadap bidang andaman, saya cuba hasilkan yang terbaik dan Alhamdulillah ia membuahkan hasil," ujarnya yang kini telah setahun menjadi pengusaha butik pengantin.

Selain solekan kemas, perhiasan tradisional yang digunakan Shuhada juga dikatakan menjadi tarikan juri buat dirinya memenangi pertandingan malam itu.

Harapan ibu tunggal itu agar kemenangan yang diperoleh itu dapat membuka ruang lebih luas bagi dirinya mengembangkan sayapnya ke ibu kota pula.

Serlahkan bakat


BIDANG andaman kini mampu memberi pendapatan lumayan.


Sementara itu, satu-satunya peserta lelaki pada malam itu, Rosman Abd. Rahman, 46, menyifatkan pertandingan tersebut sebagai satu medan buat dirinya menyerlahkan bakat andamannya kepada masyarakat khususnya penduduk Banting.

"Sebelum terjun ke dalam bidang andaman, saya telah membuka salun di Petaling Jaya dan masih beroperasi masuk tahun kelapan.

"Kemudian saya mula berjinak-jinak dengan dunia andaman lima tahun yang lalu dan dalam tempoh itu saya telah banyak menyolek artis-artis ternama tanah air," jelasnya yang kini menetap di Kampung Permatang Pasir, Banting.

Pada awalnya ramai yang menjangka Rosman akan memenangi pertandingan tersebut berikutan pakaian dan aksesori yang digunakan agak menyerlah berbanding peserta lain.

Walaupun hanya memenangi tempat ketiga, bapa kepada seorang anak itu tetap berpuas hati dan menjadikan pertandingan tersebut sebagai pengalaman berharga.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan khidmat tukang andam serta perkhidmatan lain yang disediakan butik One Touch Wedding Beauty bolehlah menghubungi talian 012-258 3776.

Nyah pneumokokal daripada anak

Posted:

Nyah pneumokokal daripada anak

Nyah pneumokokal daripada anak


BAKTERIA streptococcus pneumoniae di bawah pembesaran mikroskop.


PENYAKIT pneumokokal adalah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus. Ia boleh menyerang pelbagai bahagian tubuh, termasuk otak, paru-paru dan telinga dan menyebabkan penyakit yang serius dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak.

Penyakit yang mudah berjangkit itu merebak melalui titisan yang dilepaskan ke udara melalui bersin, batuk atau hubungan rapat dengan orang yang dijangkiti. Ia lebih lazim terjadi dalam kalangan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah di Malaysia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), sebanyak satu juta kanak-kanak mati setiap tahun akibat penyakit pneumokokal di seluruh dunia. Kajian-kajian tentang penyakit pneumokokal di Malaysia menunjukkan bahawa pneumonia merupakan kejadian klinikal yang paling biasa kadar morbiditi namun penyebab kematian paling tinggi bagi bayi dan kanak-kanak kecil.

Siapakah yang berisiko tinggi?

Secara umumnya, sesiapa sahaja boleh dijangkiti penyakit ini. Antara kumpulan-kumpulan ini termasuk:

*Kanak-kanak yang berusia di antara 2 hingga 24 bulan terutama mereka yang mengalami masalah perubatan yang kronik seperti menghidap penyakit peparu (kecuali asma), jantung, buah pinggang atau hati.

*Orang dewasa yang berusia 65 tahun dan ke atas.

*Mereka yang menghidap kanser atau jangkitan HIV yang melemahkan sistem imun.

*Mereka yang mengalami kegagalan fungsi limfa, contohnya selepas pembuangan limfa dalam talasemia atau berikutan trauma.

Bahaya pneumokokus

Pneumokokus boleh mengakibatkan pelbagai jangkitan. Secara amnya, terdapat dua jenis penyakit pneumokokal iaitu penyakit invasif dan tidak invasif.

Penyakit invasif adalah lebih serius dan menyebabkan penyakit dalam organ utama atau dalam darah termasuklah:

Pneumonia pneumokokal

*Penyakit invasif pneumokokal yang paling lazim boleh bermula dengan demam dan diikuti rasa sejuk, batuk, sesak nafas, pernafasan laju, sakit dada dan kelesuan.

Bacteraemia (Jangkitan kuman dalam darah)

*Satu komplikasi serius yang berlaku apabila bakteria merebak dan menjangkiti darah.

*Jika tidak dirawat, ia boleh menjejaskan fungsi organ-organ utama yang menyebabkan kegagalan buah pinggang dan jantung selain menyebabkan kejutan septik. Kejutan septik mengakibatkan kehilangan fungsi atau kegagalan pelbagai organ dan boleh mengancam nyawa.


USAH memandang ringan akan penyakit ini kerana ia penyebab kematian tertinggi dalam kalangan kanak-kanak.


Meningitis (Radang lapisan

meninges otak dan saraf tunjang)

*Satu keadaan yang sangat serius apabila meninges disebut sebagai men-in'-jeez mengalami keradangan.

*Kanak-kanak yang dijangkiti menunjukkan gejala seperti sakit kepala yang teruk, muntah, demam tinggi, leher yang tegang, menjadi sensitif terhadap cahaya, kekeliruan dan rasa mengantuk.

*Jika tidak dirawati, komplikasi lain seperti sawan, rasa mengantuk yang bertambah dan koma.

*Meningitis mencatatkan salah satu daripada kadar kematian yang paling tinggi, dengan kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berusia setahun kebawah.

Kedua-dua bacteraemia dan meningitis merupakan penyakit yang boleh membawa maut dalam masa beberapa jam. Bayi dan kanak-kanak kecil menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti penyakit ini kerana mereka mempunyai tahap antibodi yang rendah.

Sebaliknya, penyakit tidak invasif berlaku di luar organ-organ utama dan darah. Ini termasuk:

Otitis media (Jangkitan bahagian telinga tengah)

*Jangkitan ini biasanya berlaku bersama dengan jangkitan bahagian atas saluran pernafasan, seperti selesema.

*Kanak-kanak boleh mengalami sakit telinga, kesukaran tidur, kesukaran mendengar atau bertindak balas terhadap bunyi, hilang keseimbangan, sakit kepala, demam dan cecair atau nanah mengalir keluar dari telinga.

*Otitis media yang kerap akan mengakibatkan komplikasi yang serius seperti masalah pendengaran, perkembangan pertuturan yang lambat dan penyebaran jangkitan ke tisu-tisu yang berhampiran seperti otak.

Sinusitis (Jangkitan sinus)

*Pneumokokus boleh menyebabkan keradangan sinus dan rongga hidung. Seseorang itu boleh mengalami sakit kepala, tekanan di bahagian muka, tekanan, kesakitan, demam, hingus yang berwarna kuning dan kehijauan, hidung tersumbat, sakit kerongkong atau batuk.

Pencegahan

Pengamalan tabiat kebersihan yang baik di rumah dan di pusat jagaan kanak-kanak boleh membantu membendung penyebaran penyakit ini. Melatih anak anda untuk membersih tangannya dengan teliti apabila tangan kotor adalah amalan yang baik selain menghindari perkongsian cawan, sudu dan garpu. Pusat jagaan kanak-kanak juga perlu memastikan kanak-kanak yang kurang sihat tidak menghadiri pusat jagaan kerana kanak-kanak adalah lebih cenderung untuk dijangkiti akibat pendedahan yang meningkat kepada bakteria.

Walaupun penyakit pneumokokal boleh dirawati dengan antibiotik, ia berkemungkinan sudah terlambat dan kebanyakan kes penyakit pneumokokal invasif yang membawa maut boleh sebenarnya dicegah dengan vaksinasi.

Vaksinasi amat disyorkan untuk mencegah penyakit pneumokokal invasif dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah.

Terdapat dua jenis vaksin terhadap penyakit pneumokokal iaitu vaksin polisakarida dan vaksin konjugasi. Vaksinasi adalah cara utama dalam pencegahan banyak penyakit, dan seterusnya mengelakkan penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang tidak perlu.

Ibu bapa mungkin berasa risau tentang kesan sampingan yang mungkin timbul akibat daripada vaksinasi, yang biasanya sedikit dan minor pada dasarnya. Vaksinasi masih merupakan pengawal terbaik terhadap penyakit yang berpotensi untuk membunuh atau menyebabkan kecacatan berjuta-juta kanak-kanak dan orang dewasa untuk seumur hidupnya.

Anda mempunyai pilihan untuk mengelakkan kematian dan komplikasi yang serius; tingkatkan kuasa terhadap pneumokokus hari ini!

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved