Jumaat, 23 September 2011

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Trak pikap terlaris di pasaran

Posted:

Trak pikap terlaris di pasaran

Trak pikap terlaris di pasaran

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

HILUX memang boleh diharap untuk meredah laluan-laluan seperti ini.


ADA sesuatu yang berbeza dengan Toyota. Magisnya bukan terletak pada enjinnya yang menjimatkan minyak, rekabentuk yang futuristik atau sebagainya, tetapi kemampuannya untuk menarik orang ramai untuk membelinya.

Tidak percaya? Tengok sahaja di atas jalan raya. Berapa banyak kenderaan Toyota berbanding jenama dari Jepun atau Korea yang lain. Sedangkan kalau benar-benar diteliti, kenderaan Toyota tetap mempunyai kelemahan tersendiri. Lebih pelik lagi, situasi itu bersifat global, tidak hanya berlaku di Malaysia.

Sebenarnya populariti Toyota banyak bergantung kepada kepercayaan pengguna bahawa jenama itu menawarkan produk yang tahan lama, kurang masalah, nilai jualan semula yang tinggi dan macam-macam lagi.

Jadi, tidak hairanlah jika setiap kali produk baharunya diperkenalkan, perhatian yang diberikan oleh khalayak kadang-kadang agak membingungkan.

Projek IMV

Minggu ini, UMW Toyota Sdn. Bhd. (UMW Toyota) sekali lagi mahu membuktikan kejaguhannya. Kali ini menerusi model trak pikap yang menerima proses naik taraf. Toyota menamakan trak pikap yang pertama kali dibinanya pada tahun 1968 itu sebagai Hilux.

Bernaung di bawah projek IMV Toyota, Hilux yang dipasarkan di Malaysia dipasang di kilang Toyota di Rayong, Thailand. IMV merujuk kepada Innovative International Multi-purpose Vehicle (Kenderaan Pelbagai Guna Inovatif Antarabangsa).


HILUX kini dilengkapi dengan sistem navigasi dan kamera undur (untuk varian 3.0G sahaja).


Projek itu diinisiatif untuk membina sistem pengilangan dan pembekalan yang optimum bagi model-model trak pikap (Hilux), SUV (Fortuner) dan MPV (Innova) demi memenuhi permintaan di lebih 140 buah negara di seluruh dunia. Janji Toyota, semua pelanggannya akan menikmati kualiti tertinggi Toyota, walau di mana pun kenderaan itu dihasilkan.

Sama ada di hutan hujan di Asia, padang pasir atau gurun di benua Afrika, Hilux diterima baik dalam setiap pasaran yang disertainya. Jika tidak, bagaimana sebanyak 2.7 juta unit Hilux sudah berjaya dijual di seluruh dunia sehingga tahun 2010?

Generasi ketujuh Hilux menjengah pasaran tempatan pada tahun 2005. Sejak itu, ia muncul sebagai peneraju pasaran dengan jumlah jualan mencecah 90,000 unit.

"Tahun lalu, rekod jualan Hilux melebihi 18,500 unit. Sehingga hujung bulan Ogos tahun ini pula, hampir 14,000 unit Hilux telah dijual iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2010.


RUANG kargo yang cukup luas untuk anda mengangkut barang-barang.


"Kami menyasarkan jualan di antara 1,800 hingga 2,000 unit sebulan memandangkan permintaan terhadap trak pikap di Malaysia masih kukuh," jelas Presiden UMW Toyota Sdn. Bhd., Ismet Suki sambil memberitahu, UMW Toyota kini sudah pun menerima lebih 3,300 tempahan.

Hilux bermula dengan varian 2.5 liter bersama pilihan transmisi manual dan automatik. Model itu kemudian menerima proses naik taraf tiga tahun kemudian. Selepas menerima maklum balas daripada pelanggan yang mahukan versi Hilux lebih berkuasa, UMW Toyota mengambil keputusan untuk memperkenalkan varian 3.0 liter pada tahun lalu.

Untuk makluman anda, Toyota merupakan jenama trak pikap yang paling lewat menawarkan varian tersebut. Sedangkan Ford, Isuzu, Mitsubishi, Mazda, Nissan dan Ssangyong sudah agak lama berbuat demikian.

Sesi pandu uji

Sehari sebelum pelancaran, saya berpeluang memandu uji kedua-dua varian terbaharu Hilux di Shah Alam, Selangor. Dibahagikan kepada dua sesi, ia dimulakan dengan sesi pandu uji bagi menguji kemampuan Hilux meredah laluan-laluan off-road sebenar.


PENAMPILAN lebih masklulin menerusi rekaan bampar, lampu utama dan bonet yang baharu.


Sama ada menaiki dan menuruni kawasan cerun yang curam, meredah lopak air setinggi tayar trak atau melalui laluan penuh selut, Hilux nampaknya tidak berdepan masalah untuk mengatasi semuanya.

Enjin 2.5 atau 3.0 liter itu memberi cukup kuasa bagi memastikan pemandu tidak terlekat di atas jalan yang beberapa jam sebelum sesi pandu uji disiram oleh hujan lebat.

Penolong Ketua Jurutera IMV, Toyota Motor Corporation, Osamu Tomioka mengakui bahawa Hilux telah diuji di semua bentuk cuaca dan muka bumi bagi memastikan ia mampu memenuhi ekspektasi setiap pemiliknya.

Jika dilihat kepada Hilux yang ditambah baik ini, jelas bahawa Toyota cuba untuk menjadikannya sebuah trak pikap yang sarat dengan ciri-ciri moden dan bernilai untuk wang anda.

Ditawarkan dalam lima varian kesemuanya, Hilux menerima perubahan dari segi penampilannya. Paling ketara pastinya bahagian dengan reka bentuk tiga dimensi yang meliputi bonet, gril dan bampar. Versi 2.5 dan 3.0 liter juga dapat dibezakan dengan skup udara yang kali ini nampak lebih lebar.

Penampilan lebih segar

Bahagian belakangnya pula dipasang dengan lampu baharu, bersama lampu brek jenis LED pada kedudukan lebih tinggi agar mudah dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain.

Ruang kabin Hilux menerima perubahan besar. Papan pemukanya dipapar menerusi rekaan susun atur yang memisahkan konsol tengah kepada dua bahagian untuk menempatkan sistem audio dan butang kawalan pendingin udara.

Bagi varian 3.0G sahaja, pemandunya diberi paparan MID (Multi-Information Display). Ia memaparkan pelbagai informasi berguna termasuklah suhu luar kabin, penggunaan minyak secara purata, jarak dengan minyak sedia ada dan banyak lagi.

Hilux juga dipasang dengan stereng baharu. Ia dilengkapi dengan butang kawalan audio dan MID. Apa yang lebih penting, gabungan semua elemen baru di dalam kabin ini membuatkan pemandu seakan-akan berada dalam sebuah kereta sedan.

Menyedari ada pelanggan yang mahu membuatkan Hilux miliknya berbeza dengan yang lain, UMW Toyota turut menawarkan beberapa aksesori khas. Antaranya ialah sport bar, filem solar dan sistem DVD-Audio Video Navigation Toyota.

Butik IXS Motorcycle Fashion pertama di Malaysia

Posted:

Butik IXS Motorcycle Fashion pertama di Malaysia

Butik IXS Motorcycle Fashion pertama di Malaysia

Oleh SHAWKATH AZDE


ORANG ramai termasuk peserta konvoi tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan pada hari pembukaan.


K&J Bikers Fashion Sdn. Bhd. (K&J Bikers) yang bertindak selaku pengedar tunggal pakaian dan aksesori motosikal jenama IXS Motorcycle Fashion di negara ini membuka butik pertamanya di Menara Kelana Park View, Kelana Jaya di Selangor baru-baru ini.

IXS Motorcycle Fashion merupakan produk dari Switzerland yang merangkumi keperluan golongan penunggang motosikal termasuk sukan bermotor ekstrem. Jenama itu kini diedarkan menerusi 50 buah cawangan di seluruh dunia.


PAKAIAN perlumbaan penuh untuk kegunaan di litar.


Pengarah K&J Bikers, Azhari Bahari memberitahu, butik seluas 153.29 meter persegi itu menawarkan rangkaian pakaian dan aksesori untuk penunggang motosikal lelaki dan wanita.

Antara produk yang ditawarkan ialah pelbagai jenis kasut, seluar, jaket, topi keledar, pakaian perlumbaan penuh, pelindung lutut dan belakang, sarung tangan, gogal serta beg.

"Objektif utama kami menjalankan perniagaan ini adalah untuk memperkenalkan jenama IXS Motorcycle Fashion di Malaysia. Selain menawarkan barangan berkualiti untuk keselamatan para penunggang," katanya ketika ditemui Kosmo!

Majlis perasmian butik tersebut disempurnakan oleh bekas Pengarah Eksekutif Kejuruteraan dan Pengeluaran Proton, Datuk Kisai Rahmat. Hadir sama ialah rakan kongsi Azhari yang juga Pengarah K&J Bikers, Khalid Mohd. Daud.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 200 pemilik motosikal berkuasa tinggi dari pelbagai kelab motosikal dalam negara.

Tiga cawangan lagi


ANTARA produk pelindung badan dan kaki yang ditawarkan.


Jelas Azhari lagi, perbincangan berhubung pembukaan premis tersebut berlangsung sejak awal tahun ini dan mendapat persetujuan pada bulan Mei lalu.

"Pelaburan awal bagi memulakan ini mencecah RM380,000. Kami berhasrat membuka tiga cawangan lagi iaitu di Pahang, Pulau Pinang dan Johor.

"Kami menjangkakan cawangan pertama di Kuantan dapat direalisasikan selewat-lewatnya Februari tahun depan," katanya yang mengesahkan bahawa perbincangan mengenai cawangan itu sedang giat dijalankan.

Mengulas lanjut mengenai tawaran produk, beliau memberitahu pihaknya bakal memperkenalkan pakaian dan aksesori IXS Motorcycle Fashion untuk sukan berbasikal ekstrem tidak lama lagi bagi mempelbagaikan portfolio perniagaannya.

K&J Bikers dibuka setiap hari bermula seawal 10 pagi sehingga 10 malam. Harga produk yang ditawarkan bermula dari serendah RM350 hingga RM6,000.

Maklumat lanjut mengenai K&J Bikers, anda boleh melayari laman web www.ixsmalaysia.com.my atau menghubungi talian 03-78802511.

Pengganti Volvo S80 2.5T

Posted:

Pengganti Volvo S80 2.5T

Pengganti Volvo S80 2.5T



VOLVO Car Malaysia (Volvo Car) baru-baru ini memperkenalkan dua varian baharu iaitu Volvo S80 T5 Powershift dan T5 Exclusive Powershift yang menggantikan ketiadaan model S80 2.5T. Pengenalan dua varian ikonik Sweden itu bertujuan mengekalkan kedudukannya dalam tangga teratas dalam segmen tersendiri.

Menurut kenyataan Volvo Car, kedua-dua model tersebut menerima penambahbaikan pada aspek prestasinya.

Jentera S80 T5 Powershift dan T5 Exclusive Powershift berupaya menjana kuasa 240hp pada 5,500rpm dan tork sebanyak 320Nm pada 1,800 sehingga 5,000rpm. Berhubung penggunaan minyak, ia hanya memerlukan 8.3 liter untuk setiap 100 kilometer (km).

Kereta sedan empat silinder yang bersesaran 1,999cc itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan Powershift bersama ciri Geartronic. Hasilnya, ia berupaya memecut dari 0 km hingga 100km dalam tempoh 7.7 saat sahaja. Kelajuan maksimum pula mencecah 230km sejam (km/j).

Presiden Volvo Car, Goran Larsson berkata, S80 merupakan sedan premium Volvo paling mewah dalam pasaran ketika ini. Pihaknya optimis S80 mampu memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan sebuah jentera berkuasa tinggi, menjimatkan minyak dan berpenampilan mewah.

"Jika anda mahukan kenikmatan tanpa berlebih-lebih, prestasi yang sebenar dan keselamatan tanpa was-was, maka T5 ialah sedan yang tepat untuk anda," katanya.

Berhubung varian T5 Exclusive pula, ia dilengkapi dengan beberapa teknologi baharu Volvo. Antaranya Sistem Pengesan Pejalan Kaki (Pedestrian Detection) yang berupaya mengesan pejalan kaki di jalan raya.

Ia akan memberi amaran kepada pemandu dan akan membrek secara sendiri jika pemandu gagal membrek apabila menghampiri pejalan kaki. Ciri itu mampu memberhentikan kenderaan sekiranya kelajuan berada di bawah 35km/j.

Varian eksklusif itu juga sarat dengan pelbagai teknologi terkini Volvo yang lain seperti Amaran Perlanggaran dengan Brek Penuh Automatik (CWAB), Adaptive Cruise Control (ACC), Driver Alert Control (DAC) dan Lane Departure Warning (LDW).

Aspek luarannya turut diberi sentuhan. Ia meliputi emblem yang lebih besar pada gril serta kemasan krom di bahagian depan, belakang dan bahagian bawah pintu. Untuk ruang dalaman, ia membabitkan penggunaan material kulit dengan jahitan warna senada. Bahagian tengah panel pintu dihias dengan bingkai besi bagi menyerlahkan sifat ekslusifnya.

Model T5 memiliki butang-butang aluminium dan stereng empat jejari yang baharu. Stereng varian standard dibaluti kulit, manakala untuk T5 Exclusive, sterengnya dipasang dengan kemasan kayu.

Volvo S80 T5 ditawarkan pada harga RM268,000 seunit. Sementara T5 Exclusive boleh anda miliki pada harga RM295,000 sebuah (di atas jalan tanpa insurans).

Maklumat lanjut, sila layari laman web www.volvocars.com.my.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved