Jumaat, 16 September 2011

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Didik banduan bak seorang guru

Posted:

Didik banduan bak seorang guru

Didik banduan bak seorang guru

Oleh ALIF ABU BAKAR

CERITA di sebalik tirai besi sering sahaja memaparkan susur perjalanan penghuninya yang terpaksa meringkuk dalam penjara akibat kesalahan yang dilakukan.

Jarang sekali kita berbicara perihal individu di sebalik tabir kehidupan penjara itu yang terdiri daripada pegawai-pegawai serta kakitangan yang tidak sesekali mengeluh akan tugas mereka menjaga banduan-banduan.

Lebih mengujakan jika pegawai tersebut merupakan golongan wanita yang sememangnya terkenal dengan karakter serta sikap lemah-lembut dalam diri mereka. Bayangkan bagaimana mereka berdepan situasi sulit sepanjang bertugas di penjara.

Bagi Normala Pawan Chik, 54, pengalaman selama 28 tahun sebagai pegawai penjara sememangnya telah mematangkan dirinya dengan selok-belok kehidupan penjara, malah baginya penjara bukanlah tempat yang menakutkan.


WARDEN penjara perlu menggunakan pendekatan yang berhemah dalam mendekati penghuni penjara.


"Banduan-banduan di penjara ini dijaga dengan baik, segala keperluan dan kebajikan mereka kita sediakan secukupnya. Jadi sebenarnya kehidupan mereka tidak banyak beza dengan kehidupan di luar.

"Perbezaannya, mereka dikelilingi tembok tinggi dan pergerakan mereka dikawal, tetapi rata-rata banduan di sini hidup selesa dan tidak banyak menimbulkan masalah," jelasnya yang bertugas di Penjara Wanita Kajang, Selangor.

Tidak lokek berkongsi cerita, Normala memberitahu, menjaga banduan memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan kerana pendekatan terhadap setiap banduan itu adalah berbeza-beza.

Jika dahulu, banduan yang berkelakuan agresif akan ditenteramkan menggunakan kekerasan tetapi, kini mereka mempraktikkan pendekatan lebih berhemah dengan mendekati banduan tersebut secara baik.

Pernah sekali, ujar Normala, dia hampir diserang dengan batu oleh seorang banduan namun, mujur beberapa banduan lain ternampak perlakuan banduan tersebut dan memberi isyarat kepada Normala.

"Itu merupakan antara cabaran yang perlu ditempuhi, kadang-kadang ada banduan yang tidak suka ditegur dan memilih untuk bertindak kasar. Jadi kita perlu bijak mendekati banduan seperti ini.

"Pergaduhan kecil sesama mereka memang ada tetapi, ia tidak melibatkan fizikal, namun jika situasi itu bertambah tegang, kita akan meleraikan mereka dengan bertindak tegas," kata Normala yang memikul jawatan sarjan mejar penjara KX22.

Belas kasihan


ILMU agama turut dipupuk dalam diri penghuni penjara.


Setegas mana pun seorang pegawai penjara wanita, pasti terselit naluri belas kasihan dalam diri mereka. Meskipun tugas mereka menuntut diri untuk sentiasa berani dan bersedia dengan cabaran, ada waktunya hati mereka akan tersentuh dengan kisah-kisah banduan itu.

Normala sendiri mengakui, adakalanya dia kasihan dengan wanita-wanita yang terpaksa menerima hukuman penjara walaupun pada dasarnya, mereka tidak bersalah.

Memori paling diingati ialah seorang banduan yang dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan akibat ditangkap khalwat di sebuah hotel murah di Kuala Lumpur.

Menurut Normala, perempuan tersebut mendakwa dia sebenarnya dalam perjalanan ke sebuah klinik dan singgah di lobi hotel berkenaan untuk ke tandas. Namun, dia tidak menyangka ketika itu terdapat serbuan jabatan agama ke atas hotel berkenaan menyebabkan dirinya turut ditangkap.

Wanita itu mendakwa, perbicaraan tidak berpihak kepadanya kerana ketika itu lobi hotel murah tersebut memang terdapat beberapa pasangan yang berkhalwat sekali gus menyabitkan dirinya juga.

"Walaupun tempoh penjaranya hanya tiga bulan, ia tetap meninggalkan kesan seumur hidup terhadapnya. Sekali anda masuk ke penjara, rekod diri anda tidak lagi bersih seperti asal.

"Tetapi sebagai pegawai penjara, tiada apa yang dapat kami lakukan selain memberi mereka semangat serta nasihat untuk meneruskan hidup," luah Normala yang berasal dari Pulau Pinang.

Penolong Penguasa Penjara Wanita Kajang, Salmah Hashim, 30, menyifatkan pegawai penjara ibarat guru di sekolah yang ditugaskan mendidik serta membentuk banduan-banduan menjadi insan yang lebih baik.

Cabaran buat mereka lebih hebat apabila penjara itu kini didominasi warga asing mewujudkan kekangan bahasa dalam kalangan mereka.

Disebabkan tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu mahu pun Inggeris, banduan-banduan yang terdiri daripada warga Iran, Afrika, dan lain-lain itu menyukarkan komunikasi dan memaksa bahasa isyarat untuk digunakan.


BANDUAN diajar dengan pelbagai ilmu kemahiran sebagai bekalan saat keluar dari penjara.


"Itu antara dugaan yang kita hadapi, tapi suka atau tidak kena hadapi juga dan lama-kelamaan ia akan menjadi mudah.

"Bukan itu sahaja, banduan-banduan hari ini tidak sama macam dulu, sekarang mereka yang menjalani hukuman penjara mempunyai latar belakang pendidikan.

"Ada di antara mereka sememangnya cerdik dan hal itu membuatkan kita sebagai pegawai perlu berfikir dan bertindak lebih bijak daripada mereka agar mereka mudah menghormati kita," tutur Salmah yang telah enam tahun berkhidmat di penjara itu.

Menguruskan banduan-banduan akhir (banduan yang dijatuhkan hukuman gantung) merupakan antara tugasan getir buat Salmah kerana kelakuan banduan itu di penjara turut menjadi penentu nasibnya sama ada bebas hukuman gantung ataupun tidak.

Kes Mona Fandey


KIRI: Warden penjara perlu memastikan keamanan dan keselesaan di penjara.


Namun ujar Salmah, kali terakhir banduan wanita menjalani hukuman gantung adalah pada tahun 2001 melibatkan kes berprofil tinggi, Mona Fandey. Selepas itu kesemua banduan wanita yang dijatuhi hukuman gantung mendapat kebebasan daripada hukuman itu.

Berbalik kepada Normala, Mona Fandey merupakan antara banduan yang pernah menjadi tanggungjawabnya dan beberapa pegawai penjara wanita yang lain ketika itu.

Kecoh pada detik itu mengatakan bahawa Mona Fandey diletakkan dalam sel khas buat dirinya sahaja kerana didakwa mengamalkan ilmu hitam di penjara itu.

"Dia sama sahaja seperti banduan lain, tiada keistimewaan diberikan. Dia diletakkan dalam sel banduan akhir di mana setiap sel hanya seorang sahaja akan menjadi penghuni sel tersebut.

"Cuma ketika itu, aktiviti riadah baginya yang dijalankan setiap petang tidak akan dijalankan bersama banduan lain berikutan statusnya sebagai banduan akhir.

"Pada saya, sejauh mana pun kebenaran ilmu yang diperkatakan orang tentang Mona, dia tidak pernah sekali pun terlepas dari penjara seperti dakwaan beberapa pihak dahulu," singkap Normala tanpa selindung.

Menyentuh perihal banduan berbadan dua dan terpaksa mendiami penjara bersama anak yang baru dilahirkan mungkin kedengaran tragis namun, sebenarnya mereka dijaga bagai menatang minyak yang penuh.

Seorang lagi pegawai penjara, Rohanizan Yusop, 28, memberitahu anak kepada banduan tersebut dibenarkan untuk tinggal bersama ibunya di dalam penjara sehingga usianya mencecah tiga tahun.

Tambah Rohanizan, selepas tempoh tersebut, anak kepada banduan itu akan diberi kepada waris banduan dan sekiranya tiada yang tampil menuntut, mereka akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Hampir kesemua anak-anak banduan yang tinggal di sini tidak banyak kerenah, mereka mudah mendengar kata dan kita juga seronok bergurau dengan mereka.

"Memang tidak dinafikan, momen perpisahan itu sedikit merentap emosi tetapi, mahu atau tidak ia terpaksa dilaksanakan atas faktor tanggungjawab," kata Rohanizan.

5,000 'askar' kuning gegar stadium UKM

Posted:

5,000 'askar' kuning gegar stadium UKM

5,000 'askar' kuning gegar stadium UKM

Oleh NURUL IZZA ROSLY


WAKIL dari Kedutaan Filipina tidak ketinggalan turut serta dalam program Relay For Life 2011.


STADIUM Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini dibanjiri orang awam yang memakai kemeja-T berwarna kuning. Tidak kira bangsa dan peringkat umur, mereka berjalan mengelilingi padang memegang sepanduk sambil bersorak.

Sorakan ribuan 'askar' berbaju kuning tersebut bukan dalam kalangan orang awam yang menyertai perhimpunan yang mencetuskan kontroversi tetapi mereka merupakan penyokong kuat pesakit-pesakit kanser yang menyertai program larian Relay For Life 2011 anjuran Majlis Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Relay For Life menuntut para peserta membuat larian selama 16 jam tanpa henti yang bermula pukul 6 petang 16 Julai dan berakhir pukul 10 pagi keesokan harinya. Larian tersebut disertai lebih 5,000 peserta dari dalam dan luar negara.


UJIAN kesihatan disediakan untuk kemudahan orang ramai memeriksa tahap kesihatan masing-masing.


Ramai yang teruja melihat kumpulan survivor kanser yang memakai kemeja-T berwarna ungu yang mendahului larian. Walaupun menghidap barah, mereka sangat bersemangat berjalan kaki mengelilingi trek dengan pantas sambil bersorak.

Sorakan yang bergema di stadium ketika itu jelas menjadi perlambangan bahawa kanser tidak dapat menghalang mereka daripada menikmati kehidupan.

Larian tersebut kemudiannya diikuti oleh penyokong pesakit kanser, penjaga dan para peserta lain bagi memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pesakit kanser.

"Mereka yang hadir hari ini terdiri daripada pesakit kanser, sukarelawan, orang awam, wakil pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat, institut pengajian tinggi awam dan swasta, sekolah-sekolah dan wakil kedutaan asing.


KEDAI cenderamata turut menjadi tumpuan orang ramai di tengah-tengah padang stadium.


"Larian ini dilakukan selama 16 jam tanpa henti sebagai simbolik bahawa kanser yang 'menghuni' tubuh pesakit-pesakit kanser tidak pernah tidur," kata Penasihat Kehormat NCSM, Datuk Zuraidah Atan.

Katanya lagi, larian Relay For Life kali ketujuh itu telah dilakukan di 22 buah negara.

Selain larian tanpa henti, terdapat banyak lagi aktiviti menarik diadakan. Antaranya adalah persembahan taekwando, nyanyian, pameran kesihatan dan jualan cenderahati untuk tujuan amal yang dilakukan oleh survivor kanser itu sendiri.

"Dalam pada itu, pengunjung boleh membuat ucapan dengan menghias beg kertas untuk memberi semangat kepada pesakit kanser yang berjuang memerangi kanser mahupun mengenang pesakit kanser yang sudah meninggal dunia.


SEKUMPULAN peserta larian sepakat memakai baju ala retro bagi memeriahkan suasana.


"Beg yang sudah dihias akan disusun di sepanjang trek kemudian lilin di dalamnya dinyalakan. Satu stadium akan bergelap sambil hadirin senyap tanda bertafakur bagi menghormati mereka yang sudah tiada kira-kira 10 hingga 15 minit," ujarnya.

Antara bait-bait kata yang tertulis di beg-beg kertas tersebut ialah stay positive, live longer and prosper, cancer can cure, nobody can help unless you help yourself, let's beat cancer together dan sebagainya.

Lebih 100 khemah sedia untuk disewa dengan kadar RM50 bagi sebuah khemah buat mereka yang mahu bermalam di stadium.

Pameran

Dalam pada itu, pameran turut diadakan memaparkan jenis kanser yang paling umum menyerang rakyat Malaysia iaitu kanser payudara, kanser serviks, kanser kolon, kanser paru-paru, kanser testis dan kanser prostat.


BAWAH: Para peserta berehat sebentar di khemah yang mereka sewa sebelum memulakan semula larian.


Lebih menarik, ada kios yang memaparkan pelbagai baju dalam yang dihias cantik dengan labuci, manik dan reben oleh suami pesakit-pesakit kanser.

Terdahulu sebelum majlis perasmian, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut hadir sebagai tanda sokongan selain Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Paul W. Jones dan wakil dari Kedutaan Filipina serta Britian.

"Program ini sangat meriah dan saya begitu teruja melihat pesakit-pesakit kanser begitu bersemangat melaksanakan larian.

"Selain memberikan sokongan kepada pesakit-pesakit kanser, saya berpeluang mengenali penyokong-penyokong dan sukarelawan di sini," kata seorang kakitangan swasta, Merlia Mohamad, 27, yang datang bersama rakannya.

Bagi kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM), Zulhilmi Zaizan, 24, dia bersama rombongan UUM datang dari Sintok, Kedah datang dari jauh semata-mata untuk menyertai acara yang penuh makna tersebut.

"Ini pertama kali saya menyertai Relay For Life. Melihatkan kemeriahan dan wajah ceria pesakit-pesakit kanser, saya mungkin akan menyertainya pada tahun depan.

"Hanya sokongan seperti ini yang mampu saya lakukan kerana tidak dapat bantu dari segi wang ringgit. Saya akan melakukan larian hingga ke titisan peluh yang terakhir," katanya.

Pada majlis tersebut juga, NCSM menerima sumbangan daripada beberapa syarikat iaitu Sime Darby Foundation, Oriental Metal Industries (M) Sdn. Bhd., Brother International (M) Sdn. Bhd., Dow Chemical (M) Sdn. Bhd. dan La Senza.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved