Isnin, 20 Jun 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Sejarah Klang dalam bingkai

Posted:

Sejarah Klang dalam bingkai

Sejarah Klang dalam bingkai

Oleh NIZHA PERIASWAMY



JAMBATAN Kota, di Klang, Selangor digunakan setiap hari oleh warga Lembah Klang sebagai salah satu laluan penghubung penting di bandar di raja itu.

Jambatan Kota menghubungkan Klang Utara dan Klang Selatan merupakan jambatan dua tingkat dengan kedua-dua tingkatnya digunakan oleh ribuan pengguna jalan raya.

Hanya sejak beberapa tahun lalu, tingkat bawah tidak lagi digunakan untuk kenderaan sebaliknya sebagai laluan pejalan kaki.

Hakikatnya, dengan status jambatan dua tingkat yang pertama di negara ini apabila dibina sebelum kemerdekaan iaitu pada Jun 1957, Jambatan Kota menyimpan bukan sedikit sejarah.

"Saya kagum dan berbangga dengan sejarah Klang. Ia bukan sahaja boleh bermegah sebagai Bandar Diraja malah, kerana Jambatan Kota ini sendiri. Ia adalah penghubung pembangunan Klang Utara dan Selatan," kata Kam Chuan Eng, 25. Dia ditemui di Karnival Fotografi Warisan Selangor yang diadakan pada 4 Jun lalu di Jambatan Kota itu sendiri. Karnival itu dianjurkan oleh Tourism Selangor.

"Saya mendapat tahu tentang karnival ini daripada saudara-mara yang terlibat dalam fotografi. Oleh kerana saya amat meminati bidang fotografi, saya berpendapat karnival ini akan menjadi lokasi yang sesuai untuk mendapatkan maklumat dan pengetahuan tantang gambar foto dan gajet fotografi," ujar Chan Eng yang berasal dari Teluk Pulai.

Chan Eng adalah antara ribuan pengunjung yang melawat Karnival Fotografi Warisan Selangor yang bermula pada pagi hingga lewat petang di Jambatan Kota baru-baru ini.

Seorang lagi pengunjung yang juga pekerja am di Majlis Perbandaran Klang lengkap berpakaian seragam, baju kemeja-T dan seluar hitam, R. Kalaivani tidak mahu melepaskan peluang mewarna gambar sejarah negeri Selangor.


PENGUNJUNG melihat pelbagai warna-warni Kota Klang dan negeri Selangor melalui foto yang dipamerkan.


"Saya ajak rakan-rakan, mereka malu. Saya mahu menyertai karnival ini dan mewarna lukisan. Sekurang-kurangnya saya akan berbangga kerana dapat membuat sesuatu pada karnival ini," kata wanita berusia 30 tahun itu. Dia ditemani dua lagi rakan wanita, selepas tamat tugas.

Bagaikan pesta

Melewati Jambatan Kota tingkat bawah yang kini semakin kurang digunakan memandangkan generasi sekarang lebih memilih menggunakan kenderaan di jambatan atas, ia seolah-olah sedang berpesta.

Pelbagai gambar foto yang menggambarkan keunikan dan keistimewaan Selangor termasuk Kuala Lumpur menghiasi sebelah sisi jambatan. Keseluruhan gambar foto yang dipamerkan itu sama ada digolong di bawah motif pelancongan, kebudayaan, makanan, alam semula jadi, pemandangan mahupun kemanusiaan.

Sama ada dirakam oleh jurugambar amatur mahu pun profesional, kesemua gambar yang dipamer, jelas sekali menjamu pemandangan pengunjung tatkala berlatar belakang sungai dan Masjid Klang.

Di sisi lain pula, beberapa gerai seperti gerai gambar foto, gerai pendaftaran pertandingan foto, gerai penari, gerai kraftangan, gerai sekolah dan badan bukan kerajaan serta beberapa gerai menjual makanan memenuhi ruang itu.


FOTO-FOTO mengenai sejarah dan lokasi-lokasi menarik di Selangor dipamerkan di Jambatan Kota.


"Kami membuka gerai di bawah kumpulan penari yang dikenali Lapar Lab. Di Lapar Lab, kami akan mempersembahkan tarian pada karnival hari ini sebagai sebahagian daripada aktiviti," kata Lim Hooi Meng, 23, dari Kuala Lumpur.

Jelasnya lagi, karnival pada hari tersebut amat menyeronokkan terutama sekali apabila ia membabitkan informasi dan aktiviti berkaitan pelancongan dan warisan.

"Ia juga platform bagi artis seperti kami menunjukkan kemahiran tarian," katanya.

Tiga sekawan, Ridhwan Zilkhifli, 25, Anuar Othman, 25 dan Azhar Asmat, 22 teruja dengan karnival tersebut. Tinggal di Batu Belah, Klang, mereka berkata wajar didedahkan dengan karnival seumpama ini kerana mereka selaku generasi muda amat menggemarinya.


ATAS: Kalaivani (kanan) bersama seorang rakannya melukis mural tentang warisan sejarah Bandar Klang.


"Kami semua meminati fotografi dan mendapat tahu mengenai karnival ini menerusi rangkaian sosial facebook."

"Saya datang untuk menyertai pertandingan fotografi dan kawan-kawan datang bersama untuk memberi sokongan," ujar Azhar pula.

Pada majlis pelancaran, Pengurus Besar Tourism Malaysia, Noorul Ashikin Mohd. Din menggambarkan bandar Klang sebagai satu bandar yang mempunyai banyak keistimewaan yang belum diterokai.

Berikutan itu, beliau mengalu-alukan pihak kementerian dan pihak pelancongan untuk terus menganjurkan pelbagai karnival seperti itu.

"Klang umpama berlian yang belum digilap. Saya percaya jika digilap, ia mampu menarik perhatian di sektor pelancongan," katanya.

Antara beberapa tarikan pelancong di Klang termasuklah Little India, hidangan makanan Cina Bak Ku Teh dan masjid India Muslim Klang.

Sejarah turut dicatatkan pada hari tersebut apabila, pihak karnival membuat pameran kolaj terpanjang di atas jambatan sejauh satu kilometer itu. Ia direkodkan dalam Malaysian Book of Records.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ekspo koko tarik minat pengguna

Posted:

Ekspo koko tarik minat pengguna

Ekspo koko tarik minat pengguna


PARA chef jemputan turut hadir berkongsi ilmu kulinari mereka dengan pengunjung pameran.


PAMERAN Koko, Kopi dan Konsumer Antarabangsa di Pusat Pameran Mid Vallley, Kuala Lumpur bukan sekadar memberi peluang kepada orang ramai membeli-belah barangan berasaskan bahan mentah itu.

Pameran yang berlangsung dari 20 hingga 22 Mei lalu turut memperkenal dan mendidik pengguna tentang kepelbagaian produk koko dan kopi tempatan,

Sebanyak 70 buah gerai disediakan dengan kebanyakannya menjual barangan makanan berasaskan kopi dan koko. Sebahagian yang lain pula menjual barangan dan perkhidmatan pengguna dengan pelbagai harga promosi.

Bagi penggemar produk koko, khususnya kek, syarikat Awina Trisyia Muffin sedia menawarkan pelbagai jenis kek kukus, kek lembut, mufin dan kek cawan pelbagai corak untuk pengunjung.

Dijual pada harga promosi, pemiliknya, Razak Osman berkata, pameran itu adalah sebagai salah satu platform terbaik untuk mempromosi produk tempatan.

"Kami membawa kira-kira 300 kek cawan, 540 kek mufin dan 100 kek setengah kilogram untuk dijual setiap hari dan berharap jualan pada hujung minggu akan mendapat respons yang baik," katanya.

Dalam pada itu, pemilik Azliza Delicacies, Azliza Arifin, 35 pula yakin pengunjung tertarik dengan kepelbagaian produk yang dijual dalam pameran itu, khususnya kek label beliau sendiri.

Pameran yang menggunakan seluruh Dewan 2 dan 3 itu juga turut diwarnai penyertaan pemamer produk bukan makanan misalnya, produk senaman, spa, pemeriksaan mata, produk kecantikan dan perunding imej.

Kali pertama


PETUGAS Jothy Impex Sd. Bhd. sedang sibuk menyusun produk jualan syarikatnya.


"Saya baru kali pertama ke Malaysia dan baru mendapat tahu tentang pameran ini semasa mengunjungi pusat beli-belah Mid Valley. Sebagai penggemar coklat dan kopi, saya tidak mahu melepaskan peluang ini," demikian kata seorang pelancong dari Rusia, Yulia Shestakva, 25.

Mengakui pengunjung agak suram pada hari pertama, Eksekutif Pemasaran dan Operasi Laras Marketting and Services, Wan Mohd. Zaharudin, 34, mengakui, hari kedua pameran lebih baik.

"Mungkin kerana orang ramai cuti hari ini, maka kita boleh lihat lebih ramai pengunjung."

Sambil memperkenalkan produk jualan syarikat iaitu Mocha Latte Kacang Hazel, Kopi Tongkat Ali Ginseng, Chai Latte Special Blend dan Chai Latte dengan pelaga, Zaharudin berharap lebih ramai orang mendekati produk tersebut.

"Kami mahu orang ramai kenal dan sokong produk ini. Dijual pada harga istimewa iaitu sekitar RM10 hingga RM18, pelanggan dapat menikmati kopi yang benar-benar enak," tambahnya.

Raj Tharmalingam, 30, dari Jothi Impex yakin, pameran itu menjadi peluang terbaik bagi syarikatnya memperkenalkan produk yang selama ini tertumpu kepada pasaran pengguna kaum India.

Barangan seperti Bru Coffee, minyak rambut Nihar, pewarna rambut Gold Henna, produk sabun Pears, serbuk teh Taj Mahal dan 3 Rose antara yang dipamerkan di gerai mereka.

"Kami mahu memperkenalkan produk kami kepada pasaran Melayu dan Cina. Setakat ini, ramai yang tertarik dengan produk pelaris syarikat, kopi Bru," jelas Raj.

Terus dari ketuhar


WAN MOHD. ZAHARUDDIN mempromosikan produk Laras Coffee di gerainya.


Pameran pada hari tersebut bukan sahaja terhad kepada jualan produk siap dibungkus. Sebuah gerai milik, Crunchy Biscuits and Hampers menawarkan biskut yang dijual terus dari ketuhar!

Pemiliknya, Zafida Ismail, 37, membawa sebuah ketuhar bersama-sama dan membakar biskut dan membungkus sebelum menjualnya kepada pelanggan.

"Kami menyediakan biskut beras oat, koko dip, Crunch Cereal dan lain-lain. Semuanya dengan harga RM12 sekotak dan RM20 bagi dua kotak serta tiga paket untuk RM10," jelasnya.

Di sebuah sudut lain, berdekatan dengan gerai Zafidah, seorang wanita, di bawah gerai berlabel Karaz Synergy menjual barangan serbuk kopi premium dan menawarkan perkhidmatan urut tungku ala Bugis.

"Kedua-dua gerai ini milik saya. Selain menjual kopi untuk kesihatan, saya juga menawarkan khidmat terapi urut herba bagi kepala dan kaki pada harga RM20 dan RM30 masing-masing," katanya yang menerima kira-kira 30 pelanggan setiap hari.

Mendekatkan pengguna


PENGGEMAR produk berasaskan kopi dan koko tidak melepaskan peluang mengunjungi Pusat pameran Mid Valley baru-baru ini.


Pengunjung, Hairi Mohd. Diah, 35, bersama ibu, adik dan anak saudaranya berkata, pameran ini sebagai satu usaha mendekatkan pengguna dengan produk koko, kopi dan barangan pengguna yang lain.

"Saya membeli beberapa produk makanan dan berasa seronok dapat meluangkan masa di sini bersama ahli keluarga," katanya.

Dalam ekspo berkenaan, orang ramai turut berpeluang membeli pelbagai jenis coklat tempatan dan import pada harga istimewa.

Pemilik D'Champs, Nurainee Muhamad, 48, berkata gerainya itu mempunyai fountain coklat untuk pisang, strawberi dan marshmellow yang dijual RM2 bagi sebatang.

"Dalam pada itu, kami menjual coklat-coklat buatan sendiri dan coklat import. Coklat buatan sendiri syarikat kami ini dijual secara kotak iaitu RM28 bagi 16 biji dan RM1.40 bagi secara berasingan."

Pihak penganjur ekspo turut menyediakan segmen memasak bersama Chef Fredic Orger dari Akademi Pastri Malaysia, sesi masak kambing boer dan nasi arab oleh Chef Zamri dari Kolej Silverspoon, demontrasi daripada Akademi Kulinari Confucian, persembahan coklat oleh Seni Pastri Malaysia dan sebagianya.

Banyak lagi aktiviti dianjurkan khas kepada pengunjung sebagai mendekatkan mereka dengan produk makanan dan kepenggunaan. - NIZHA PERIASWAMY

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Hentian alatan pengembara

Posted:

Hentian alatan pengembara

Hentian alatan pengembara

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


KIOS RRE Outdoor di Alamanda menjual pelbagai alatan dan material untuk aktiviti lasak seperti yang diperlukan oleh seseorang pengembara.


SAAT melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung atau berkhemah, seboleh-bolehnya keperluan yang hendak dibawa diminimumkan. Ini bagi mengelakkan, beban yang terlalu berat menggagalkan misi menawan gunung atau menyukarkan pergerakan. Namun, kadangkala hasrat itu tidak dapat dipenuhi. Ini kerana perasaan was-was kemungkinan barangan itu sangat penting untuk digunakan. Namun, zaman yang silih berganti menyaksikan banyak peralatan kembara telah mengalami revolusi. Pun begitu, tidak banyak pusat alatan kembara seperti itu terdapat di negara ini. Bagaimanapun, daya kreatif dan hasil inisiatif Muhammad Rizal Shaari, 35, Muhamad Rahemi Shaari, 31, dan Elta Puspa Shaari, 35, yang mengerti kehendak jiwa seorang pengembara, maka tertubuhlah RRE Unggul Enterprise.

Menurut Muhammad Rahemi, syarikat ini antara lain menjalankan perniagaan menjual dan membekalkan produk-produk kembara pelbagai jenama antarabangsa termasuk jenama atas nama RRE Outdoor. "Kami tampilkan pilihan-pilihan produk terbaik seperti, peralatan berkhemah, tilam, seleksi makanan, pakaian, alatan keselamatan serta pelbagai aksesori lagi. "Semuanya bersesuaian dengan persekitaran alam semula jadi negara ini dan yang paling penting, peralatan itu bukan saja untuk penggiat sedia ada tetapi juga kepada penggemar-penggemar yang baru hendak berjinak-jinak dengan aktiviti lasak," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Pendekatan perniagaan yang diketengahkan oleh tiga anak muda yang turut meminati aktiviti kembara itu ternyata sangat unik. Mereka tidak memilih lot perniagaan sebaliknya menjadikan kios sebagai pusat jualan mereka.


ZAMAN yang silih berganti menyaksikan banyak peralatan kembara telah mengalami revolusi.


Selain di kompleks beli-belah Alamanda, kios RRE Outdoor juga terdapat di SACC Mall, Shah Alam dan The Mines, Seri Kembangan. Kata Muhammad Rahemi, kiosnya menjual variasi gajet dan produk dengan jenama yang sinonim aktiviti lasak. Misalnya, bagi yang mencari teropong, mereka membawa jenama terkenal Bushnell. Begitu juga Leatherman yang tersohor dalam membekalkan alatan memotong seperti pisau yang berinovasi tinggi. Tidak ketinggalan juga beg berjenama Deuter dan Karrimor. Mencari jenis kompas, khemah atau tongkat yang pelbagai saiz dan bentuk, RRE Outdoor akan mencadangkan label Coleman yang sememangnya berkualiti dan tahan lasak.

Muhammad Rahemi berkata, antara produk yang menjadi rebutan dan laris dalam kalangan pelanggannya ialah dapur gas jenis terbaharu atau lebih dikenali sebagai Portable Card Type Stove. "Dapur gas jenis ini (jenama Kovea) memang susah hendak dicari, beratnya tidak sampai satu kilogram (kg) pun dan itu sebab ia menjadi buruan dalam kalangan mereka yang masuk hutan," katanya yang biasanya akan mencuba dan menguji ketahanan sesuatu produk terlebih dulu sebelum menjualnya di pasaran.

Menariknya di RRE Outdoor lagi, mereka turut menawarkan khidmat nasihat dan menganjurkan demonstrasi sesuatu barangan sebelum digunakan. Dalam pada itu, selain mengadakan jualan di kios-kios terbuka, syarikat itu juga bersedia menerima tempahan secara pukal dan membekalkannya secara terus kepada organisasi, persatuan atau badan-badan korporat yang ber minat dengan harga yang berpatutan. Untuk keterangan lanjut, para pengembara boleh melayari laman web www.kedaicamping.com.my.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved