Isnin, 6 Jun 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Satu pasukan semuanya Melayu

Posted:

Satu pasukan semuanya Melayu

Satu pasukan semuanya Melayu

Oleh NIZHA PERIASWAMY


PASUKAN tarian singa 1Malaysia bergambar selepas acara selesai.


HANYA kerana pasangannya tidak dapat bermain tarian singa, seluruh pasukan dalam dilema. Dilema kerana mungkin pasukan mereka yang mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota (SMKTM), Muar, Johor tidak boleh menyertai Kejohanan Tarian Singa Kebangsaan Kategori Junior (bawah 18 tahun). Kejohanan yang disertai oleh 21 pasukan daripada 17 buah sekolah di seluruh Malaysia itu adalah platform yang paling dinanti-nantikan oleh pasukan SMKTM untuk membuktikan kemampuan mereka.

Keistimewaan pasukan itu ialah tiada seorang pun kaum Cina, sebaliknya semua anggota pasukan yang menyertai kejohanan itu terdiri daripada kaum Melayu.

"Jurulatih kami, Tang Puay Sen memberitahu, tanpa pasangan penari singa, mustahil untuk kami sertai kejohanan yang bakal berlangsung dalam masa dua minggu sahaja," kata pemain ekor singa, Syahdatul Azmi Bustaman, 18.

Bagaimanapun, pasukan itu akhirnya berjaya mendapatkan pengganti kepada pemain kepala singa utama yang menarik diri akibat kemalangan. Apa yang pasti, penggantinya Fairuz Amirul Yusof, 16, terpaksa berhempas pulas pada sesi latihan yang berbaki hanya dua minggu bagi memastikan satu-satunya pasukan yang disertai oleh pelajar Melayu itu dapat menyertai kejohanan tersebut.

"Sebenarnya tidak sukar untuk mengajar mereka yang bukan kaum Cina mempelajari tarian singa. Hanya semangat, minat dan keterujaan aspek yang paling penting untuk mereka menguasai tarian ini," kata Puay Sen, jurulatih dari Kelab Tarian Singa Kun Seng Seng iaitu sebuah kelab tarian singa yang terkenal di Malaysia.

Katanya, beliau meletakkan harapan yang tinggi pada kumpulan itu walaupun bukan kaum Cina kerana mereka menunjukkan gaya persembahan dan semangat yang tinggi dalam tarian tersebut.

"Jika mereka berlatih bersungguh-sungguh dan memahami jalan cerita yang mahu disampaikan, tiada yang mustahil," tambahnya yang mengakui sering menggunakan bahasa Malaysia dan Mandarin semasa latihan.

"Saya bermula sebagai pemain simbol, tetapi selepas pemain kepala singa tercedera akibat kemalangan dan tidak dapat menyertai latihan, saya dipilih untuk menjadi pengganti. Dengan pengalaman yang pernah berjinak-jinak menyertai tarian singa sejak empat tahun lalu, saya memberanikan diri.

"Menjadi penari kepala singa lebih sukar kerana saya perlu banyak melakukan koordinasi pergerakan, ekspresi muka dan membuat aksi. Tetapi saya berpuas hati kerana dapat memenuhi keperluan persembahan dalam masa yang singkat," ujar Fairuz yang menyertai kelab tarian singa itu atas ajakan rakannya, Syahdatul.

Kemahiran setaraf


PASUKAN tarian singa 1Malaysia bergambar selepas acara selesai.


Dia juga berasa gembira apabila dapat membuat persembahan yang setaraf dengan rakan-rakan yang berketurunan Cina yang lebih mahir dalam tarian tersebut.

Namun, apa yang lebih menggembirakan pasukan SMKTM ialah dalam kesukaran membuat persiapan persembahan, mereka masih berjaya memperoleh tempat keenam dengan skor 8.08 daripada keseluruhan 10 markah.

Malah, pasukan itu juga berjaya memperoleh anugerah Pasukan Bersemangat Tinggi. Pakaian seragam pemain muzik pasukan itu yang hanya memakai pakaian seragam sekolah lengkap bertali leher menjadi satu lagi tarikan.

Semua pasukan lain dilihat lengkap berpakaian mengikut tema kecuali SMKTM.

Namun, persembahan yang ditonjolkan khususnya menggunakan peralatan bantuan dengan aksi-aksi yang lebih menarik menjadikan penonton di Arena of Stars, Genting Highlands tidak lekang menonton pertunjukan itu. Tarian singa pasukan SMKTM itu turut dibantu seorang lagi jurulatih, Ler Poh Ann, 38, dari Kelab Kun Seng Keng.

Kejohanan yang dianjurkan di pusat peranginan dan taman tema terkemuka, Arena of Stars, Genting Highlands itu bermula pada waktu pagi dan tamat lewat petang. Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden Kanan Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam Genting Highlands Berhad, Datuk Anthony Yeo.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Peminat Tarian Naga dan Singa Malaysia, Leong Lik Thong dan Timbalan Presiden Tarian Singa dan Naga Selangor dan Wilayah Persekutuan, Lim Ah Chye.

"Objektif utama kejohanan itu adalah untuk mengembangkan bakat baru dan menyokong semangat kesukanan serta berpasukan menerusi tarian singa. Dengan hasil usaha ini, kita berjaya mengumpulkan 21 pasukan daripada 17 buah sekolah," kata Anthony melahirkan rasa bangga apabila lima buah sekolah yang menyertai program itu datangnya dari sekolah kebangsaan dan selebihnya adalah sekolah jenis kebangsaan Cina.

Dalam pada itu, turut mengambil bahagian dalam acara tersebut ialah tiga orang peserta perempuan yang bermain alat muzik.

"Kami pelajar dari Sekolah Menegah Kebangsaan Sri Permata Petaling Jaya, Selangor dan sangat seronok dapat menyertai kejohanan seumpama ini," kata Nurul Shahida Hassan dan Mariam Abdul Nazar masing-masing berumur 16 tahun.

Pertandingan itu mengukur peserta dalam 10 aspek. Setiap aspek menyumbang satu markah. Antaranya ialah kesopanan, tema, gaya gerak, aksi dan ekspresi singa, irama gendang, keistimewaan, susun acara, daya tarikan persembahan, taktik dan pakaian peserta.

Singa Juara

Dalam kejohanan sulung itu, Pasukan A Sekolah Menengah Kebangsaan Keat Hwa II, Alor Setar, Kedah berjaya meraih tempat pertama dengan skor persembahan 8.66.

Jurulatih pasukan, Cheah Kwong Leang, 40, berkata, dengan pengalaman selama dua tahun, impian mereka untuk menang menjadi kenyataan.

"Bagi pertandingan ini, kami berlatih sejak tiga bulan lalu. Dengan pengalaman sebelum ini yang pernah menyertai pelbagai pertandingan, kemenangan ini memberikan satu lagi keyakinan baru," kata pemain kepala singa, Loo Mun Hong, 17.

Bagi pemain ekor singa, Chah Choo Fhong, 16, pula kemenangan itu disifatkannya sebagai sesuatu yang sudah dijangka.

Sekolah Menengah Kebangsaan Keat Hwa II ternyata boleh mendabik dada apabila naib johan pertandingan itu disandang oleh rakan mereka yang mewakili Pasukan B.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chi Ming 2, Tangkak, Johor.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Warga AmBank bertemu di Pulau Mutiara

Posted:

Warga AmBank bertemu di Pulau Mutiara

Warga AmBank bertemu di Pulau Mutiara

Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my


PEMANGKU Naib Canselor USM, Profesor Datuk Omar Osman (empat dari kanan) menerima sumbangan basikal daripada Azman. Kanan sekali ialah Syed Anuar.


BUAT kali kedua, Kumpulan AmBank (AmBank) meraikan warga kerjanya dari lima buah negeri pada satu majlis yang cukup meriah dan penuh warna-warni.

Stadium Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang menjadi lokasi penganjurannya kali ini bagi mengumpulkan kira-kira 2,500 warga AmBank dari Wilayah 1 iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah 2 iaitu Perak.

Seawal pukul 2 petang, padang Stadium USM bertukar menjadi tapak pesta mini dengan gerai makanan dan permainan. Pemandangan pada petang itu diwarnai lautan seragam merah kuning apabila warga kerja AmBank hadir bersama keluarga masing-masing


JAWATANKUASA penyelaras Hari Keluarga Wilayah 1 dan 2 Kumpulan AmBank.


Paling menyeronokkan melihat gelagat si kecil yang teruja dengan permainan seperti gelungsur gergasi, khemah permainan, menangguk bola di dalam kolam dan melontar gelung.

Sementara itu, gerai bola cat, motor getaway dan permainan gasing pula antara yang mencuri perhatian pengunjung dewasa.

Sambutan hari keluarga itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim dan para pegawai pengurusan kanan Kumpulan AmBank.

Antaranya Timbalan Pengerusi AMMB Holdings Berhad, Datuk Azlan Hashim; Pengarah Urusan Retail Banking AmBank (M) Berhad, Datuk Mohamed Azmi Mahmood; Ketua Pegawai Eksekutif AmIslamic Bank, Datuk Mahdi Murad dan Ketua Perhubungan Awam Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali.


AZMAN (empat dari kanan) bergambar bersama jelitawan AmBank yang menyambut ketibaannya.


Dalam ucapannya, Azman berkata, Hari Keluarga Wilayah 1 dan 2 Kumpulan AmBank memberi kesempatan kepada kakitangan AmBank untuk mengenali antara satu sama lain di luar persekitaran pejabat dan meluangkan masa bersama keluarga.

"Majlis ini memberi kita peluang untuk mengenali rakan sekerja terutama dari bahagian, syarikat dan negeri yang berbeza.


CERIA. Inilah wajah-wajah warga kerja AmBank dari Alor Setar, Kedah.


"Sehubungan itu, kita boleh mengenali Kumpulan AmBank secara menyeluruh dan menerapkan nilai-nilai keluarga Kumpulan AmBank kepada semua," jelasnya.

Pada majlis tersebut, Azman menyerahkan sumbangan berjumlah RM63,000 kepada Kedai Dobi Orang Kurang Upaya (OKU) Pulau Pinang menerusi Program Komuniti MyKasih dan 50 buah basikal kepada para pelajar USM.

Aktiviti utama bagi hari keluarga itu antaranya termasuklah persembahan kakitangan Kumpulan AmBank, peraduan mewarna kanak-kanak, 10 aktiviti sukaneka, pencarian harta karun dan aktiviti berbasikal.

Pada sebelah petangnya pula, warga AmBank dijamu dengan buah durian istimewa dari Balik Pulau manakala sebelah malamnya pula diserikan dengan persembahan pentas daripada artis-artis AmBank sendiri dan pertunjukan bunga api.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mercu Zikay ikon Kampung Baru

Posted:

Mercu Zikay ikon Kampung Baru

Mercu Zikay ikon Kampung Baru

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


KAMPUNG BARU bakal mempunyai satu mercu tanda yang bertaraf lima bintang dalam tempoh 36 bulan.


PADA awal Januari lalu, genaplah 111 tahun usia Kampung Baru, Kuala Lumpur. Tidak keterlaluan untuk melabelkan bahawa penduduk Kampung Baru merupakan penduduk yang paling bertuah di negara ini. Mereka mendapat perhatian istimewa daripada banyak pihak.

Sejak zaman lima Perdana Menteri terdahulu dan terkini, Datuk Seri Najib Tun Razak, pembangunan demi pembangunan dirangka di Kampung Baru. Usaha tersebut bertujuan menjadikan kampung itu sebagai pusat ekonomi bernilai tinggi.

Baru-baru ini, Najib mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi menaik taraf Masjid Jamek Kampung Baru. Bukan itu saja, satu lagi sejarah tercipta di Kampung Baru apabila beliau melancarkan majlis pembinaan Mercu Zikay.

Mercu Zikay dilabelkan sebagai salah satu ikon kegemilangan Kampung Baru. Projek bangunan ini dilaksanakan oleh Pembangunan Kampung Baru Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat Kumpulan Zikay.

Pengarah Urusan Kumpulan Zikay, Datuk Mohd. Khay Ibrahim yang juga anak jati Kampung Baru berasa bangga kerana dapat menyumbang sesuatu kepada kampung halamannya yang mula wujud sejak tahun 1900.

"Selamat datang ke Mercu Zikay, ia dilengkapi dengan pembangunan kedai komersial, hotel, apartmen dan kemudahan-kemudahan mewah di tengah-tengah jantung Kuala Lumpur," katanya.

Bangunan tertinggi

Mercu yang merupakan antara bangunan tertinggi di kawasan segitiga emas itu secara keseluruhan merupakan sebuah bangunan 40 tingkat yang mempunyai 289 bilik hotel. Selain itu, ia menempatkan sebanyak 130 unit kondominium jenis duplex dan studio yang bersaiz antara 41.527 hingga 234.11 meter persegi.

Kepada para peniaga, anda boleh mengambil peluang keemasan dengan berniaga di Mercu Zikay kerana ia merangkumi 16 unit kedai komersial.

Kedudukan Mercu Zikay, kata Mohd. Khay, juga strategik. Ia terletak di antara persimpangan Jalan Raja Abdullah dan Jalan Raja Alang. Ini bermakna bangunan tersebut berjiran dengan bangunan Kelab Sultan Sulaiman dan Masjid Jamek Kampung Baru. Dari KLCC, ia cuma mengambil masa beberapa minit untuk sampai ke Mercu Zikay.


MOHD. KHAY


Pembinaan bangunan bertaraf antarabangsa itu difahamkan bermula pada suku kedua tahun ini dan akan siap dalam tempoh 36 bulan.

"Residen di mercu ini boleh menjangkakan satu kehidupan yang mewah dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan," kata Mohd. Khay.

Prasarana yang disediakan berstatus lima bintang. Harga setiap unit bermula dengan RM850 bagi satu meter persegi. Antara yang paling mencuri tumpuan ialah kemudahan helikopter mendarat di tingkat paling atas bangunan. Kepada mereka yang berstatus tinggi yang sentiasa berkejar ke sana ke sini, ia sesuatu yang melegakan.

"Di situ juga, anda boleh menyaksikan pemandangan Kuala Lumpur secara menyeluruh," katanya.

Setelah penat membanting tulang, penghuni boleh memilih untuk ke spa yang terletak di satu aras dengan gimnasium dan kolam renang.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan pusat konvensyen yang mempunyai keluasan yang agak besar, lounge dan tempat makan malam.

"Saya yakin bahawa sangat sukar untuk mencari kawasan komersial dan ketenangan di segitiga emas Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, Mercu Zikay menawarkan kedua-dua elemen itu. Jadi, anda dialu-alukan untuk menghubungi bahagian pemasaran kami untuk maklumat yang lebih terperinci," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved