Rabu, 22 Jun 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Dikecam demi cinta gamelan

Posted:

Dikecam demi cinta gamelan

Dikecam demi cinta gamelan

Oleh KHAIRUL AMRI HASSANamri.hassan@kosmo.com.my



PALUAN peralatan muzik oleh ahli kumpulan gamelan terdiri daripada sebiji gong, dua buah gendang, beberapa buah bonang, kenong, gambang dan saron bergabung bersama tiupan seruling serta gesekan rebab menerawang di ruang atmosfera sebuah premis di daerah Tohpati, Denpasar, Bali.

Mereka, 25 orang, kesemuanya lelaki seawal usia 15 tahun sedang asyik menghayati baris-baris notasi irama Semara Pagulingan yang telah menjangkau 20,000 tahun usianya.

Di sudut sebelah kanan berdepan dengan ahli kumpulan gamelan tadi, seorang penari wanita meliuk-lentok tubuh serta jari-jemarinya sambil menyanyikan bait-bait kata daripada dialek Bali.

Uniknya gabungan tari dan muzik itu, pengawalan asasnya tertumpu pada tarian. Maksudnya, si penari akan mengawal hala tuju pemuzik gamelan berserta temponya berdasarkan nyanyian dan corak persembahan tariannya.

Menambahkan keunikannya lagi, langkah memulihara muzik gamelan Bali itu dilaksanakan pasangan yang berputik cintanya daripada akar budaya itu sendiri.

Pasangan yang sudah berkahwin itu adalah penari tersebut dan salah seorang daripada 25 lelaki tadi yang ternyata paling unik di kalangan mereka kerana dia merupakan satu-satunya lelaki mat saleh dalam kumpulan lelaki Indonesia itu.

Penari itu bernama Putu Evie Suyadnyani, 28, yang seratus peratus berbangsa Indonesia manakala si suami iaitu lelaki mat saleh tadi pula ialah Vaughan Hatch, 30, anak kelahiran New Zealand tetapi fasih berbahasa Indonesia dan kadangkala diselangi dengan dialek Bali.

Sesungguhnya kebolehan Hatch itu cukup mengagumkan bagi seorang mat saleh. Ada cerita menarik di sebaliknya, dan sudah tentu pencetusnya ialah cinta!

Kecintaan Vaughan terhadap muzik gamelan Bali sebenarnya telah membuatkan dirinya bukan setakat setia terhadap kesenian itu tetapi sekali gus menyebabkan dia sanggup untuk menetap terus di bumi Bali.

Cinta Vaughan terhadap gamelan sebenarnya mula berputik ketika dia masih bergelar pelajar universiti.

"Ketika itu saya sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Otago, New Zealand dalam jurusan arkeologi dan kesusasteraan bahasa Jepun apabila sekumpulan pemuzik gamelan datang membuat persembahan di situ.

"Pada ketika itu saya langsung tidak tahu apa itu muzik gamelan tapi pertama kali mendengar iramanya, saya tidak mahu melepaskannya pergi dari hidup saya.

"Sesudah itu, saya mendengar irama gamelan setiap hari selama enam bulan dan belajar memainkan instrumen gamelan yang dikenali sebagai gender wayang (atau nama lainnya, saron) dengan seorang guru (gamelan) dari Bali," ujarnya.

Atas dasar pesona muzik gamelan yang tidak tertanggung lagi meresap dan merasuk seluruh jiwa dan raganya itu serta sedikit rasa ingin meluaskan skop minda bersosial, Vaughan berhijrah ke Bali pada tahun 1997 selepas menamatkan pelajaran selama tiga tahun di universiti tersebut.

Lelaki gagah berkemban


VAUGHAN HATCH mengalunkan keunikan bunyi alat yang dipanggil genderwayang.


Awal penglibatannya dalam bidang muzik gamelan Bali, ada di kalangan ahli keluarga Vaughan menyelar dan mengecam tindakannya belajar gamelan dan menetap di Bali.

Begitu juga penerimaan masyarakat setempat yang enggan memberikan kerjasama dalam berkongsi ilmu muzik gamelan Bali dengan Vaughan, tidak terkecuali golongan yang pesimis terhadap langkahnya untuk memulihara khazanah seni itu.

"Ada juga sesetengah penduduk tempatan yang mengambil kesempatan terutamanya menerusi pelaburan kewangan yang saya buat untuk mencari muzik-muzik gamelan lama di kampung-kampung yang jauh. Namun, hasilnya tiada dan mereka menghilangkan diri dengan wang saya itu begitu sahaja. Bagaimanapun, saya teruskan juga usaha dan lama-kelamaan keluarga saya dan masyarakat Bali semakin menyokong usaha saya itu.

"Mungkin mereka merasakan bahawa saya masih orang asing di Bali dan untuk meraih kepercayaan itu saya akui perlukan sedikit pengorbanan masa," getusnya lagi.

Menurutnya, kelainan gamelan Bali terletak pada elemen penceritaan dalam setiap lagu memandangkan kebanyakan muzik gamelan diambil daripada kuil-kuil Hindu yang menceritakan hikayat dan riwayat masyarakat silam.

"Kerana itu, terdapat tempo dalam muzik gamelan Bali dilajukan dan ada diperlahankan berdasarkan mood penceritaan dalam lagu itu," ujar Vaughan lebih lanjut.

Kostum ahli kumpulan gamelan Bali pula masih mengutamakan nilai keaslian dengan kain penutup badan separuh dada ke bawah. Biar agak aneh melihat sekumpulan lelaki yang gagah dan maskulin seolah-olah berkemban seperti perempuan, namun begitulah konsep pemakaian ahli kumpulan gamelan Bali.

Selain itu, konsep pakaian seperti mana pemuzik asal di kuil-kuil Hindu itu juga mewajibkan setiap daripada mereka memakai penutup kepala yang dikenali dengan panggilan udeng.

Sebenarnya Vaughan pada mulanya 'direstui' apabila permohonan biasiswanya untuk mengkaji muzik gamelan di Institut Seni Bali berjalan lancar untuk tempoh setahun pertama.

Namun, apabila dia terpaksa berdepan dengan masalah kekurangan tenaga pengajar, justeru inisiatif sendiri terpaksa dilaksanakan dengan mengunjungi kawasan-kawasan terpencil di sekitar Bali semata-mata untuk belajar bermain alat muzik gamelan.

"Setiap bulan saya terpaksa laburkan lebih AS$20 dolar (RM64) untuk masuk ke kampung-kampung dan belajar muzik gamelan daripada mereka. Lama-kelamaan saya terpaksa melupakan bantuan biasiswa dan bergerak (dengan menggunakan wang) sendiri demi mencari muzik-muzik gamelan Bali kuno untuk dipulihara," bicaranya penuh iltizam.

Akhirnya, Vaughan berkorban wang miliknya sendiri untuk membeli satu set gamelan Bali yang terdiri daripada bonang atau dikenali dengan panggilan terompong, saron, gong dan gendang.

Semara Pagulingan


PUTU EVIE begitu asyik mempersembahkan tarian gending jerbong kepada audiens.


Demi mengekalkan khazanah muzik tidak ternilai itu, Vaughan yang juga dikenali nama versi Bali iaitu Wayan Pon Semara membuka sebuah organisasi keseniannya sendiri bersama Evie pada tahun 2000 yang diberi nama Mekar Bhuana, sebelum dia mengahwini Evie pada 2004.

"Percintaan saya dan Evie pula tercetus sekitar tahun 1998 selepas sering bersua dengan kelibat dirinya yang menjadi penari gamelan Bali ketika itu," ujarnya tersenyum mengenangkan nostalgia lampau sebelum dikurniakan dua zuriat, yang masing-masing kini berusia lima dan dua tahun.

Vaughan menjadikan kediamannya sendiri sebagai lokasi titik fokus untuk penduduk tempatan dan luar negara berlatih, mempelajari dan berusaha memulihara muzik gamelan Bali kuno itu.

Malah hasil usaha Vaughan selama 14 tahun menetap di Bali, dia kini sudah mampu memainkan pelbagai alatan muzik gamelan Bali terutamanya saron. Titik peluhnya juga terbukti dengan penghasilan album lagu gamelan Bali pertama yang diberi judul, Semara Pagulingan.

"Semara Pagulingan juga merupakan sebuah orkestra gamelan Bali yang sangat jarang ditemui dan dalam album khas ini kami mengumpulkan sepuluh buah lagu yang usianya mencecah jutaan tahun. Kaedah pertama yang kami lakukan adalah meneroka muzik-muzik gamelan Bali di kuil-kuil Hindu yang jauh di kampung-kampung seperti Klungkung dan setiap bunyi asalnya dirakam.

"Kemudian, semua bahan itu dibawa ke Mekar Bhuana dan dimainkan semula dalam versi lebih jelas namun masih mengekalkan atmosfera aslinya," jelasnya yang terpaksa merakamkan semua lagu gamelan yang dikumpulkannya di studio yang terletak jauh di kota Denpasar, Bali.

Menurut Vaughan lagi, Semara Pagulingan dipilih sebagai judul album pertamanya disebabkan ia mempunyai maksud tersendiri yang mempunyai nilai tulen dan eksotik.

"Semara bermaksud cinta dan Pagulingan pula diertikan sebagai kaedah untuk tidur. Oleh itu, kombinasi kedua-dua perkataan ini membawa tafsiran suntikan gelora ibarat di awang-awangan daripada kemerduan jiwa muzik gamelan Bali.

"Ritma Semara Pagulingan dikatakan berasal daripada kerajaan Gelgel di daerah Klungkung sekitar tahun 1515 hingga 1686 dan kebanyakan elemen bunyinya didominasi oleh seruling buluh atau dipanggil gamelan gambuh.

"Kini, orkestra Semara Pagulingan yang asli hanya boleh ditemui di beberapa buah perkampungan di Bali ketika upacara keagamaan rasmi di kuil-kuil Hindu," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved