Sabtu, 4 Jun 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Layar kaca popularkan silat

Posted:

Layar kaca popularkan silat

Layar kaca popularkan silat

Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamdi@kosmo.com.my


JAK Othman menunjukkan aksi bertarung pendekar Melayu.


DUNIA persilatan Melayu sememangnya bertuah kerana memiliki lelaki ini. Dia handal bersilat dan dalam masa yang sama pandai mengarah filem dan dokumentari.

Gabungan kedua-dua portfolio itu membolehkan Jak Othman, 49, memperkenalkan silat ke mata dunia menggunakan kuasa layar kaca.

Kepercayaan Jak kepada 'kuasa' itu bertitik tolak daripada kejayaan siri dokumentari sulungnya yang berkaitan seni bela diri pada tahun 1994 iaitu Mahaguru.

Menurut Jak, siri dokumentari yang disiarkan sehingga empat musim di TV3 itu mendapat sambutan hebat sehingga mampu mengumpul sebanyak tiga juta penonton.

"Jumlah itu memang tidak dijangka bagi sebuah rancangan dokumentari berkaitan seni bela diri. Bagaimanapun, siri itu bukan tertumpu kepada silat sahaja tetapi turut mengandungi episod yang memaparkan seni bela diri yang lain.

"Pada mulanya impian saya adalah untuk mengkomersialkan seni bela diri yang ada di negara ini," katanya.

Jak meninggalkan negara ini pada tahun 2004 untuk bekerja dalam bidang perfileman komersial di Australia.

Namun, dia tidak lama di Negara Kanggaru itu. Selepas empat tahun bekerja di Sydney, dia pulang ke Malaysia.

Selepas kembali, Jak mendapati populariti seni silat dalam kalangan orang Melayu sendiri mula jatuh.

Sebagai seorang pejuang seni bela diri itu, Jak nekad ingin menyemarakkan kembali seni silat.

"Saya nekad untuk mempopularkan semula silat dengan medium yang pernah digunakan sebelum ini iaitu program televisyen.

"Dengan bantuan daripada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), saya berjaya mendapatkan dana sebanyak RM150,000 untuk menghasilkan dokumentari Inside Silat," kata lelaki yang belajar ilmu silat sejak berusia lima tahun ini.

Rakaman

Dokumentari itu disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2008 dan menggondol Anugerah Dokumentari Kebudayaan Terbaik dan Anugerah Suntingan Terbaik menerusi Festival Dokumentari Malaysia 2009.

Tidak sekadar berpuas hati dengan kejayaan lalu, Jak pada tahun ini sekali lagi ingin merakamkan momen aksi silat menerusi buah tangan terbarunya berjudul Clash of The Hulubalang (Pertembungan Hulubalang).

Menurutnya, dokumentari yang dijangka tamat penggambaran pada penghujung Jun ini turut memaparkan sejarah, keunikan dan falsafah setiap pertubuhan silat terbabit.

"Sebanyak lapan pertubuhan silat terpilih untuk dimuatkan dalam dokumentari itu pada setiap episod termasuklah Persatuan Seni Silat Serimau Hitam.

"Seni silat lain ialah Gayung Pattani, Silat Cekak Malaysia, Gayung Pusaka, Anggerik Desa, Gayung Malaysia dan Silat Lincah serta pasukan 1Malaysia," katanya lagi

Rakaman dokumentari itu dijangka ditayangkan di RTM dan beberapa stesen televisyen antarabangsa mulai bulan Ogos depan.

Jak turut memberitahu, dokumentari tersebut bakal ditayangkan di negara Arab dan peluang untuk menarik lebih ramai golongan tersebut meminati silat adalah cerah.


BERDASARKAN pengalamannya sebelum ini, dokumentari silat sering mendapat sambutan penonton.


"Pihak Spacetoons International yang mempunyai lebih 30 saluran televisyen di negara Arab telah mengesahkan untuk membeli dokumentari itu.

"Saya gembira kerana syarikat itu menawarkan khidmatnya kepada kira-kira 300 juta penonton.

"Ini merupakan peluang yang baik untuk memperkenalkan silat kepada mereka," kata Jak yang turut mencari pasaran di Amerika Syarikat, Jepun dan Korea.

Menurut Jak, dokumentari itu bakal disiarkan dalam bahasa Inggeris dan membawakan seorang guru silat dari Australia sebagai pengacara rancangan 11 episod itu.

Pendekar mat saleh

Pengacara dokumentari Clash of the Hulubalang, Ed Chard bukan calang-calang orang. Dia bukan setakat pengacara Inggeris biasa, sebaliknya mempunyai pengalaman luas dalam bidang silat.

Berasa bertuah kerana diberi kepercayaan kali kedua setelah mengendalikan dokumentari Inside Silat bersama Jak, Ed berkata penglibatannya itu turut menambah ilmu persilatannya.

"Saya bertuah kerana dipilih menjadi pengacara kali kedua dalam dokumentari berkaitan silat.

"Saya boleh menimba lebih banyak gaya persilatan dan bertemu dengan pelbagai guru silat di Malaysia.

"Walaupun saya sudah lama mempelajari silat, tetapi ilmunya masih banyak yang perlu dicari," kata anak kelahiran London, England itu kepada Jurnal.

Ed merupakan seorang guru silat di Australia. Dia menjadi jurulatih kepada pelajar silat di sana melalui Persekutuan Harimau Berantai Pancak Silat Australia yang ditubuhkan oleh Jak.

Dia tidak berniat untuk menerima apa-apa anugerah daripada kecintaannya itu terhadap seni silat.

Bagi Ed, kesempatan menjadi medium untuk masyarakat mengenali silat adalah satu tanggungjawab yang besar.

"Kenangan menghasilkan dokumentari Inside Silat pasti terpahat sampai bila-bila. Saya suka memegang tanggungjawab ini, apatah lagi apabila ramai yang menerimanya.


SENI bela diri Melayu bakal dipertontonkan kepada lebih 300 juta masyarakat Arab.


"Ketika bersiar-siar di negara ini, saya pernah ditahan oleh seseorang yang tidak dikenali.

"Katanya, dia sangat menyukai dokumentari tersebut. Bagi saya, itu lebih penting kerana ada orang yang mengingatinya," kata Ed yang menggemari masakan rendang.

Kru-kru yang dipilih Jak juga bukan kru biasa. Mereka seramai sembilan orang dan terdiri daripada kru teknikal yang membantunya sepanjang penggambaran yang bermula 29 April lalu.

Iskandar Isa, 35, dan Azizul Farmy Rostam, 37, merupakan tulang belakang penggambaran dokumentari itu. Mereka bertindak sebagai pengarah seni dan penolong pengarah seni.

Menurut mereka, peluang yang diberikan untuk bekerja dalam produksi yang memaparkan latar bersifat epik seperti itu menuntut kesabaran yang tinggi.

"Peralatan props yang digunakan harus bertepatan dengan tema dokumentari ini iaitu silat Melayu. Justeru, kami sedaya upaya menyediakan suasana yang akan menimbulkan suasana itu.

"Tidak sukar bekerja dengan produksi ini kerana Jak tahu apa yang diperlukan dalam setiap episod dokumentari ini," kata mereka.

Seorang jurulatih silat daripada Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong, Mohamad Wahab, 38, yang menyokong usaha mendokumentasikan aksi-aksi seni silat berpendapat dokumentari itu mampu mempopularkan seni bela diri itu.

"Strategi ini sekurang-kurangnya boleh dijadikan bahan warisan kerana ia tidak akan lenyap dan boleh sentiasa diulang tayang kepada khalayak.

"Ia boleh popularkan kembali seni silat kerana ramai antara kita yang lebih mengagungkan seni bela diri asing," katanya.

Seramai lima orang anak murid Mohamad turut menjalani penggambaran dokumentari tersebut yang berlangsung di Gurun, Kedah dan di Kuala Lumpur.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peramal nasib Luna Maya

Posted:

Peramal nasib Luna Maya

Peramal nasib Luna Maya

Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK
sofiatul.wanchik@kosmo.com.my


JAMES bersama Luna Maya (kanan). Kad nombor tiga yang dipilih Luna adalah petanda kepada musibah yang dihadapi selebriti itu.


NAMANYA James Antonius Tahir. Dia beragama Islam dan tinggal di Jakarta, Indonesia. Untuk kesesuaian konsep dan sinonim dengan kerjayanya kini iaitu seorang peramal masa depan, dia menggunakan nama James Ramal. Nama itu kedengaran lebih kuat dan meyakinkan.

Penulis bertemu lelaki berusia 40 tahun ini di ibu kota negara jiran itu sehari selepas perlawanan bola sepak Manchester United melawan Barcelona. Dia hadir dengan memakai baju putih tanpa kad di tangan.

Membuka sejarah penglibatannya dalam bidang paranormal dan kemudian menjadi seorang penilik nasib selebriti negara itu, Luna Maya dan Ariel Peter Pan, kata James semuanya bermula atas dasar minat sewaktu kecil.

Kemudian, minat itu dilanjutkan pada tahun 1991 apabila seorang kenalan meminta James meramalkan nasib cintanya.

Ternyata hanya dengan naluri, tebakan bahawa kenalannya bakal bersatu semula dengan sang bekas kekasih terbukti. Itu pembakar semangat buat James meneruskan cita-cita zaman ciliknya.

"Kali kedua, saya ulangi lagi pada tahun 1994. Kali ini saya menggunakan kad kerana saya tidak mahu dituduh syirik. Saya memberitahu bahawa kekasih teman saya curang dengan wanita lain.

"Dia pada awalnya tidak percaya tetapi kemudian mendapat tahu kesahihannya," ujar James yang hingga kini tidak pernah dimarahi teman atau selebriti atas ramalan tepatnya.

"Saya berhenti seketika kerana takut dituduh syirik. Hanya pada tahun 2007, saya mencuba kembali bakat saya.

"Sewaktu di Kemang, Jakarta, saya meramal nasib tiga wanita yang saya baru kenali. Ramalan saya bahawa seorang daripada mereka akan putus cinta, seorang lagi mendapat kereta baharu dan yang ketiga mendapat kekasih baharu.

"Kebetulan, seminggu selepas itu, tebakan itu benar belaka," ketawa dia bercerita.

Kejadian tersebut membuatkan nama James dikenali ramai hingga ia sampai ke pengetahuan ramai selebriti Indonesia.

Ujar James, hingga sekarang sekitar 80 peratus artis meminta khidmatnya untuk mendapatkan ramalan, antaranya Sandra Dewi, Pasha Ungu, Onci Ungu, Irwansyah, Miller dan Randy Panggalila.

Malah, nama James pernah menjadi tajuk utama dalam majalah-majalah ternama Indonesia.

Nasib Luna

"Saya bertemu Luna Maya ketika saya sedang minum-minum bersama Onci (Ungu) yang merupakan teman baik saya. Luna kemudian meminta saya meramalkan masa depannya.

"Ternyata setelah diramal, dia mengambil kad yang tertulis nombor tiga, itu nombor yang tidak bagus.

"Saya memberitahu Luna bahawa dia akan berdepan dengan satu musibah besar yang akan menghancurkan namanya.

"Ramalan itu dilakukan pada tahun 2007 dan terbukti pada tahun lalu, Luna dikaitkan dengan kes video lucah bersama Ariel Peter Pan," ujar James yang menganggap ramalan itu dilakukan berdasar logik akal.


JAMES RAMAL (kiri) pernah meramal bahawa Pasha Ungu bakal berdepan dengan masalah rumah tangga dalam perkahwinan pertamanya.


Dia meneruskan bicaranya. "Saya turut meramalkan bahawa Ariel akan masuk penjara. Di mana dia kini? Benar, kan? Cuma satu ramalan saya yang masih belum terbukti iaitu Cut Tari bakal bercerai dengan suaminya.

"Kalau penilik nasib yang lain tidak berani berkata begitu, tetapi saya memberitahu kerana itu ramalan saya dan mahu berlaku jujur," katanya lagi.

Tegas James, kalau mengikut pengalamannya, menilik nasib dan meramal masa depan individu lain adalah sama seperti membuat ramalan cuaca. Ada panas, hujan, mendung malah ribut.

"Saya membuat ramalan mengikut logik. Ada rumusan yang saya gunakan. Kata dagang saya adalah 'logik tanpa mantera'.

"Saya mahu mengeluarkan sebuah buku tentang ramalan saya tetapi belum terlaksana kerana masih mencari penaja," ujarnya yang menganggap kerjaya peramal nasib memberinya kehidupan yang baik.

"Awalnya hanya untuk suka-suka tetapi kini sudah menjadi bisnes. Dulu, saya berbisnes di Kemang tetapi sekarang sudah bergerak sebagai peramal nasib peribadi," ujar James yang mengenakan harga mengikut jam untuk ramalannya.

Satu hal yang cuba dielak oleh James adalah meramal kematian. Sebolehnya dia enggan membuat prediksi musibah yang sebegitu.

"Saya pernah secara tidak sengaja meramal satu kematian dan kebetulan terjadi. Saya jadi panik. Kini, kalau pelanggan saya akan berdepan dengan kehilangan berbentuk kematian, saya akan kata bahawa mereka bakal bertemu berita duka, itu sahaja," ujarnya.

Menghabiskan bicaranya tentang sebuah prediksi, James berkata dia juga gagal membuat ramalan terhadap dirinya sendiri atau perlawanan bola sepak.

Dia sempat meramal bahawa pasukan bola sepak yang diminatinya, Manchester United akan menundukkan Barcelona. Tebakan itu salah apabila Barcelona membelasah Manchester 3-1 dalam Liga Juara-Juara baru-baru ini.

"Ini mungkin kerana idealisme saya terhadap Manchester dan bukan ramalan, ya? Pasti saya mahu pasukan saya yang menang," katanya ketawa.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Unta pun naik kapal terbang

Posted:

Unta pun naik kapal terbang

Unta pun naik kapal terbang

Oleh MAHATHIR JAMIL
mahathir.jamil@kosmo.com.my


IKAN lumba-lumba dan singa laut antara haiwan hidup yang menggunakan perkhidmatan MASkargo.


PADA 2 Februari 2011, sekumpulan unta dari Adelaide, Australia diterbangkan ke Malaysia. Penerbangan MH6174 itu membawa 26 ekor unta seberat kira-kira 45,000 kilogram.

Kargo itu diangkut menggunakan pesawat B747-400F yang berlepas dari Adelaide pada pukul 9.45 malam waktu tempatan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.05 pagi.

Perkhidmatan mengangkut haiwan hidup bukanlah sesuatu yang baru buat Malaysia Airlines Cargo Sdn. Bhd. (MASkargo) tetapi kumpulan 26 ekor unta itu adalah perkhidmatan pertama seumpamanya.

Destinasi

Haiwan hidup yang telah diterbangkan oleh MASkargo meliputi haiwan liar iaitu singa dan harimau, haiwan ternakan seperti kuda, kambing dan lembu, hidupan air seperti ikan yu dan reptilia seperti ular.

Kebanyakan penghantaran haiwan itu adalah untuk tujuan pameran, pertandingan, serta ternakan di ladang dan zoo di Malaysia.

Pengurus Komunikasi Korporat MASkargo, Anita Khushairy berkata, penerbangan sewa khas dari Adelaide baru-baru ini membuktikan komitmen MASkargo untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.

"Kami menawarkan khidmat penghantaran haiwan liar dan ternakan yang sukar dibawa melalui jalan darat dan laut.

"Selain itu, perkhidmatan ini bagi mewujudkan kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan oleh MASkargo seterusnya menjadi syarikat kargo terkemuka di dunia," ujar Anita.

Menurutnya lagi, sama seperti perkhidmatan yang lain, MASkargo menawarkan perkhidmatan menghantar haiwan hidup ke lebih 100 destinasi termasuk bandar-bandar utama dunia seperti Jakarta, Sydney, Dubai, Tokyo, Amsterdam, New York dan Tashkent.

Ujar beliau, caj perkhidmatan yang dikenakan bergantung kepada jenis barangan yang dihantar, ruang, jumlah berat keseluruhan dan jarak negara asal barangan tersebut.

Mengulas mengenai proses menghantar haiwan hidup, Anita berkata, setelah tempahan dilakukan, MASkargo akan merancang dan mengaturkan pasukan sokongan di stesen selain memastikan peralatan berada dalam keadaan yang baik.


HAIWAN yang hendak dihantar ke sesuatu destinasi diletakkan di dalam kandang khas sebelum dimuatkan ke dalam perut pesawat.


Setelah itu, haiwan yang tiba dari ladang atau pusat kuarantin akan menjalani proses kemasukan ke dalam kandang.

"Kebiasaannya, proses ini mengambil masa selama 10 jam sebelum pelepasan. Kandang ini kemudian dimuatkan ke dalam kabin kargo lebih kurang tiga jam sebelum pelepasan.

"Semasa aktiviti muatan dijalankan, kami akan mengawasi suhu bahagian kabin kargo supaya berada dalam keadaan yang sejuk untuk mengelakkan haiwan daripada mengalami tekanan.

"Semasa tempoh penerbangan, kami juga perlu mengawasi suhu kabin dengan mengawalnya kepada darjah tertentu," ujarnya.

Jelas Anita lagi, anggaran muatan penerbangan sewa khas penuh seperti itu bergantung kepada saiz dan berat barangan.

Suhu

Sebagai contoh, katanya, untuk kambing dan biri-biri, dianggarkan sebanyak 2,200 ekor sekali muatan manakala kerbau, lembu dan unta 150 ekor sekali muatan.

Selain daripada penghantaran melalui udara, Anita berkata, MASkargo turut menyediakan kemudahan Animal Hotel bagi mengendalikan haiwan hidup.

Menurutnya, Animal Hotel adalah satu-satunya pusat hentian setempat di rantau ini yang mengendalikan proses transit sementara haiwan.

Bukan sekadar menjadi pusat rehat sementara bagi pengurusan penghantaran haiwan, pusat itu turut menyediakan pelbagai kemudahan lain bagi memastikan haiwan yang dihantar berada dalam keadaan baik.

Perkhidmatan itu disediakan melalui Pusat Kargo (ACC) di KLIA.

"Animal Hotel mempunyai kemudahan khas iaitu bilik sementara yang besar, lima buah kandang serta dua gelanggang kuda yang dikhaskan untuk memberikan kuda latihan sebelum dihantar kepada pemilik atau pihak yang bertanggungjawab.

"Bagi haiwan liar yang menggunakan khidmat ACC seperti harimau, beruang, gajah dan singa, haiwan berkenaan akan diiringi doktor haiwan. Ini bagi menjamin kesihatan dan keselamatannya.

"Sejak beroperasi kira-kira enam tahun lalu, pelbagai jenis haiwan telah menggunakan perkhidmatan Animal Hotel sama ada untuk dieksport, import atau sebagai tempat persinggahan sementara," cerita Anita.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved