Jumaat, 17 Jun 2011

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Perodua Myvi kini semakin bagus

Posted:

Perodua Myvi kini semakin bagus

Perodua Myvi kini semakin bagus

Oleh IRWAN ASRI MOHD NOR
baiwdm@yahoo.com



DUNIA automotif tempatan tidak lagi sama selepas Perodua Myvi diperkenalkan di pasaran pada 2005. Bertitik tolak daripada kejayaan pertama Kancil pada 1994, Kelisa dan Kenari pada awal tahun 2000, Perodua berjaya mengisi kekosongan yang selama ini ditinggalkan oleh segmen kereta murah yang ekonomikal.

Segmen yang satu ketika dahulu dikuasai Proton telah dipecahkan monopolinya oleh Perodua. Myvi juga berjaya melonjakkan Perodua ke tempat teratas sebagai kereta paling laris, selain pengeluar yang menduduki tangga teratas jualan tertinggi dalam pasaran tempatan.

Tidak dinafikan bahawa kereta itu didatangkan dengan pakej kereta urban yang menjimatkan. Myvi dicipta untuk menjadi kereta yang praktikal, mudah dipandu dan diparkir, ergonomik, teknologi yang asas serta mudah diselenggara.

Bagi sebuah negara yang mengadaptasi sistem bayaran balik sehingga sembilan tahun, sudah tentulah faktor nilai jualan balik menjadi isu pokok. Pembeli kereta pertama sudah tentu memikirkan nilai pasaran terpakai yang bagus.

Justeru, Myvi ternyata satu pembelian yang selamat. Lihat sahaja nilainya di pasaran terpakai bagi model pertama tahun 2005. Tidak ada kereta yang mengalami kejatuhan minimum seperti Myvi.

Perodua dikenali kerana kualiti binaan Toyota-Daihatsu. Kereta yang dipasang di Sungai Choh, Rawang itu berkongsi platform dengan model gantian Daihatsu Boon yang baru sahaja diperkenalkan di pasaran Jepun pada tahun lalu. Ironiknya, Boon generasi kedua ini (atau ketiga jika dikira dengan model Storia) turut menggantikan Myvi tempatan.

Berbeza dengan khabar angin yang bertiup kencang sebelum kehadiran gantian Myvi itu, asasnya, ia kekal dengan kapasiti enjin 1.3 dan namanya - Myvi. Sebenarnya saya melihat pengekalan nama pada model gantian adalah perlu dalam pasaran sekecil Malaysia agar sesuatu jenama dapat diperkukuhkan dan mudah diingati.


RUANG kargo boleh ditambah dengan hanya melipat sepenuhnya tempat duduk belakang.


Walaupun desas-desus bertiup kencang tentang gantian Myvi bakal menggunakan enjin 1.5 liter baru, Perodua mengambil keputusan mengekalkan konfigurasi enjin sedia ada.

Enjin K3-VE berkapasiti 1.3 liter itu terbukti lasak dan ekonomikal sejak divariankan lama sebelum itu di Jepun. Enjin siri K3VE dibangunkan sejak tahun 2000 dan telah dipasangkan pada pelbagai model Toyota/Daihatsu seperti Terios (Kembara/Nautica), YRV, Storia dan Bb. Ia merupakan model gantian siri HC/HD seperti yang dipasang pada Daihatsu Ascend/Espri tempatan.

Perbezaan ketara untuk Myvi baru adalah pengubahsuaian sistem stereng kuasa daripada jenis bermotor kepada berkuasa elektrik. Jika dilihat kepada mana-mana kereta urban moden hari ini, stereng kawalan elektrik lebih mesra pengguna menerusi sensor kelajuan.

Pada posisi pegun, memusing stereng adalah lebih mudah. Sementara apabila kelajuan melebihi 40 kilometer sejam (km/j), alat pengesan (sensor) pada batang rak stereng akan memberatkan putaran, sekali gus menjadikan pemanduan lebih stabil.

Enjin Myvi baru itu sudah ditala semula untuk capai tahap ekonomikal yang lebih baik. Menurut Perodua, menerusi ujian dalaman mereka, versi manual mencatat perjalanan 17.5km bagi seliter (km/l) petrol, berbanding model lama iaitu 17.1km/l. Model automatik nampaknya lebih baik kerana mencatatkan jarak 14.6km/l berbanding 13.5km/l pada model lama.


ENJIN bersesaran 1.3 liter menjanjikan penggunaan bahan api lebih menjimatkan berbanding enjin berkapasiti sama sebelumnya.


Walaupun asas platform Myvi baru itu sama seperti sebelumnya, sistem suspensi dan pengendaliannya telah diperbaiki secara keseluruhan. Pada sesi uji pandu singkat yang dijalankan bulan lepas, pihak media berpeluang mengujinya.

Apa yang dapat saya simpulkan, karektor pemanduannya tidak banyak berubah. Cuma suspensinya terasa lebih rigid terutamanya pada bahagian belakang. Tahap membuai yang sinonim dengan Myvi berjaya dikurangkan dengan menggunakan set suspensi yang lebih 'keras'.

Selain itu, konfigurasi dalaman dan luaran tidak banyak berubah. Beberapa penyesuaian ada dibuat. Ruang kepala direndahkan sedikit, sementara kelegaan kaki ditambah. Ruang but simpanan barang dan bahagian penumpang belakang masih tidak berubah.

Bahagian luar menerima perubahan ketara dengan rekaan lampu yang kelihatan lebih 'tersenyum'. Susunan lampu belakang pula berjaya menjadikan kereta ini satu pakej yang lengkap.

Jika anda amati pada model lama, penempatan lampu belakang kelihatan tergantung di posisinya. Jujurnya, saya suka rekabentuk lampu belakang Sirion/Boon versi Jepun yang lebih menyerlah dengan penggunaan kelongsong berbentuk bulat.


RUANG kabin Myvi yang mesra pengguna dan ergonomik.


Hari ini, pembeli melihat kereta urban daripada perspektif berbeza. Jadi tidak hairanlah jika Myvi terjual lebih 484,000 unit sejak dilancarkan, menang 11 anugerah sepanjang lima tahun dan terbukti rakyat Malaysia memang sukakan Myvi.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rasyid Salleh memberitahu pihaknya menyasarkan jualan Myvi sebanyak 8,000 hingga 8,500 unit sebulan.

"Sehingga kini, sebanyak 10,000 unit Myvi telah ditempah. Penghantaran Myvi baharu kepada para pelanggan bermula esok (Jumaat)," kata Aminar.

Perodua juga sudah memulakan pengeksportan model sama ke Indonesia dengan menggunakan lencana Daihatsu Sirion. Penghantaran pertama itu melibatkan 500 unit Myvi.

Penggantian model baru adalah satu lagi berita gembira kepada bakal pembeli Myvi mahupun kereta subkompak secara keseluruhannya. Harga kereta ini bermula dari RM43,900 hingga RMRM57,400 bergantung pada varian sama ada Standard, Premium atau Elegance.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Revolusi Subaru Impreza

Posted:

Revolusi Subaru Impreza

Revolusi Subaru Impreza

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN
geartinggimedia@gmail.com


REKABENTUK luaran Subaru kali ini dilihat tidak seganas generasi sebelumnya.


JENAMA Subaru agak asing di Malaysia. Satu ketika dahulu, van Subaru E10 banyak digunakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Saya fikir itu sahajalah yang boleh dikaitkan dengan jenama dari Jepun itu.

Buat penggemar kereta berprestasi tinggi dan sukan rali, pasti model Impreza selalu bermain di bibir mereka. Namun begitu, model itu tidak semayshur Mitsubishi Evolution. Berbeza dengan negara tetangga iaitu Singapura, kereta Subaru boleh dikatakan begitu banyak di sana.

Jika ada jolokan yang boleh diberi, Subaru Land adalah untuk Singapura, manakala Mitsubishi Land pula sesuai untuk Malaysia.

Dalam kalangan penulis automotif pula, mereka gemar mengapi-apikan pengikut setia Evolution dan Impreza dengan membuat banyak laporan perbandingan. Daripada apa yang dapat diperhatikan, sudut positifnya lebih memihak kepada Evolution.

Paling dahsyat, ada wartawan antarabangsa terkenal mengutuk habis-habisan rekaan Impreza generasi ketiga yang merupakan revolusi rekaan Subaru.

Walaupun begitu, Impreza tetap mempunyai kelebihan tersendiri, bunyi enjin boxernya adalah ibarat nota muzik yang mengasyikkan!

Pada April lalu di New York, Subaru telah memperkenalkan kepada umum model Impreza empat dan pintu pintu terbaru. Model itu juga merupakan produk di bawah slogan baru mereka iaitu Confidence in Motion.

Kereta Global

Model Impreza generasi keempat itu dibina mengikut konsep Redefining Value, Redefining Class. Keselesaan yang sinonim dengan model Impreza sejak 1992 diperhalusi lagi. Di samping mengekalkan ketahanan, pengendalian dan ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada teknologi Subaru iaitu Symmetrical AWD dan enjin Boxer. Impreza mahu ditonjolkan Subaru sebagai kereta global yang berkualiti tinggi.

Semasa proses menghasilkan model itu, pasukan pembangunan memberi fokus kepada alam sekitar dan kehendak pelanggan. Impreza lama dirombak semula bagi menjadikan model baru lebih jimat bahan api, lebih seronok dipandu, ruang dalaman yang luas, selesa dan berkualiti.

Menariknya, semakan semula ruang kabin dibuat tanpa membesarkan saiz keseluruhan kereta. Pereka dan jurutera menganjak bahagian bawah tiang A sebanyak 200mm ke depan, manakala jarak titik roda pula dibesarkan kepada 25mm. Struktur pintu yang direka semula pula menjadikannya lebih luas dan meningkatkan ruang bahu dan siku. Ruang kaki juga turut dibesarkan.

Dimensi bukaan pintu juga diluaskan supaya proses keluar-masuk kereta lebih senang dan mesra penumpang. Panel instrumen dan tingkap yang direndahkan serta cermin sukuan yang dianjak ke depan pula menjadikan penglihatan lebih jelas dan terasa lebih luas.


RUANG kokpit jentera ini tetap mengetengahkan teknologi dan rekaan canggih daripada Subaru.


Identiti unik Subaru

Model empat pintu mempunyai ruang but yang cukup untuk memuatkan empat beg golf dan mampu dibesarkan lagi dengan kerusi belakang jenis lipat 60:40.

Model lima pintu pula mampu memuatkan tiga beg golf dan kereta sorong bayi bersaiz besar. Bahagian hujung bumbung pula direka semula dengan lantainya direndah dan diratakan untuk menambah kapasiti penyimpanan barang, selain daripada kerusi jenis lipat 60:40.

Dengan konsep rekaan Smart & Classy, Impreza direka supaya tampil dengan perincian. Rekaan yang ekspresif pula menampakkan kualiti yang tinggi. Rekaannya menonjolkan dominasi jalan raya, keluasan dan kebolehgunaan.

Gril heksagon dengan sayap yang berkembang di tengah, lampu helang dan arca roda pula mencorakkan karakter dan keupayaan model AWD Subaru yang terkenal. Malah, itulah identiti unik kenderaan Subaru.

Enjin Boxer generasi ketiga pula ialah enjin baru yang diperkenalkan pada tahun lepas. Enjin itu lebih cekap bahan api dengan prestasi ekzos yang lebih baik. Enjin bersesaran 1,995cc mempunyai kuasa 148hp pada 6,200rpm. Ia dipadankan dengan transmisi baru Lineartronic CVT atau 5 kelajuan manual.

Tidak terjangkau fikiran

Pelik sungguh apabila Impreza menggunakan transmisi CVT. Walaupun dikatakan tidak agresif, hakikatnya transmisi CVT lebih menjimatkan minyak. Walau bagaimanapun, transmisi itu disertakan dengan pedal anjakan mode enam kelajuan manual dengan respon tukaran gear yang cemerlang bagi melahirkan rasa sporty yang sudah sinonim dengan Impreza.

Kesimpulannya, apa yang dibuat oleh Subaru terhadap Impreza itu mungkin suatu yang tidak terjangkau fikiran pengikut setia Impreza. Sebuah model yang terkenal dengan imej buas dalam perlumbaan rali dijinakkan menjadi kereta pemanduan harian.

Mungkin ada peminat Impreza yang menangis! Ini mungkin ada kena mengena dengan rasionalisasi bisnes oleh pemegang saham Subaru iaitu Toyota. Perubahan itu juga adalah selari bagi memenuhi kehendak pasaran umum dan mungkin untuk memanjangkan hayat Subaru supaya tidak terus terkubur.

Model-model Impreza sebelum ini dengan skup bonet depan yang ternganga dan spoiler tinggi di but belakang memang nampak gah. Namun, apa guna semua itu jika ia hanya dimiliki oleh segelintir orang. Dalam erti kata lain, produk yang bagus, tetapi tidak boleh dijual!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

XJ6 jentera 600cc pertama Hong Leong Yamaha

Posted:

XJ6 jentera 600cc pertama Hong Leong Yamaha

XJ6 jentera 600cc pertama Hong Leong Yamaha


XJ6 dijangka mampu menggugat kedudukan selesa pesaingnya terutama model Kawasaki ER6.


HONG Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (Hong Leong Yamaha) melancarkan motosikal terbarunya iaitu XJ6 Diversion di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini. Jentera dalam segmen middle sports itu merupakan produk yang dipasang tempatan di kilang Yamaha di Sungai Buloh, Selangor.

Aktiviti pemasangan tempatan itu menjadikan Malaysia sebagai negara kedua selepas Brazil untuk menjalankan aktiviti pengeluaran model XJ6 di luar Jepun. Tujuannya adalah untuk membuatkan jentera bersesaran 600cc itu lebih mampu dimiliki.

Yamaha XJ6 Diversion dilengkapi enjin empat silinder sebaris dengan sistem penyejukkan cecair dan pancitan terus bahan api yang sama seperti model YZF-R6. Ia berupaya menjana kuasa maksimum 57Kw@10,000rpm dan tork sehingga 59.7Nm@8,500rpm.

Pengarah Urusan Hong Leng Yamaha, C.H. Ng berkata, model berkapasiti 600cc pertama keluaran Hong Leong Yamaha itu akan menawarkan pengalaman tunggangan mengujakan yang sesuai untuk gaya hidup berbeza, sama ada bagi kegunaan dalam bandar atau pengembaraan santai.

"Unjuran jualan XJ6 Diversion adalah sebanyak 600 unit setahun. Kami juga mahu mencapai penguasaan pasaran lebih besar daripada jumlah keseluruhan industri motosikal bersesaran 250cc ke atas," katanya pada majlis pelancaran model tersebut.

Hadir sama ialah Pengurus Projek XJ6 Diversion Yamaha Motor Co. Ltd., Shin Yokomizo dan Pengurus Kanan Pemasaran Hong Leong Yamaha, G.S. Tan.

Yokomizo merupakan individu penting di sebalik pembangunan model R1 dan R6. Berhubung model terbaru itu, beliau memberitahu, konsep XJ6 Diversion adalah casual sports iaitu mudah dikendalikan, badan jentera lebih kompak dan sesuai untuk semua orang.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Hong Leong Yamaha dilihat komited dalam mengetengahkan rangkaian model motosikal dengan ciri inovatif dan berdaya saing. Lihat sahaja model-model street bike seperti FZ150i, 135LC enjin Diasil, Nouvo LC dan Ego LC yang dilengkapi dengan sistem penyejukan cecair.

Yamaha XJ6 Diversion ditawarkan pada harga RM39,000 seunit yang tidak meliputi cukai jalan, insurans dan nombor plat. Ia didatangkan dengan pilihan warna metalik biru atau hitam. Jentera itu boleh diperoleh menerusi 100 pengedar sah Hong Leong Yamaha di seluruh negara.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved