Ahad, 22 Mei 2011

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Bergaya santai dengan Fipper

Posted:

Bergaya santai dengan Fipper

Bergaya santai dengan Fipper

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my



PENGARUH pemakaian selipar ringkas atau flip flop sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat Malaysia.

Sejak beberapa tahun lalu, trend itu kembali menjadi pilihan generasi masa kini. Ia bangga dipakai sebagai aksesori bergaya selepas ia melalui beberapa fasa perubahan reka bentuk, warna dan fesyen.

Mendapat jolokan popular selipar Jepun suatu masa dahulu, flip flop kini diakui sebagai pilihan fesyen sepanjang zaman yang tidak luput ditelan arus kemodenan.

Tidak lagi dilihat sebagai aksesori yang tidak seiring perkembangan fesyen semasa, flip flop sebaliknya semakin popular dalam kalangan golongan muda terutamanya remaja masa kini untuk melengkapi aktiviti santai mereka.

Justeru, EarthFour Sdn. Bhd. yang membangunkan jenama Fipper pada tahun 2008 menghasilkan rekaan-rekaan flip flop yang trendy dan terkini untuk dipakai generasi penggemar yang mahu tampil bergaya dengan mudah dan ringkas.

Pengurus Besarnya, Dylan Cheong berkata, jenama Fipper dibangunkan selepas satu kumpulan kecil yang terdiri daripada empat anak muda melihat perkembangan fesyen sandal flip flop di negara luar yang begitu pesat membangun.

"Kini, Fipper mempunyai tiga orang pereka khas kreatif yang merupakan anak tempatan. Mereka menghasilkan rekaan yang menepati cita rasa semua golongan tidak kira usia," katanya ketika ditemui di butik Fipper di Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan Minggu lalu.

Menurut Dylan, Fipper merupakan 100 peratus jenama tempatan tetapi melalui proses pembuatan di Thailand.

Walaupun rupanya tidak seperti kasut atau sandal berjenama, ia tetap dilihat menarik di kaki pemakainya. Bukan sahaja cantik dan berkualiti, Fipper turut dijual dalam variasi pilihan warna yang sesuai dipadankan dengan pakaian santai.


DYLAN (tengah) gembira koleksi selipar Fipper mendapat sambutan anak-anak muda.


"Fipper dihasilkan menggunakan getah asli sepenuhnya dan bahan mentah yang paling sesuai boleh didapati di Thailand. Disebabkan itu, logo jenama ini menggunakan imej gajah yang terkenal di negara berkenaan," katanya.

Dylan memberitahu, fesyen flip flop masih baru di Malaysia tetapi sudah berkembang dengan cepat di luar negara yang menyediakan pelbagai rekaan berkualiti tinggi dan dijual pada harga tinggi.

"Fipper merupakan jenama peneraju di Malaysia dan kami mahu menghasilkan rekaan-rekaan terkini seiring permintaan dan perkembangan fesyen flip flop di sini.

"Kelebihan Fipper bukan sahaja pada harganya yang rendah berbanding kualitinya yang tinggi, malah ia antikulat dan bahan aslinya memastikan pengguna tidak tergelincir ketika pemakainya melangkah di permukaan licin," katanya.

Dalam pada itu, Dylan memberitahu, setiap rekaan Fipper tampil di antara 30 hingga 40 pilihan warna berbeza yang menepati cita rasa fesyen yang pelbagai.

Warna-warna terang seperti oren, hijau, merah, kuning, biru, firus dan ungu menjadi 'buruan' ramai, apatah lagi keluaran yang menggabungkan dua atau lebih warna.

"Setiap pasang Fipper mempunyai padanan warna yang sepadan atau kontra atau berjalur, terpulang kepada cita rasa pelanggan. Ada yang mahu tampil klasik dengan gabungan warna asas, atau tampil funky dengan gabungan warna-warna terang dan kontra.

"Ia bukan sahaja sesuai untuk kedua-dua aktiviti dalaman dan luaran, generasi masa kini memakai flip flop di mana-mana sahaja, sama ada ketika membeli-belah, keluar bersantai bersama teman atau ke pantai untuk menikmati masa percutian berkualiti," katanya.

Jelas Dylan, sejak diperkenalkan, Fipper mempunyai komuniti Facebooknya sendiri yang bukan sahaja membeli Fipper untuk kegunaan harian tetapi dijadikan koleksi peribadi yang lain daripada yang lain.

"Ada penggemar flip flop kini menjadi pengumpul jenama Fipper dengan memastikan mereka mempunyai koleksi warna-warna menarik yang menjadi kegemaran mereka.

"Selain itu, dengan koleksi tersebut, ia boleh dipakai dengan warna pakaian yang sepadan setiap kali keluar rumah. Pengguna tidak akan rasa terbeban untuk menyimpan koleksi Fipper kerana ia murah tetapi cantik dan selesa," katanya.


DYLAN menunjukkan selipar Fipper yang antikulat dan tidak licin kerana diperbuat daripada bahan berkualiti.


Sementara itu, Dylan memberitahu Fipper menawarkan empat pilihan flip flop iaitu Classic, Strong, Strip dan Comfort yang dijual pada harga berbeza.

"Kedai Fipper kini boleh didapati empat lokasi di Lembah Kelang iaitu di Plaza Sungei Wang, Ampang Point, Berjaya Times Square dan di Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan, manakala dua lokasi di Pulau Pinang ialah di pusat beli-belah First Avenue dan Lapangan Terbang Bayan Lepas.

"Selain itu, kami juga bakal membuka kedai baru di Mydin Subang Jaya, Selangor pada bulan Jun ini diikuti dua buah kedai lagi di Leisure Mall dan Sunway Pyramid akhir tahun ini," katanya.

Tambah Dylan, Fipper juga boleh didapati di pasar raya Carrefour dan bakal dipasarkan di kedai kesihatan dan kecantikan Guardian dalam masa terdekat.

"Kami mempunyai sasaran untuk mengembangkan jenama ini sebagai salah satu pilihan fesyen untuk semua golongan. Berdasarkan sambutan menggalakkan kini, kami bakal tampil dengan rekaan-rekaan fesyen flip flop terkini dan belum pernah dipasarkan di negara ini.

"Selain itu, Fipper juga bakal mengeluarkan koleksi Fipper Junior untuk kanak-kanak dan Fipper Metalic yang berkilat untuk mereka yang berani," katanya.

Katanya lagi, bagi menarik golongan berkeluarga atau pasangan kekasih untuk memiliki koleksi Fipper di rak kasut mereka, Fipper menawarkan pakej keluarga. Mengikut pakej itu, pelanggan yang datang bersama keluarga atau pasangan dapat membeli Fipper dengan harga diskaun.

"Ia sesuatu yang menggembirakan kami sekiranya dapat melihat pasangan atau keluarga tampil sedondon memakai sepasang flip flop Fipper dengan penuh bergaya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Keceriaan musim bunga

Posted:

Keceriaan musim bunga

Keceriaan musim bunga


BEG tangan motif hati ideal digayakan dengan busana konsep santai


YAKIN melangkah dalam gaya santai, funky dan ranggi, barisan model di pentas peragaan di Minggu Fesyen Mid Valley Megamall 2011 baru-baru ini berjaya mencuri perhatian khalayak.

Menyarung koleksi musim bunga Carlo Rino yang mengangkat tema The Rhythm of Spring, para tetamu memberi tepukan gemuruh dengan seleksi busana ilham pereka jenama itu.

Demikian gambaran kemeriahan acara yang berlangsung dalam suasana dekorasi pentas yang mempesonakan itu.

Selain berpeluang menyaksikan barisan model profesional mengatur langkah dalam persalinan busana menawan, para pengunjung acara tidak ketinggalan mencuci mata dengan seleksi aksesori dan pakaian daripada pelbagai jenama yang diperagakan.

Jenama Carlo Rino yang sememangnya popular menghasilkan koleksi beg tangan dan sepatu mengikut cita rasa anak muda ternyata tidak mengecewakan penggemarnya. Jenama antarabangsa tersebut sudahpun bertapak di sembilan buah negara seperti Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Vietnam, China, Hong Kong, Jepun dan Arab Saudi.

Saban tahun, Carlo Rino yang diasaskan oleh warga Itali iaitu Carlo Pollini dan Rino Luiza sekitar tahun 1986 itu tidak pernah menghampakan pencinta fesyen tempatan. Ia sentiasa menampilkan rekaan dan potongan produk yang cantik sekali gus menjadi koleksi wajib buat wanita Malaysia.


KONSEP suai padan antara pakaian polos dan bercorak menyuntik gaya funky pada penampilan remaja.


Selain ideal digayakan sewaktu bersantai atau menghadiri majlis formal, himpunan kasut dan beg tangan jenama Carlo Rino juga menarik untuk diperagakan ke majlis minum petang mahupun melancong bersama teman.

Namun, keistimewaan Carlo Rino tidak terhad pada koleksi kasut dan aksesori semata-mata.

Dalam majlis peragaan itu, suasana pentas bagaikan kembali ke era fesyen retro yang berwarna-warni dan sarat motif flora serta corak. Kombinasi pakaian yang dipamerkan tampak menarik dengan kehadiran item pakaian popular dalam kalangan kelompok wanita moden hari ini seperti sarung kaki ketat (legging), jaket mini dan skirt pendek.

Lebih menarik perhatian, koleksi blaus dan baju-T polos rona lembut tidak dibiarkan kelihatan ringkas begitu saja. Ia dipadankan bersama skirt dan seluar bercorak.

Melihat kreativiti dan keberanian wanita kini yang tidak lagi konservatif dalam bab berfesyen secara tidak langsung mendorong Carlo Rino memperkenalkan himpunan beg tangan dan kasut rona terang serta kontra.

Barangkali, segelintir wanita enggan melakukan sedemikian kerana terlalu biasa dengan pemilihan warna-warna selamat. Walau apapun alasannya, tidak salah kalau sesekali mencuba kelainan agar dapat mempelbagaikan imej mengikut situasi dan acara yang mereka hadiri.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Fenomena fesyen K-Pop

Posted:

Fenomena fesyen K-Pop

Fenomena fesyen K-Pop


KUMPULAN Wonder Girls gemar membawa konsep fesyen retro yang berwarna-warni.


PENGHUJUNG tahun lalu, media antarabangsa melaporkan situasi transisi dan trend fesyen yang sedang melanda kelompok generasi muda Myanmar terutamanya wanita di kawasan bandar.

Seiring dengan perubahan fesyen semasa, pemerhati fesyen mendapati wanita urban tidak lagi gemar memakai pakaian kebangsaan mereka iaitu longyi. Sebaliknya, obses pada pemakaian skirt atau seluar pendek bersama baju-T potongan sendat.

Selain itu, wanita muda Myanmar dilihat berani memilih pakaian berasaskan warna terang dan kontra berbanding rona lembut dan gelap. Ini termasuklah, memiliki koleksi pakaian konsep funky, comel dan ceria.

"Trend fesyen ini tercetus daripada pengaruh muzik fesyen Korea atau K-Pop yang terkenal dengan imej seumpama itu. Penampilan artis Korea cukup menarik dan sarat dengan elemen segar serta mempesonakan," jelas model remaja kelahiran Myanmar, Chan Chan yang turut menyatakan koleksi skirt mini, jaket, seluar pendek dan legging (sarung kaki ketat) antara item fesyen ala Korea yang semakin popular di Myanmar.

Namun, gelombang fesyen dan muzik K-Pop bukan saja melanda Myanmar malah pengaruhnya telah melanda Malaysia. Paling ketara, penjualan koleksi baju-T konsep funky dan legging pelbagai corak yang dijual secara meluas di beberapa gedung di sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, perunding imej dan pereka fesyen Faizal Hamid, turut mengakui bahawa pengaruh muzik dan artis K-Pop, sedikit sebanyak memberi inspirasi fesyen kepada anak-anak muda tempatan terutamanya stail pemakaian dan potongan rambut.

"Era K-Pop kini cukup gah di persada antarabangsa dan dijangka bertahan lama selagi peminat menggilai dan memberi sokongan padu kepada idola mereka tidak kira solo atau artis berkumpulan. Pada pengamatan saya, trend meniru gaya artis tidak hanya berlaku dalam kalangan masyarakat tempatan malah turut dipraktikkan peminat muzik di Eropah dan termasuklah di Korea.

"Sebab itu, budaya remaja di Korea mereka begitu obses bergaya sama seperti selebriti pujaan. Ketaksuban meniru gaya artis pujaan kadangkala menyebabkan mereka sanggup membelanjakan sejumlah wang semata-mata penampilan mereka salin tak tumpah bak selebriti pilihan," jelas Faizal yang turut memberitahu segelintir peminat fanatik sanggup menjalani pembedahan plastik agar raut wajah menyamai idola pujaan mereka.

Tambahnya, selain aksi, pakaian dan aksesori yang comel, pakaian warna kontra yang dipraktikkan oleh selebriti K-Pop turut menarik perhatian.

Buktinya, lihat saja pada penampilan grup Wonder Girls, 4 Minute, 5 Dolls, Kara, Sistar dan Orange Caramel. Keenam-enam kumpulan tersebut bukan saja memikat peminat dengan koleksi lagu dan persembahan pentas yang memukau malah sentiasa tampil bergaya dan stailo.

– IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved