Jumaat, 20 Mei 2011

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Kasih Rafidah ke hujung nyawa

Posted:

Kasih Rafidah ke hujung nyawa

Kasih Rafidah ke hujung nyawa

Oleh ADHAM SHADAN



ALLAHYARHAM Rafidah Ismail, 36, seorang ibu biasa yang terkorban ketika mengharungi dugaan luar biasa. Namun, apa yang berlaku kepadanya bagai manifestasi betapa agung dan agamnya kasih bonda yang bergadai nyawa demi anak-anak tercinta.

Sebagai ibu, dia bukan sahaja telah mengharungi sengsara sembilan bulan melahirkan zuriat, bahkan dia bergelut dengan api demi mendahulukan kasih sayangnya buat tiga cahaya matanya.

Pada pukul 1.30 petang, Jumaat dua minggu lalu, ketika khutbah berkumandang di mimbar-mimbar masjid, Rafidah dan tiga anaknya, Rashidah Illyana Zamri, 7, Zaim Shahrul Zamri, 6 dan Zaim Iqbal Zamri, 2 melalui detik cemas apabila rumah jenis teres yang didiami mereka di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, Kelantan terbakar. Punca api dilaporkan bermula dari arah dapur.

Menurut akhbar, Rafidah tidak dapat menemui kunci pintu jeriji besi depan rumahnya mungkin dek kerana panik. Ia menyebabkan empat beranak itu yang berada di ruang tamu terperangkap dalam api yang makin marak.

Api menyambar tubuh

Lantas, Rafidah yang merupakan jururawat di Hospital Kuala Krai kemudian nekad memecahkan cermin tingkap. Dia kemudian memerah sekuat kudrat dengan membengkokkan palang besi tingkap untuk menyelamatkan anak-anaknya terlebih dahulu dengan mengeluarkan mereka menerusi tingkap. Mungkin itu hasratnya kerana jika diukur daripada saiz tubuh Rafidah yang agak besar dengan berat 85 kilogram tidak memungkinkan dia keluar daripada ruang tingkap yang kecil itu.

Bunyi kaca yang pecah telah mengundang tanya di hati jiran sebelah rumahnya, Hasnah Mahmood, 34, seorang wanita yang sedang sarat mengandung lalu bergegas ke rumah Rafidah dan terkejut apabila Rafidah memberitahu rumahnya terbakar.

Hasnah membantu Rafidah menyambut keluar anak-anaknya dari tingkap bermula dengan yang bongsu, anak kedua dan anak sulungnya.

Kala Rafidah mengeluarkan anak sulungnya, Rashidah Illyana, Hasnah sudah pun menyaksikan api menyambar belakang dan kepala Rafidah. Kisah tragis itu berakhir dengan Rafidah membawa naluri kasihnya sehingga ke liang lahad apabila ditemui rentung berdekatan pintu rumahnya oleh bomba setelah kebakaran berjaya dipadamkan.

Suaminya, Zamri Hamat, 38, yang merupakan seorang anggota tentera tiada di rumah pada masa kejadian kerana bertugas dalam operasi hutan di Grik, Perak. Sebaik sahaja menerima berita itu pada kira-kira pukul 2 petang hari kejadian, dia bergegas pulang dan tiba di Kuala Krai pada pukul 6 petang.

Zamri ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini, nampak tenang namun apa yang tersimpan dalam gejolak rasa lelaki cekal itu tiada siapa yang tahu. Bayangkan, hati suami mana yang tidak luluh apabila kepulangannya 'disambut' dengan jasad isteri yang sudah rentung tidak bernyawa.

"Arwah rentung sepenuhnya sehingga identitinya sukar dikenali. Saya tidak sangka ini terjadi kerana ketika saya menghubunginya malam sebelum itu tidak ada apa-apa yang membimbangkan melainkan arwah memberitahu anak yang bongsu demam. Tapi, ini semua ketentuan Ilahi yang tidak mampu dilawan. Sudah ditakdirkan Tuhan arwah dijemput ajal apabila tiba masanya, tidak lebih atau kurang sesaat pun. Saya reda," ujarnya yang berkahwin dengan Rafidah pada tahun 2004.

Zamri berkata, Rafidah seorang ibu yang tegas, namun amat penyayang. Dia juga seorang yang amat mementingkan keselamatan anak-anak dan suka membantu orang lain.

Baru tiga minggu lalu, Rafidah membelikan banyak kain ela untuk dihadiahkan kepada ibu dan pengasuh anaknya selain untuk mereka sekeluarga bagi dibuat baju raya sempena Aidilfitri Ogos nanti.

"Anak-anak saya pun tidak banyak bercakap tentang hal itu mungkin mereka masih terkejut. Apabila saya tanya anak sulung, Rashidah cuma kata nampak api," katanya.

Jeritan sayu Rafidah

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dalam pertemuan itu, anak bongsu, Zaim Iqbal banyak menangis dan cuba ditenangkan Zamri. Anak kecil itu seolah-olah dapat merasakan ibu yang selalu didampinginya tiada lagi di sisi. Rashidah dan Zaim Shahrul seperti kanak-kanak biasa yang mungkin masih mentah yang adakalanya berlari ke sana sini. Namun, bila disua untuk bercerita tentang tragedi yang membuatkan mereka kehilangan ibu sekelip mata itu, mereka enggan bersuara.

Bapa Rafidah, Ismail Hussin, 63, yang uzur dan adik Rafidah, Roziah Ismail yang berusia 20-an juga menerima trauma yang tidak kurang hebatnya. Mereka yang tinggal di taman perumahan yang sama sempat tiba di depan pintu rumah Rafidah, namun tidak berjaya menyelamatkannya.

Jeritan sayu Rafidah yang merupakan anak sulung: "Abah tolong Along!" dan "Ji, tolong Along Ji!" sehingga teriakan itu lenyap mungkin suatu yang sukar diasing daripada ingatan.

Ismail yang menghidap lelah hanya mampu termengah di depan pintu rumah dan terduduk selepas berlari ke situ, manakala Roziah mencuba pelbagai perkara untuk menyelamatkan kakaknya seperti mengetuk pintu jeriji besi dengan batu dan menghubungi pihak bomba.

Jika Ismail dan Roziah sempat tiba ke rumah Rafidah, ibunya, Romlah Mamat, 56, pula jatuh terguling di tengah jalan ketika berlari untuk ke rumah Rafidah sebaik sahaja dimaklumkan jiran berlaku kebakaran itu.

Bergelar jururawat, sifat membantu sebati dalam diri anak sulung enam beradik itu. Menurut Romlah, Rafidah seorang yang gemar menghulurkan bantuan kepada orang lain dan sebagai kakak dan anak yang sulung, dia sanggup berkorban.

"Sebelum ini dia berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu namun, meminta untuk berpindah ke Hospital Kuala Krai kerana mahu menjaga saya dan suami memandangkan rata-rata adiknya terpaksa tinggal di luar negeri ini atas tuntutan kerjaya dan keluarga.

"Ramai rakannya datang ziarah tadi dan ada yang memberitahu mak cik, Rafidah orang yang paling ceria di hospital. Lepas ini pasti mereka sunyi," katanya.

Romlah juga tidak dapat membendung tangis, tatkala mengenangkan keanehan apabila anaknya itu menghadiahkannya kain ela untuk dibuat baju raya lebih awal daripada biasa pada tahun ini.

"Selalunya dalam dua bulan nak raya, tapi kali ini lebih awal. Dia sudahpun beri kain ela itu pada mak cik. Dia juga belikan kain ela untuk pengasuh anaknya yang juga adik mak cik," katanya.

Seorang ibu saudara Rafidah, Raihaniah Yaakob, 62, menyifatkan ketiadaan Rafidah sebagai kehilangan yang besar bagi dirinya.

"Dialah yang banyak membantu apabila mak cik ke hospital dan menghubungi mak cik bertanya khabar kesihatan. Mak cik ni ada macam-macam penyakit, darah tinggi, kencing manis. Dia memang suka menolong siapa-siapa pun terutamanya orang tua. Dia juga merancang untuk membantu ayah mak cik yang sakit tua menjalani proses pembedahan di bahagian perut Julai ini," katanya sebak.

Jirannya, Hasnah berkata, menyaksikan api yang sudah menyambar di kepala dan belakang Rafidah merupakan visual yang menerbitkan perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata.

"Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya kala melihatnya dan melalui detik genting itu. Saya cuba menenangkan Rafidah untuk mencari kunci dan minta dia bertakbir. Namun, saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimanakah kalau perkara sebegitu berlaku kepada saya," katanya yang menyifatkan Rafidah seorang jiran yang peramah.

Hasnah bagaimanapun tidak tahu bagaimana Rafidah membengkokkan palang besi tingkap itu. Menurut keluarga, ia dipercayai dilakukan dengan tangan Rafidah sendiri. Barangkali ada kekuatan yang diberikan Tuhan saat itu seiring kekuatan nalurinya untuk menyelamatkan anak-anaknya.

Takdir Tuhan juga, di saat semua barangan dalam rumah binasa, dua naskhah al-Quran dan lima helai kain ela yang diletak bersebelahan dengan kitab-kitab suci itu tidak dijilat api seperti yang dilaporkan Kosmo! baru-baru ini.

Walau apapun hikmahnya yang hanya diketahui Tuhan, namun, sekurang-kurangnya kain ela itulah kenangan dan penyambung kasih sayang Rafidah buat anak-anaknya walaupun dia sudah bersemadi di pusara.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kuiz ibu dan anak

Posted:

Kuiz ibu dan anak

Kuiz ibu dan anak

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my


SUASANA jadi gamat dan meriah ketika permainan Sejauh Mana Anda Mengenali Ibu berlangsung.


SUASANA Restoran The Garden di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya bertambah meriah dengan dekorasi segar rona putih dan hijau baru-baru ini. Semua itu bagi menyambut kehadiran pasangan ibu dan anak bagi meraikan sambutan Hari Ibu Bersama Farmasi Colours Cosmetic (FCC).

Sebanyak 17 pasangan gandingan ibu dan anak perempuan telah menyertainya. Ada yang mengenakan pakaian sedondon malah tidak kurang pula yang memakai pakaian dengan rona yang sama.

Paling jelas, pada hari tersebut pasangan anak-beranak itu kelihatan anggun terutamanya buat golongan ibu yang diraikan. Mereka yang hadir terdiri daripada pengguna setia produk FCC sendiri.

FCC adalah jenama kosmetik dari Istanbul, Turki yang telah dibawa masuk ke dalam pasaran Malaysia sejak tiga tahun laluk oleh syarikat Naturalife Solution Sdn. Bhd.


KIRI: Aksi ini merupakan salah satu jenis 'denda' yang dikenakan dalam permainan Kotak Beracun Bergerak.
KUMPULAN ibu dan anak berentap dalam permainan teka-teki melalui aksi gerak tubuh tanpa suara.


Rangkaian produk FCC yang berkualiti bukan sahaja dijual pada harga yang berpatutan dan berbau wangi, malah boleh digunakan ketika bersolat.

"Tujuan kami mengadakan sambutan Hari Ibu hari ini adalah untuk merapatkan lagi hubungan antara ibu dan anak kerana sebelum ini mungkin mereka sibuk dengan urusan masing-masing.

"Pelbagai aktiviti dirancang untuk menjadikan sambutan hari ini penuh makna buat ibu dan anak," ujar Pengarah Urusan Naturalife Solution Sdn. Bhd., Ili Zawani Ismail, 24.

Tambah beliau, sambutan Hari Ibu pada hari tersebut merupakan sambutan julung-julung kali diadakan bagi menghargai jasa para ibu.

Sambil duduk di meja makan secara bertentangan, kelihatan kebanyakan pasangan ibu dan anak berborak kosong sambil disulami canda tawa sebelum permainan dimulakan.



Sambil menjamu selera, keintiman pasangan ibu dan anak yang hadir diuji dengan pelbagai permainan.

Permainan yang membuka tirai berupa kuiz yang menguji sejauh mana si anak mengenali ibu masing-masing.

Sebelum permainan dimulakan, suasana jadi kecoh seketika. Semuanya kelam-kabut berbisik-bisik sesama sendiri malah ada anak yang baru terfikir untuk bertanya itu dan ini kepada ibu masing-masing

Terlukis kegusaran pada wajah beberapa orang anak ketika menjawab 10 soalan yang diberikan, mungkin mereka khuatir jika memberi jawapan yang salah.


AKTIVITI anjuran FCC ini ternyata dapat mengeratkan hubungan antara ibu dan anak.
SEORANG anak berpeluang menyolek ibunya dengan menggunakan produk FCC.


Si anak perlu menjawab soalan mengenai saiz kasut, umur ibu ketika berkahwin, horoskop, personaliti, filem kegemaran, barang kesayangan, warna tidak disukai, perkataan kesukaan dan nama timangan.

Ternyata pelbagai jawapan yang diberikan kerap kali mengundang hilai tawa dalam kalangan pengunjung di situ.

Permainan kedua pula menyaksikan kumpulan ibu berentap dengan kumpulan anak untuk memberikan jawapan melalui aksi gerak tubuh tanpa suara.

Suasana bertambah gamat apabila masuk permainan ketiga iaitu Kotak Racun Bergerak yang mengandungi pelbagai jenis denda di dalamnya.

Denda yang dikenakan bukanlah kejam tetapi lebih kepada menyemarakkan lagi kasih sayang di antara ibu dan anak.



Antara denda yang wajib dilaksanakan ialah si anak perlu mencium seseorang yang bukan ibunya, menyanyikan lagu kegemaran ibu anda, menyuap makanan kepada ibu dan bercerita tentang ibu anda.

"Penganjuran aktiviti seperti ini sangat baik untuk merapatkan lagi hubungan antara ibu dan anak. Dengan cara ini, saya dapat meluangkan masa berkualiti dengan anak.

"Semua ibu perlu rapat dengan anak mereka terutamanya anak perempuan. Ibu perlu selalu bertanya tentang aktiviti mereka memandangkan persekitaran kini jauh berbeza dengan dahulu," kata Janu Sidik, 45, yang merupakan seorang suri rumah.


PARA hadirin berpeluang mencuba rangkaian produk terbaharu daripada FCC.


Tambahnya, ada masanya seseorang ibu perlu garang dan ada masa pula perlu mempamerkan kelembutan.

Baginya, anak tetap anak dan mereka perlu hormat ibu masing-masing kerana ibu mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka.

Penuntut Kolej Taylor's, Tasnim Hisham, 18, sangat teruja apabila dapat meluangkan masa dengan ibunya kerana baginya ia salah satu cara untuk mengenali ibunya itu dengan lebih baik.

"Kami selalu meluangkan masa bersama. Ibu merupakan insan yang paling rapat dan bersifat terbuka apabila saya mahu berkongsi masalah.

"Walaupun kadangkala dimarahi ibu, saya tidak berkecil hati mahupun memberontak kerana saya faham tindakan ibu itu hanya untuk menegur kesilapan yang saya lakukan. Selamat Hari Ibu!," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Berhemah didik anak degil

Posted:

Berhemah didik anak degil

Berhemah didik anak degil


JIKA tidak mahu si comel ini bercakap kasar, ibu bapa perlu memberi contoh baik dengan bercakap lembut dan berhemah. - Gambar hiasan


DALAM sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap anak lahir dalam keadaan fitrah iaitu suci dan bersih, maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya bersikap seperti Yahudi, Nasrani atau Majusi."

Hadis ini jelas membuktikan ibu dan bapa mempunyai tanggungjawab besar untuk membentuk keperibadian dan sikap anak-anak. Terdapat tiga perkara utama yang perlu diusahakan dalam membentuk keperibadian anak-anak iaitu dengan melaksanakan komunikasi unggul, menunjukkan teladan yang baik dan paling penting, utamakan solat dan berdoa.

Komunikasi unggul

Ramai ibu bapa menganggap disiplin anak-anak akan dibentuk melalui kekerasan. Hakikatnya, peribadi mulia anak-anak akan wujud hasil daripada komunikasi unggul antara ibu bapa dan anak.

Ibu bapa perlu sentiasa berdampingan dengan anak-anak, bercakap dengan mereka, mengambil berat mengenai setiap kehendak mereka dan jangan sampai anak-anak merasakan mereka tersisih.

Sikap degil dan keras kepala si anak boleh wujud hasil daripada rasa tidak puas hati yang wujud dalam diri anak tersebut. Mereka bersikap degil sebagai tanda protes dan memberontak agar mereka diberi perhatian.

Anak perlukan kasih sayang dan belaian. Manjakan anak-anak tetapi jangan berlebihan. Belajar untuk katakan 'tidak' apabila perlu dan tepat pada masa serta keadaannya.

Jika anak bersalah, jangan terus menengking marah kepadanya. Praktikkan untuk menegur terlebih dahulu, jelaskan kesilapannya dan kemudian berpesan supaya jangan ulangi kesilapan tersebut.

Pakar psikologi menjelaskan, seorang anak kecil perlu ditegur dan diingatkan mengenai sesuatu perkara sekurang-kurangnya 200 kali. Selepas 200 kali teguran diberi, barulah anak tersebut boleh dimarahi.

Marah yang berpada-pada, jangan gunakan kata-kata kesat dan keras. Jiwa anak-anak terlalu lembut dan mudah untuk mengingati sesuatu yang melukakan hati. Mereka juga terlalu payah untuk melupakannya malah dalam banyak kes, segala keperitan dan kepedihan yang dialami ketika kecil diingati hingga mereka dewasa. Paling membimbangkan, sikap tersebut diwarisi kepada anak-anaknya pula.

Jangan biasakan memukul anak hanya kerana perkara kecil. Pukulan hanya langkah terakhir apabila teguran berulang kali diberikan dan pemulauan anak-anak dilaksanakan.

Pemulauan bermaksud, pinggirkan anak tersebut seketika dengan tidak melayan kehendaknya atau tidak dibawa bersembang sama. Tindakan itu menjelaskan bahawa anda merajuk hati dengan sikap tidak pedulinya terhadap teguran anda.

Setelah teguran dan pemulauan dilakukan, barulah pukulan boleh dilaksanakan. Itupun hanya dengan tujuan mengajar. Gunakan rotan yang sederhana, tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil.

Pukulan dibuat dengan keadaan lengan rapat ke tubuh dan dihayun rotan tersebut ke bahagian tubuh yang terlindung. Tempat terbaik ialah di tapak kaki. Untuk makluman, pakar kesihatan mengakui, pukulan di tapak kaki membantu pengaliran darah yang sudah semestinya baik untuk kesihatan.

Teladan yang baik

Ramai ibu bapa yang bersikap seperti ketam, menyuruh si anak berjalan betul tetapi diri sendiri gagal berjalan betul. Ibu bapa sepatutnya bersikap walk the talk iaitu menunjukkan sikap yang baik untuk anak-anak agar anak-anak boleh meneladaninya.

Jika tidak suka anak-anak lewat mandi, ibu bapa seharusnya mandi awal pagi. Jika tidak suka anak-anak bercakap keras dan kasar, ibu bapa perlu bercakap baik dan berhemah.

Jangan sesekali mengelirukan anak-anak dengan arahan. Sebagai contoh, si ibu menegur kesilapan si anak tetapi si bapa pula memarahi si ibu. Anak akan keliru, mana satu yang betul sebenarnya?

Jangan tonjolkan sikap buruk yang telah menjadi tabiat anda kepada anak-anak. Anda tentu tahu, anak anda diajar di sekolah tentang tabiat merokok itu tidak elok untuk kesihatan.

Jika anda merokok di depan anak, mereka akan keliru dengan ajaran guru sekali gus tidak hormatkan guru. Lebih sadis apabila mereka gagal untuk hormati anda sebagai ibu atau bapa.

Penting! Jika ada perselisihan faham antara anda dan pasangan anda, elakkan bermasam muka atau bertengkar di hadapan anak. Sikap keras anda akan mudah diteladani mereka.

Utamakan solat dan berdoa

Sebagai individu Muslim, anda perlu mendidik agar anak anda mengutamakan solat lima waktu. Solat bukan semata-mata ibadat dan tanda syukur kepada Allah, malah ia satu pembentukan akhlak dan disiplin yang baik.

Ajar anak-anak mengaji Muqaddam atau al-Quran sejak kecil, seboleh-bolehnya ketika anak sudah mula berkata-kata. Ajarkan juga anak bersolat. Biarpun tidak betul pergerakannya, melatih mereka sejak usia muda akan membentuk kebiasaan agar solat bukan lagi menjadi satu bebanan.

Jiwa yang menghayati solat akan terhindar daripada perkara tidak baik seterusnya melahirkan akhlak yang terpuji, Insya-Allah!

Sebagai ibu bapa, sentiasa praktikkan untuk mendoakan yang terbaik untuk anak-anak. Jangan biasakan kata-kata kesat dan negatif kerana ia mudah menjadi doa untuk anak anda.

Ingatlah, jika anak anda hidup dalam kekasaran, dia akan belajar melawan orang lain.

Jika anak anda hidup dalam kritikan, dia akan belajar menyalahkan orang lain.

Jika anak anda hidup dalam ketakutan, dia akan belajar jadi pengecut.

Jika anak anda hidup dalam iri hati, dia akan belajar berasa bersalah.

Jika anak anda hidup dalam kesabaran, dia akan belajar menjadi penyabar.

Jika anak anda hidup dalam galakan, dia akan belajar menjadi yakin.

Jika anak anda hidup dalam pujian, dia akan belajar menghargai.

Jika anak anda hidup dalam persetujuan, dia akan belajar menyayangi diri sendiri;

Jika anak anda hidup dalam kejujuran, dia akan belajar memahami kebenaran.

Jika anak anda hidup dalam keadilan, dia akan belajar menjadi adil.

Jika anak anda hidup dalam keselamatan, dia akan belajar menyayangi diri dan orang lain.

Jika anak anda hidup dalam kemesraan, dia akan belajar untuk menyayangi masyarakat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved