Jumaat, 20 Disember 2013

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Terjun sapu bersih

Posted:

Terjun sapu bersih

Terjun sapu bersih

TERJUNAN emas daripada atlet negara, Ahmad Amsyar Azman (kiri) dan Ooi Tze Liang ketika beraksi dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki pada Sukan SEA 2013 di Pusat Akuatik Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw, Myanmar semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar – Skuad terjun negara belum menunjukkan sebarang tanda belas kasihan apabila menyapu bersih pingat emas pada Sukan SEA 2013 buat hari ketiga berturut-turut, semalam.

Selepas menjuarai acara 10 meter platform individu lelaki dan wanita serta 3 meter papan anjal individu lelaki dan wanita sebelum ini, penerjun negara dilihat masih tidak mahu mengendurkan cengkaman dengan menguasai pula acara 3 meter papan anjal seirama lelaki dan wanita, semalam.

Gandingan Ahmad Amsyar Azman-Ooi Tze Liang meneruskan kecemerlangan skuad terjun dengan menjuarai kategori lelaki dengan mencatat 373.35 mata.

Mereka meninggalkan penerjun Singapura, Timothy Lee-Mark Lee (336.45 mata) dengan perbezaan 40 mata di tempat kedua manakala gandingan Jamjani Akhmad-Putra Adityo dari Indonesia (334.62 mata) menamatkan saingan di tempat ketiga.

"Kami hanya beraksi seperti biasa tanpa tekanan," kata Tze Liang yang meraih emas kedua peribadinya pada temasya kali ini.

Kejayaan penerjun lelaki itu kemudiannya disusuli dengan kejayaan penerjun wanita apabila gandingan Cheong Jun Hoong-Ng Yan Yee pula mengambil giliran melengkapkan kecemerlangan Malaysia, semalam.

Jun Hoong-Yan Yee mencatat 293.70 mata menewaskan penerjun Indonesia, Eka Indah Purnama-Dewi Setyaningsih (249.90 mata) di tempat kedua dan Fong Kay Yian-Myra Lee Jia Wen (223.53 mata), ketiga.

Hari ini, acara terjun akan menutup tirai dengan menawarkan emas ketujuh dan kelapan dalam acara 10 meter platform seirama lelaki dan wanita.

Setakat ini, Malaysia sudah memenangi kesemua enam emas yang telah dipertandingkan.

'Awasi ancaman Singapura'

Posted:

'Awasi ancaman Singapura'

'Awasi ancaman Singapura'


NASIR Basharudin (kanan) belum pasti diturunkan pada aksi menentang Singapura hari ini akibat kecederaan.


NAY PYI TAW, Myanmar - 'Jangan buat silap.' Itu peringatan daripada pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee kepada anak-anak buahnya menjelang aksi penentuan pingat gangsa menentang Singapura di Stadium Zeyyer Thiri petang ini.

Kim Swee berkata, sebarang kesilapan bakal mengundang padah kerana kedua-dua pasukan sudah mengenali rentak permainan masing-masing.

Selain sebagai hadiah terbaik untuk hari jadi Kim Swee, pingat gangsa itu juga sangat penting buat pemain-pemain yang kebanyakannya akan meninggalkan Harimau Muda tahun depan.

"Kami sudah bertemu dengan Singapura sebanyak dua kali dan kami seri dalam kedua-dua perlawanan tersebut.

"Jadi, sangat penting untuk pemain menampilkan aksi terbaik serta kurangkan membuat kesilapan. Siapa yang membuat silap, mereka pasti menerima padah," kata Kim Swee selepas mengendalikan sesi latihan pasukan di Golden Guest Hotel semalam.

Pada aksi ketiga Kumpulan A, 15 Disember lalu, Harimau Muda seri 1-1 dengan Singapura, manakala mereka terikat tanpa jaringan pada Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia.

Kim Swee berkata, perlawanan tersebut sangat penting kerana selepas gagal memenangi pingat emas hatrik, mereka perlu membawa pulang pingat gangsa.

Bagaimanapun, Kim Swee menjangkakan satu perlawanan yang sukar kerana kedua-dua pasukan bertekad untuk memenangi pingat gangsa sebagai pengubat kekecewaan.

Katanya, beliau tidak akan memandang mudah perlawanan itu dan akan menurunkan barisan terkuat.

Bagaimanapun, Harimau Muda bakal kehilangan khidmat dua pemain utama selepas Mohamad Nasir Basharudin dan Ashri Chuchu mengalami kecederaan.

"Selepas gagal mempertahankan pingat emas yang diinginkan, kami perlu memastikan pingat gangsa menjadi milik kami. Saya akan menurunkan kesebelasan terbaik bagi memastikan kami tidak pulang dengan tangan kosong.

"Pemain-pemain masih muda dan apabila bermain dalam perlawanan besar seperti itu, sudah pasti ada sedikit perasaan gugup tetapi secara keseluruhannya, saya tidak nampak kekurangan mereka.

"Saya berpuas hati terutamanya dengan sikap yang mereka tunjukkan. Mereka telah berjuang sehingga ke minit-minit terakhir.

"Kemungkinan besar, kedua-dua pemain itu (Nasir dan Ashri) tidak dapat diturunkan dalam perlawanan tersebut," katanya.

Kim Swee berkata, beliau akan memastikan pemain-pemain berada pada tahap terbaik meskipun ketika ini mereka berada dalam situasi keletihan selepas bermain lima perlawanan dalam tempoh dua minggu.

Katanya, pemain-pemain tidak menunjukkan perasaan kecewa meskipun gagal melayakkan diri ke final kelmarin.

Hoki wanita julang emas

Posted:

Hoki wanita julang emas

Hoki wanita julang emas


SKUAD hoki wanita negara meraikan kejayaan mereka meraih pingat emas acara hoki selepas menewaskan Thailand 6-1 pada perlawanan akhir semalam.


YANGON, Myanmar - Skuad hoki wanita negara berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya mempertahankan pingat emas selepas menewaskan Thailand 6-1 pada final Sukan SEA 2013 di Stadium Hoki Theinphyu semalam.

Pada perlawanan tersebut, skuad bimbingan jurulatih Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim cemerlang dengan rekod perlawanan tanpa kalah apabila Nuraini Abdul Rashid menjaringkan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti seawal minit keempat perlawanan.

Separuh masa pertama menyaksikan pasukan Thailand terus memberi tentangan sengit kepada pasukan negara namun Juliani Mohamad Din berhasil menyempurnakan pukulan sudut penalti dengan gol kedua pada minit ke-28.

Babak kedua perlawanan, skuad negara terus memberikan aksi bertenaga apabila kapten pasukan Nadia Abdul Rahman cemerlang menjaringkan gol ketiga menerusi jaringan padang pada minit ke-38.

Skuad negara terus memberikan tekanan kepada pasukan lawan apabila Raja Norsharina Raja Shahbudin menjaringakan gol keempat pada minit ke-52, seminit kemudian Nurul Nabila Mansur menambah gol kelima buat negara menerusi jaringan padang.

Fazillah Sylbester Silin mengesahkan kemenangan pasukan negara dengan jaringan keenam menerusi gol padang pada minit ke-67.

Thailand yang meraih pingat perak memperoleh gol tunggal menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Suratwadee Pimsan pada minit ke-70.

Pingat gangsa diraih pasukan tuan rumah, Myanmar selepas menewaskan Singapura 1-0 dalam satu lagi perlawanan penentuan pingat semalam.

Mohd. Nasihin ketika ditemui berkata, beliau berbangga dengan kesungguhan pasukan negara bagi memastikan kecemerlangan sukan hoki negara di peringkat Asia Tenggara.

"Kejayaan ini merupakan pingat emas pertama buat saya sebagai jurulatih di Sukan SEA. Saya amat gembira kerana daripada mula perlawanan berlangsung pasukan negara mencipta sejarah dunia dengan menjaringkan 36 gol ketika menentang Kemboja pada perlawanan pusingan awal.

"Pemain saya hari ini (semalam) bermain bermati-matian, saya amat menghargai kesungguhan mereka di sini. Thailand bermain dengan bagus, pertahanan mereka menyukarkan skuad negara untuk memberi serangan. Bagi saya perlawanan sebegini bagus untuk sukan hoki di peringkat Asia Tenggara," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Peluang peniaga promosi produk

Posted:

Peluang peniaga promosi produk

Peluang peniaga promosi produk

PENGUNJUNG juga boleh mendapatkan keperluan kelengkapan sekolah pada harga yang rendah.


KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah setiap peniaga yang menyertai Karnival Jualan Gudang Kedua (FOC ke-2) di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Kuala Lumpur.

Selain dapat menambah pendapatan, karnival itu juga dijadikan medan untuk mempromosikan produk terbaharu dengan cara yang lebih cepat dan mudah.

Menurut salah seorang peniaga, Rabiayatul Adawiyah Alias, 21, dia berasa amat bertuah kerana dapat bersama-sama menyertai karnival tersebut buat pertama kalinya.

"Saya menjual produk kecantikan secara dalam talian, namun disebabkan potensi yang ada pada produk ini, maka saya telah dijemput untuk menyertai karnival ini.

"Sasaran utama saya adalah untuk memperkenal produk terbaharu keluaran syarikat saya kepada para pengunjung," katanya.

Menurut peniaga kelahiran Kuala Lumpur itu, dia menjual barangan kecantikan seperti produk untuk muka dan badan daripada bahan semula jadi. Dia turut memberikan harga istimewa dan beberapa barangan secara percuma.

PERSONAL TRANSPORT ini dijual pada harga RM7,500 seunit.


Selain itu, pameran tersebut turut menjadi tumpuan syarikat-syarikat tempatan mempamerkan atau memperkenalkan produk berteknologi terkini.

Antaranya, kenderaan beroda dua dikenali sebagai Personal Transport yang diimport dari negara China oleh Leadway (Malaysia) Sdn. Bhd. Keistimewaan produk ini ialah menggunakan teknologi hijau.

Menurut Pengurus Pemasaran Leadway, Cindy Tan, pihaknya turut memberi peluang kepada para pengunjung untuk mencuba kenderaan tersebut secara percuma.

"Kenderaan ini berfungsi menggunakan tenaga bateri yang boleh dicas semula dan boleh bergerak sejauh 30 kilometer. Kenderaan ini dijual pada harga serendah RM7,500 seunit dan boleh digunakan untuk beriadah, di dalam kilang dan lapangan terbang.


UTUSAN KARYA iaitu anak syarikat Kumpulan Utusan turut menyertai karnival ini.


"Promosi secara percuma ini juga hanya ditawarkan kepada pengunjung-pengunjung karnival ini manakala di tempat-tempat lain biasanya dikenakan bayaran sebanyak RM5," katanya.

FOC kali ke-2 ini dianjurkan Koperasi Matrade Kuala Lumpur Berhad (Coop Matrade) bermula dari 18 hingga 22 Disember ini.

Sepanjang lima hari program itu, pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai barangan termasuk makanan, pakaian, kasut, barangan bayi dan kelengkapan sekolah anak-anak.

Salah seorang pengunjung, Amy Rejab, 30, antara tarikan utama pameran kali ini ialah tawaran harga barangan yang lebih rendah berbanding di tempat lain.

Ujar pekerja swasta itu lagi, dia mengunjungi karnival tersebut selepas diberitahu oleh rakan-rakan sekerjanya.

"Saya peminat produk kecantikan dan di karnival ini terdapat pelbagai jenama dan setiap penjual memberikan tawaran yang menarik.


PENGUNJUNG boleh menjamu selera di gerai makanan yang ditawarkan pada harga berpatutan.


"Saya akan datang semula pada hari terakhir kerana kebiasaannya para penjual membuat tawaran harga runtuh," katanya yang membeli beberapa produk tersebut.

Bagi Wan Ahmad Wan Abdullah, 30, dia sanggup menempuh perjalanan dari Johor Bahru ke ibu negara semata-mata untuk mengunjungi karnival tersebut.

Penggemar barang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) itu, menganggap penganjuran FOC kali ini melibatkan penyertaan yang lebih banyak daripada pihak IKS berbanding penganjuran kali pertama lalu.

"Karnival seperti ini memberi peluang kepada saya untuk menimba ilmu daripada usahawan-usahawan bumiputera yang telah berjaya selain dapat mengenali produk-produk terbaharu keluaran mereka.

"Produk-produk keluaran IKS sebenarnya berkualiti tinggi, namun disebabkan kurangnya promosi maka kurang dikenali," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Anggota PDRM terperangkap dalam serangan di Sudan Selatan diselamatkan - Khalid

Posted:

Anggota PDRM terperangkap dalam serangan di Sudan Selatan diselamatkan - Khalid

Anggota PDRM terperangkap dalam serangan di Sudan Selatan diselamatkan - Khalid

20/12/2013 10:34pm

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terperangkap dalam serangan puak bersengketa di Sudan Selatan, telah diselamatkan.

"Syukur, Koperal Pritam Singh yang terperangkap di dalam sengketa etnik di Bor, South Sudan telah diselamatkan oleh Pasukan Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)," katanya menerusi laman Twitter.

Anggota polis itu dilapor terperangkap di Akobo, Bor, sejak Rabu lepas.

Beliau antara anggota PDRM yang berkhidmat dalam Pasukan Pengaman PBB di negara berkenaan.

"Keadaan di South Sudan amat meruncing ekoran sengketa/pembunuhan di antara Ethnik Nuer dan Dinka. Alhamdulillah Wira kita selamat," demikian catatan Khalid menerusi akaun Twitternya itu.

Usaha Bernama untuk menghubungi Khalid bagi mendapatkan maklumat lanjut bagaimanapun gagal.

Media melaporkan sejak 15 Disember lepas, lebih 500 terkorban manakala 800 lagi cedera dalam pertempuran membabitkan penyokong Presiden Sudan Selatan Salva Kiir dan penyokong bekas Naib Presiden, Riek Machar.

Pertempuran turut dilapor berlaku di Pibor, satu kawasan di Jonglei.

Etnik Dinka merupakan penyokong Kiir, manakala Nuer pula menyebelahi Machar. - Bernama

APMM perkukuh pasukan forensik

Posted:

APMM perkukuh pasukan forensik

APMM perkukuh pasukan forensik

20/12/2013 9:48pm

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini dalam usaha memantapkan pasukan forensiknya menerusi latihan dan kursus yang dirancang secara berjadual.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata pasukan itu yang ditubuhkan pada 2012 kini dianggotai 30 pegawai.

"Pasukan ini baru selesai menjalani kursus dari 2 hingga 18 Dis lepas melibatkan kerjasama pakar forensik, Pengawal Pantai Jepun bersama Fakulti Sains Forensik, Universiti Kebangsaan Malaysia," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, sejak diwujudkan pasukan itu telah terbabit dalam 11 kes.

"Antara kes yang pernah dikendalikan dan didakwa di mahkamah melibatkan kes penyeludupan dadah dan rompakan bersenjata di laut," katanya. - Bernama

Bekas bintang Akademi Fantasia menang saman terhadap TV3

Posted:

Bekas bintang Akademi Fantasia menang saman terhadap TV3

Bekas bintang Akademi Fantasia menang saman terhadap TV3

20/12/2013 9:08pm

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan TV3 dan empat yang lain membayar ganti rugi RM250,000 kepada bekas Bintang Akademi Fantasia Musim ke-2, Nurullah Zawawi dan suaminya dalam kes saman fitnah berhubung status perkahwinan mereka yang disiarkan dalam program hiburan Melodi dua tahun lepas.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin juga memerintahkan kelima-lima defendan membayar sejumlah RM70,000 sebagai kos kepada penyanyi itu yang lebih dikenali dengan gelaran Nurul AF2 dan suaminya, Mohd. Munzil Muhamad selaku plaintif pertama dan kedua.

Nor Bee membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang dikemukakan pasangan itu terhadap TV3, penerbit rancangan Melodi, Azman Abd Ghafar, wartawannya Michelle Wee Lili, syarikat Alt Media Sdn. Bhd. dan abang kandung Nurul iaitu Bustamam Zawawi.

Nor Bee juga memutuskan kesemua defendan gagal membuktikan pembelaan masing-masing dalam kes saman itu.

Pada 5 September 2011, Nurul dan suaminya memfailkan saman terhadap kesemua defendan selepas rancangan Melodi pada 26 Jun 2011, menyiarkan kenyataan berhubung isu perkahwinan mereka yang didakwa berunsur fitnah berserta gambar visual yang merujuk kepada pasangan itu. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Misi satelit Gaia buat peta 1 bilion bintang

Posted:

Misi satelit Gaia buat peta 1 bilion bintang

Misi satelit Gaia buat peta 1 bilion bintang

LAKARAN artis menunjukkan satelit itu membuat pemetaan di galaksi Bima Sakti. - REUTERS


BERLIN - Agensi Angkasa Lepas Eropah berjaya melancarkan satelit peninjau ke angkasa lepas semalam dalam usaha untuk memetakan satu bilion bintang di galaksi Bima Sakti dalam bentuk tiga dimensi.

Menurut agensi itu, satelit Gaia itu memasuki angkasa lepas dari pusat pelancaran Kourou di Guiana Perancis pada pukul 6.12 pagi waktu tempatan.

Satelit itu dibawa dengan roket buatan Rusia, Soyuz ke angkasa lepas.

Sejurus selepas Gaia tiba di Lagrange 2 yang terletak di angkasa lepas dan sejauh 1.5 juta kilometer dari Bumi, ia akan membuka pelindung cahaya matahari secara automatik.

Pelindung itu akan melindungi peralatan penting daripada terkena sinaran matahari.

Satelit itu akan menggunakan dua buah teleskop bagi mengkaji kedudukan, pergerakan serta bahan kimia yang terdapat pada satu bilion bintang.

Bima Sakti mempunyai kira-kira 100 bilion bintang.

Data-data itu akan membantu para saintis menentukan asal usul Bima Sakti dan evolusinya, menurut timbalan ketua projek tersebut, Jos de Bruijne.

Misi itu melibatkan kos sebanyak AS$1 bilion (RM3.2 bilion). - Agensi

Porsche korbankan Walker tiada masalah mekanikal

Posted:

Porsche korbankan Walker tiada masalah mekanikal

Porsche korbankan Walker tiada masalah mekanikal


GAMBAR fail menunjukkan lokasi nahas Porsche yang mengorbankan Walker di Valencia pada 30 November lalu.


LOS ANGELES - Para penyiasat mendapati tiada bukti bahawa kereta Porsche yang mengorbankan pelakon filem Fast & Furious, Paul Walker (gambar kecil) mengalami masalah mekanikal sehingga ia merempuh tiang lampu dan pokok sebelum terbakar di Valencia, California.

Siasatan yang dilakukan pihak berkuasa tersebut turut menafikan terdapat serpihan di atas jalan raya yang menyebabkan kereta yang dipandu rakan Walker itu terbabas.

Dalam siasatan itu juga, para penyiasat tidak menemui keadaan jalan raya sebagai punca yang menyebabkan nahas tersebut berlaku.

"Kami sedang melakukan siasatan tentang kelajuan kereta itu," kata seorang pegawai penguat kuasa kepada agensi berita The Associated Press.

Nahas yang berlaku pada 30 November lalu itu turut mengorbankan pemandu kereta berkenaan, Roger Rodas yang juga penasihat kewangan Walker.

Ketika nahas, Rodas memandu kereta Porsche Carrera GT keluaran tahun 2005.

Badan Walker dilaporkan teruk terbakar dalam nahas tersebut.

Para jurutera kereta Porsche juga akan datang ke California pada bulan depan untuk membantu siasatan.

Data maklumat kereta itu terselamat walaupun ia teruk terbakar.

Rodas, 38, dan Walker, 40, merupakan pemilik bersama sebuah syarikat perlumbaan kereta.

Rakan Walker itu juga seorang pemandu lumba kereta profesional.

Filem Fast & Furious lakonan Walker mengisahkan tentang perlumbaan jalanan. - Agensi

Kotak kaca di puncak gunung Perancis jadi tarikan pelancong

Posted:

Kotak kaca di puncak gunung Perancis jadi tarikan pelancong

Kotak kaca di puncak gunung Perancis jadi tarikan pelancong


DECHAVANNE berdiri di dalam kotak kaca itu.


PARIS - Sebuah kotak kaca diletakkan di struktur bangunan di puncak Gunung Aiguille du Midi di pergunungan Alps, Perancis.

Kotak kaca itu berada pada ketinggian 3,842 meter dan para pengunjung boleh melihat pemandangan unik kawasan pergunungan.

Pengunjung perlu memakai selipar semasa mereka memasuki kotak kaca itu.

Kotak kaca itu akan dibuka kepada orang ramai pada 21 Disember depan.

Ia merupakan daya tarikan pelancong terbaharu di lokasi itu.

Para pelancong boleh menyaksikan pemandangan Gunung Mont Blanc yang paling tinggi di Eropah.

Syarikat Compagnie du Mont Blanc yang diketuai Mathieu Dechavanne membiayai kos kotak kaca itu. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Pesona

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Kehidupan kami lebih baik

Posted:

Kehidupan kami lebih baik

Kehidupan kami lebih baik

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

PANGGILAN telefon yang diterima daripada anak saudaranya tentang peluang bekerja di syarikat Superbest Power Health Food & Beverages Sdn. Bhd. (Superbest Power) saat dia memerlukan wang disifatkan sebagai durian runtuh.

Meskipun menerima tawaran tersebut ketika dia dalam pantang, Satrah Sulaiman, 39, menggagahkan dirinya untuk menghadiri temu duga terbuka syarikat pengeluar kopi pracampur berjenama Superbest Power itu.

Mengimbas peristiwa setahun lalu, ibu tunggal itu memberitahu, Pengarah Urusan Superbest Power, Kamal Mohd. Nor pada ketika itu tidak teragak-agak untuk menawarkan pekerjaan kepadanya.

"Saya mengisi borang permohonan, sebelum dipanggil untuk ditemu duga dan diterima bekerja pada minggu yang sama.

"Tindakan Kamal bukan sahaja memberikan saya peluang dapat membesarkan anak saya dengan baik, malah turut meletakkan kepercayaan kepada saya untuk melancarkan operasi perniagaan Superbest Power," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Diberi tanggungjawab untuk menjaga mesin pengadun kopi, Satrah perlu mengadunkan 1.5 tan campuran bahan mentah setiap hari dan setiap 300 kilogram campuran yang mengambil masa selama satu jam. Bahan-bahan yang diadun ialah krimer, biji kopi Arabika dari Brazil dan herba terpilih.


KIRA-KIRA 45,000 pek kopi Superbest Power dibungkus setiap hari.


Suami meninggal dunia

Mesin tersebut merupakan salah satu alat penggerak utama dalam menghasilkan produk Superbest Power. Mensyukuri kehidupannya kini, Satrah memberitahu, kehidupannya sebelum ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila suami keduanya, .Omar Salleh Bukko meninggal dunia tahun lalu.

"Saya berkahwin pada usia 18 tahun. Namun, perkahwinan kami hanya bertahan selama 19 tahun dan bercerai pada 2001. Selepas bergelar ibu tunggal, saya telah berhijrah dari Tawau, Sabah ke Semenanjung Malaysia dan tinggal bersama kakak di Damansara Damai, Petaling Jaya.

"Pada tahun 2010, saya berkahwin buat kali kedua dengan seorang pegawai pameran perabot. Bagaimanapun, suami meninggal dunia dalam satu kemalangan di Melaka dan saya menjadi ibu tunggal untuk kali kedua," ujarnya yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya.

Bagaimanapun, ketiga-tiga anaknya itu kini di bawah jagaan bekas suaminya. Satrah, yang mempunyai seorang anak dengan arwah suami kedua dan memelihara bayi tersebut. Bayi yang berumur satu tahun lima bulan itu akan dihantar ke rumah pengasuh apabila dia keluar bekerja.

Satrah telah bekerja selama setahun empat bulan dan berjaya memperbaiki taraf kehidupannya sebagai ibu tunggal.

"Saya kini lebih berdikari dan tidak meminta pertolongan daripada orang lain. Setiap bulan saya mampu untuk membayar sewa rumah, bil air dan api, Astro serta upah pengasuh," katanya.

Sementara itu, Kamal memberitahu, dia begitu bersimpati dengan nasib yang menimpa Satrah.

"Satrah berjumpa dengan saya dan menceritakan keperitan hidupnya. Dia juga memberitahu bahawa dia tiba di Kuala Lumpur dengan keadaan sehelai sepinggang.

"Namun, dia tidak pernah berputus asa untuk meneruskan kehidupan dan itu membuatkan saya yakin untuk mengambilnya bekerja," jelas beliau yang berharap pendapatan yang diperoleh dapat membantu memperbaiki taraf hidup wanita tersebut.


SATRAH dibantu seorang pekerja memasukkan bahan mentah serbuk kopi.


Bantu suami

Seorang ibu muda, Siti Aisah Sulaiman, 28, bekerja di syarikat ini kerana mahu membantu suaminya, Abdullah Wahab, untuk membesarkan sembilan orang anak mereka.

"Saya membantu suami untuk membesarkan tujuh orang anak tiri dan dua anak kandung. Suami pula bekerja sebagai pemandu peribadi dan gaji yang diperoleh hanya cukup untuk menampung perbelanjaan asas.

"Jadi, saya mengambil keputusan untuk membantu suami. Syukur, Allah telah mempermudahkan urusan saya apabila diterima bekerja di sini," ujarnya.

Menurut Siti Aisah, dia pernah menghidap sakit selepas melahirkan anak kedua. Disebabkan masalah itu, suaminya tidak membenarkan dia keluar bekerja.

Bagaimanapun, selepas berjaya memujuk suaminya, kini Siti Aisah sudah masuk setahun tiga bulan bekerja di syarikat Superbest Power.

Ketika ditemu bual, Siti Aisah begitu sibuk memastikan pek bungkusan kopi Superbest Power dikelim dengan sempurna. Menurutnya, kira-kira 45,000 bungkusan kopi Superbest Power dipek dan dimasukkan ke dalam kotak bungkusan setiap hari.

Lain pula kisahnya dengan seorang ibu tunggal yang bekerja di syarikat berkenaan, Kamsiah Marzuki, 45.

Menurut Kamsiah, dia memohon pekerjaan tersebut kerana tidak mahu menyusahkan empat orang anaknya yang masing-masing berusia 29, 28, 26 dan 22 tahun.

"Anak sulung saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, manakala yang lain sibuk menguruskan kehidupan masing-masing. Saya lebih seklesa berdikari supaya tidak membebankan mereka," jelas wanita yang bertugas di bahagian pembungkusan produk Superbest Power.

Kamsiah ditugaskan di bahagian pembungkusan bersama enam pekerja yang lain. Kira-kira 3,000 kotak produk Superbest Power akan dimasukkan ke dalam plastik secara manual sebelum ia digam menggunakan mesin automatik.

Menurut Kamsiah, dia berkira-kira untuk menunaikan ibadah umrah dengan wang simpanan hasil titik peluhnya sendiri.

"Setiap bulan saya akan menyimpan satu perempat gaji sebagai persiapan untuk ke Tanah Suci," luahnya yang berharap untuk menjejakkan kaki ke sana sementara kudratnya masih kuat.


KAMAL kerap turun padang untuk memastikan kelancaran pengeluaran produk Superbest Power.


Hujung tahun ini, genaplah tujuh bulan Kamsiah bekerja di Superbest Power dan kini dia berasa lega kerana boleh merancang kehidupannya tanpa perlu melibatkan anak-anak.

"Kepala saya tidak lagi runsing memikirkan perbelanjaan rumah atau menjadi bebanan kepada anak-anak. Gaji yang diperoleh sangat mencukupi untuk menampung diri, malah saya turut pergi membeli-belah mencari pakaian baharu," katanya.

Jelas Kamsiah, untuk perbelanjaan harian, dia dan rakan-rakannya bermain kutu secara mingguan dan bulanan.

Melihat semangat kekeluargaan yang ditunjukkan dalam kalangan pekerjasyarikat Superbest Power, Kamal mengakui bahawa aspek tersebut sering ditekankan syarikat tersebut demi memantapkan kerjasama sesama mereka.

"Melalui usaha dan aktiviti yang dijalankan antara mereka, kami dapat melihat keakraban hubungan dan kepercayaan yang terbina.

"Saya sangat bersyukur dengan keharmonian ini. Untuk meningkatkan lagi ikatan silaturrahim ini, kami turut menganjurkan majlis makan-makan atau meraikan hari jadi pekerja," katanya.

Batik canting tarikan Pavilion Malaysia

Posted:

Batik canting tarikan Pavilion Malaysia

Batik canting tarikan Pavilion Malaysia

Oleh NAJIBAH HASSAN


ZAKIAH (tengah), Ying (kanan) dan rakannya yang berjaya mewarnakan batik canting mereka hasil tunjuk ajar beliau.


SERAKAN dan gabungan beberapa warna air yang diserap kain kapas yang siap dicanting dengan corak batik itu benar-benar menarik perhatian Yang Ying, 30, ketika dia melintasi gerai Pavilion Malaysia.

Setelah memerhati dengan teliti kaedah mewarna yang ditunjukkan oleh ilustrator Zakiah Isa, wanita dari wilayah Jiangxi, China itu memberanikan diri bertanya sama ada dia boleh mencubanya.

Selepas diberikan berus, warna air dan batik canting, Ying duduk di meja yang disediakan lalu dia terus mewarna tanpa mempedulikan orang ramai yang mengerumuninya.

Dalam masa kurang 10 minit, ibu kepada seorang anak itu berjaya mewarnakan lukisannya.

"Ia satu pengalaman yang menakjubkan. Saya bebas mewarna mengikut cita rasa saya. Inilah kali pertama saya melihat batik canting. Lazimnya saya melihat lukisan di atas kertas, tetapi ia dicanting di atas kain.

"Seni ini cukup cantik, ringkas dan istimewa," kata pengarang majalah itu yang datang ke Pesta Buku Kanak-Kanak Antarabangsa Shanghai, China (CCBF) baru-baru ini bersama seorang rakan.

CCBF merupakan acara yang julung-julung kali dianjurkan khusus untuk memberi tumpuan kepada perdagangan hak cipta, penerbitan, cetakan dan pengedaran buku kanak-kanak dari usia bayi hingga 16 tahun.

Belum pun sempat Ying habis mewarna, Pavilion Malaysia terus diasak pengunjung tanpa henti untuk mendapatkan batik canting yang serupa sehingga Zakiah tidak menang tangan melayannya kerana lukisan itu diberi secara percuma.


NAEMAH (kiri) dan Zakiah menyusun batik canting yang bakal diwarnakan oleh pengunjung yang berminat.


Percuma

Lebih menggembirakan, mereka yang siap mewarna lukisan masing-masing boleh membawanya pulang ke rumah. Memandangkan begitu ramai yang ingin cuba mewarna, ada yang sanggup menunggu giliran sementara menantikan individu lain siap mewarna.

Suri rumah, Hua Xiong, 35, yang datang ke CCBF bersama seorang anak lelakinya, Fay, 7, memberitahu, anaknya begitu gemar dengan subjek lukisan.

"Batik canting ini sesuatu yang baharu kepadanya dan dia cukup teruja mewarna batik tersebut," jelas wanita yang berasal dari Shanghai yag turut membawa rakan sekelas anaknya.

Zakiah, 55, memberitahu, aktiviti mewarna lukisan batik canting itu berjaya menarik ramai pengunjung ke Pavilion Malaysia untuk mengenali batik canting dan buku-buku yang dipamerkan.

"Melalui cara ini kita dapat berkenalan dan membina rangkaian lebih dekat dengan para penerbit dan pengarang.

"Apa yang lebih mengujakan saya ialah buku-buku Pak Yusof yang dibawa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebanyak 11 judul dan buku-buku terbitan Lingard Literacy Agency berjaya menarik perhatian para penerbit di sana untuk diterjemahkan," katanya yang teruja dengan sambutan orang ramai terhadap lukisan tema gajah suaminya, Yusof Gajah, seorang pelukis tersohor tanah air.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, beliau membuat persediaan selama seminggu untuk menjalankan aktiviti mewarna batik canting dengan menggunakan papan lapis.

Zakiah yang lebih mesra dengan panggilan Mama menjelaskan, meskipun beliau membawa 105 buah lukisan batik canting dengan gambar yang berbeza untuk diwarnakan, jumlah tersebut ternyata tidak mencukupi. Antara lukisan tersebut ialah bunga raya, gajah membaca buku, gajah memegang pensel, ikan di dalam kolam dan sebagainya.

Bahkan, katanya sepanjang tiga hari pesta berlangsung, sambutan yang diterima adalah di luar jangkaan. Bukan kanak-kanak yang datang bersama ibu bapa saja yang berebut mahu mewarna batik canting, bahkan orang dewasa juga ramai yang menunjukkan minat. "Idea Perbadanan Kota Buku mengetengahkan aktiviti mewarna batik canting sesuatu yang berbeza dan mengujakan pengunjung," jelasnya yang pertama kali mengendalikan aktiviti seumpama itu di Shanghai.

Selain Zakiah, seorang lagi penulis dan ilustrator yang menjayakan aktiviti mewarna batik canting ini ialah Naemah Ismail.


PAVILION Malaysia yang mempamerkan bahan-bahan bacaan dari negara ini.


Identiti Malaysia

CCBF yang berlangsung di Pusat Pameran ShanghaiMart, Shanghai, China itu turut disertai Perbadanan Kota Buku dengan membawa 40 delegasi yang terdiri daripada penerbit, penulis, penggiat buku, ilustrator dan penggiat tekno kreatif.

Antara penerbit tempatan yang terlibat ialah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, BackBone Entertainment serta disokong oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.

Pengurus Perbadanan Kota Buku, Norhayati Razali berkata, walaupun acara ini julung-julung kali dianjurkan, pihaknya yakin Malaysia memiliki bahan-bahan yang sesuai untuk dijual hak ciptanya di Shanghai.

"Saya percaya buku-buku yang membawa identiti Malaysia dapat memancing minat penerbit-penerbit luar kerana kita mempunyai kumpulan profesional yang bergiat cergas dalam industri buku kanak-kanak," katanya.

Selain membawa lebih 100 judul buku kanak-kanak yang dipamerkan di Pavilion Malaysia, penyertaan ini kata beliau dapat membuka lembaran baharu kepada industri perbukuan tempatan.

Perbadanan Kota Buku berperanan sebagai pusat sehenti bagi menghimpunkan kegiatan perbukuan bagi pembaca, penulis dan penerbit bertemu serta menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan.

Jaga hubungan keluarga bersama adik-beradik

Posted:

Jaga hubungan keluarga bersama adik-beradik

Jaga hubungan keluarga bersama adik-beradik


HUBUNGAN bersama rakan-rakan di luar negara ibarat adik-beradik kerana masing-masing jauh daripada keluarga tersayang. - Gambar hiasan


ADIK-BERADIK merupakan harta perasaan yang tidak ternilai. Ia membawa damai di hati. Lalu tidak pelik apabila mendengar kata-kata mereka yang berada di perantauan berkata, 'hubungan kami seperti adik-beradik'.

Itulah nilai persahabatan bersama sahabat handai yang dikatakan melangkaui hubungan saudara sebapa. Bagaimana pula dengan hubungan sebenar bersama adik-beradik?

Saya fikir, kami iaitu saya dan isteri mempunyai hubungan rapat dengan keluarga yang hampir. Saya mempunyai 12 adik-beradik. Isteri pula separuh daripada bilangan tersebut.

Jika disekalikan, maka jumlah adik-beradik yang kami miliki menjadi 18 orang kesemuanya. Alhamdulillah, Allah memberi nikmat bilangan adik-beradik yang ramai kepada kami berdua.

Antara adik-beradik saya dan isteri, mereka boleh bertemu tanpa kehadiran kami sekeluarga. Misalnya, kami ketawa melihat kedatangan salah seorang adik ipar ke Madinah tanpa isteri.

Maksudnya, beliau hadir bersama kakak-kakak ipar dan biras. Kelihatan mereka serasi. Malah beliau menjadi ahli keluarga yang bertanggungjawab terhadap ahli rombongannya.

Sesungguhnya kami sangat menyanjungi adik-beradik yang hampir. Ia hubungan kasih sayang yang luar biasa. Menjalin hubungan seumpama ini memerlukan setiap ahli keluarga saling bertolak ansur.

Tiada perbezaan darjat

Tiada pangkat dan darjat perlu diketengahkan. Profesor atau berkelulusan doktor falsafah tidak mempunyai merit antara adik-beradik. Malah jika bergelar Tan Sri, Datuk atau Puan Seri tidak bermakna buat adik-beradik.

Hubungan bukan berpaksi kepada nilai tersebut. Ia rasa kasih sayang yang mahu berpanjangan sehingga dipertemukan kembali di syurga Firdaus. Allah SWT telah menegaskan melalui surah Muhammad, ayat 22-23 yang bermaksud: "Maka apakah ada kemungkinan jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang yang dilaknat Allah dan ditulikan mereka dan dibutakan penglihatan mereka."

Benar, 12. Itulah jumlah adik-beradik yang saya ada. Tiga lelaki dan sembilan perempuan. Hampir kesemuanya berselang dua tahun kelahiran. Kakak sulung berusia 56 tahun dan adik bongsu pula berusia 31 tahun.

Kami 12 beradik dibesarkan dalam suasana kemesraan dan saling mengasihi. Pertelingkahan, rasa hati atau terkedu di jiwa selalunya tidak bertahan lama. Istilah air dicincang tidak akan putus benar-benar berlaku.


KEMATIAN menjadi pemisah antara hubungan kekeluargaan di dunia tetapi ia tetap kekal hingga ke akhirat.


Ia bercantum bukan kerana soal benar atau salah tetapi lebih kepada perasaan bertolak-ansur antara kakak dengan adik atau adik dengan abang. Ia perasaan hormat yang diajar oleh kedua-dua ibu bapa sejak kecil. Ia perasaan yang bukan dipaksa-paksa.

Hakikatnya, ramai yang kelihatan hampir dengan kita. Namun, kesemuanya berjauhan apabila tiba masanya. Kita akan dipisahkan.

Pertama, antara dunia dengan alam kubur. Siapa yang dulu dijemput pergi tentu sekali tidak mengikut susunan usia. Misalnya, adik perempuan kami Haniza dijemput Allah ketika usianya mencecah 35 tahun.

Saya masih terkenang renungan mata tajamnya memandang saya beberapa hari sebelum dipanggil pulang. Beliau menyatakan: "Abang, rasanya Za sudah sampai masanya," kenyataan yang disampaikan dengan satu senyuman menyebakkan rasa hati.

Namun, itulah pengajaran atau ingatan paling berkesan kepada adik-beradik yang tinggal. Kematian tidak mengikut susunan atau turutan. Malah tiada sesiapa yang mampu melarikan diri daripada kematian. Ia tidak lambat atau cepat walau sesaat.

Masya-Allah, hubungan adik-beradik pastinya bernoktah. Bila, tiada siapa mampu menduga. Malah kehidupan berkeluarga boleh menyebabkan hubungan ini semakin terpisah.

Lalu, ia sangat tidak berbaloi untuk bermasam-muka, menjual ego atau mahu menunjuk-nunjuk kehebatan sesama adik-beradik. Mudah-mudahan kita semua akan diberkati dan dirahmati Allah dengan sifat kasih mengasihi sesama adik-beradik.

Wajah berseri

Kedua, pada hari pembalasan. Saya terbayangkan kami, kaum keluarga akan berseri-seri wajah kegembiraan ketika menerima surah amal seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui surah al-Inshiqaq, ayat 7-9 yang bermaksud: "Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya; maka beliau akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, dan beliau akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita."

Ketiga, ketika menjalani kehidupan yang kekal abadi. Lalu rasa cinta kepada keluarga yang hampir perlu diterjemahkan agar kita semua dapat berkumpul di tempat yang satu, kehidupan di syurga yang kekal abadi.

Saya mahu begitu. Biarlah kami sekeluarga dibangkitkan bersama Baginda SAW walaupun ia hanya segelintir daripada kumpulan akhir zaman.

Saya telah melalui perjalanan kehidupan panjang dengan hati dan perasaan. Rakan datang dan pergi. Teman ketawa beribu. Mereka yang sudi menangis bersama boleh dibilang dengan jari.

Namun adik-beradik sendiri, Insya-Allah tidak begitu. Mereka mengasihi dan menyayangi sesama sendiri dengan hati dan perasaan. Syaratnya mudah. Ia perhubungan semata-mata kerana Allah.

Saya terasa damai di hati. Maka mereka juga sentiasa ada di dalam doa-doa agar kami dapat bersama pada kehidupan yang kekal abadi, Insya-Allah. Moga Allah memberi keampunan-Nya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Mahu lelaki matang

Posted:

Mahu lelaki matang

Mahu lelaki matang

HAKIKATNYA, perceraian merupakan satu peristiwa yang cukup pahit untuk ditelan. Namun ia merupakan langkah terakhir buat sesebuah pasangan yang tidak mampu lagi hidup sebagai suami isteri.

Pelakon Rita Rudaini Mokhtar yang baru bercerai dengan Aidil Zafuan Abdul Radzak sejak September lalu setelah berhadapan dengan masalah rumah tangga yang berlarutan selama bertahun-tahun, kelihatan cukup kental memegang status sebagai ibu tunggal.

Bertemu dengan pelakon tersebut ketika majlis pratonton filem Balistik baru-baru ini, Rita menyatakan bahawa kehidupannya sekarang lebih bertumpu kepada kerjaya dan membesarkan kedua-dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Rafqa Arjuna, 2.

Enggan memberikan sebarang komen tentang kisah bekas suaminya yang dikatakan bakal mendirikan rumah tangga dengan gadis yang pernah digosipkan dahulu, pelakon yang berasal dari Kangar, Perlis itu menegaskan bahawa dia tidak mahu langsung mengambil tahu mengenai hal tersebut.

"Saya tidak dapat berikan apa-apa komen sebab kami sudah berpisah dan Aidil tidak ada kena-mengena dalam hidup saya lagi. Cuma, sekarang orang ramai sudah boleh menilai situasi yang pernah berlaku antara kami dahulu.

"Sebenarnya, saya langsung tidak terkejut apabila mendengar cerita dia akan berkahwin. Sekarang ini, Allah sudah menunjukkan kebenarannya, meskipun dia pernah berkali-kali menafikan cerita berkenaan," ujarnya dengan nada serius.

Memandangkan bekas suaminya itu sudah menemui pengganti dan bakal mendirikan rumah tangga, Rita turut ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk berkahwin lagi.

Menurut pelakon berusia 37 tahun itu, buat masa ini, dia masih belum terfikir untuk kembali berkahwin memandangkan dia baru sahaja habis edah serta sedang bergiat aktif dalam bidang lakonan.

"Sekarang ini, dalam fikiran saya mahu mencari duit untuk menyara anak-anak. Bukan mudah untuk mencari seseorang yang boleh menerima diri saya dan anak-anak, malah sehingga kini tiada mana-mana lelaki yang cuba mendekati saya.

FIGURA jelita ini mengakui menyimpan segala keratan akhbar yang menampilkan kisah dan cerita yang membabitkan dirinya dan Aidil.


"Kalau ditakdirkan saya berkahwin lagi, saya tidak memandang pada usia pasangan sama ada lebih tua atau muda.

"Seboleh-bolehnya, saya inginkan seorang lelaki yang berfikiran matang dan mampu membuat keputusan sendiri serta bukan anak emak," jelasnya.

Berkenaan dengan permasalahan yang berlaku antara dirinya dan Aidil, pelakon itu berkata, dia tidak akan menyembunyikannya daripada pengetahuan kedua-dua anaknya itu dan akan menjelaskan segala-galanya apabila tiba masanya kelak.

Menurut Rita, dia sebenarnya banyak menyimpan keratan akhbar yang menyiarkan cerita membabitkan dirinya dan bekas suaminya itu untuk tatapan anak-anak dan terpulang kepada mereka untuk menilainya nanti.

"Buat masa ini, belum sesuai untuk saya menceritakan tentang masalah yang melanda kami memandangkan mereka masih kecil, dan sebagai ibu saya tidak akan menghasut mereka untuk membenci bapa mereka sendiri," ujarnya.

Nafkah anak

Mengenai tuntutan nafkah anak sebanyak RM5,392 yang dirasakan tidak munasabah oleh Aidil serta mendapat kritikan ramai, Rita menegaskan, tuntutan tersebut wajar memandangkan ia nafkah untuk dua orang anak.

Pelakon itu berkata, tindakan segelintir pihak yang mempertikaikan tuntutannya itu pula seolah-olah tidak merasai sendiri situasi yang dialaminya untuk menyara kehidupan dua orang anak yang semakin besar.

"Apabila Rayyan dan Rafqa meningkat usia, pastinya belanja untuk mereka akan bertambah. Lagipun apa yang saya tuntut itu adalah hak anak-anak dan dia sebagai bapa perlu menjalankan tanggungjawab.

"Kalau diikutkan saya malas hendak membuat tuntutan ini kerana masih mampu menyara anak-anak saya, tetapi semuanya ini saya lakukan kerana ingin memberikan yang terbaik buat mereka," luahnya seakan-akan tidak berpuas hati.

Rita turut mempertikaikan tindakan Aidil yang beranggapan tuntutan berkenaan tidak munasabah. Ini memandangkan bekas suaminya itu mempunyai pendapatan yang tinggi sebagai pemain bola sepak.

"Apa salahnya dia membayar jumlah tersebut kerana itu semua adalah untuk anak-anaknya sendiri dan rasanya bayaran yang dia berikan kepada peguam lagi tinggi berbanding apa yang saya tuntut. Lebih baik duit yang digunakan membayar peguam diberikan kepada anak sendiri," jelasnya.

RITA berikrar tidak akan menghasut anak-anaknya membenci bapa mereka sendiri.


Tidak halang

Meskipun sudah ditakdirkan tidak lagi menjadi isteri kepada Aidil, ujar Rita, dia tidak pernah menghalang sekiranya bekas suaminya itu mahu berjumpa dengan anak-anak.

Mengakui kali terakhir Aidil berjumpa dengan kedua-dua anaknya itu pada bulan Jun lalu, pelakon berkenaan turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap Aidil yang jarang bertanya khabar.

"Mengikut perkiraan saya dalam dua minggu sekali dia akan menghantar pesanan khidmat ringkas bertanyakan khabar anak-anak. Itupun sikapnya seperti tidak bersungguh-sungguh.

"Sebelum ini, memang pernah ada dia memberitahu ingin berjumpa dengan anak dan saya izinkan. Namun begitu, apabila saya suruh datang ke rumah, dia pula yang menolak," ujarnya yang meminta supaya bekas suaminya itu menjadi seorang bapa yang lebih bertanggungjawab.

Menjelaskan Rayyan dan Rafqa lebih rapat dengan dirinya berbanding Aidil, tetapi sebagai wanita dia tidak akan sesekali memutuskan hubungan yang terjalin antara bapa dan anak.

"Saya pernah mengalami situasi yang sama apabila ditinggalkan bapa semasa berusia dua tahun, tetapi saya masih tetap menerima beliau sebagai bapa sewaktu saya berusia 17 tahun.

"Dalam hal ini, saya tidak kisah dan memberikan kebebasan kepada Aidil untuk berjumpa anak-anak, cuma saya meletakkan syarat yang mereka hanya boleh bermalam dengan Aidil ketika masing-masing sudah berusia tujuh tahun memandangkan selama ini mereka membesar bersama saya," jelasnya.

Iqram akui rapat dengan Wincci

Posted:

Iqram akui rapat dengan Wincci

Iqram akui rapat dengan Wincci

Oleh IZWAN MOHD. ISA

GIMIK atau benar? Aksi Soo Wincci dan Iqram pada majlis pelancaran album bahasa Melayu sulung Wincci di Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KETIKA sedang asyik mendengar ucapan daripada penyanyi, Soo Wincci sempena pelancaran album bahasa Melayu sulungnya, Su Win Si by Soo Wincci di Embassy Row Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini, kelibat pelakon popular, Iqram Dinzly dengan tidak semena-mena muncul daripada belakang pentas.

Iqram, 32, yang hadir dengan sejambak bunga tiba-tiba bertindak melutut di hadapan penyanyi putih melepak itu sambil menghulurkan sebentuk cincin kepadanya.

"Selagi awak tidak menerima cincin ini, saya tidak akan bangun," getus Iqram sambil diperhatikan oleh Wincci, yang ternyata kaget dengan tindakannya itu.

"Sudikah awak menjadi teman baik saya sehingga ke akhir hayat?" tanya Iqram yang akhirnya meleraikan situasi 'tegang' pada petang itu. Wincci akhirnya ketawa dan mengiyakan soalan Iqram lalu menerima cincin tersebut.

Gimik yang dilakukan oleh Iqram ternyata menjadi. Aktor yang pernah dikenali sebagai pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan itu berkongsi dengan Kosmo! mengapa dia bertindak sedemikian.

Kosmo!: Mengapakah anda melakukan gimik sebegini pada majlis pelancaran album Soo Wincci?

IQRAM: Sudah lama saya dan Wincci tidak bersua muka. Kali terakhir kami berjumpa ketika Wincci menyambut hari lahirnya beberapa bulan lalu. Jadi, apabila saya tahu tentang acara pada hari ini, saya terus terpanggil untuk melakukan gimik tersebut.

Hubungan anda dan Wincci dilihat agak rapat. Boleh ceritakan bagaimana anda berjumpa?

Kami mula-mula kenal ketika menjayakan sebuah iklan untuk sebuah syarikat telekomunikasi tempatan. Sejak itu hubungan kami agak rapat. Saya dan Wincci sering berbalas mesej bertanya khabar.

IQRAM mempunyai sebab tersendiri kenapa dia tertarik untuk mengenali Wincci dengan lebih rapat.


Mengapa anda tertarik untuk mengenali Wincci dengan lebih rapat?

Penggambaran iklan tersebut diadakan pada bulan Ramadan tahun ini. Ketika itu, Wincci mengadu pada saya bahawa dia sakit perut kerana turut ikut berpuasa bersama-sama umat Islam yang lain. Saya begitu kagum dengan pilihannya untuk berpuasa dan dari situ kita mula berkawan.

Apa istimewanya Wincci pada mata anda?

Dia seorang yang gila kerja. Dia mampu untuk melakukan pelbagai kerja demi mencapai cita-citanya. Di samping itu, dia tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan sering memberikan semangat dan motivasi kepada saya untuk menyambung pelajaran dan menguasai bahasa Inggeris.

Tindakan anda memberi cincin 'persahabatan' kepada Wincci menimbulkan banyak tanda tanya. Adakah anda merancang untuk menyuntingnya menjadi suri hidup anda? Apa pendapat keluarga anda pula?

(Sambil ketawa) Saya tidak cakap mahu menyuntingnya menjadi isteri tetapi jika dijodohkan apa salahnya. Tiga orang pak cik saya mendirikan rumah tangga dengan pasangan mereka yang berbangsa Cina. Rasanya, tidak menjadi masalah bagi kaum keluarga saya untuk menerimanya.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya sekarang sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta bersama Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose.

Farawahida sorok Shukur lapan tahun

Posted:

Farawahida sorok Shukur lapan tahun

Farawahida sorok Shukur lapan tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASANGAN mempelai ini cuba mencuri masa untuk berbulan madu sempena perkahwinan mereka ini.


RAHSIA identiti kekasih hati Farawahida yang hanya dikenali sebagai Mr. A tersimpan rapi selama lapan tahun.

Namun, ia akhirnya terlerai selepas lelaki yang disifatkan pemalu itu sah memiliki penyanyi bersuara lantang tersebut menerusi ikatan perkahwinan pada Isnin lalu.

Abdul Shukur Mohd. Zain, 29, hanya memerlukan sekali lafaz sahaja untuk menjadi suami kepada penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu tersebut.

Disaksikan ahli keluarga kedua-dua belah pihak, Sentosa Villa Resort menjadi lokasi bersejarah dua jiwa tersebut yang dinikahkan Naib Kadi Air Kuning, Taiping, Imanuddin Zakaria.

Anggun dengan busana putih rekaan Syarakim, riak wajah Farawahida Razali, 28, tampak tenang duduk bersimpuh di pelamin yang bertemakan karangan laut, mutiara dan kulit siput.

Berbeza dengan Shukur, bacaan lafaz taklik perkahwinan tersekat-sekat dan terhenti beberapa kali setelah dia gagal menahan sebak dan air mata yang tumpah di pipi.

Mengulas emosinya pada waktu itu, Shukur yang merupakan seorang usahawan memberitahu, terma dan syarat dalam lafaz taklik yang mewajarkan pembubaran perkahwinan amat mengentarkan jiwanya.

"Bagi saya, perkahwinan cuma sekali dan untuk sepanjang hayat. Tak mampu saya membayangkan perpisahan.

"Saya juga agak gementar kerana akad nikah bukan sekadar lafaz mewajarkan hubungan suami isteri tetapi juga amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul sebagai pemimpin keluarga yang baharu dibina," jelas anak jati Klang, Selangor itu ketika ditemui usai upacara pernikahan tersebut.

Merahsiakan jumlah wang hantaran kecuali untuk pengetahuan keluarga terdekat, Farawahida menerima mas kahwin RM1,000 berserta dua bentuk cincin emas.

Pengantin lelaki turut menghadiahkan tujuh dulang hantaran iaitu beg tangan, persalinan, komputer riba, minyak wangi, buah-buahan, sejadah dan telekung serta satu persalinan.

Pihak pengantin perempuan pula membalas sembilan dulang hantaran. Antara yang menarik perhatian ialah empat buku biografi negarawan, tokoh perniagaan dan sukan iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Nelson Mandela, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Alex Ferguson.

Selain itu, Farawahida turut menghadiahkan suaminya, Ipad, sebuah tafsir al-Quran, seutas jam tangan, buah-buahan kering, minyak wangi, tali pinggang dan tali leher, sirih junjung serta buah-buahan.

Gelodak jiwa

Menyentuh semula tentang emosi dirinya sewaktu melalui detik-detik akhir zaman daranya, ujar Farawahida, biarpun luarannya nampak tenang namun hanya Tuhan yang mengetahui gelodak dalam jiwanya.


FARAWAHIDA dan Shukur mula berkenalan pada tahun 2001 di alam persekolahan.


"Saya tak risau kelancaran upacara pernikahan kerana yakin abang (Shukur) mampu melaluinya. Namun yang lebih membuatkan saya gelisah tentang cabaran dan tanggungjawab menanti sebaik menjejakkan kaki ke alam rumah tangga.

"Oleh itu, kami sentiasa mengharapkan keberkatan Allah dan restu keluarga serta peminat agar kehidupan yang baru dibina kekal rukun hingga ke jannah," pintanya.

Mengimbas detik awal perkenalan mereka, ujar Farawahida, dia dan Shukur mula dipertemukan sewaktu masing-masing mewakili sekolah pada pertandingan sayembara puisi pada tahun 2001.

"Namun kami tidak bertegur sapa sehinggalah bertemu semula pada majlis perjumpaan rakan-rakan sekolah saya di Taiping pada tahun 2005. Shukur yang mengikut salah seorang rakan sekolah saya menyertai program itu menggamit perasaan saya.

"Kami mula rapat setahun kemudian sebelum serius membicarakan soal perkahwinan beberapa tahun kemudian," cerita penyanyi tersebut.

Shukur yang berada di samping isterinya itu pula menyampuk. Ujarnya, penglibatan dalam dunia penyiaran dan kewartawanan secara sambilan termasuk menjadi hos rancangan bual bicara Hello On 2 pada tahun 2009, merapatkan lagi hubungan dirinya dengan Farawahida.

"Namun, sifat pemalunya sukar dikikis. Seingat saya, kami tak pernah bergambar bersama kecuali untuk praperkahwinan baru-baru ini. Tapi hari ini (kelmarin), boleh rakam gambar kami banyak-banyak," selorohnya.

Hikmah

Mengakui berkasih selama lapan tahun sebagai tempoh yang agak panjang, Shukur tetap mengambil hikmah dan menganggap ruang masa tersebut membolehkan dia dan Farawahida lebih mengenali hati budi masing-masing dan menunjukkan karakter sebenar tanpa berlindung.

"Saya mempunyai masa untuk memahami kerjaya Farawahida sebagai penyanyi sekali gus yakin dapat menyesuaikan diri dalam dunia selebriti yang penuh onak duri," ujarnya.

Farawahida pula mengakui selesa bersama Shukur kerana selain ahli keluarganya, jejaka lulusan Universiti Malaya itu merupakan insan yang sentiasa memberi sokongan setiap kali dia dilanda kontroversi demi kontroversi sepanjang bergelumang dalam industri seni.

Dalam pada itu, Farawahida dan Shukur sepakat tidak merancang zuriat sebalik berserah kepada ketentuan Illahi termasuk bersedia bergelar ayah dan ibu dalam masa terdekat.

Memilih untuk menjelajah beberapa pulau-pulau peranginan terkenal tanah air sebagai lokasi berbulan madu, bagaimanapun masih belum menetapkan tarikhnya memandangkan mereka sibuk dalam kerjaya masing-masing.

"Shukur mempunyai jadual yang cukup ketat bagi menguruskan perniagaan manakala saya yang akan meneruskan karier sebagai penyanyi selepas ini menyasar mengeluarkan single terbaharu pada awal tahun hadapan.

"Mungkin kami akan curi-curi masa untuk selit aktiviti berbulan madu apabila ada sedikit kelapangan kelak," beritahunya.

Majlis resepsi pasangan dua sejoli itu yang bertemakan Glamour Extravaganza di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, Perak itu turut berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 3,000 tetamu termasuk rakan-rakan artis seperti Ifa Raziah, Fazli Zainal, Ayu Damit dan Salma.

Kredit: www.kosmo.com.my

Khamis, 19 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kematian bayi baru lahir masih tinggi

Posted:

Kematian bayi baru lahir masih tinggi

Kematian bayi baru lahir masih tinggi

SELEPAS kehilangan dua bayinya akibat penyakit cirit-birit dan disentri, Suman Chandel, 25, terbaring di atas katil di sebuah klinik di kawasan pedalaman Utara India sambil tersenyum kelegaan.

Beberapa jam lalu, dia yang telah melahirkan anak keempatnya seberat tiga kilogram dan sangat yakin bayinya itu mempunyai peluang tinggi untuk terus hidup.

"Sebelum ini, saya sangat risau kerana mengalami banyak masalah pada setiap kelahiran, tetapi bayi ini nampak sihat dan saya sangat gembira," katanya sambil cuba menyusukan bayinya itu.

Chandel berkahwin pada usia 15 tahun dan mengandung anak sulungnya tiga tahun kemudian.

Dia sebelum ini berusaha untuk keselamatan bayinya. Kehidupan yang dialami wanita itu sama seperti kebanyakan wanita luar bandar di India lain yang bergelut dengan penularan penyakit, diskriminasi kasta dan ketiadaan kuasa serta kehidupan miskin.

Menurut organisasi Save the Children, India mempunyai rekod kadar kematian ekoran penyakit yang boleh dicegah yang tinggi di dunia.

Negara itu menyumbang sebanyak 29 peratus kadar kematian global bayi baru lahir iaitu kira-kira 309,000 kehilangan nyawa setiap tahun.

Perubahan

Bagaimanapun, angka daripada pejabat banci yang dikeluarkan pada Oktober lalu menunjukkan selepas 15 tahun mengalami pertumbuhan ekonomi dan pemodenan yang ketara, India dijangka mengalami perubahan besar.

"Perjalanan ini masih jauh dan cara tradisional terus diamalkan. Bagaimanapun, setakat ini, kemajuan dan tindakan yang dilakukan menunjukkan pencapaian yang amat membanggakan termasuk dari segi pelaburan kerajaan dan badan bukan kerajaan," kata Pengarah Serantau Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Karin Hulshof kepada AFP.


SAUDARA-MARA melawat seorang ibu bersalindi sebuah klinikdi Madhya Pradesh.


Inisiatif yang dilakukan termasuk memberikan tumpuan kepada isu-isu kesihatan seperti menggalakkan wanita bersalin di hospital, meningkatkan bilangan pusat-pusat kesihatan dan imunisasi.

Pendidikan diberi keutamaan dengan mengetengahkan kepentingan susu ibu, pemakanan sihat dan menggunakan air bersih untuk mencuci tangan bagi mengelakkan penyakit cirit-birit.

Ketua Padiatrik di All India Institute of Medical Sciences, Paul Vinod berkata, kadar kematian bayi telah menurun daripada 80 kematian dalam setiap 1,000 kelahiran kepada 42 kematian pada tahun 2012.

Walaupun menunjukkan peningkatan, laporan bersama oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Bank Dunia tahun ini mendedahkan, India masih menyumbangkan sebanyak 22 peratus kadar kematian kanak-kanak di bawah lima tahun dan lebih daripada suku kematian bayi baru lahir di dunia.

Dalam pada itu, Vinod yang berpangkalan di New Delhi berkata, perbelanjaan awam untuk kesihatan masih berada pada tahap kurang memberangsangkan, iaitu hanya 1.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Sesetengah negara membangun menghabiskan antara lapan sehingga 10 peratus KDNK mereka.

"India perlu sekurang-kurangnya membelanjakan tiga hingga lima peratus. Kurang daripada tiga peratus dianggap teruk," katanya.

Peluang hidup

Peluang seseorang kanak-kanak itu untuk terus hidup juga bergantung kepada tempat tinggal keluarganya.

Menurut perangkaan terbaharu, kadar kematian di selatan Kerala mencatatkan seramai 12 orang bagi setiap 1,000 orang. Namun, angka itu melonjak kepada 56 orang di Madha Pradesh yang menjadi tempat tinggal Chandel.


SEORANG ibu mempelajari teknik betul memegang bayi baru lahirnya di sebuah hospital tempatan, di Shivpuri, Madhya Pradesh, India.


Pakar-pakar turut menyalahkan kawasan penempatan yang padat dan kekurangan tumpuan oleh kerajaan negeri terhadap kesihatan kanak-kanak.

Antara masalah lain termasuk peranan dan kuasa wanita yang lemah dalam masyarakat

"Anak-anak gadis tidak dapat membuat keputusan yang wajar untuk merancang kelahiran anak dan kesuburan mereka.

"Kami berdepan dengan kesukaran untuk mengubah sikap dan norma masyarakat terhadap golongan remaja, terutamanya wanita," kata Pegawai Kanan dari Kementerian Kesihatan India, Anuradha Gupta.

Senario

Pucat gara-gara penyakit anemia, Radha Bagnele, 20, terbaring lemah di atas katil Hospital Daerah Shivpuri di Madhya Pradesh sambil mendengar kekecewaan ibu mertua terhadap kelahiran bayi perempuan kembarnya.

"Kami mahu bayi lelaki, jadi kami tidak begitu gembira. Tetapi, dia (Radha) akan terus berusaha mendapatkan anak lelaki sehingga berjaya," kata Ramkunar Bagnele.

Berkahwin pada usia 13 tahun, Radha sudah mempunyai dua orang anak perempuan dan menyatakan kebimbangan sama ada suaminya, yang bekerja sebagai buruh ladang, dapat menyara keluarga mereka.

"Saya risau, tetapi kami memerlukan anak lelaki," katanya perlahan.

Terdahulu, hospital tersebut dengan kerjasama UNICEF telah membangunkan satu pusat panggilan 24 jam dan menyediakan perkhidmatan 35 buah ambulans bagi memastikan ibu hamil tiba di hospital atau klinik dapat melahirkan bayi mereka dengan selamat.

Jumlah kematian bayi telah jatuh secara mendadak sejak kemudahan tersebut disediakan, tetapi masalah lain masih wujud.

Dalam sebuah bilik bersalin, seorang wanita yang tidak bergerak diselimuti oleh jururawat.

Bayinya meninggal dunia selepas dilahirkan dua hari lebih awal di rumah dan dia kemudian pengsan kerana mengalami komplikasi sewaktu melahirkan bayi itu.

"Ia boleh menjadi pendarahan otak. Dia perlu dibawa ke Gwalior (sebuah bandar berdekatan) kerana kita tidak mempunyai kemudahan yang diperlukan di sini," kata seorang doktor.


WANITA-WANITA luar bandar di India bergelut dengan diskriminasi kasta, ketiadaan kuasa dan kehidupan miskin.


Di dewan menunggu, Sunil Gautam berlegar melihat keadaan bayi baru lahirnya yang berada di dalam unit penjagaan khas bayi. Perkhidmatan itu juga dibiayai oleh UNICEF.

Anak matanya memandang tubuh kurus bayinya yang lahir seberat 600 gram yang sedang berada di dalam sebuah inkubator kerana dilahirkan tidak cukup bulan.

Berat bayi itu separuh daripada berat badan minimum sihat bayi baru lahir.

"Lapan ratus gram hari ini!," kata pakar kanak-kanak itu.

Apabila ditanya mengapa kesemua 17 orang bayi yang berada di unit tersebut dilahirkan kurang berat badan, pramatang atau sakit, dia memberitahu, keadaan itu sebenarnya semakin bertambah baik dalam tempoh lima tahun bekerja di sana.

"Kemiskinan, buta huruf, kekurangan makan, perkahwinan awal dan jarak antara kelahiran adalah antara faktornya.

"Walaupun semakin baik, namun ia memakan masa," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved