Selasa, 6 Mei 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Perginya Bujang Lapok terakhir

Posted:

Perginya Bujang Lapok terakhir

Perginya Bujang Lapok terakhir

"WALAUPUN rupamu tidak ku kenal, tapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku." Demikian dialog popular yang mengiringi perjalanan anak seni bernama Datuk Aziz Sattar sepanjang hayatnya dalam dunia lakonan.

Ungkapan itu dipetik daripada filem lakonan beliau bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan S. Shamsuddin, Seniman Bujang Lapok (1961), yang merupakan antara wadah seni terkenal selepas Bujang Lapok (1957), Pendekar Bujang Lapok (1959) dan Ali Baba Bujang Lapok (1960).

Les Trois Mousquetaires

Naskhah yang asalnya mengambil inspirasi daripada filem pendek dan novel terkenal Perancis, Les Trois Mousquetaires (The Three Musketeers), kisah tiga lelaki bujang terlajak itu dijelmakan dalam versi bahasa Melayu yang berjaya menambat hati pelbagai generasi penonton.

Ikonik wataknya, Ajis bersama Sudin dan Ramlee dalam siri filem Bujang Lapok itu menjadi signatur pelakon itu hingga panggilan Pak Ajis melekat di bibir peminatnya hingga kini.

Dua teman karibnya, S. Shamsuddin terlebih dulu pergi meninggalkan Pak Ajis pada 4 Jun tahun lalu manakala P. Ramlee telah meninggal dunia pada 28 Mei 1973.

Semalam, 6 Mei, Pak Ajis pergi meninggalkan semua yang masih hidup. Itu bermakna berakhirnya legasi terakhir yang tinggal daripada naskhah agung Bujang Lapok.

Keakraban Aziz dan P. Ramlee seperti tarikan magnet yang sama-sama memacu kerjaya kedua-dua bintang legenda itu untuk mencoret kenangan dan kejayaan bersama.

Teriakan siri filem Bujang Lapok membikin selaut ingatan buat penggemar filem hitam putih hingga mencetuskan fenomena sekitar tahun 1950-an.

Siapa tidak tahu antara lagu popular yang turut menjadi signatur siri filem Bujang Lapok seperti Menceceh, Tunggu Sekejap, Nak Dara Rindu dan Resam Dunia masih menjadi siulan hingga kini.


SUASANA pilu pada majlis pengebumian Allahyarham Pak Ajis di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor semalam.


Ada yang menyifatkan pangkal huruf P pada nama P. Ramlee sebenarnya merujuk kepada tiga tunjang utama kariernya - pelakon, pengarah dan penyanyi.

Begitu juga Aziz yang memiliki bakat nyanyian dan pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan pop Pancasitara yang pernah ditubuhkan oleh P. Ramlee.

Umpama sebutir permata yang sentiasa berkilau walau dipanah perit mentari mahupun dimamah dingin salju, Aziz barangkali rujukan paling tepat.

Selamat tinggal Ajis

Tanpa sebarang tanda, tiada selembar kisah sakitnya yang ditanggung, Aziz atau nama sebenarnya, Abdul Azez Satta yang dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Pekalongan, Jawa Tengah, Indonesia, meninggalkan peminatnya tepat pukul 2 pagi 6 Mei 2014.

Aziz dikejarkan ke Pusat Perubatan KPJ Kajang pada malam Ahad lalu akibat serangan jantung di rumahnya di Ampang, Selangor.

Bertemankan dua anaknya, Dahlia dan Sandakiah Aziz, pelakon filem Nujum Pak Belalang itu menghembuskan nafas terakhirnya sambil ditemani seorang cucunya, Abu Ubaidah A. Ishak.

"Ayah mengadu sakit dada pada pagi Ahad lalu dan kami membawanya ke hospital pada sebelah malam. Selepas melalui siri ujian darah dan electrocardiogram (ECG), ayah kembali sedar dan boleh bercakap walaupun masih lemah.

"Tiada pesanan terakhir yang disampaikan arwah ayah melainkan seleranya sudah semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini.

"Bapa seorang yang bersemangat tinggi untuk meneruskan perjuangan dalam bidang seni terutamanya sepanjang menjadi Presiden Persatuan Artis Veteran Malaysia," ujar Sandakiah yang ditemui pada majlis pengebumian Allahyarham di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor.

PENGHARGAAN. Pak Ajis menerima Anugerah Tokoh Pelakon Melayu bersama seniwati Zaiton yang mewakili S. Shamsuddin yang turut diberikan anugerah sama pada majlis Anugerah Tribute P. Ramlee di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Jun 2013.


Sumbangan

Selain berpuluh-puluh filem lakonannya, Allahyarham juga berpengalaman sebagai pengarah filem.

Antara produksi filem arahannya termasuklah Keluarga Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982), Perawan Malam (1986) dan Darah Satria (1993).

Pada tahun 2007, Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk.

Antara kisah menarik Allahyarham pada zaman silamnya, beliau pernah diseksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950-an.

Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga, bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat, bercerai).

Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh anak iaitu Ruzaiman, Ruzaidah, Ruzainah, Zainuddin, Dahlia, Dalina dan Sandakiah, 20 orang cucu serta 10 orang cicit.

Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor dengan mas kahwin RM100.

Layar perak Aziz Sattar

Posted:

Layar perak Aziz Sattar

Layar perak Aziz Sattar

Oleh HARYATI KARIM

FILEM Pendekar Bujang Lapok merupakan antara filem lakonan Aziz Sattar yang paling membekaskan impak terhadap khalayak audiens sehingga hari ini.


PEMERGIAN Allahyarham Datuk Aziz Sattar meninggalkan banyak memori, bukan sahaja untuk ahli keluarga tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

Sudah membintangi lebih 50 buah filem dan puluhan drama, namun filem Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok antara filem klasik yang menjulang namanya sehingga hari ini.

Jika diulang tayang beribu-ribu kali pun, penonton sudah menghafal skrip filemnya dan mereka tetap akan tertawa dengan dialog yang dilontarkan barisan pelakonnya.

Semangat dan disiplin yang dimiliki Allahyarham terhadap kerjaya lakonan sangat tinggi meskipun ketika tahap kesihatannya semakin merosot.

Kosmo! pernah mengaturkan sesi fotografi bersamanya, Allahyarham tetap hadir pada waktu yang ditetapkan walaupun ketika itu sedang demam panas.

Kesungguhannya itu membuatkan saya dan artis yang bergandingan dengannya iaitu Alyah dan Dafi cukup menghormatinya. Tutur katanya diingati saya sehingga hari ini.

Katanya: "Sudah berjanji tidak elok memungkiri janji. Selagi saya tidak terlantar, saya akan datang."

Benar, Malaysia kehilangan sebutir lagi bintang seni yang amat bernilai. Selepas ini, hanya filem lakonannya yang menjadi pengubat rindu buat keluarga dan peminat. Semoga Allahyarham damai di sana.

Kosmo! menyenaraikan beberapa buah filem lakonan Allahyarham Aziz Sattar yang diingati sehingga hari ini.

Filem: Bujang Lapok

Tahun tayangan: 1957

Pengarah: P. Ramlee

Pelakon: P. Ramlee, Aziz Sattar, S. Shamsuddin, Normadiah, Dayang Sofia dan Zaiton

Filem ini merupakan filem komedi pertama Allahyarham P. Ramlee daripada sekuel Bujang Lapok. Ia mengisahkan tiga sahabat Ramlee, Ajis dan Sudin menyewa bilik di rumah milik janda muda iaitu Cik Norma. Dalam filem inilah, Aziz mula berkenalan dengan isteri keempatnya, Dayang Sofia yang bergandingan dalam filem ini sebagai kekasihnya.

Filem: Pendekar Bujang Lapok

Tahun tayangan: 1959

Pengarah: P. Ramlee

Pelakon: P. Ramlee, Aziz Sattar, S. Shamsuddin, Rosyatimah, Aini Jasmin, Ibrahim Pendek, Mustarjo, Momo Latif, Ahmad Nisfu dan Shariff Dol

Memilih latar perkampungan Melayu, filem yang menjalani penggambaran di Studio Jalan Ampas, Singapura ini juga meraih populariti yang luar biasa. Mengisahkan tiga orang sahabat yang ingin mempelajari ilmu mempertahankan diri daripada Pendekar Mustar. Bagaimanapun, mereka bertiga terpikat dengan anak perempuan Pendekar Mustar yang bertugas sebagai guru di sekolah dewasa bernama Cikgu Ros. Antara lagu popular daripada filem ini termasuklah Maafkan Kami, Bujang Lapok dan Malam Bulan di Pagar Bintang.

Filem: Seniman Bujang Lapok

Tahun tayangan: 1961

Pengarah: P. Ramlee dan

S. Sudarmaji

Pelakon: P. Ramlee, Aziz Sattar, S. Shamsuddin, Saloma, Zaiton, Sharif Dol dan Ahmad Nisfu

Sekuel filem Bujang Lapok yang diberi judul Seniman Bujang Lapok ini mengisahkan tiga sahabat, Ramlee, Ajis dan Sudin mencuba nasib sebagai pelakon di studio Jalan Ampas. Banyak dialog lucu yang diingati sehingga hari ini seperti Sudin meminta Hang Jebat turun ketika berlakon dan sesi uji bakat Aziz yang telah diminta pengarah Ahmad Nisfu untuk menceritakan kecantikan wanita.

Filem: Ali Baba Bujang Lapok

Tahun tayangan: 1960

Pengarah: P. Ramlee

Pelakon: P. Ramlee, Aziz Sattar, S. Shamsuddin, Sarimah, Normadiah, K. Fatimah, Ibrahim Pendek dan Zaiton

Filem ini berasaskan kisah Ali Baba dan 40 Penyamun daripada Hikayat 1001 Malam tetapi ditokok-tambah dengan unsur komedi. Filem ini merupakan penampilan sulung Sarimah Ahmad yang memegang watak hamba bernama Marjina. Banyak moral yang boleh dipelajari daripada filem ini seperti watak Ali Baba (Ajis) yang malas bekerja dan hanya mengharapkan belas kasihan abangnya, Kassim Baba (Sudin) serta sikap tamak Kassim Baba yang membawa kepada kematiannya.

Filem: Nujum Pak Belalang

Tahun tayangan: 1959

Pengarah: P. Ramlee

Pelakon: P. Ramlee, Bad Latiff, Hashimah Yon, Ahmad Nisfu, Aziz Sattar, S. Shamsuddin dan Shariff Dol

Dalam filem ini, P. Ramlee memegang watak sebagai Pak Belalang seorang yang malas bekerja. Dia mempunyai seorang anak bernama Belalang. Bagaimanapun, nasib menyebelahinya apabila dia tiba-tiba mempunyai ilmu mengubati orang sakit. Aziz memegang watak sebagai Badan manakala Sudin sebagai Nyawa merupakan perompak yang merompak istana dan bertemu dengan Pak Belalang ketika mereka sedang membahagikan wang emas di sebuah gua.

Filem: Setem

Tarikh tayangan: 30 Julai 2009

Pengarah: Kabir Bhatia

Pelakon: Aziz Sattar, Rashidi Ishak, Afdlin Shauki, Vanidah Imran, Que Haidar, Bront Palarae, Isma Yusoof, Sathiya, Indi Nadarajah, Harun Salim Bachik dan Chew Kin Wah

Ini filem terkini lakonan Allahyarham Aziz Sattar. Dalam filem yang mengisahkan komplot mencuri setem berharga itu, Allahyarham memegang watak sebagai Pak Ramli. pengurus rumah anak yatim Rumah Harapan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved